Monday, November 12, 2012

TAJUK 05


Permuafakatan Politik dalam Konteks hubungan etnik di Malaysia
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Mengetahui perkembangan parti politik di Malaysia.
2. Menghuraikan usaha yang diambil untuk mengukuhkan kesepaduan
sosial melalui politik.
3. Mengenal pasti cabaran yang dihadapi dalam memupuk integrasi etnik di negara ini dalam konteks politik.
Pengenalan
Dalam menelusuri sejarah politik di Malaysia, pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka sering dijadikan titik permulaan dalam memahami pentadbiran feudalisme di Tanah Melayu. Sultan Melaka yang memerintah dibantu oleh pembesar berempat, iaitu Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Penghulu Bendahari. Di samping itu, kerajaan Melayu Melaka memiliki undang-undang kanun Melaka yang membantu dalam memastikan keamanan pelabuhan Melaka dan berjaya menjadi sebuah kerajaan termasyhur pada abad ke-15.
Sistem politik tradisional tidak membenarkan persaingan kuasa secara bebas. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan kesetiaan rakyat dan kedaulatan raja Melayu sentiasa dijunjung dan penderhakaan terhadap raja atau sultan dianggap satu kesalahan besar. Rakyat menumpahkan kesetiaan dan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada raja. Kemasukan penjajah ke Tanah Melayu, terutama penjajah Inggeris menghakiskan kuasa institusi kesultanan Melayu. Gullick (1978) menyatakan bahawa kuasa-kuasa sultan Melayu menjadi lemah pada tahun
1870-an berikutan wujudnya campur tangan pihak kolonial British dalam sistem
pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Termeterainya Perjanjian Pangkor pada 1874 menandakan bermulanya era campur tangan British dalam negeri- negeri Melayu dengan pengenalan sistem residen.
Sistem residen telah diperluas ke negeri-negeri Melayu yang mempunyai kepentingan ekonomi kepada pihak British. Negeri-negeri yang kaya dengan bijih timah dan emas seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah dipaksa menerima residen kononnya untuk memberi nasihat pentadbiran kepada sultan. Implikasinya kedudukan sultan dalam aspek pentadbiran terutama melibatkan pungutan cukai semakin terhakis akibat daripada peranan yang dimainkan oleh residen Inggeris. Sultan hanya mempunyai kuasa yang terhad, iaitu bertanggungjawab terhadap soal kedudukan agama Islam dan hal ehwal berkaitan dengan adat resam orang Melayu sahaja.
Usaha pihak British dalam menguasai negeri-negeri Melayu bermula dengan menggabungkan negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dalam satu unit pentadbiran yang dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada 1896. Selepas itu, Inggeris berjaya memperoleh negeri-negeri Melayu yang lain, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 dan diletakkan dalam unit pentadbiran yang dikenali sebagai Negeri- negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) bersama- sama dengan negeri Johor.
Penguasaan kolonial British mencapai kemuncak apabila memperkenalkan Malayan Union pada 1 April 1946 yang akhirnya menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah negeri jajahan. Penubuhan Malayan Union membawa kepada penentangan orang Melayu kerana kuasa sultan semakin dilenyapkan oleh pihak British. UMNO ditubuhkan dalam Kongres Melayu Se-Tanah Melayu di Kelab Sultan Selangor, Kuala lumpur secara rasmi dalam persidangan pada 11 dan 12 Mei 1946. UMNO yang diterajui oleh Dato’ Onn Jaafar sebagai presiden pertama bertujuan untuk menentang Malayan Union. Akibat daripada tentangan yang hebat oleh orang Melayu akhirnya Malayan Union dimansuhkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Pada awal tahun 1950-an, parti UMNO telah menyaksikan satu peristiwa penting dalam konteks permuafakatan politik negara. Pertama kali dalam sejarah, UMNO dan MCA telah bergabung dengan mewujudkan parti Perikatan yang mengamalkan konsep perkongsian
kuasa atau pakatan politik walaupun memperjuangkan kepentingan mengikut etnik. MCA yang dipimpin oleh Tan Cheng Lock sebagai presiden dibentuk pada Februari 1949 dengan tujuan untuk melindungi kepentingan sosial, ekonomi, politik dan budaya masyarakat Cina.
Perkembangan seterusnya menyaksikan Malaysia mempunyai pelbagai parti politik yang pada dasarnya mewakili pelbagai etnik. Faktor etnik merupakan elemen utama yang mempengaruhi penubuhan parti politik dan perkembangan politik, terutama sebelum dan pada awal kemerdekaan negara sama ada di Semenanjung Tanah Melayu ataupun di Sabah dan Sarawak. Justeru, dasar dan tindakan politik menjadikan faktor etnik sebagai persoalan penting bagi membendung konflik terbuka, sementara demokrasi permuafakatan dianggap sebagai pendekatan terbaik. Permuafakatan berteraskan prinsip tolak ansur, tawar-menawar, akomodasi dan konsensus dalam kalangan pelbagai parti politik yang menyertai gabungan membolehkan parti-parti membentuk kerajaan dan mengekalkan kuasa.
Parti politik di Malaysia hakikatnya bergerak di atas landasan perkauman. Asas kerjasama parti pemimpin politik pelbagai etnik adalah menjurus kepada aspek permuafakatan sehingga boleh membentuk gabungan politik. Gabungan berkenaan mencerminkan keinginan untuk berkongsi kuasa kerana menyedari bahawa tidak mungkin bagi satu-satu kaum mendominasi kuasa dan memerintah di negara ini. Bagi mencapai matlamat dan kepentingan bersama maka penggabungan parti politik terbentuk. Gabungan berkenaan berjaya menentukan solidariti dan kestabilan politik sejak kemerdekaan. Bagi lijphart (1952), pembentukan demokrasi permuafakatan mampu mewujudkan kestabilan politik kerana pendekatan tersebut mengutamakan pengagihan sumber kekayaan dan politik kepada etnik yang berbeza. Perkongsian kuasa dapat memberi kepuasan kepada pelbagai etnik.
