Monday, November 12, 2012

TAJUK 02


Potret hubungan etnik
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memahami Kesultanan Melayu Melaka sebagai lambang kemuncak kepada pluraliti di Nusantara.
2. Memahami kesan penjajah Barat kepada masyarakat pelbagai etnik di negara ini.
3. Menguasai kemahiran untuk menganalisis fenomena sosial dan masalah hubungan etnik di negara ini.
Pengenalan
Masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama merupakan ciri utama di kebanyakan negara pada hari ini. Persaingan dan konflik antara etnik sering berlaku di negara-negara yang berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai etnik. Namun demikian, sejarah juga telah membuktikan negara monoetnik tidak dapat mengelakkan diri daripada kejadian sedemikian. Masyarakat mempunyai kecenderungan untuk mengkategorikan dan menilai sesuatu kumpulan masyarakat yang lain berdasarkan pemikiran dan pemahaman mereka sendiri yang sempit, selain terpengaruh oleh pelbagai faktor.
Masyarakat juga mempunyai kebiasaan untuk menilai perbezaan antara masyarakat melalui perspektif budaya majoriti atau budaya tersendiri. Oleh hal demikian, dalam dunia yang didominasi oleh masyarakat pelbagai etnik, adalah wajar untuk membina satu pemahaman yang mendalam dan tepat tentang teori dan definisi yang biasa digunakan untuk menilai kumpulan masyarakat yang berbeza budaya, ras, dan etnik dalam pelbagai aspek untuk mengelakkan konflik antara etnik yang lebih
30 Hubungan Etnik
dahsyat. Kefahaman terhadap budaya yang menyokong masyarakat pelbagai etnik amat diperlukan untuk pembinaan masyarakat yang harmoni dan stabil.
Kesultanan Melayu Melaka – lambang Pertemuan
Masyarakat Pelbagai etnik
Kehebatan empayar Melaka menjadi tempat pertemuan pedagang seluruh dunia diakui sehingga digelar sebagai The Venice of the East. Zaman empayar Melaka ialah zaman keemasan dan kemuncak keagungan kerajaan Melayu. Zaman keagungan Melaka boleh dilihat daripada aspek pemerintahan, perdagangan, kependudukan dan kebudayaan.
Pemerintahan
Perlembagaan Melaka adalah berdasarkan ajaran Islam. Melaka menggunakan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang laut Melaka dalam pemerintahan negeri. Perlembagaan ini banyak menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan sistem pemerintahan Melaka. Pegawai istana Melaka terdiri daripada pelbagai bangsa kerana masyarakat Melayu tempatan berkahwin campur dengan bangsa asing yang datang berdagang dan menetap di Melaka. Hal ini menunjukkan bahawa sistem pemerintahan kerajaan Melayu Melaka amat mementingkan keharmonian antara kaum.
Pemerintahan dijalankan dengan sikap penuh diplomasi dan terbuka. Para pegawai istana bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang Melayu tempatan bahkan terdapat orang India yang dilantik menjawat jawatan dalam istana sultan Melaka. Perkahwinan campur berlaku antara pemerintah Melaka iaitu Sultan Mansur Shah dengan anak perempuan pemerintah negara China, puteri Hang Li Po. Ringkasnya, pemerintah Melaka pada ketika itu telah mengambil kira keharmonian antara kaum.
Perdagangan
Perdagangan di Melaka berjalan dengan lancar hasil daripada sistem pemerintahan terbuka dan pentadbiran pelabuhan yang cekap. Undang- undang Kanun Melaka dilaksanakan bagi menjaga keselamatan laut di
Melaka daripada ancaman perompak dan lanun. Tindakan ini dapat menjamin tahap keselamatan yang tinggi kepada ribuan kapal pedagang yang datang berdagang di Melaka. Perdagangan di Melaka berjalan dengan begitu lancar hasil daripada sistem pemerintahan terbuka di samping pelabuhan ditadbir dengan cekap. Keselamatan laut daripada ancaman perompak dan lanun dapat dikawal oleh Laksamana Melaka yang proaktif. Situasi ini menjadikan suasana selamat dan aman untuk para pedagang berdagang di pelabuhan Melaka, apatah lagi keadaan ini disokong kuat oleh Undang-undang laut Melaka yang berteraskan ajaran Islam.
Corak Kependudukan di Melaka
Zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan zaman pluraliti kerana proses penghijrahan berlaku secara semula jadi tanpa pemaksaan mana-mana pihak. Para pedagang tidak memerlukan pasport atau visa sebagai pengenalan diri untuk memasuki sesuatu kawasan. Keadaan ini membolehkan para pedagang dari Arab, India, China dan negara- negara lain berdagang secara bebas dan berinteraksi dengan penduduk tempatan. Pedagang Arab, Cina, India dan Nusantara juga dilihat melalui proses asimilasi dan amalgamasi dengan penduduk tempatan dan akhirnya telah membawa kepada kewujudan masyarakat baharu, iaitu masyarakat Baba Nyonya, Melayu berketurunan Arab dan Melayu berketurunan India.
Kepelbagaian Budaya di Melaka
Keterbukaan pemerintah empayar Melaka menerima kehadiran para pedagang dari seluruh pelosok dunia tanpa syarat yang ketat menyebabkan pelabuhan Melaka berkembang sebagai pelabuhan yang maju dan terpenting di dunia. Kemajuan perdagangan dan empayar Melaka sebagai kota metropolitan menjadikan Melaka sebagai kota multibudaya. Setiap budaya di Melaka mempunyai tempat masing-masing. Pluralisme budaya bukanlah suatu fenomena baharu dalam alam Melayu. Interaksi antara pelbagai budaya seperti Arab pra-Islam, Hinduisme, Buddhisme, Arab Islam dan Eropah seperti Portugis, Sepanyol, Belanda dan British dengan budaya alam Melayu telah berlaku sejak abad ke-5 Masihi. Pertemuan
dan pertembungan budaya besar dunia tersebut telah melahirkan satu ciri fenomena sosial yang istimewa dalam alam Melayu, iaitu fenomena kepluralitian budaya. Zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan zaman keemasan dan kemuncak keagungan kerajaan Melayu. Melaka diperintah oleh para sultan dan pembesar yang berpandangan jauh.
Pembentukan Masyarakat Majmuk era Kolonialisme inggeris
Kedatangan British ke alam Melayu berlandaskan serampang tiga mata, iaitu keagamaan, kekayaan dan kemegahan. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, pihak kuasa Barat sebenarnya telah maju dalam bidang sains dan teknologi. Universiti tertua di Eropah, iaitu University of Oxford wujud sejak abad ke-10 lagi. Keadaan ini menyebabkan mereka merupakan golongan yang menguasai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam bidang sosial, kemanusiaan dan sains tulen. Perdebatan ilmu begitu hangat selama berabad-abad sehingga berlakunya pemisahan besar antara agama dengan sains moden pada abad ke-15 Masihi.
Eropah telah mengalami perubahan epistemologi, iaitu pemisahan antara negara dan agama. Akibat daripada pertelingkahan antara para agamawan dan saintis di Eropah, ilmu pengetahuan akhirnya terpisah dua, iaitu agama dan sains moden. Kedua-duanya dinamakan sebagai Rocks of Ages: Sciences and Religion in the Fullness of Life oleh Stephen Jay Gould (2002), apabila beliau menulis buku mengenai dua perkara pokok di sepanjang sejarah kehidupan manusia. Masyarakat secara umumnya terpisah kepada dua, iaitu pihak yang menyokong agama dan pihak yang menyokong sains moden. Ilmu berasaskan sains moden mendapat sokongan majoriti penduduk Eropah dan akhirnya menyebabkan agama menjadi anutan kepada individu sahaja.
Faktor yang menjadikan masyarakat berpegang kepada kepercayaan bahawa agama hanya perlu pada peringkat individu apabila agama dianggap sebagai penyumbang perselisihan pendapat dalam kalangan manusia, dan seterusnya akan mencetuskan pergaduhan dan peperangan. Sebaliknya, ilmu sains mempunyai sifat sarwajagat yang dapat menyatukan manusia di bawah payung kefahaman yang sama dan ini membolehkan manusia hidup secara aman dan damai. Berasaskan fahaman ini, ilmu sains telah diterima sebagai ilmu penting
dan asas dalam kehidupan sosial duniawi manusia. Ringkasnya, ilmu sains menjadi asas kepada segala aspek kehidupan duniawi manusia, termasuklah ilmu pemerintahan dan pentadbiran.
Sebaliknya, agama tidak lagi menjadi faktor penting dalam kehidupan duniawi manusia. Kesannya, agama berada pada satu pihak yang lain dan kehidupan duniawi berada pada satu pihak yang lain. Dasar ini diteruskan oleh penjajah British terhadap tanah jajahannya termasuk Tanah Melayu. Pihak penjajah British menguasai pentadbiran negara, manakala hal ehwal agama Islam di Tanah Melayu dan adat istiadat Melayu diletakkan di bawah pengawasan sultan. Di samping itu, penjajah British turut memperkenalkan sistem pentadbiran berdasarkan pengagihan kuasa antara tiga unsur penting, iaitu Kehakiman, Eksekutif dan Perundangan. Masing-masing pihak hanya menjalankan bidang kuasa masing-masing. Keadaan ini berbeza dengan sistem pemerintahan zaman sebelum kedatangan British menyebabkan tiada agihan kuasa berlaku kerana raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak.
Ketibaan pemerintah kolonial membawa kepada pertembungan antara agama Islam dengan negara pentadbiran kolonial British. Pertemuan ini berlaku dalam suasana empirikal yang berbeza, iaitu antara “Islam sebagai agama dan para penganutnya” dan “negara kolonial sekular”. Pertemuan ini juga berlaku dalam konteks pemodenan yang diperkenalkan dan dirancangkan oleh kerajaan kolonial. Justeru, negara kita bukan negara pertama dalam kalangan koloni British yang melalui pengalaman ini. Negara Asia Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh, Bhutan, Sri Lanka dan Nepal telah melalui proses ini jauh lebih awal.
Para sarjana dalam bidang kajian India British seperti Bernard Cohn, seorang ahli antropologi berbangsa Amerika mengutarakan bahawa kolonialisme bukan hanya melibatkan penaklukan ruang fizikal; kerana yang lebih penting ialah kolonialisme turut melibatkan penaklukan terhadap ruang epistemologi atau sistem pemikiran penduduk peribumi. Penaklukan ini berlaku melalui proses penguraian sistem pemikiran peribumi yang mengakibatkan hilangnya kekuatan sistem pemikiran tersebut sebagai kuasa pentaktrifan kehidupan. Proses ini seterusnya digantikan dengan sistem pemikiran asing menerusi aplikasi sistematik siri “modus penyiasatan” kolonial. Cohn yang telah menghabiskan seluruh hidupnya mengkaji sejarah India berdasarkan kaca mata ilmu antropologi menjelaskan bahawa ilmu yang dihimpunkan dan
diklasifikasikan itu ditransformasikan ke dalam bentuk yang dapat dimanfaatkan dalam bentuk laporan, sejarah, gazet, kanun undang- undang dan ensiklopedia.
Perbincangan tentang pembentukan masyarakat pluralistik di Malaysia kerap kali tertumpu kepada tiga kelompok komuniti etnik utama, iaitu Melayu, Cina dan India walaupun sebenarnya terdapat pelbagai suku kaum lain. Hal ini demikian kerana ketiga-tiga komuniti etnik tersebut telah memainkan peranan yang paling menyerlah dalam memenuhi tuntutan keperluan ekonomi dan politik British di Tanah Melayu. Bagaimanapun, kewujudan dan kepentingan peranan yang dimainkan oleh suku kaum lain adalah tidak dinafikan.
Sebelum tahun 1848, hampir kesemua penduduk Tanah Melayu terdiri daripada orang Melayu. Namun demikian, perkembangan perusahaan bijih timah yang bermula pada pertengahan abad ke-19 dan perusahaan getah pada awal abad ke-20 mengakibatkan penghijrahan orang Cina dan India secara besar-besaran ke Tanah Melayu. Menjelang tahun 1931, jumlah penduduk bukan Melayu melebihi penduduk Melayu. Kewujudan pelbagai kaum yang mengekalkan kebudayaan masing-masing mengakibatkan terbentuknya masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Setiap kaum mempunyai agama, bahasa dan cara hidup yang berlainan. Pada umumnya, terdapat persefahaman dan hubungan yang baik antara komuniti etnik Melayu, Cina dan India. Keharmonian hubungan etnik ini berterusan dan terbukti apabila mereka sama-sama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957 dan apabila Sabah dan Sarawak mengambil keputusan untuk sama-sama membentuk Malaysia pada 16
September 1963.
Dasar kolonialisme British memberi dampak yang sangat besar terhadap masyarakat di Malaysia sama ada dalam bentuk material ataupun bukan material. Sungguhpun pemerintahan British telah menyumbang terhadap penambahbaikan kehidupan rakyat, terdapat kritikan bahawa mereka bertanggungjawab secara beransur-ansur menyisihkan dominasi Islam daripada kehidupan masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, Al-Attas mengkritik kehadiran kolonialisme Inggeris sebagai suatu dasar tekal memisahkan orang Islam daripada agama mereka.
Para sejarawan mencatatkan bahawa dampak dasar dan birokrasi
Inggeris boleh dilihat dengan jelas dalam perkara berikut. Pertama,
British mula bertapak kukuh menerusi campur tangan secara tidak langsung pada tahun 1786 apabila Pulau Pinang diperoleh daripada Kedah. British seterusnya telah campur tangan secara langsung dan menguasai pentadbiran negeri-negeri Melayu yang secara tradisionalnya terletak di bawah tadbir urus Sultan Melayu. Mengikut Perjanjian Pangkor 1874, Sultan Perak bersetuju menerima seorang Residen British yang menasihati baginda dalam semua perkara kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat Melayu. Menjelang tahun 1895, sistem residen telah diasaskan dengan kukuhnya di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Melalui Perjanjian Persekutuan 1895 yang dikuatkuasakan pada 1 Julai 1896, keempat-empat negeri berkenaan disatukan di bawah satu pemerintahan pusat dan mula dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. British seterusnya memperluas kuasa mereka ke atas Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu melalui Perjanjian Bangkok
1909 dengan kerajaan Siam dan kesannya seorang Penasihat British dilantik bagi tiap-tiap negeri berkenaan.
Di Sabah, kaum bumiputera yang utama ialah Kadazan, Bajau, Murut dan Suluk. Syarikat Borneo Utara British yang memerintah di Sabah telah menggalakkan penghijrahan orang Cina untuk bekerja di ladang-ladang getah dan tembakau. Bilangan penduduk Cina di Sabah meningkat daripada 27,801 orang pada tahun 1911 kepada 50,056 orang pada tahun 1931. Manakala di Sarawak, kaum bumiputera yang utama ialah orang Iban, Bidayuh, Melayu dan Melanau. Dinasti Brooke yang memerintah di Sarawak telah menggalakkan kemasukan orang Cina untuk bekerja sebagai pedagang, petani dan pelombong. Bilangan penduduk Cina di Sarawak meningkat daripada kira-kira 5,000 orang pada tahun 1871 kepada 123,626 orang pada tahun 1939.
Perkara yang amat jelas ialah perluasan pentadbiran British telah memisahkan agama Islam daripada urusan sekular seperti politik, pentadbiran, undang-undang, ekonomi dan pendidikan. Ringkasnya, agama Islam dan adat istiadat Melayu serta kumpulan bumiputera lain terletak di bawah tadbir urus dan kuasa sultan; manakala segala perkara lain terletak di bawah kuasa British. Namun, British kemudiannya gagal memenuhi janji mereka apabila mengingkari dasar “tidak campur tangan” mereka sendiri dalam urusan berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Kesimpulannya, pluraliti bukanlah fenomena baharu dan janggal dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun pluraliti juga telah dan
bakal memberi impak yang berterusan dan berpanjangan. Perpaduan dan toleransi yang bertitik tolak daripada tiga komuniti etnik terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India bagi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu telah melakar sejarah dan membawa kesan yang besar sehingga hari ini terutamanya dalam aspek perpaduan etnik yang dapat hidup aman damai dan menjadi satu kebanggaan negara. Masyarakat plural Malaysia yang wujud kini merupakan hasil interaksi dan integrasi faktor sejarah silam. Tegasnya, pluraliti budaya terdapat di alam Melayu sejak sekurang-kurangnya abad kelima Masihi.
Perluasan pengaruh Inggeris di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan ke-20 telah mengakibatkan penghijrahan orang Cina dan India secara besar-besaran ke Tanah Melayu. Meskipun pelbagai kumpulan etnik hidup pada umumnya secara berasingan dan mengekalkan kebudayaan masing-masing, terdapat semangat persefahaman dan keharmonian kaum yang erat. Persefahaman dan kerjasama ini membolehkan negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957 dan seterusnya mempergiatkan usaha untuk mengeratkan perpaduan nasional dan keharmonian. Perpaduan dan identiti etnik mampu menjadi identiti negara bangsa yang makmur dan aman damai di mata dunia.
Dalam kerencaman masyarakat berbilang etnik yang terbentuk akibat daripada kesan migrasi masyarakat Nusantara ke Tanah Melayu dan faktor migrasi massa oleh golongan migran Cina dan migran India demi memenuhi tuntutan kepentingan ekonomi penjajahan Barat, maka terbentuk masyarakat pelbagai etnik yang bersegmen mengikut kegiatan ekonomi. Oleh hal demikian, adakah dasar pecah dan perintah oleh pihak Inggeris akan menjadi penghalang kepada integrasi dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Malaysia?
Fokus hubungan etnik
lazimnya, manusia berasa selesa dengan amalan adat resam dan cara hidup mereka. Lumrah bagi manusia untuk menyokong etnik sendiri. Setiap etnik terikat kepada sentimen primordial mereka (Geertz
1963). Sentimen primordial menguatkan kesetiaan dan ikatan kepada kelompok sendiri. Apabila kelaziman fikiran dan tindak-tanduk berakar umbi, adalah sukar untuk manusia itu berubah. Hal ini menyebabkan ramai yang bersikap stereotaip dan prejudis terhadap masyarakat etnik
yang lain. Mereka yang bersifat sedemikian memandang dunia semata-mata dari sudut pandangan mereka sendiri. Kebanyakan individu meletakkan diri di tengah-tengah dunia mereka dan melihat orang lain melalui kaca mata mereka sendiri. Individu mesti sedar bahawa dunia tidak berpusat pada dirinya sendiri sama seperti yang pernah dipelajari bahawa cakerawala tidak berpusat pada bumi.
Oleh hal demikian, persoalan asas dalam hubungan etnik adalah untuk melihat pemahaman individu terhadap kumpulan etnik yang lain. Bagaimana pemahaman itu dapat memperbaiki pandangan dan sikap terhadap kumpulan etnik yang lain? Bagaimana pemahaman yang mendalam dan perubahan sikap itu dapat mengubah sikap buruk seseorang terhadap etnik yang lain yang telah lama berakar umbi?
Bidang kajian hubungan etnik juga memberikan tumpuan kepada usaha untuk memahami dan menjelaskan bentuk-bentuk hubungan antara manusia. Kumpulan etnik yang berlainan disusun dalam pelbagai jenis stratifikasi sosial masyarakat yang berbeza. Apakah kesan bentuk susunan stratifikasi sosial kumpulan etnik yang sedemikian ke atas hubungan antara kumpulan etnik tersebut dan masyarakat itu sendiri? Bolehkah corak masyarakat sedemikian melahirkan masyarakat yang harmoni atau berkonflik? Sarjana dalam bidang hubungan etnik menggariskan empat bentuk perhubungan antara etnik yang dapat dikenal pasti, iaitu bekerjasama, penyesuaian, persaingan dan konflik.
Apakah kesan jangka panjang bentuk masyarakat pelbagai etnik itu terhadap hubungan etnik? Apabila kumpulan etnik boleh hidup bersama dalam satu jangka masa yang panjang, mereka mungkin bergerak ke arah penyatuan kumpulan, terus mengekalkan perbezaan atau membesar-besarkan perbezaan tersebut. Masyarakat pelbagai etnik yang sedemikian mungkin sedang menuju ke arah integrasi atau pemisahan melalui proses asimilasi atau pemajmukan.
Kerangka Teori
Dalam proses membina suatu kefahaman terhadap kerangka teori, disiplin ilmu terutamanya daripada ilmu sosiologi, psikologi sosial dan sains kemasyarakatan yang lain adalah perlu dilihat untuk memperoleh konsep asas yang mendasari konsep dalam hubungan etnik. Konsep-konsep ini agak berbeza penggunaannya dalam keadaan popular dan secara akademik dikaji sebagai satu mekanisme untuk mengupas dan menganalisis hubungan etnik dengan lebih mendalam.
38 Hubungan Etnik
Teori ekologi
Park (1950) merupakan antara sarjana sosiologi yang terawal yang membicarakan persoalan hubungan ras. Beliau dipengaruhi oleh pendekatan Darwin (1859) tentang “kemenangan bagi yang tergagah”. Menurut Park, manusia mempunyai dua bentuk warisan, iaitu:
i. Sebagai ahli sebuah kumpulan ras dia mewarisi pusaka biologikal yang dipindahkan melalui perkahwinan sesama kumpulan; dan
ii. Sebagai ahli kumpulan sosial, dia memindahkan melalui komunikasi warisan sosial kumpulannya. Penulis masa ini menggunakan proses evolusi organik atau biologikal bagi peringkat individu dan proses superorganik atau evolusi sosial dan kebudayaan di peringkat kumpulan.
Teori Ekologi Park boleh dirumuskan ke dalam empat usul, iaitu:
• Penghijrahan membawa bersama, dalam perhubungan yang tidak sama rata, manusia yang memiliki fenotaip yang berbeza iaitu pengkelasan ras mengikut warna kulit seperti Caucasoid, Mongoloid, Negroid dan Australoid.
• Dalam perhubungan persaingan, individu sedar akan ciri-ciri status yang membezakan mereka.