Parti politik yang mewakili pelbagai etnik dapat bekerjasama untuk menjalankan pentadbiran negara dan membawa pembangunan. Ratnam (1969) yakin bahawa faktor perkauman dapat dikurangkan melalui mekanisme perpaduan yang wujud dalam parti Perikatan. Asas sistem politik Malaysia ialah permuafakatan, kerjasama dan tolak ansur bagi memastikan wujudnya kestabilan. Konflik kepentingan kaum ditangani melalui permuafakatan dalam kalangan pemimpin elit yang mewakili pelbagai etnik dalam gabungan berkenaan. Sebaliknya, Vasil (1972)
tidak menganggap bahawa mekanisme perpaduan dalam Perikatan sebagai mantap dan kekal, malah tidak mendapat sokongan pengundi seperti pada pilihan raya 1969.
Justeru, terdapat kritikan terhadap teori dan model politik permuafakatan kerana teori berkenaan tidak menjelaskan realiti kehidupan berpolitik di negara ini. Malah, tidak wujud satu parti yang dapat membentuk Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dan membentuk kerajaan sehingga menyebabkan beberapa buah parti perlu bergabung. Fenomena ini dikenali sebagai demokrasi permuafakatan berdasarkan prinsip tawar-menawar, bertolak ansur, pengorbanan dan perundingan bagi memastikan suara setiap etnik diwakili, termasuk etnik minoriti.
Di peringkat kerajaan persekutuan, BN kini dianggotai oleh 14 buah parti, iaitu UMNO, MCA, MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP), dan juga parti dari Sabah dan Sarawak. Parti dari Sabah ialah Parti Demokratik Sabah (PDS), Parti liberal Demokratik (lDP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), selain daripada UMNO. Sarawak pula diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). Kadangkala ada parti komponen terbabit keluar daripada gabungan apabila menghadapi masalah tertentu. Misalnya, PAS yang menganggotai BN pada 1974 terkeluar pada 1977 selepas berlaku krisis kepemimpinan di negeri Kelantan. Keadaan ini turut dihadapi oleh parti PBS yang mengambil keputusan untuk keluar daripada BN Sabah pada
1987 tetapi kemudiannya menyertai BN semula pada 1994. Gabungan dibentuk kerana pakatan sedemikian dianggap memberi faedah kepada pihak terbabit. Sekiranya parti yang terlibat dengan penggabungan gagal memperoleh faedah, besar kemungkinan kerjasama tersebut tidak dapat dipertahankan dan parti berkenaan akan keluar daripada gabungan.
Pembangunan Politik
Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama pembangunan politik, iaitu satu wilayah yang mempunyai sempadan, pemerintahan atau kerajaan dan warganegara atau bangsa. Pembinaan negara bangsa pula dapat dicapai melalui pelbagai pendekatan, termasuk penerapan dasar awam yang digubal oleh kerajaan dan pemupukan semangat
nasionalisme melalui simbol dan ritual negara seperti lagu kebangsaan, bendera kebangsaan dan perayaan hari kemerdekaan. Usaha mewujudkan negara bangsa bukan suatu yang mudah kerana terdapat pelbagai faktor perlu diambil kira. Antaranya merangkumi aspek kesan penjajahan, kepelbagaian suku etnik, gabungan wilayah dan gabungan kerajaan. Kewujudan parti politik, parlimen, perlembagaan negara dan pilihan raya merupakan komponen atau kriteria penting untuk menentukan kewujudan amalan demokrasi di negara ini.
Pemupukan hubungan etnik Secara Formal dalam Politik
Usaha memupuk hubungan etnik yang harmoni memerlukan tindakan secara formal daripada pihak atasan. Semasa pelaksanaan Malayan Union pada tahun 1946, secara tersirat memperlihatkan pihak British ingin memperkenalkan corak pemerintahan unitary yang berasaskan penguasaan majoriti oleh pihak British dan rakyat pula ditadbir sebagai satu bangsa. Semua kelompok etnik di Tanah Melayu disatukan secara muslihat atau secara paksaan. Usaha awal Dato’ Onn Jaafar melalui parti multietnik, iaitu Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) tewas pada Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala lumpur pada tahun 1952. Tindakan beliau yang boleh disifatkan mendahului zaman itu tidak dapat diterima oleh masyarakat majmuk ketika itu, kerana masing-masing yakin bahawa kepentingan etnik perlu terlebih dahulu diperjuangkan. Onn Jaafar keluar daripada UMNO pada 1951 kerana cadangan beliau ditolak oleh sebahagian besar ahli UMNO termasuk sebilangan rakyat daripada etnik Melayu, Cina dan India.
Sejak menjelang kemerdekaan lagi, Parti Perikatan mengamalkan konsep perkongsian kuasa atau pakatan politik. Perkongsian kuasa antara Melayu dengan Cina terjalin apabila UMNO dan MCA berpakat dan bertanding dalam Pilihan Raya pada tahun 1952 untuk menentang IMP. Dalam pilihan raya bersejarah itu, Perikatan memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Manakala dalam Pilihan Raya Persekutuan
1955, Perikatan yang turut disertai MIC mendapat sokongan padu rakyat dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dalam pilihan raya itu politik perkauman adalah begitu ketara sekali. Selepas pilihan raya itu, Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Kemenangan besar berkenaan,
membuktikan kejayaan awal kerjasama antara kaum, menjadi asas dan modal bagi Tunku Abdul Rahman yang menerajui UMNO dan Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan daripada pihak British.
Kemenangan Perikatan pada 1955 menjadi bukti bahawa kerjasama politik dan perkongsian kuasa antara etnik boleh berjalan dengan baik dan kerjasama tersebut memudahkan lagi usaha menuntut kemerdekaan. Pada 18 Januari – 8 Februari 1956, satu sesi perundingan untuk mendapatkan kemerdekaan diadakan di London, melibatkan pemimpin parti Perikatan dengan pihak British. Persidangan tersebut memutuskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957.