• Manusia yang berstatus tinggi tidak mahu bersaing atas dasar sama rata dengan mereka yang memiliki status rendah; kumpulan yang kemudian dianggap memiliki kategori semula jadi dan layak berada di tempat yang lain dalam pembahagian buruh.
• Prejudis merupakan luahan kesedaran kumpulan oleh kelompok manusia yang istimewa. Prejudis juga mempertahankan kepentingan mereka dan memperkukuh struktur kategori tersebut.
Teori Freudian
Dollard (1937) mengaplikasikan Teori Freudian dengan merujuk kepada konsep prejudis sebagai satu sikap untuk mempertahankan hak orang kulit putih.
Usul yang dibuat oleh Dollard adalah seperti berikut:
• Kehidupan sosial mengakibatkan lahirnya pelbagai kekecewaan
psikologi dalam diri individu.
• Kekecewaan itu dapat dikurangkan dengan melepaskan kekerasan.
i. Kekerasan lebih senang diluahkan ke atas sasaran tertentu.
ii. Bagi orang kulit putih, kehitaman dikaitkan dengan ketakutan dan keinginan yang terpendam.
iii. Semakin lemah kuasa kelompok minoriti, semakin sesuai kelompok ini dijadikan sebagai sasaran.
Di mana-mana sahaja sekiranya kekerasan diluahkan secara berterusan, luahan tersebut akan diikuti oleh kekerasan yang berterusan sehingga menambahkan lagi elemen tidak rasional kepada tindakan rasional di peringkat awal tadi.
Struktur Fungsionalisme
Parsons (1975) merupakan pelopor dalam pembentukan teori ini. Teori Struktur Fungsionalisme membayangkan individu bertindak kepada insentif dan dikawal oleh hukuman dan denda. Individu mengejar kepentingannya, tetapi masyarakat mengikat kepentingan ini dalam satu pola yang sama sebab wujudnya pembahagian buruh dan individu juga berkongsi nilai bersama yang memakmurkan dan mensejahterakan masyarakat.
Teori Kelas
Cox (1948) mendapati masalah hubungan ras dan etnik di Amerika Syarikat berhubung kait dengan persoalan kelas dan sistem kasta. Cox berpendapat semua pertelingkahan ras boleh dikaitkan dengan dasar dan sikap golongan kapitalis dan orang kulit putih terhadap orang bukan kulit
40 Hubungan Etnik
putih dan kelas buruh. Prejudis dan ideologi ras seperti sikap rendah diri dipupuk dan digunakan sebagai instrumen yang bermatlamatkan politik dan ekonomi kapitalis. Cox melihat hubungan ras sebagai hubungan proletariat-borjuis, dan dengan itu memaparkan masalah hubungan kelas politik. Rumusan Cox dalam Teori Kelas adalah:
• Apabila kapitalisme Eropah berkembang ke kawasan yang kaya dengan sumber asli, wujud keuntungan untuk memperoleh sumber buruh yang berbeza dan membolehkan mereka meletakkan buruh ini dalam kedudukan tertindas.
• Dalam hubungan yang tidak sama rata ini, terbentuk keyakinan yang mendukung ketidaksamarataan tersebut. Perkara ini terbina dalam struktur masyarakat kapitalis yang memisahkan buruh kulit putih daripada kulit hitam.
• Kategori ras wujud dalam kehidupan sosial masyarakat kapitalis kerana, menguntungkan kelas pemerintah dan pertembungan dalam masyarakat ini belum sampai ke tahap yang menunjukkan kedudukan sebenar sistem sosial tersebut dapat dilihat dengan jelas oleh kelas buruh.
Teori Masyarakat Majmuk
Furnivall (1948) dan Smith (1965) mengutarakan konsep masyarakat majmuk untuk mengenal pasti masyarakat di Asia Tenggara, kawasan wujudnya satu rantai manusia - orang Eropah, Cina, India, dan berbagai- bagai kumpulan anak tempatan. Furnivall menjelaskan bahawa mereka bergaul tetapi tidak bergabung dengan setiap kumpulan berpegang pada agama, kebudayaan, bahasa, idea dan cara hidupnya sendiri. Mengikut beliau, sebagai individu mereka bertemu, tetapi hanya di pasar, semasa membeli dan menjual. Wujud satu masyarakat plural dengan pelbagai bahagian komuniti hidup sebelah-menyebelah, tetapi berasingan, dalam unit politik yang sama. Dalam bidang ekonomi pembahagian buruh berlaku mengikut garisan ras (Furnivall 1948).
Kuper (1974, 1977) berpendapat bahawa teori struktural fungsionalisme dan Marxisme tidak menjelaskan ciri-ciri utama masyarakat yang dipisahkan oleh batas etnik dan ras. Menurut Kuper lagi, kita boleh membuat deduksi tentang teori masyarakat majmuk dengan mengandaikan teori kelas boleh menjelaskan bentuk pengkategorian ras dalam masyarakat. Dalam hal
ini, bentuk ikatan utama dan konflik yang akan timbul adalah hasil hubungan kumpulan dengan cara pengeluaran dalam ekonomi.
Teori Kuper tentang hubungan ras dalam masyarakat majmuk adalah berdasarkan usul:
• Masyarakat yang terdiri daripada kumpulan status atau tuan tanah yang boleh dibezakan mengikut fenotaip, berada di tempat berbeza dalam susunan ekonomi, dan terikat dalam sektor politik pada tahap yang berbeza, akan dikenali sebagai masyarakat majmuk dan berbeza daripada masyarakat berkelas. Dalam masyarakat majmuk, hubungan politik mempengaruhi hubungan cara pengeluaran dan lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan hubungan sebaliknya.
• Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan
mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas.
• Kategori ras dalam masyarakat majmuk ditentukan oleh sejarah; dan kategori
berkenaan dibentuk oleh persaingan dan konflik antara kumpulan.
Teori Pasaran Buruh Terpisah
Teori Bonacich (1972) bermula daripada kesedaran terhadap perbezaan kuasa dalam pasaran buruh yang boleh melahirkan pertelingkahan antara golongan buruh kulit putih dan kulit hitam. Teori Bonacich boleh dibentangkan seperti berikut:
• Sesetengah pasaran buruh terpisah mengikut garis etnik, yakni kumpulan ras yang mendapat gaji tinggi dibezakan daripada buruh murah mengikut ciri-ciri etnik (ciri-ciri ras juga diambil kira).
• Terdapat tiga kelas utama yang mempunyai kepentingan yang berbeza:
i. Ahli kelas peniaga berkehendakkan buruh murah dan lemah untuk
bersaing dengan peniaga-peniaga lain.
ii. Buruh yang dibayar gaji tinggi diancam oleh kewujudan buruh murah. iii. Kelemahan kuasa kelas buruh murah menakutkan buruh bergaji tinggi
kerana mereka ini mudah dikuasai oleh kelas peniaga.
iv. Kelas buruh bergaji tinggi akan mencari jalan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dengan cara mendesak agar buruh murah dikeluarkan dari kawasan mereka, atau berpegang kepada susunan kasta yang meletakkan kelas buruh murah kepada pekerjaan tertentu dan bergaji kecil.
Pertelingkahan etnik terjadi kerana wujud persaingan berdasarkan harga buruh yang berbeza. Pertelingkahan etnik ialah manifestasi konflik kelas antara yang bergaji tinggi dengan yang bergaji rendah dalam kelas buruh.
Teori Pilihan rasional Tentang hubungan etnik
Pendekatan teoretis yang cuba meneliti realiti sosial dengan cara melihat pilihan tingkah laku manusia di peringkat individu dan kumpulan dipopularkan, antara lain oleh Sowell (1975), Schelling (1978), Banton (1997) dan Mansor (2000). Teori pilihan rasional tentang hubungan etnik mengandaikan bahawa:
• Individu mempunyai matlamat dan kecenderungan yang berbeza.
• Individu bertindak untuk memaksimumkan ganjaran material dan
kedudukan sosial.
• Tingkah laku individu merupakan fungsi sentimen peribadi dan
kepercayaan terhadap kelompok sebayanya.
• Apabila individu membuat satu pilihan untuk bertindak, tindakan
pilihan yang lain akan tertutup.
• Semasa individu bertindak ke atas pilihan tingkah laku yang dibuat, individu berkenaan akan mewujudkan ikatan sosial yang lebih erat dengan individu lain yang terlibat.
• Apabila individu gagal memaksimumkan ganjaran yang dihajati, maka ia akan mengambil tindakan menggemblengkan kekuatan kolektif, dan dimensi yang dipilih akan menggambarkan konteks sejarah budaya masyarakat tersebut.
• Apabila individu gagal memaksimumkan kepuasan melalui pelbagai dimensi kumpulan sosial yang wujud dalam masyarakat, ia akan berpaling kepada soal-soal keagamaan dan ketuhanan.
• Apabila individu memilih untuk menggemblengkan kekuatan kolektif berdasarkan warisan kebudayaan, batas kumpulan bersifat terbuka.
• Apabila individu memilih untuk menggemblengkan kekuatan kolektif berdasarkan warisan fizikal, batas kumpulan bersifat tertutup.
Teori Pertukaran Sosial
Teori ini berkembang daripada bidang psikologi dan sosiologi. Tokoh utama teori ini ialah John W. Thibaut dan Harold H. Kelly. Teori ini membuat percubaan bagi mengintegrasikan teori tingkah laku, iaitu pembelajaran dibentuk melalui ganjaran dan denda berdasarkan prinsip-pinsip ekonomi klasik. Teori pertukaran sosial melihat manusia terlibat dalam aktiviti sosial bagi mendapatkan ganjaran, keuntungan dan meminimumkan kos. Aktiviti-akitiviti seperti pekerjaan, percintaan, perkahwinan dan persahabatan akan hanya berterusan jika menguntungkan kedua-dua pihak. Inti pati teori pertukaran sosial melihat manusia sebagai makhluk yang rasional.
Teori ini menunjukkan kehidupan manusia sebagai ikhtiar sosial kerana dalam kebanyakan kes, manusia cuba memenuhi keperluan diri hanya dengan atau melalui kerjasama dengan individu lain. Atas dasar ini, proses pertukaran sosial manusia memerlukan tolak ansur yang menghasilkan pergantungan sosial. Manusia dapat mengatur tindakan mereka dan menghasilkan ganjaran dengan mengurangkan kos. Manusia rela melibatkan diri dalam perhubungan jangka panjang dan akan terus melibatkan diri dalam pertukaran sosial bagi mencapai hasil yang memuaskan.
Teori Sistem ekologikal Bronfenbrenner
Teori yang dipelopori oleh Brofenbrenner (1986, 1997) ini percaya bahawa perkembangan manusia dipengaruhi oleh sistem atau budaya di sekeliling. Teori ini melihat persekitaran ekologikal manusia berdasarkan hubungannya dengan konteks individu itu berinteraksi. Beliau membahagikan persekitaran ekologikal tersebut kepada lima sistem, iaitu sistem mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem dan kronosistem sebagaimana ditunjukkan dalam gambar rajah 2.1. Sistem ini saling terangkum dengan persekitaran yang paling dalam atau dekat sebagai tempat individu tersebut berkembang.
Mikrosistem
Mikrosistem melibatkan persekitaran yang terdekat, seperti kanak-kanak mempunyai interaksi secara langsung dan menghabiskan paling banyak masa. Contohnya, interaksi kanak-kanak di dalam keluarga, dengan ibu bapa dan adik-beradik. Keluarga terutamanya ibu bapa merupakan agen sosialisasi paling penting dalam kehidupan seseorang kanak-kanak. Sebagai individu terdekat atau berhampiran dengan kehidupan seorang kanak-kanak, mereka mempunyai pengaruh besar ke atas tingkah laku kanak-kanak. Faktor kepincangan keluarga dan taraf sosioekonomi sesebuah keluarga akan mencorakkan kehidupan seorang kanak-kanak. Maka jelaslah bahawa institusi keluarga memainkan peranan penting sebagai pembentuk sahsiah anak-anak. Mereka merupakan faktor mendorong yang penting kepada kewujudan suasana harmoni.
Mesosistem
Mesosistem merupakan perhubungan antara mikrosistem dengan mikrosistem yang lain. Sebarang perkara yang berlaku dalam satu mikrosistem dapat mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Sebagai contoh, keadaan di rumah dapat mempengaruhi tingkah laku dan personaliti individu ketika berada di sekolah. Individu yang mempunyai masalah di rumah akan membawa masalah tersebut ke sekolah. Hal ini akan menyebabkan emosi mereka terganggu dan implikasinya ialah masalah tersebut akan menjejaskan pelajaran mereka.
eksosistem
Eksosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan murid secara langsung, tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa pengalaman individu tersebut akan turut mempengaruhi orang lain. Umpamanya, persekitaran sekolah terutamanya dalam aspek pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di tempat-tempat membeli-belah secara tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.
Makrosistem
Makrosistem pula melibatkan perkembangan individu yang dipengaruhi oleh norma-norma, nilai dan amalan masyarakat. Misalnya, dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina amat dititikberatkan (Santrock
2008). Di sesetengah negara pula, kaum lelaki diberi peranan dan tanggungjawab yang lebih dominan seperti diberi peluang pelajaran dan pekerjaan berbanding kaum perempuan kerana golongan perempuan dianggap sebagai kaum yang lemah dan tidak layak mendapat pendidikan yang setaraf dengan kaum lelaki. Bagi ibu bapa yang masih lagi berada dalam pemikiran konservatif, mereka menganggap pendidikan tidak penting kepada anak perempuan kerana tugas wanita hanyalah di dapur sahaja.
Kronosistem
Kronosistem merupakan perubahan keadaan dalam suatu tempoh masa. Misalnya, kanak-kanak pada masa kini lebih fokus kepada permainan berteknologi selaras dengan arus perubahan serta pembangunan sesebuah negara seperti permainan internet dan memuat turun maklumat melalui internet. Berbeza dengan kanak-kanak pada zaman dahulu, mereka hanya bermain permainan yang bersumberkan alam sekitar seperti wau dan gasing.
Oleh hal yang demikian, pembangunan sesebuah negara memberi implikasi yang besar kepada perkembangan kanak-kanak dari banyak aspek. Kanak-kanak akan menjadi lebih maju ke hadapan serta berpandangan jauh. Namun begitu, setiap kemajuan terdapat juga kesan negatifnya iaitu kanak-kanak tidak bergaul dengan masyarakat luar kerana kehidupan mereka adalah bersama komputer. Selain itu, anasir- anasir negatif juga semakin meningkat andainya pembangunan sesebuah negara semakin maju.
RAJAH 2.1: Teori Sistem Ekologikal Bronfenbrenner
Kerangka Konseptual
Konsep ras dan etnisiti biasa digunakan untuk merujuk kepada ahli- ahli yang berkongsi keturunan atau nenek moyang yang sama. Perasaan kekitaan akan terbentuk dalam kalangan mereka yang menganggap mereka berkongsi keturunan atau nenek moyang yang sama. Kepercayaan dilihat membentuk kumpulan sosial atau kategori sosial yang akan membeza-bezakan antara satu sama lain. Oleh itu, dalam bidang pengajian etnik, penggunaan konsep etnik dan konsep ras kerap disilihgantikan walaupun definisi kedua-dua konsep ini adalah berbeza. Penggunaan konsep-konsep ini agak berbeza dalam keadaan popular dan secara akademik. Ahli sosiologi juga melihat dan menghuraikan konsep-konsep ini dalam pelbagai dimensi yang berbeza. Dalam usaha mendapat pemahaman yang lebih meluas berkenaan konsep etnik dan ras, definisi oleh pelbagai ahli sosiologi akan dibincangkan.
Ciri-ciri Kumpulan ras
ras
Ras merupakan kumpulan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berkongsi ciri-ciri biologi tersendiri yang diwarisi dan dapat dibezakan dengan jelas dalam masyarakat (Macionis 1998). Pada suatu ketika dahulu, manusia pernah dibahagikan kepada kategori Caucasoid, Mongoloid, Negroid dan Australoid dengan berdasarkan perbezaan fizikal seperti warna kulit, warna rambut dan rupa bentuk. Bagaimanapun, pembahagian sedemikian adalah secara kasar sahaja kerana memang terdapat golongan yang sukar diklasifikasikan ke dalam mana-mana kumpulan ras. Hal ini disebabkan manusia sentiasa bergerak, bersosial, berinteraksi dan perkahwinan campur sering berlaku.
Menurut Academic American Encycopedia Vol. 16 (1991), ras bukan sahaja didefinisikan sebagai teori atau falsafah yang menyatakan seseorang mewarisi ciri-ciri selain daripada warna kulit dan rupa bentuk yang tertentu tetapi juga tingkah laku, kelakuan atau tahap intelektual yang tertentu. Pengertian sedemikian menyebabkan sesetengah manusia menganggap kaum mereka adalah lebih unggul daripada kaum lain. Penyalahgunaan konsep ras dalam konteks ini menyebabkan berlakunya prasangka dan diskriminasi antara golongan tertentu.
Bagaimanapun, pengertian ini telah disangkal oleh Encyclopedia of Religion. Sebaliknya menurut Encyclopedia of Religion Vol. 12 (1987), manusia tidak sepatutnya dikelaskan mengikut ras. Manusia adalah dalam satu kelas yang sama dan setara. Tiada manusia yang lebih baik atau lebih handal daripada yang lain semata-mata kerana perbezaan warna kulit, rupa bentuk dan sebagainya. Pada hakikatnya, ras memang sukar untuk didefinisikan dengan jelas dan tepat kerana telah berlaku campur aduk golongan yang tulen disebabkan migrasi dan perkahwinan campur.
Oleh hal demikian, ramai pakar sosiologi berpendapat ras bukan satu hakikat biologi, tetapi dibentuk oleh masyarakat supaya fahaman perkauman dapat disemarakkan berdasar ciri-ciri fizikal yang “inferior” atau “superior”. Mereka juga berpendapat bahawa konsep ras ini ialah konsep sosiopolitik dan bukan konsep saintifik, dan mereka mencadangkan supaya konsep ini tidak lagi diguna pakai sebagai konsep saintifik (littlefield et.al 1982). Justeru, ras boleh dikatakan satu konstruk yang dibentuk oleh masyarakat, dan mengikut ahli biologi yang lain, sebenarnya hanya terdapat satu kategori ras iaitu ras manusia.
rasisme
Rasisme merupakan satu ideologi atau kepercayaan yang diwujudkan untuk membuat justifikasi atau penjelasan secara rasional supaya wujudnya ketidaksamarataan dalam kalangan etnik yang berbeza. Rasisme juga ditakrifkan sebagai pandangan, pemikiran atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial terhadap kelompok sosial yang lain berdasarkan ciri-ciri fizikal dan biologinya. Mengikut Banton (1970), ideologi rasisme dibentuk berdasarkan tiga fahaman yang berikut:
• Manusia boleh dibahagikan secara semula jadi berdasarkan ciri-ciri fizikal.
• Ciri-ciri fizikal ini berkaitan rapat dengan budaya, personaliti dan
kebijaksanaan seseorang itu.
• Oleh sebab keturunan genetik ini, wujudnya kelompok yang lebih tinggi kedudukan sosialnya berbanding dengan kedudukan sosial kelompok yang lain.
Rasisme wujud pada dua tahap, iaitu pada tahap individu dan tahap institusi. Pada tahap individu, rasisme berlaku dalam bentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu yang berstatus lebih tinggi dan ada ras yang berstatus lebih rendah. Rasisme pada peringkat institusi pula melibatkan dasar dan pelaksanaan yang bersifat diskriminasi, seterusnya membentuk ketidaksamaan bagi masyarakat daripada ras yang berbeza.
Ciri-ciri Kumpulan etnik
Kumpulan atau kategori etnik digunakan untuk merujuk secara asasnya kepada warisan sosiobudaya seseorang itu. Antara ciri konsep etnik ialah budaya, adat, bahasa, agama dan negara asal nenek moyangnya. Kumpulan etnik ialah kumpulan yang ahlinya memiliki satu set ciri sosiobudaya yang tersendiri. Mengikut Yinger (1994) etnik ialah satu kumpulan yang wujud dalam erti kata sebenar apabila satu segmen daripada masyarakat besar dilihat oleh orang lain sebagai berbeza dengan beberapa kombinasi dalam ciri-ciri berikut – bahasa, agama, ras dan negara nenek moyang bersama adat dan kebudayaan yang berkaitan. Mengikut beliau, ahli-ahli kumpulan ini pun melihat diri mereka sedemikian, dan mereka melibatkan diri dalam kegiatan yang dikongsi bersama berdasarkan asal usul keturunan atau kebudayaan yang sama.
Pandangan Yinger ini ada kaitan dengan pemerhatian umum semenjak dulu yang memperlihatkan ahli-ahli keluarga sering kali serupa antara satu sama lain dari segi rupa paras dan tingkah laku jika dibandingkan dengan mereka yang tiada ikatan keluarga.
Mengikut Martin (2003) pula, etnik ialah satu kumpulan manusia yang wujud sebagai sebahagian daripada satu masyarakat yang lebih besar dengan ahli-ahli kumpulan ini mengamalkan budaya yang agak seragam. Dalam kalangan ahli kumpulan ini mereka mempunyai rasa kekitaan dan etnosentrik kerana mereka berkongsi pertalian darah yang sama. Kesimpulannya, etnik boleh didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya termasuk adat resam, bahasa, agama yang seragam dan berasal dari negara nenek moyang yang sama.
etnosentrisme
Etnosentrisme merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah yang paling baik berbanding dengan kumpulan etnik yang lain (Dale, Romo dan Harriett 1998). Martin (2003) pula melihat etnosentrisme sebagai kecenderungan sesuatu kumpulan etnik untuk menilai kumpulan etnik yang lain berdasarkan kedudukan dan nilai etniknya sendiri.
Meneliti Konsep ras dan etnik di Malaysia
Amalan mengaitkan konsep ras dengan warisan fizikal dan etnik dengan warisan kebudayaan individu sudah diterima pakai secara meluas. Namun demikian, batas dalam sesuatu kumpulan etnik dan ras tidak begitu jelas dan tetap seperti yang diandaikan oleh orang ramai. Kedua- dua konsep ini sering bertindih dan maknanya adalah kabur. Oleh itu, seseorang itu tidak boleh dilabel berdasarkan ciri-ciri fizikalnya atau warisan kebudayaan dan nenek moyangnya.
Individu daripada kumpulan ras dan etnik yang berlainan juga boleh berkahwin dan menghasilkan percampuran ras dan perkara ini biasa berlaku di dalam sebuah masyarakat pelbagai etnik seperti Malaysia. Percampuran ras ini menyebabkan ciri-ciri warisan fizikal sesuatu etnik, seperti warna kulit berubah. Malah, perkahwinan campur