Pada tahun 1960-an, satu lagi parti berbilang etnik yang wujud ialah National Convention Party (NCP) pimpinan Abdul Aziz Ishak. NCP adalah berteraskan Melayu sebagai alternatif kepada UMNO dan PAS, namun ia gagal bertahan lama. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dengan majoriti keahlian daripada etnik Cina ditubuhkan pada tahun
1968, juga berusaha menarik pengundi Melayu. Sokongan etnik Melayu merosot sesudah Gerakan mengalami krisis dalaman pada tahun 1971.
Kesedaran politik berasaskan ciri perkauman yang primodial berkurangan dan kaum tertentu tidak mengundi parti yang hanya mewakili kaumnya sahaja dalam pilihan raya 1969 (Vasil 1972). Buktinya, di kebanyakan negeri yang majoriti penduduknya ialah Melayu, Perikatan hanya menang di kawasan Melayu yang kurang daripada 90 peratus dan kalah kepada pembangkang di kawasan majoriti Melayu. Keputusan pilihan raya tersebut membuktikan sokongan pengundi Melayu adalah terhadap calon parti politik pelbagai etnik berbanding parti berciri etnik. Parti Gerakan misalnya meletakkan sembilan calon Melayu dalam pilihan raya negeri dan tiga calon dalam pilihan raya parlimen, meraih undi yang banyak di Selangor dan Pulau Pinang.
Pada tahun 1972, Perikatan telah bertambah besar dengan penyertaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Gerakan dari Semenanjung dan parti politik lain dari Sabah dan Sarawak. Namun, PAS terpaksa dikeluarkan daripada BN pada tahun 1977 berikutan tiada persefahaman dalam komponen tersebut. Parti Perikatan ditukarkan namanya kepada BN pada tahun 1974 yang dianggotai oleh sembilan buah parti. BN merupakan satu bentuk gabungan kerajaan campuran berteraskan permuafakatan dan konsensus antara elit politik yang menganggotainya. Kunci utama kepada akomodasi permuafakatan ialah proses bertolak ansur dan
tawar-menawar dalam kalangan golongan elit politik, tanpa mengancam kedudukan komuniti terbabit. BN diwujudkan bagi memperkukuh kerjasama pelbagai parti etnik dan agar setiap kelompok etnik diwakili dalam keputusan politik di peringkat tertinggi negara.
Kerajaan ketika itu berpendapat bahawa pertelagahan politik tidak membawa manfaat, maka parti pembangkang diajak menyertai gabungan bagi menjamin kestabilan politik. Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan para pemimpin berusaha memastikan tragedi sedemikian tidak akan berulang. Satu daripada pendekatan adalah melalui permuafakatan politik dengan memberi tempat kepada semua kaum dari pelbagai negeri bergabung di bawah BN. Setakat ini, BN yang terdiri daripada pelbagai parti dari pelbagai wilayah dan pelbagai kaum dapat mengurangkan masalah persaingan politik perkauman dan konflik perkauman. Hubungan etnik yang harmoni memainkan peranan penting bagi memastikan pembangunan politik yang sihat dan matang.
Ketika gagasan Malaysia diumumkan, Sabah dan Sarawak belum bersedia untuk diberi pemerintahan sendiri. Kerajaan kolonial British memperoleh Sabah daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara, manakala Sarawak daripada Brooke yang memerintah Sarawak sejak tahun 1841. Tahap kesedaran politik penduduk di Sabah dan Sarawak pada ketika itu adalah rendah. Melalui pilihan raya 1963 di Sabah dan Sarawak, parti yang pro-Malaysia, iaitu Perikatan Sabah dan Perikatan Sarawak berjaya mendapatkan sokongan rakyat untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Namun, Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Pada Julai 1963, Perjanjian Malaysia ditandatangani sebagai tanda persetujuan antara pemimpin Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Perkara 165 dalam Perlembagaan Malaysia memasukkan Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak.
demografi dan Politik
Di Malaysia, setiap kumpulan etnik mempunyai bahasa, adat resam, kepercayaan, agama dan kecenderungan yang berbeza, termasuk dalam berpolitik. Aspek demografi mempunyai pengaruh yang kuat terhadap demografi politik dan proses politik khususnya dalam pilihan raya. Bilangan pengundi merupakan faktor penting dalam politik dan pilihan raya.
Jumlah ahli dalam parti politik dan jumlah pengundi di sesuatu kawasan turut mempengaruhi kemenangan parti di sesuatu kawasan. Komposisi dan pola taburan penduduk di sesuatu kawasan pada amnya menentukan parti yang mewakili kawasan terbabit. Agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) keseluruhannya menggambarkan komposisi penduduk sebenar. Hal ini dapat dilihat berdasarkan perkembangan dan angka rasmi pilihan raya sejak tahun 1959. Contohnya, berdasarkan pilihan raya tahun 1995, 1999 dan 2004 dapat disimpulkan bahawa:
i. Peranan dan kedudukan etnik Melayu dalam politik negara adalah jelas.
Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, etnik Melayu atau Bumiputera mempunyai 125 kerusi, iaitu etnik Melayu merupakan pengundi majoriti di kawasan parlimen berkenaan. Di Sabah dan Sarawak pula terdapat 31 kerusi majoriti peribumi. Secara keseluruhan, kerusi Melayu atau bumiputera dalam politik negara adalah 156 atau bersamaan 71.2 peratus kerusi.
ii. Etnik Cina di Semenanjung merupakan majoriti pengundi di 23 kawasan parlimen atau bersamaan 10.5 peratus. Sementara di Sabah mempunyai satu kerusi dan enam kerusi lagi di negeri Sarawak. Hal ini menjadikan kerusi parlimen bagi etnik Cina adalah sebanyak 30 kerusi atau bersamaan 13.7 peratus. Akan tetapi, tidak ada satu kerusi parlimen pun yang mempunyai majoriti pengundi India. Daripada jumlah 219 kerusi parlimen, 33 kerusi atau 15.1 peratus merupakan kerusi plural. Maksudnya, di kawasan parlimen berkenaan tidak terdapat suatu kumpulan etnik yang mewakili majoriti pengundi di tempat berkenaan.