50 Hubungan Etnik
antara etnik Cina dengan etnik India di Malaysia pun melahirkan anak yang menyerupai “orang Melayu” dan hal ini juga memberikan kesan kekaburan kepada batas ras orang Melayu. Dari segi budaya juga, etnik Melayu, India, Cina, Kadazan Dusun, Iban, Bidayuh, dan sebagainya banyak meminjam unsur budaya, seperti bahasa, pakaian, makanan, dan agama antara satu sama lain.
Sejarah Tanah Melayu juga membuktikan bahawa alam Melayu sebelum kedatangan penjajah barat telah berjaya membina masyarakat pelbagai budaya apabila wujudnya hubungan silang budaya yang berteraskan konsep permeable ethnicity dan canopy ethnicity. Kumpulan etnik di alam Melayu seperti Melayu, Jawa, Minangkabau, Banjar, Bajau, Kadazan Dusun, Murut, Iban, Bidayuh, Melanau, Bugis dan kumpulan etnik tempatan yang lain didapati tidak memiliki batas etnik yang tertutup. Batas kumpulan etnik mereka berubah-ubah kerana wujud hubungan silang kumpulan yang menyebabkan ciri-ciri kumpulan pinjam-meminjam hingga terbina integrasi budaya dan sosial antara satu etnik dengan etnik yang lain.
Gambaran yang sama didapati berlaku juga dengan masyarakat Arab, Cina, Portugis dan India yang berhijrah ke alam ini. Akibat daripada hubungan melintasi batas kumpulan dan konsep kumpulan etnik yang berubah-ubah, kumpulan migran ini juga didapati melalui proses integrasi budaya dan sosial dengan masyarakat setempat hingga lahir subkelompok seperti Jawa Peranakan, Peranakan, Baba Nyonya dan Chettiar dalam kalangan mereka (Coppell 1997).
Walaupun daripada definisi akademik, terdapat perbezaan terutamanya dari segi budaya antara kumpulan etnik sehingga wujudnya batas-batas etnik, tetapi batas-batas etnik ini bukannya sesuatu yang tetap. Dalam masyarakat kontemporari, ketebalan batas-batas etnik ini dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi seperti material, status dan sosial. Sebagai contoh, seorang etnik Melayu menghantar keretanya untuk diservis di sebuah bengkel kereta milik etnik Cina atas banyak kemungkinan; bengkel kereta etnik Cina tersebut mungkin lebih cekap, lebih cepat, dekat dengan rumahnya atau etnik Cina itu adalah kawan baiknya. Contoh lain ialah etnik Cina dan etnik India suka membeli nasi lemak daripada etnik Melayu serta etnik Melayu dan etnik Cina pula suka membeli cendol daripada etnik India. Hal ini juga mungkin disebabkan nasi lemak yang dimasak oleh etnik Melayu adalah lebih tradisional
dan lebih sedap. Cendol yang dibuat oleh etnik India juga kemungkinan lebih sedap daripada yang dibuat oleh etnik Melayu dan etnik Cina. Berdasarkan contoh yang diberikan, adalah jelas bahawa aktiviti harian dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia tidak dipengaruhi semata-mata oleh pengiraan etnik atau batas-batas etnik yang sedia ada.
Setiap kumpulan etnik mempunyai kekuatan dan keunikan masing-masing dalam pelbagai aspek kebudayan dan sosioekonomi. Kepelbagaian inilah yang dapat mewujudkan satu hubungan yang positif antara kumpulan etnik kerana mereka saling melengkapi. Satu hubungan simbiosis atau saling kebergantungan wujud dan juga menipiskan batas- batas etnik sehingga membentuk satu sistem sosial yang kompleks, iaitu hubungan tidak lagi terhad kepada pengiraan etnik sahaja. Dalam suasana sosial sebegini, masyarakat lebih bersifat bersatu padu dan harmoni.
Bagaimanapun, harus diakui bahawa realiti sosial tentang hubungan etnik dan ras serta pengkategorian kumpulan memang wujud dalam masyarakat. Pengkategorian ini bukan sesuatu yang dipaksa melalui faktor semula jadi semata-mata, tetapi masyarakat sebenarnya mempunyai pilihan sama ada menebalkan atau menipiskan, malah melenyapkan batas-batas etnik ini dengan mengenali dan mengakui kelebihan dan kekuatan setiap kumpulan etnik tersebut.
Perbahasan tentang aplikasi konsep etnik dan ras di Malaysia menjelaskan bahawa manusia mempunyai ciri kepelbagaian yang tidak terbatas dan ciri-ciri sesuatu kumpulan itu sering bertindih dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Perkara ini menunjukkan walaupun masyarakat awam mengaitkan konsep ras dan etnik dengan persamaan ciri-ciri warisan fizikal dan kebudayaan, namun batas-batas kumpulan ini sebenarnya ditentukan oleh satu set persetujuan sosial dalam masyarakat itu sendiri. Tanpa mengira ketulenan batas fizikal dan etnik yang dapat diperhatikan, manusia akan bertindak berlainan berbanding dengan ahli-ahli daripada kumpulan sosial itu atas sebab kepentingan dan perkiraan sosial dalam masyarakat itu sendiri. Logik analisis ini telah menyebabkan pelajar hubungan ras dan etnik berpegang kepada pendapat bahawa konsep ras dan etnik lebih bersifat sosiopolitik yang diakui pelbagai pihak sebagai model hubungan etnik antara yang terbaik di dunia.
Budaya
Budaya didefinisikan sebagai satu sistem pemahaman dan kelakuan yang diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain (Carter dan Qureshi 1995). Budaya meliputi semua adat, nilai dan tradisi yang dipelajari daripada persekitarannya (Sue dan Sue et.al 1990). Mengikut Sodowsky (1991), dalam setiap budaya, masyarakatnya berkongsi nilai adat, tabiat dan ritual yang sama merangkumi sistem penglabelan, dan penilaian; sikap sosial; persepsi berkenaan kemanusiaan, alam semula jadi, hubungan antara perseorangan, simbol, kesenian dan artifak yang sama. Oleh itu, budaya memainkan peranan sebagai pengaruh penggabungan yang dapat menggabungkan aspek-aspek kehidupan yang berbeza untuk membentuk satu kehidupan yang logik dan menyeluruh.
Budaya sentiasa berubah dan saling bergantung kepada persekitarannya. Menurut Venkatesh (1995) tiada satu budaya yang tidak berubah. Tambahan pula, budaya ialah satu fenomena yang dipelajari, individu dan kumpulan boleh mengubah identiti etnik atau budaya mereka melalui pelbagai proses seperti migrasi, konversi, asimilasi atau melalui agen-agen perubahan yang lain (Smedley 1993).
Harry (1992) pula mengatakan perkara yang penting untuk difahami mengenai budaya adalah kelakuan sosial seseorang berasal daripada budayanya. Oleh itu, budaya dapat memberikan identiti kepada sesuatu kelompok dalam aspek cara pengendalian hidup. Terdapat dua peranan utama bagi pembentukan sesuatu budaya. Pertama, membina imej negara ke arah mewujudkan keperibadian serta identiti dan kedua, memupuk kesedaran kebangsaan dan kenegaraan bercirikan kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental. Manusia sendiri membentuk budaya dan perkembangan budaya akan mengikut perkembangan masyarakat itu sendiri (Aziz 2001). Budaya mempunyai ciri-ciri tersendiri, iaitu budaya perlu dipelajari, dikongsi, bersifat sejagat, diwarisi, berubah, mempunyai unsur simbolik dan adanya pandangan semesta.
Dalam satu masyarakat pelbagai budaya seperti Malaysia, interaksi antara budaya biasanya menjadi faktor pengubah. Sebagai contoh, cara masakan etnik Cina di Malaysia adalah agak berbeza dengan cara masakan etnik Cina di Tanah Besar China. Etnik Cina di Malaysia menggunakan lebih banyak cili dan rempah dalam masakan mereka berbanding dengan etnik Cina di Tanah Besar China. Ini kerana budaya pemakanan etnik Cina di Malaysia telah berubah akibat interaksi dan asimilasi dengan budaya pemakanan etnik Melayu dan India di Malaysia.
Konsep Stereotaip, Prejudis dan diskriminasi
Stereotaip
Stereotaip merupakan kenyataan umum terhadap sesuatu kumpulan etnik, sama ada berbentuk negatif ataupun positif. Contoh kenyataan positif seperti orang Melayu bersikap peramah, orang Cina pandai Matematik dan orang India juara dalam lumba maraton. Dengan kata lain, stereotaip ialah gambaran yang berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik lain. Oleh itu untuk mengelakkan berlaku sikap streotaip terhadap sesuatu etnik pemahaman terhadap budaya etnik lain perlu dihayati.
Setiap kumpulan etnik mempunyai pandangan stereotaip masing- masing terhadap kumpulan etnik yang lain. Fikiran stereotaip ini wujud daripada pengalaman dalam kehidupan seharian setiap etnik sehingga membentuk imej atau label terhadap kumpulan etnik yang lain. Stereotaip negatif akan menimbulkan perasaan negatif dalam kalangan masyarakat dan seterusnya membataskan interaksi antara etnik dan menimbulkan semangat perkauman yang menebal. Daripada fikiran stereotaip negatif akan memberikan kesan kepada perasaan, kepercayaan dan perangai yang negatif seperti prejudis dan diskriminasi terhadap kumpulan etnik lain.
Prejudis
Prejudis ditakrifkan sebagai kepercayaan dan perasaan negatif mengenai ahli atau kelompok etnik lain. lazimnya, pandangan atau kepercayaan ini bersifat umum dan tidak berasaskan maklumat yang jelas, tepat atau mencukupi. Prejudis wujud berdasarkan satu imej mental, biasanya kurang memuaskan terhadap kumpulan etnik atau ahli-ahli kumpulan etnik tertentu. Sebagai contoh, seorang murid India berkata: “Saya tidak mahu diajar oleh cikgu Melayu kerana ramai kawan mengatakan bahawa cikgu Melayu adalah malas,” atau seorang usahawan Melayu berkata dia tidak suka berniaga dengan orang Cina dan orang India kerana daripada pendapat kawan-kawannya, orang Cina dan orang India adalah tidak jujur.
Daripada contoh tersebut dapat dilihat bahawa prejudis terhadap kumpulan etnik lain boleh dibahagikan kepada dua tahap iaitu:
i. Prejudis kategori - seseorang yang dinilai berdasarkan keahlian
dalam sesuatu kumpulan etnik dan bukan personaliti individu.
ii. Prejudis yang tidak fleksibel - satu penilaian yang tetap mengenai sesuatu kumpulan etnik dan tidak menerima perubahan mengenai pendapat sesuatu kumpulan etnik. Prejudis yang kuat terhadap kumpulan etnik lain sukar diubah walaupun fakta yang kukuh diberikan bagi membuktikan bahawa pemahanan tersebut adalah salah.
Melalui proses sosialisasi, sikap prejudis disalurkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Kesan terhadap sikap prejudis semakin mudah dilihat sehingga berlakunya diskriminasi apabila berlaku persaingan bagi mendapatkan sesuatu yang terhad sama ada dalam aspek politik, ekonomi ataupun sosial.
diskriminasi
Diskriminasi merujuk kepada layanan buruk sesuatu kumpulan etnik terhadap kumpulan etnik lain, biasanya oleh kumpulan etnik dominan terhadap kumpulan etnik minoriti. Diskriminasi akibat daripada prejudis, layanan yang buruk diberikan kepada seseorang berdasarkan keahliannya dalam sesuatu kumpulan etnik dan bukan atas dasar perilaku peribadinya. Diskriminasi dipengaruhi oleh pandangan, pemikiran dan kepercayaan negatif seseorang atau sekumpulan etnik terhadap kumpulan etnik lain, iaitu akibat pandangan stereotaip dan fikiran prejudis.
Diskriminasi berlaku dalam banyak bentuk. Diskriminasi bentuk mudah dapat dilihat apabila individu sesuatu kumpulan etnik cuba mengelakkan diri daripada individu atau etnik yang diprasangkakan. Diskriminasi mencapai tahap tertinggi apabila melibatkan pembuangan kerja, serangan fizikal secara terbuka atau percubaan penghapusan sesebuah kumpulan etnik.
Kerangka Teoretis
Dari segi kerangka teoretis, teori masyarakat majmuk oleh Furnivall masih dijadikan bahan rujukan untuk membicarakan hubungan etnik di Malaysia. Namun, kajian oleh Coppel (1997) dan Hefner (2001) membuktikan kumpulan etnik memang wujud, tetapi gambaran bahawa mereka hidup terpisah, dan hanya bertemu semasa membeli barang di pasar perlu diteliti kembali. Di samping memiliki parameter kumpulan etnik masing-masing, etnik Melayu, KadazanDusun, Bajau, Bidayuh, Iban, Cina, India, dan lain-lain didapati telah menerima budaya setempat dan tidak hidup terpisah seperti yang digambarkan dalam model masyarakat majmuk Furnivall.
Amalan oleh setiap ahli kumpulan untuk terikat dengan etnik dominan adalah berdasarkan budaya, bahasa, dan agama setempat. Amalan tersebut mengikat dan mengurangkan jarak hubungan antara kumpulan etnik di negara berkenaan sehingga di sebalik kemajmukan masyarakatnya, hubungan yang harmoni dan bersatu padu dapat diwujudkan.
Namun demikian, kewujudan amalan hubungan berteraskan etnik di peringkat kumpulan juga kadangkala dapat merenggangkan dan menimbulkan konflik antara mereka. Dalam suasana ini, tidak dapat dinafikan bahawa hubungan etnik di Malaysia lebih mudah dicorakkan oleh hubungan politik berbanding dengan kedudukan ekonomi (Leo
1974; Horowitz 1989). Selain perkiraan pasaran, struktur masyarakat dan politik, Malaysia juga meletakkan mekanisme politik sebagai alat untuk mengagihkan sumber material dan kedudukan sosial.
Masyarakat Malaysia selepas era DEB telah mengalami beberapa perubahan hingga jurang pendapatan antara etnik telah dikurangkan, kemiskinan telah hampir dibasmikan dan budaya hidup kelas menengah menjadi kenyataan (Chamhuri 2005). Transformasi sosial ini menipiskan batas etnik dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan tingkah laku mereka lebih dicorakkan oleh perkiraan ganjaran material, status sosial, dan ikatan sosial berbanding dengan perkiraan kepentingan etnik (Abdul Rahman 2001; Savaranamuttu 1992).
Hal ini bermakna batas etnik wujud tetapi bersifat sekunder. Dalam kehidupan harian, perkiraan etnik tidak menjadi perkiraan utama. Malahan perkiraan peribadi lebih diutamakan. Senario hubungan etnik ini lebih dapat diperhatikan di barat Semenanjung. Di utara dan timur
Semenanjung, perkiraan agama lebih diutamakan, manakala di Sabah dan Sarawak, isu kewilayahan lebih berpengaruh sebagai perkiraan asas kepada tindakan berbentuk kumpulan (Mansor 2004). Maksudnya, tiada satu kerangka teori yang boleh menggambarkan kedudukan hubungan etnik di Malaysia. Masyarakat pelbagai budaya di Malaysia adalah bersifat kompleks dan berbeza, menunjukkan bahawa konsep etnisiti telah mempunyai kedinamikan yang tersendiri.
Konsep etnisiti boleh menjadi penyebab dan boleh juga menjadi akibat. Jika etnisiti itu adalah cenderung kepada akibat, batas etniknya akan menjadi tebal, dan perkiraan etnik boleh terbentuk oleh perkiraan risiko dalam perjalanan masyarakat. Hal ini menunjukkan beberapa masalah yang wujud dalam perjalanan masyarakat seperti kesan pembangunan, tadbir urus negara dan lain-lain yang tidak diingini yang telah berlaku dan perlu diberikan tumpuan dalam kajian, bukan sekadar memberi penumpuan kepada parameter etniknya sahaja. Namun sekiranya etnisiti tersebut merupakan penyebabnya, hal ini bermakna pengaruh ilmu kolonial tentang konsep ras masih diguna pakai dalam penganalisisan masyarakat walhal kemampuan konsep tersebut untuk menjelaskan realiti sosial pada masa kini sudah ditolak oleh para sarjana.
Kedatangan penjajah Barat telah membawa konsep ras atau diterjemahkan sebagai bangsa dalam bahasa Melayu dan digunakan untuk mengkategorikan kumpulan pelbagai etnik dalam pentadbiran dan wacana politik di negara ini. Mereka telah mengamalkan konsep ras yang ditafsirkan secara tertutup berdasarkan ikatan darah dan mempunyai implikasi superioriti ras dan rasisme (Banton 1983). Masyarakat disusun atur dengan memberi peranan untuk orang kulit putih berada di atas susun lapis masyarakat, sementara orang Cina, India, Melayu dan bumiputera lain berada di stratifikasi bawah. Orang kulit putih diberi ruang ekonomi dalam perdagangan bijih timah dan getah, manakala orang Cina diletakkan sebagai buruh dalam mengusahakan kegiatan timah dan perniagaan. Orang India dijadikan sebagai buruh di estet-estet getah, pembinaan infrastruktur bangunan dan jalan, manakala orang Melayu dijadikan sebagai pentadbir bawahan, petani dan nelayan sahaja.
Mengikut Horowitz (1989), konsep ras dan status sosial diguna pakai oleh penjajah Inggeris demi mengukuhkan kepentingan ekonomi dan kuasa mereka di negara ini. Kaedah pemerintahan yang menggunakan falsafah pemerintahan pecah dan perintah telah mengubah bentuk
hubungan etnik yang terbina di alam Melayu hingga jelas kelihatan bentuk pekerjaan oleh sesuatu etnik adalah terpisah-pisah mengikut kumpulan etnik.
Kepelbagaian dan ketidakseragaman hidup dari segi budaya, bahasa dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa kini sudah boleh diterima, diperakui dan diraikan. Malahan sudah wujud ruang sosial yang luas dengan perkongsian pendapat awam lebih terbina dalam kalangan rakyat pelbagai budaya jika dibandingkan dengan perbezaan antara mereka. Jika ada perbezaan pendapat, perkara ini boleh diterima tanpa mempengaruhi hubungan sosial yang sudah terbina harmoni antara mereka.
Namun demikian, ada juga pihak yang mengamalkan corak tingkah laku pengelompokan etnik dalam kehidupan harian terutama pada peringkat awal penghijrahan, pengajian di universiti dan bekerja di tempat baharu dalam suasana yang mencabar. Pengelompokan etnik seperti ini merupakan satu mekanisme proses penyesuaian diri. Namun, terdapat rakyat Malaysia yang memanipulasi etnik dengan bermain dengan sentimen etnisiti dan agama kerana ingin mempertahankan kepentingan material dan kedudukan mereka. Oleh sebab itu, rusuhan kaum 13 Mei 1969 terjadi lebih kerana jurang ekonomi yang memisah antara etnik dan bukan kerana perbezaan etnik semata-mata.
Pergaduhan yang berlaku seperti di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada 1997 dan Kampung Medan, Selangor pada 2001 antara etnik Melayu dengan etnik India menunjukkan pengurusan kumpulan miskin dan terpinggir di bandar perlu diberi perhatian utama jika keharmonian etnik yang dikecapi sekarang mahu dikekal dan ditingkatkan. Inti pati penyelesaian masalah etnik di Malaysia terletak pada tadbir urus yang baik dalam pemerintahan negara. Acuan ekonomi negara yang menekankan pertumbuhan ekonomi bersama pengagihan sumber material masyarakat antara etnik, agama, wilayah, bandar dan desa merupakan kejayaan, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat pelbagai etnik. Formula ini perlu penyuburan yang berterusan dalam amalan tadbir urus pihak kerajaan dan swasta yang baik dan adil dalam pengurusan masyarakat pelbagai budaya agar insiden di Kampung Rawa, Pulau Pinang dan Kampung Medan di Selangor dijadikan fakta dan tinggalan sejarah konflik dalam hubungan etnik negara.
Antara prasyarat pembentukan bangsa Malaysia adalah keupayaan amalan tadbir urus di sektor awam dan swasta yang dipastikan berjalan tanpa meminggir, mengasing dan mengetepi individu dan kumpulan etnik. Pengalaman hubungan etnik di Malaysia membuktikan bahawa perbezaan etnik bukan merupakan penyebab berlakunya konflik antara etnik, tetapi melibatkan soal masalah kemunduran, ketidaksamarataan, kemiskinan dan kepinggiran yang melanda rakyatnya.
Dalam mengatasi kemelut dan konflik, perkara yang penting ialah aspek pengukuhan berdasarkan pengalaman dan acuan Malaysia dalam membina hubungan etnik yang harmoni dengan mempertingkatkan lagi tahap kepekaan etnik dalam kalangan rakyat pelbagai budaya. Mata pelajaran yang merangkumi kehidupan pelbagai budaya di Malaysia juga diajar di peringkat sekolah. Pelajar sekolah perlu digalakkan untuk mempelajari bahasa ibunda etnik lain selain bahasa Melayu dan Inggeris. Malahan mata pelajaran membina kemahiran hubungan interpersonal yang merentasi batas budaya dan agama perlu dipertingkatkan terutama untuk ibu bapa, guru, lapisan kepemimpinan dalam komuniti, ahli Rukun Tetangga, media dan ahli-ahli politik.
Perkara ini penting untuk memupuk dan menyemai perasaan kekitaan dan kefahaman terhadap kepelbagaian dalam masyarakat di Malaysia. Kestabilan, kemakmuran dan keharmonian etnik yang dikecapi tidak datang bergolek tetapi berlaku atas kesedaran dan kemahuan untuk menerima perbezaan dalam masyarakat sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Justeru, kemampuan untuk memahami perubahan dalam masyarakat dan memahami ciri etnisiti adalah penting bagi memastikan pemilihan kerangka konseptual dan teoretis yang akan diguna pakai dapat menjelaskan keharmonian dan konflik etnik di negara ini.
Konsep-konsep Tahap hubungan etnik
Pencapaian sebuah masyarakat yang berintegrasi bukan merupakan sesuatu yang mudah. Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat bermula daripada hubungan terpisah, iaitu segregasi sehingga kepada hubungan berbentuk sebati, iaitu amalgamasi. Bagi memahami konsep-konsep ini dengan lebih mendalam, beberapa contoh diberikan berdasarkan perubahan keadaan hubungan etnik di Malaysia bermula dari zaman penjajahan sehingga kini.
Segregasi