iii. Bilangan kerusi kawasan parlimen yang majoriti pengundinya daripada kumpulan etnik tertentu memang tidak dapat dielakkan kerana taburan penduduknya ditentukan oleh faktor sejarah dan ekonomi.
iv. BN berjaya mencipta formula agar agihan kerusi parlimen keseluruhannya mencerminkan komposisi penduduk sebenar. Pakatan dan perkongsian kuasa yang diamalkan sejak sekian lama masih relevan hingga kini.
v. Pengundi semakin sedar tentang keperluan untuk mengundi parti politik yang bersifat multietnik tanpa mempertikaikan latar belakang kaum, bahasa atau agama yang berlainan. Politik baharu yang bersifat integrasi berbilang etnik mulai menjadi trend dan ikutan (Rizal dan Jumaat 2002).
Kejayaan BN di Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk terus mengekalkan kuasa membuktikan kejayaan konsep dan amalan pakatan dan kerjasama politik antara pelbagai etnik. Kerjasama dan pakatan berkenaan wujud kerana adanya kesedaran untuk mengekalkan kestabilan politik dan sosial serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan yang akhirnya membawa kepada perkembangan dan kematangan politik. Sesuatu parti politik atau kumpulan etnik tidak akan dapat memerintah sendiri, tanpa pembabitan etnik lain. Kejayaan BN memperlihatkan keyakinan pengundi dan rakyat terhadap kemampuan BN untuk memerintah. Formula perkongsian kuasa membolehkan pemimpin yang mewakili pelbagai etnik bekerjasama menentukan dasar dan hala tuju dan masa depan negara.
Pakatan Politik di Sabah dan Sarawak
Di Sabah dan Sarawak terdapat banyak parti politik yang mewakili etnik masing-masing, terutamanya menjelang pembentukan Persekutuan Malaysia. Perkembangan politik banyak dipengaruhi oleh struktur masyarakat majmuk di kedua-dua negeri. Melalui proses sosialisasi politik, rakyat pelbagai etnik menganggotai parti politik, menyertai kempen dan mengikuti isu politik melalui media massa. Politik Sabah dan Sarawak lebih kompleks daripada di Semenanjung. Sarawak dan Sabah mengamalkan gabungan politik bagi membentuk kerajaan sejak tahun 1963.
Selepas penubuhan Malaysia, Ketua Menteri pertama Sarawak ialah Stephen Kalong Ningkan daripada etnik Iban, manakala Gabenor pertama ialah Datu Abang Haji Openg daripada etnik Melayu. Amalan berkenaan merupakan satu bentuk permuafakatan awal dari segi perkongsian kuasa antara etnik bumiputera Islam dengan etnik Dayak yang bukan Islam. Di Sabah, politik permuafakatan atau pakatan politik begitu ketara selepas pilihan raya 1994 apabila beberapa parti politik, sebelum dekad tersebut, seperti United Sabah National Organization (USNO), Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mendominasi kerajaan secara sendirian. Namun, parti berkenaan tetap tidak dapat memerintah sendiri, melainkan perlu mendapat sokongan daripada etnik lain. Gabungan sedemikian penting untuk menjamin kestabilan dan memastikan suara semua etnik diwakili.
Pakatan Politik di Sabah
Di Sabah, tidak terdapat kelompok dominan dari segi saiz penduduk. Empat kelompok bumiputera tidak jauh berbeza dari segi peratusannya. Contohnya, etnik Kadazan Dusun merupakan etnik terbesar, iaitu mewakili 24.8 peratus dan diikuti oleh kategori peribumi lain sebanyak
20.6 peratus, suku etnik Bajau mewakili 18.5 peratus dan etnik Melayu pula sebanyak 18.5 peratus. Kebanyakan etnik Kadazan Dusun, Bajau, Murut dan peribumi lain merupakan penduduk luar bandar dan persisiran. Penempatan ini memberikan gambaran bahawa wujudnya dua sistem kepercayaan, iaitu kumpulan etnik bumiputera bukan Islam yang merangkumi Kadazan Dusun, Murut dan Rungus serta subetnik lain yang mengamalkan kepercayaan tradisional. Manakala masyarakat bumiputera Islam pula terdiri daripada Bajau, Idahan, Iranum, Bisaya, Orang Sungai dan Sulu.
Perkembangan politik di Sabah dan Sarawak memperlihatkan pola yang hampir sama. Pada awalnya, kemunculan parti-parti politik merupakan reaksi terhadap cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia. lazimnya, pelbagai etnik bumiputera terpisah berasaskan etnik dan agama, iaitu Islam dan bukan Islam. Justeru, parti-parti terbabit berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada etnik tertentu sama ada yang beragama Islam atau Kristian. Sejak penubuhan Malaysia, kerjasama antara kelompok etnik di Sabah diwujudkan dengan pakatan antara pelbagai parti politik.
Donald Stephens (kemudian dikenali sebagai Tun Fuad Stephens) menubuhkan United National Kadazan Organization (UNKO) pada tahun 1961 bagi menyatupadukan masyarakat Kadazan Dusun dan bumiputera bukan Islam. USNO yang berada di bawah pimpinan Tun Dato’ Mustapha Dato’ Harun ditubuhkan pada Disember 1961 mewakili etnik Bajau, Suluk dan etnik-etnik lain. Orang Cina pula bernaung di bawah Sabah Chinese Association (SCA). Dengan mengambil ilham daripada model kerjasama UMNO-MCA-MIC, UNKO, USNO dan SCA di Sabah bergabung untuk menubuhkan parti Perikatan.