Segregasi merujuk kepada satu proses sosial yang menyebabkan individu atau kumpulan sosial tertentu dipisahkan atau diasingkan dengan individu atau kumpulan sosial lain. Pemisahan boleh berlaku dalam beberapa keadaan – merangkumi aspek budaya, ras, agama, kelas sosial, dasar, adat resam, kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Sebagai contoh, semasa zaman penjajahan British, kumpulan etnik Melayu, Cina dan India dipisahkan melalui tempat tinggal yang berasingan mengikut bidang pekerjaan masing-masing. Kumpulan etnik tersebut juga dipisahkan melalui sistem persekolahan yang berlainan. Pemisahan atau segregasi menyebabkan kumpulan etnik kurang berinteraksi antara satu sama lain dan peluang mereka untuk saling memahami menjadi semakin terhad.
Segregasi boleh wujud sama ada secara rela atau tanpa rela. Segregasi secara rela merujuk kepada keadaan dalam golongan manusia yang memencilkan diri dengan tujuan untuk berada dalam kumpulan mereka sendiri sahaja. Segregasi secara tanpa rela timbul kerana paksaan daripada pihak yang berkuasa seperti segregasi de jure apabila kerajaan memaksa pengasingan atau pemisahan yang ketat ke atas individu atau kumpulan manusia dengan pelaksanaan undang-undang seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan, antara tahun 1948-1994.
akomodasi
Akomodasi merujuk kepada proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik sedar serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain yang wujud dalam sesebuah masyarkat. Kesedaran ini akan menyebabkan setiap kumpulan etnik menyesuaikan diri dalam keadaan yang pelbagai budaya supaya dapat hidup secara harmoni dan saling menghormati. Konsep ini diwakili oleh formula A + B + C = A + B + C. A, B dan C merujuk kepada budaya (Ting 1987).
Pada peringkat pemerintahan, setiap kumpulan etnik dapat melibatkan diri secara bebas dan sama rata dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan. Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia terutamanya selepas merdeka. Pembangunan ekonomi berlaku dengan pesat, penglibatan pelbagai etnik dalam pembangunan sosial dan
kerjasama antara etnik dalam bidang politik telah memberi lebih peluang untuk bergaul dan hidup bersama antara kumpulan etnik yang berbeza. Oleh hal demikian, setiap kumpulan etnik masih bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaaan harmoni dan saling menghormati.
akulturasi
Akulturasi merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok daripada sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan suatu kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur daripada suatu kebudayaan etnik lain yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima. Konsep ini diwakili oleh formula A + B + C = A** + B** + C**. A**, B** dan C** merujuk kepada budaya etnik lain yang telah diterima dan diolah mengikut kebudayaan sendiri.
Dalam sejarah tamadun manusia sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan sehingga menyebabkan proses pinjam-meminjam. Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan unsur kebudayaan sendiri. Proses akulturasi boleh berlaku sepanjang hayat. Sejak lahir, manusia mula belajar dan mengadaptasi budaya yang paling dekat dengan mereka seperti ahli keluarga. Proses ini dikenali sebagai sosialisasi primer, diikuti dengan proses pembelajaran dan penerimaan unsur-unsur baharu. Adaptasi ini akan terus berlaku dengan masyarakat yang lebih besar yang dikenali sebagai sosialisasi sekunder.
Dalam konteks Malaysia, apabila masyarakat pelbagai etnik sudah lama tinggal bersama di sesuatu kawasan perumahan yang sama atau sudah lama bekerja bersama di sesuatu tempat, mereka mula pinjam- meminjam budaya atau bahasa dalam kalangan mereka. Sekiranya semakin kerap peminjaman budaya itu berlaku, maka semakin rapat hubungan antara etnik itu terjalin. Contohnya, pemakaian baju kurung dalam kalangan perempuan bukan Melayu, fesyen baju kurung yang disertai dengan potongan dan butang baju Cheong Sam, pemberian angpau pada Hari Raya Aidilfitri, makan nasi ayam di Chicken Rice Shop, mi Wantan di Old Town Coffee House, budaya memakan
makanan ala barat seperti makanan segera McDonald, perkataan ta pau, tosei dan rojak. Berlaku proses mengolah semula ke atas unsur budaya yang diambil daripada etnik lain contohnya dalam aspek makanan seperti ‘dimsum’ dan ‘kuetiau’ yang popular bagi etnik Cina. Makanan ini juga digemari oleh etnik lain yang beragama Islam di Malaysia dan telah dilakukan ubah suai dalam penyediaan makanan tersebut untuk memenuhi konsep halal. Dalam hal ini akulturasi yang berlaku dalam sesebuah masyarakat pelbagai etnik memperlihatkan keazaman masing- masing untuk menyesuaikan dan memanfaatkan kepelbagaian dalam kehidupan harian mereka.
asimilasi
Istilah ini merujuk kepada satu proses apabila kumpulan minoriti atau kumpulan etnik yang baharu mengamalkan budaya dan identiti kumpulan majoriti untuk mengurangkan batas etniknya. Menurut Ting (1975), asimilasi adalah satu proses yang merujuk kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi boleh juga didefinisikan sebagai proses pencantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Oleh itu, menurut Abramson (1980), melalui proses asimilasi ini masyarakat akan menjadi semakin homogeneous.
Asimilasi mutlak atau sempurna akan menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. Konsep ini diwakili dengan formula A + B + C = A. A mewakili golongan dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya, orang Melayu di Thailand mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, perkara yang berlaku ke atas masyarakat Jawa, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh proses asimilasi. Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba Nyonya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama.
Menurut Gordon (1964), asimilasi boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu asimilasi budaya dan asimilasi struktur. Asimilasi budaya ialah satu proses apabila kumpulan minoriti mempelajari ciri kebudayaan
masyarakat tuan rumah, seperti bahasa, pakaian dan adat resam untuk diamalkan dalam kehidupan seharian masyarakat. Asimilasi budaya tidak semestinya bermakna bahawa kumpulan minoriti akan kehilangan identiti etniknya. Manakala, asimilasi struktur pula ialah satu proses apabila anggota kumpulan minoriti berjaya menyertai institusi utama dan aktiviti sosial dalam masyarakat dominan.
Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti. Terdapat banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti. Contoh asimilasi dan akulturasi ialah makanan seperti kuih bangkit yang dibuat daripada campuran tepung sagu dan bahan-bahan lain yang boleh dimakan bukan semasa Hari Raya sahaja, tetapi juga semasa Tahun Baru Cina. Muruku bukan saja dihidangkan semasa perayaan Deepavali, tetapi juga didapati dijual semasa musim perayaan Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Kek buah yang merupakan signature kek semasa Krismas juga dijual sepanjang tahun.
Bagaimanapun, terdapat juga keunikan dalam jenis-jenis makanan semasa hari-hari perayaan yang tertentu yang memang menjadi simbol perayaan etnik-etnik tertentu. Antaranya, hidangan lemang dan ketupat serta rendang untuk Hari Raya, Yee Sang (raw fish salad) untuk Tahun Baru Cina, dan jelebi, laddu, gheeballs semasa perayaan Deepavali. Begitu juga makanan popular yang terdapat di Sabah dan Sarawak seperti ambuyat, ayam pansoh, umai dan kek lapis Sarawak.
amalgamasi
Amalgamasi merupakan istilah yang dikategorikan dalam asimilasi biologi, iaitu satu tahap asimilasi yang paling tinggi. Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baharu. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik.
Proses ini memakan masa yang lama dan biasanya melalui beberapa generasi. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A + B + C = D. A, B, C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam,
satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A, B dan C. Sebagai contoh kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan perkahwinan campur lalu membentuk satu generasi baru atau budaya baru tanpa menurut budaya asal mereka. Fenomena perkahwinan campur biasa berlaku terutamanya dalam konteks masyarakat pelbagai etnik.
Kesimpulan
KebanyakankajianhubunganetnikyanglaindiMalaysiatelahmemberikan penekanan kepada perbezaan antara etnik dan mengabaikan kewujudan aspek persamaan, perkongsian nilai, dan sikap saling menghormati antara etnik ini (Fatimah 1984; lee 1989 dan Mansor 1991). Kebanyakan tingkah laku dalam kehidupan seharian juga diwarnai dengan sikap negatif terhadap etnik lain tanpa disedari kerana sikap tersebut telah menjadi sebati dengan diri individu. Pendedahan kepada konsep asas hubungan antara manusia seperti stereotaip, prejudis, etnosentrisme dan diskriminasi adalah sangat penting untuk individu menilai dirinya dalam hubungan antara etnik terutama dalam sebuah masyarakat yang pelbagai etnik seperti Malaysia. Pemahaman terhadap takrif konsep ini dapat menyedarkan individu untuk mengambil tindakan bagi membetulkan kelakuan diri sendiri supaya pandangan dan pemikiran yang sempit dan tertutup tidak diwariskan kepada generasi muda.
Terdapat juga tingkah laku yang lebih dipengaruhi oleh nilai-nilai bukan etnik. Perkara ini menunjukkan individu daripada kumpulan etnik yang berbeza dapat membina hubungan yang tidak bersifat etnik; hubungan mereka dikenal pasti sebagai hubungan sosial. Oleh hal demikian, masyarakat umum tidak seharusnya menganggap semua hubungan sosial antara individu daripada kumpulan etnik yang berbeza sebagai hubungan etnik.
Perhubungan etnik hanya berlaku apabila hubungan tertentu telah diwarnai oleh ciri-ciri sosial berdasarkan kesedaran wujudnya relativiti budaya, saling menghormati perbezaan nilai atau adat yang mungkin wujud antara etnik. Keadaan ini menandakan hubungan silang budaya sudah wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya di negara ini. Perpaduan kaum telah pun terbina dan hubungan antara kumpulan etnik secara keseluruhannya adalah harmoni.
Soalan Perbincangan
1. Berdasarkan teori hubungan etnik yang anda pelajari, bincangkan teori yang paling sesuai diaplikasikan dalam konteks masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
2. Bandingkan antara konsep rasisme dan etnosentrisme.
3. Tahap-tahap hubungan etnik bermula daripada segregasi sehingga kepada hubungan berbentuk sebati, iaitu amalgamasi. Nilaikan kenyataan tersebut berdasarkan hujah-hujah yang relevan.