Beberapa parti lain turut ditubuhkan seperti Pasok Momogun yang diterajui G. S. Sundang pada tahun 1962. Pasok Momogun bersaing dengan UNKO bagi mendapatkan sokongan bumiputera bukan Islam. Bagi orang Cina, dua lagi parti politik ditubuhkan, iaitu United Party (UP) dan Democratic Party namun parti terbabit tidak dapat bertahan
lama. Kedua-dua parti berkenaan bergabung menjadi Parti Kebangsaan Borneo Utara pada Oktober 1962. Parti Perikatan menerajui Sabah antara tahun 1963 hingga tahun 1967 selepas komponen parti terbabit memenangi pilihan raya secara tidak langsung, iaitu Residency Electoral Colleges. Dalam pilihan raya tersebut, parti USNO memenangi lapan kerusi, parti UNKO memperoleh lima kerusi, Sabah National Party (SANAP) mendapat empat kerusi dan parti Pasok Momogun memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah. Perikatan Sabah pada peringkat awal dianggotai oleh USNO, UNKO, UPKO, SANAP/SCA dan Sabah Indian Congress. Selepas pilihan raya negeri 1967, Perikatan Sabah terdiri daripada USNO dan SCA setelah UPKO dibubarkan dan majoriti ahlinya menyertai USNO.
Pilihan raya diadakan untuk pertama kali bagi memilih wakil kerajaan tempatan pada April 1964. Pilihan raya umum pertama di Sabah adalah pada 27 April 1967. Dalam pilihan raya itu, USNO memenangi 14 kerusi, UPKO mendapat 12 kerusi dan SCA pula memperoleh lima kerusi. Kerajaan negeri pertama adalah di bawah pemerintahan USNO-SCA dan UPKO keluar daripada pakatan pada 16 Mei 1967. Selama Mustapha Harun dan USNO mengetuai tampuk pemerintahan negeri, semua etnik turut berada dalam pakatan Perikatan. Teraju kepemimpinan negeri diambil alih oleh Tun Fuad Stephens, dan kemudiannya oleh Harris Salleh selepas parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) memenangi pilihan raya pada tahun 1976. Dalam pilihan raya itu, Berjaya memenangi 28 kerusi, manakala USNO 20 kerusi daripada 48 kerusi DUN. Kejayaan Berjaya menumbangkan Mustapha yang telah memerintah selama 13 tahun, menyaksikan Fuad Stephen dilantik menjadi Ketua Menteri dan Harris Salleh sebagai timbalan beliau.
Parti Berjaya yang memerintah Sabah dari tahun 1976 sehingga tahun
1985 merupakan sebuah parti berbilang etnik dianggotai oleh bumiputera Islam dan bukan Islam yang ditubuhkan pada Julai 1975 meskipun pucuk pimpinannya dimonopoli oleh bumiputera Islam. Kepemimpinan Harris Salleh menyebabkan beliau hilang sokongan daripada kerajaan pusat kerana beliau dianggap “keras” menyebabkan sesetengah pemimpin Sabah dan rakyatnya tidak berpuas hati. Parti Bersatu Sabah (PBS) oleh Joseph Pairin Kitingan telah memberi tentangan terhadap Harris Salleh dan buat pertama kali sejak tahun 1976, parti pembangkang berjaya menumbangkan kerajaan BN di Sabah pada tahun 1985. Hal ini adalah
rentetan daripada rasa kekecewaan kaum Cina dan Kadazan terhadap Parti Berjaya pimpinan Harris Salleh. Dalam pilihan raya tersebut, Parti Berjaya hanya memenangi enam kerusi berbanding 44 kerusi yang dikuasainya sebelum itu dengan Harris sendiri tewas di kerusi kawasan Tenom.
USNO yang dipecat daripada BN menguasai 16 kerusi dan PBS mendapat majoriti apabila memenangi 26 kerusi. Kejayaan PBS bermaksud kemunculan penguasaan kaum bukan bumiputera dan bukan Islam untuk pertama kali. PBS diterima ke dalam BN pada 5 Jun
1986. Dalam pilihan raya 1990, PBS memenangi 34 kerusi berbanding USNO 14 daripada 48 kerusi DUN di Sabah. Manakala parti-parti lain yang bertanding mengalami kekalahan teruk. Ketika Sabah berada dalam genggaman PBS, krisis dan ketegangan berlaku antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
PBS yang merupakan sebuah parti pelbagai etnik dimonopoli bumiputera bukan Islam dari segi kepemimpinan. Parti PBS telah berjaya memerintah negeri Sabah untuk jangka masa sepuluh tahun iaitu pada tahun 1985 sehingga tahun 1994 sebelum diambil alih oleh BN yang diterajui oleh UMNO yang mula bertapak di Sabah pada awal dekad
1990-an. Dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994, hubungan kerajaan pusat-negeri semakin tegang. Beberapa hari selepas DUN dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya pada tahun 1994, Timbalan Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri, Yong Teck Lee bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Maju Sabah (Sabah Progressive Party - SAPP). Akhirnya SAPP diterima untuk menyertai komponen BN. Dalam keputusan pilihan raya tersebut, parti PBS menang tipis iaitu memperoleh
25 kerusi daripada 48 kerusi yang dipertandingkan, manakala parti BN mendapat 23 kerusi. Bagaimanapun, beberapa hari selepas keputusan diumumkan, 12 orang ADUN PBS telah keluar parti dan menubuhkan parti baharu yang kemudiannya diterima untuk menyertai BN. Akibatnya pada 17 Mac 1994, Joseph Pairin Kitingan yang mengetuai kerajaan negeri Sabah dengan kemenangan tipis terpaksa membubarkan kerajaan, sekali gus memberi laluan kepada BN untuk menerajui Sabah.
Kejatuhan PBS membawa perubahan besar seperti berikut dalam politik di Sabah:
i. UMNO berjanji sekiranya parti tersebut berjaya merampas pemerintahan negeri, jawatan Ketua Menteri akan mengikut giliran antara bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan Cina supaya semua rnempunyai peluang memerintah. Sejak tahun 1994, atas semangat kerjasama antara etnik, jawatan Ketua Menteri disandang beberapa pemimpin daripada golongan etnik yang berbeza-beza bagi memenuhi janji BN dalam pilihan raya umum negeri tahun 1994.
ii. UMNO berjaya menyatukan pelbagai etnik bumiputera Islam dan bukan bumiputera Islam, Kristian dan lain-lain.
iii. Kejatuhan PBS melahirkan beberapa buah parti baharu seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Demokratik Sabah (PDS), yakni melibatkan mantan pemimpin utama PBS. Antaranya ialah Bernard Dompok yang mengetuai PDS dan Joseph Kurup yang mengetuai PBRS.
Proses politik di Sabah turut memperlihatkan kewujudan parti politik berasaskan kepentingan kumpulan etnik tertentu. Pada masa yang sama, usaha terus dijalankan untuk memupuk perpaduan etnik melalui kerjasama politik. Etnik Bajau, Suluk, Melayu Brunei dan bumiputera lain yang beragama Islam berjaya disatukan di bawah UMNO. Sementara itu, perpaduan dalam etnik Kadazan Dusun atau bumiputera bukan Islam di bawah PBS berhadapan dengan cabaran daripada beberapa buah parti seperti UPKO dan PBRS. Namun demikian, dengan kemasukan semula PBS ke dalam BN pada tahun 2003, semua parti yang bersaing untuk mendapatkan sokongan Kadazan Dusun ialah ahli komponen BN.
Pakatan Politik di Sarawak
Di Sarawak, komposisi penduduk turut memperlihatkan wujudnya pluraliti, malah lebih kompleks daripada di Semenanjung dengan jumlah sekitar 30 suku kaumnya. Pada umumnya, tidak terdapat satu kumpulan etnik yang majoriti secara mutlak di Sarawak. Jumlah penduduk di Sarawak ialah 2.5 juta orang dengan etnik Dayak memiliki 44.3 peratus, diikuti oleh etnik Melayu yang mewakili 23.2 peratus dan etnik Melanau sebanyak 5.7 peratus merupakan kelompok peribumi yang membentuk
73.2 peratus daripada keseluruhan penduduk Sarawak. Majoriti mereka tinggal di pedalaman, rumah panjang, kampung dan persisiran. Etnik Cina yang kebanyakannya tinggal di bandar berjumlah kira-kira 26.5 peratus dan India pula hanya sekitar 0.2 peratus atau 6,000 orang daripada keseluruhan penduduk Sarawak. Dalam kategori etnik Dayak, terdapat subetnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Orang Ulu merupakan kategori yang mewakili kira-kira 20 kelompok peribumi kecil seperti Kayan, Kenyah, Kelabit, Punan, Penan, Lahanan, Kejaman, dan Sihan.
Di Sarawak, pelbagai parti politik ditubuhkan menjelang penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Pada peringkat awal, keanggotaan parti politik di Sarawak adalah bersifat berbilang kaum. Namun, perkembangan pada dekad seterusnya memperlihatkan arah keanggotaan dan perjuangan yang menuju kepada perkauman. SUPP yang ditubuhkan pada tahun 1959 merupakan parti tertua di Sarawak. SUPP pada peringkat awal penubuhannya adalah bercorak berbilang kaum dengan 46 peratus terdiri daripada kaum bumiputera. Pada tahun
1962, SUPP yang dipimpin oleh Ong Kee Hui sebagai pengerusi dan Stephen Yong sebagai setiausaha agung mendapat galakan daripada pentadbiran kolonial sebagai persediaan ke arah pemerintahan sendiri yang dirancang pihak British.
Kewujudan SUPP menjadi inspirasi kepada etnik bumiputera untuk turut menubuhkan parti masing-masing yang dapat memperjuangkan kepentingan, kebajikan dan aspirasi bumiputera. Namun identiti pelbagai etnik yang berjuang atas landasan ideologi sosialisme dalam SUPP terhakis apabila calon-calon bukan Cina kalah dalam pilihan raya kerajaan tempatan pada tahun 1963. Kesannya, SUPP menjadi pembangkang yang kuat dari tahun 1963 hingga tahun 1970 sebelum menyertai Perikatan Sarawak pada tahun 1971. Penyertaan SUPP dalam perikatan meningkatkan sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan dalam usaha mewujudkan kestabilan politik ketika Sarawak masih lagi memerangi pengaruh komunis. Memandangkan SUPP tidak sehaluan dengan pemerintahan kolonial, sebuah lagi parti mewakili etnik Cina, Sarawak Chinese Association (SCA) pimpinan William Tan telah ditubuhkan pada tahun 1962. Parti SCA merupakan hasil gandingan usaha suku Foochow dari Sibu dan suku Teochew dari Kuching. SCA ditanggapi sebagai parti berpandangan sederhana oleh pihak Kolonial, kemudiannya diterima menyertai kerajaan pertama, berdasarkan pilihan raya tiga peringkat iaitu tempatan, bahagian dan negeri pada tahun 1963.
Namun, parti SCA tidak dapat bertahan apabila sokongan kaum Cina memihak kepada SUPP sehingga akhirnya SCA dibubarkan pada tahun
Cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia turut menggerakkan penubuhan parti etnik Melayu-Melanau seperti Parti Negara Sarawak (PANAS) pada tahun 1960 dan Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) pada tahun 1961, manakala etnik Iban pula menubuhkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) atau Sarawak National Party. SNAP merupakan sebuah parti berbilang kaum pada awal penubuhan dan menyertai Perikatan Sarawak pada tahun 1963 tetapi keluar pada tahun
1966 selepas Presidennya dipecat sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak ekoran krisis perlembagaan. Namun, SNAP menyertai semula gabungan BN pada tahun 1976 tetapi keluar pada tahun 2004 dan menyertai Pakatan Rakyat pada tahun 2010. Di samping itu juga, terdapat sebuah parti berbilang etnik, iaitu Parti Melayu-Cina-India-Dayak (MACINDA) yang ditubuhkan pada tahun 1964 dan merupakan parti serpihan Parti Negara Sarawak (PANAS).