15 comments:

  1. slm ustaz..mcm mane nak follow blog ustaz ye..

    ReplyDelete
  2. As Salam.. ustz.. terima kasih atas notanya. ustz, blehkah sya copy untuk nota sya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. assalamualaikum ustz..blh sy dptkn nota untuk masyaratkat pluraliti di zaman kesultanan melayu melaka?

      Delete
  3. terima kasih ustaz, doakan sya exam esok. :D

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum ustz..blh sy dptkn nota untuk masyaratkat pluraliti di zaman kesultanan melayu melaka?

    ReplyDelete
  5. ustaz. saya pelajar UTHM. saya ada tugasan mengenai masyaratkat pluraliti di zaman kesultanan melayu melaka. saya merancang untuk menemu bual seseorang yang berpengalaman dalam sejarah melaka ini.boleh saya tahu ustaz tinggal di mana? andai kata berdekatan dengan johor. sudikah ustaz membantu saya?

    ReplyDelete
  6. assalamuaikum ustaz.macam mana, bolehkan ustaz membantu saya?

    ReplyDelete
  7. assalam , boleh saya tahu rujukan nota ini diambil dari buku apa ya ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. modul hubungan etnik edisi kedua . ketua editor : shamsul amri baharuddin.

      Delete
  8. slm, boleh saye tahu saudara refer mane?

    ReplyDelete
  9. Adakah anda berasa kecewa kerana anda akan mengalami salah satu masalah di bawah atau mahu kembali ke belakang anda dan tidak berfungsi dengan betul? Adakah anda ingin memulihkan cinta yang hilang dan menjaga dia tanpa syarat? Jika demikian, cinta yang hilang adalah salah satu daripada penyelesaian; apa yang penting untuk menyelesaikan masalah cinta, memberikan anda peluang terbaik untuk mendapatkan kekasih anda yang hilang kembali, membawa anda kembali kepada anda, melemparkan mantra cinta yang hilang adalah cara yang berkesan untuk mendapatkan kekasih yang hilang untuk kembali, suami atau bekas isteri kembali dengan anda dan mengelakkan drama menjengkelkan dalam proses.

    Sebagai contoh, anda boleh mengetahui bahawa bekas pasangan anda mempunyai hubungan dengan orang lain. Dalam keadaan seperti ini, anda mungkin mendapati bahawa peluang anda untuk mendapatkan orang itu kembali sangat kecil, melainkan anda menggunakan strategi yang tidak dapat dinafikan. Inilah masanya apabila anda melihat kuasa yang tidak dipertikaikan dari kebingungan cinta yang hilang, kerana senjata rahsia adalah untuk memulihkan perasaan dan membantu anda untuk mengembalikan kekasih yang hilang selama-lamanya. Rujuk kepada Priest Roso dan segera berdamai dengan orang yang anda sayangi.

    BALK ADALAH PERKHIDMATAN saya TAWARKAN:

    * LOVE GAMES *
    * GAMBAR PERKAHWINAN * *
    PERKHIDMATAN SPELL *
    * KESELAMATAN SEKSUAL
    GAMES *
    * MEMASANG KURSUS KURSUS * * GAMBAR PERLINDUNGAN *
    * GAME LOTTERY *
    * BAIK LUCK SPELLS *
    * NUDENCE / RETAIL *
    * HERPES VIRUS 1 & 2 *
    * ZIKA VIRUS *
    * ASTMA *
    * KANSER CURE *
    * HEPATITIS B *
    * DIABETIK *
    * HIV CURE SPELLS *
    * HPV / STD INFECTION *

    Hubungi saya hari ini untuk menyelesaikan masalah anda dengan e-mel: priestrosomalia621@outlook.com atau hubungi Whats-app: +233550822798.

    ReplyDelete
  10. Ramai orang mengalami serangan yang seolah-olah keluar dari mana-mana. ini adalah serangan psikik peribadi, Juga Perniagaan dan Projek boleh diganggu dengan dari tahap tidak fizikal, tidak ada yang kelihatan seperti yang benar, dan kemajuan disekat atau disabotase - ini adalah serangan psikik pada kerja anda, bawa kembali apa pun yang anda kehilangan baik uang atau hubungan, membawa balik cinta yang hilang, memulihkan kembali wang anda yang hilang, memulihkan kerja anda yang telah hilang, membawa pulang bekas isteri atau suami anda, adakah anda mengalami penyakit mental atau mengalami kesakitan yang anda cari di sini adalah jaminan 100% melawat Roso Malia hari ini dan kehidupan anda menjadi makmur.

     Perkhidmatan ini menyediakan melalui imbasan semua jenis serangan atau gangguan sepanjang masa, dan membersihkan sumber-sumber serangan atau gangguan. Juga kaedah perlindungan diberikan untuk penyelenggaraan. Perlindungan teratur secara rutin juga boleh ditubuhkan bujur kehidupan kewangan anda dan menghubungi tuan penyelesaian hebat hari ini untuk pembersihan. anda boleh berhubung dengan saya melalui alamat e-mel ini: priestrosomalia621@outlook.com atau whats-app +233550822798.

    ReplyDelete