Bagi etnik Melayu dan Melanau, dua parti ditubuhkan berasaskan etnik dan kawasan. Berasaskan dakwaan bahawa etnik Dayak di Lembah Rejang tidak mendapat tempat dalam SNAP yang mewakili Iban dari kawasan Skrang-Saribas, maka Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) pun ditubuhkan oleh Temenggong Jugah anak Barieng pada 1962. Parti PANAS yang dipimpin oleh Datu Bandar Abang Haji Mustapha pada awalnya adalah bersifat mutlietnik tetapi lebih cenderung memperjuangkan kepentingan kaum bumiputera.
Berasaskan pandangan bahawa mereka tidak diwakili dalam PANAS, maka orang Melayu dan Melanau di Lembah Rejang menubuhkan Berjasa. Berjasa dipimpin oleh Tuanku Haji Bujang, seorang Melayu dari Sibu serta Abdul Rahman Ya’kub dan Abdul Taib Mahmud daripada etnik Melanau. Tuanku Haji Bujang kemudiannya menjadi Gabenor kedua Sarawak, manakala Rahman Ya’kub menjadi Ketua Menteri Sarawak ketiga (1970-81) dan Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri keempat dari tahun 1981 hingga kini. Menjelang pilihan raya pada tahun 1963, parti Berjasa, PANAS, Pesaka dan SCA bergabung menubuhkan Parti Perikatan Sarawak.
Parti PANAS dan Berjasa yang mewakili kaum Melayu dan Melanau bergabung menjadi Parti Bumiputera pada tahun 1967, sekali gus mengurangkan pertentangan yang berlaku sejak tercetusnya gerakan
antipenyerahan atau anti-cession pada tahun 1946 apabila wujud dua kelompok yang menyokong dan menentang Sarawak diserahkan kepada kerajaan kolonial British daripada pemerintahan Brooke. Pelbagai etnik daripada pelbagai latar agama bersatu di bawah Parti Bumiputera. Selepas itu, parti Pesaka yang mewakili kaum Dayak menyertai gabungan berkenaan menjelang pilihan raya pada tahun 1974 dan membentuk Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pada tahun 1973 sekali gus mengukuhkan kekuatan politik Melayu dan Melanau. Parti PBB merupakan parti tulang belakang BN Sarawak yang kini mempunyai 35 kerusi daripada 71 kerusi DUN.
Dalam pilihan raya pada tahun 1970, Parti Bumiputera, SUPP dan parti SNAP masing-masing memperoleh 12 kerusi, manakala parti Pesaka mendapat lapan kerusi dan diikuti oleh parti SCA mendapat tiga kerusi, dan calon bebas satu kerusi. Rahman YaƔkub menjadi Ketua Menteri menggantikan Tawi Sli selepas pilihan raya berkenaan pada 7 Julai
1970, iaitu dua hari selepas pilihan raya. Satu persetujuan telah dicapai bahawa seorang calon Bumiputera Islam akan menjadi Ketua Menteri, seorang calon dari parti SUPP dan seorang calon daripada etnik Iban dijadikan masing-masingnya sebagai Timbalan Ketua Menteri. Formula permuafakatan dan pakatan berkenaan diteruskan sehingga kini dengan Presiden PBB sebagai Ketua Menteri, Presiden SUPP sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden PBB, seorang Iban, daripada sayap Pesaka turut menjadi Timbalan Ketua Menteri. Dalam pilihan raya Parlimen tahun 1974, Perikatan Sarawak yang dianggotai oleh parti PBB dan SUPP menguasai 15 kerusi dan SNAP sebagai pembangkang hanya memenangi sembilan kerusi.
Dalam konteks etnik Cina pula, SUPP telah diundang menyertai kerajaan campuran BN selepas pilihan raya umum pada tahun 1969 hingga tahun 1971. Mulai tahun 1974, 'Democratic Action Party' (DAP) muncul sebagai pesaing SUPP untuk meraih sokongan masyarakat Cina. DAP mengalami nasib politik turun naik dengan hanya menguasai satu atau dua kerusi Parlimen atau peringkat DUN. Namun, DAP berjaya memenangi enam kerusi bandar dengan majoriti pengundi Cina dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006 disebabkan kekecewaan masyarakat Cina terhadap SUPP dan kepemimpinan negeri. Dalam pilihan raya negeri pada tahun 2010, DAP mencatatkan prestasi terbaik apabila memenangi 13 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.
Selama lebih 30 tahun selepas penubuhan Parti Bumiputera, kemunculan beberapa parti baharu Melayu dan Melanau tidak berjaya menggugat kedudukan politik Melayu dan Melanau. Kehadiran Parti Rakyat Jati Sarawak (Pajar) pada tahun 1978 pimpinan Ali Kawi yang tidak puas hati dengan kepemimpinan Rahman Ya'kub memberi alternatif lain kepada etnik Melayu. Namun, kehadiran Pajar tidak memberi kesan apabila kesemua 17 calonnya kalah dalam pilihan raya negeri pada tahun 1979. Tidak lama kemudian muncul pula Sarawak People’s Organization (Sapo) pimpinan Raymond Szetu. Kedua-dua parti iaitu parti Pajar dan parti Sapo tidak dapat bertahan lama. Kehadiran Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (Permas) pada tahun 1987 bertolak daripada rasa kecewa dengan kepemimpinan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri. Parti itu yang diterajui oleh beberapa orang tokoh Melayu dan Melanau seperti Rahman Ya’kub, Salleh Jafaruddin, Habsah Harun dan Bujang Ulis sedikit sebanyak menggugat kedudukan PBB pimpinan Taib Mahmud. Pada pilihan raya umum negeri pada tahun 1987, pakatan Permas dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) hampir berjaya menumbangkan kerajaan pimpinan Taib Mahmud selepas berlakunya peristiwa Ming Court apabila memenangi 20 daripada 48 kerusi DUN.
Sebelum tahun 1963, etnik Dayak sering berpecah antara SNAP dan Pesaka sebelum penubuhan Malaysia, namun kini etnik terbabit menyertai semua parti politik, sama ada BN atau parti pembangkang. Meskipun SNAP menjadi pilihan etnik Dayak sepanjang tempoh 1970-
1976, perpaduan Dayak di bawah SNAP telah dimusnahkan dengan penubuhan PBDS pada tahun 1983. PBDS ditubuhkan oleh leo Moggie, bekas pemimpin SNAP. Selepas Leo Moggie meletak jawatan sebagai presiden pada 24 Jun 2003, parti etnik Dayak berkenaan mengalami krisis dalaman apabila berlaku perebutan jawatan antara Timbalan Presiden, Daniel Tajem yang mengambil alih kepimpinan parti tetapi dibantah dan dipertikaikan oleh Ketua Penerangan PBDS, James Jemut Masing.
Parti Rakyat Sarawak (PRS) diasaskan pada tahun 2004 selepas krisis kepemimpinan PBDS yang mengakibatkan pembatalan pendaftaran pada 5 Disember 2003. PRS yang dianggotai kaum Dayak diperuntukkan sembilan kerusi, tetapi tewas di kerusi Ngemah dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006. SNAP turut mengalami masalah dalaman sehingga melahirkan parti serpihan antaranya Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) pimpinan William Mawan Ikom. SPDP yang dianggotai etnik Dayak kini mempunyai lapan kerusi DUN.
Tsunami Politik: Politik Perkauman
Semakin Mengendur
Pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 disertai lebih daripada 20 parti politik yang menyaksikan BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. BN turun ke gelanggang dengan keyakinan bahawa kejayaan cemerlang dalam pilihan raya ke-11 pada tahun 2004 akan berulang. Sebaliknya, pilihan raya umum 2008 itu menyaksikan persaingan yang sengit antara BN dengan pakatan pembangkang. Dalam pilihan raya tersebut, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS melancarkan manifesto yang menggambarkan sensitiviti dan keprihatinan mereka terhadap isu yang berkembang dalam masyarakat. DAP melancarkan manifesto yang bertemakan “Perubahan”, PKR dengan “Harapan Baru Untuk Malaysia” dan PAS dengan konsep “Negara Berkebajikan”. Pakatan Rakyat menekankan optimisme tentang masa depan, yang memang diharapkan oleh rakyat ketika mereka berasa gelisah dan kecewa dengan keadaan ekonomi yang kian mencengkam.
BN pula melancarkan manifesto dengan cogan kata, “Selamat, Aman dan Makmur”, sesuai dengan isu yang menjadi perhatian pengundi pada waktu tersebut iaitu membabitkan isu ekonomi dan keselamatan. Rakyat berdepan dengan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat dan keadaan keselamatan yang tidak terjamin apabila berlaku kes jenayah seperti ragut yang berleluasa terutama di bandar besar. BN memperkenalkan agenda kesinambungan dan meyakinkan rakyat tentang rekod pencapaian mereka selama ini, iaitu sebagai parti yang membawa banyak kemajuan dan pembangunan. Bagi meyakinkan pengundi, BN mengkategorikan manifestonya kepada lima bahagian, iaitu ekonomi, pembangunan seimbang, pendidikan, meringankan beban kenaikan harga serta undang-undang dan ketenteraman awam.
Dalam pilihan raya tahun 2008, BN hanya menguasai 140 atau memperoleh 63 peratus kerusi termasuk lapan kerusi dimenangi tanpa dicabar, manakala pembangkang memenangi 82 kerusi bersamaan
37 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Bagaimanapun, BN hanya memerlukan lapan kerusi lagi untuk mendapatkan kuasa dua pertiga bagi membolehkannya meminda akta di Dewan Rakyat tanpa banyak cabaran. Enam orang pemimpin kanan BN, termasuk empat orang anggota Kabinet tewas, iaitu pemangku presiden Gerakan serta presiden MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP). Dari segi bilangan undi, BN dan pembangkang hanya dibezakan
dengan 4.91 peratus undi dengan BN menguasai 52.98 peratus manakala pembangkang 48.07 peratus undi. Kemenangan besar di Sabah dan Sarawak yang menyumbang 24 kerusi dan 30 kerusi masing-masing membolehkan BN mengekalkan kuasanya di peringkat persekutuan.
Dalam pilihan raya 2004, BN memperoleh 24 daripada 25 kerusi manakala di Sarawak 27 daripada 28 kerusi. Semasa pilihan raya
2008, selain wilayah persekutuan Kuala lumpur, lima buah negeri, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, dan Kelantan dikuasai pembangkang tetapi kemudiannya Perak dikuasai semula oleh BN. BN hanya memenangi satu daripada 11 kerusi di wilayah persekutuan Kuala lumpur. Di peringkat Dewan Undangan Negeri, BN meraih 307 kerusi, PAS mendapat 83 kerusi, DAP memenangi 71 kerusi terutamanya di kawasan bandar manakala PKR memperoleh 42 kerusi dan Bebas sebanyak dua kerusi. Pilihan raya berkenaan menyaksikan landskap politik negara sudah beranjak dengan radikal. Ternyata, hasrat BN untuk meneruskan pencapaian cemerlang seperti pada pilihan raya
2004 tidak kesampaian apabila ayunan undi yang besar beralih kepada
pembangkang.
Perubahan Trend dan Corak Pengundian
Keputusan pilihan raya 2008 memperlihatkan trend dan corak pengundian yang berbeza daripada pilihan raya sebelumnya, iaitu BN menguasai majoriti kerusi tanpa banyak cabaran, kecuali bagi pilihan raya 1969. Dalam pilihan raya 2008, BN mendapat sokongan masyarakat pelbagai etnik sehingga menjamin kemenangan mereka mempertahankan majoriti dua pertiga. Unsur politik lama yang bertunjangkan politik perkauman kurang berkesan dalam menarik sokongan penyokong dan pengundi.
Terdapat pemimpin dan parti politik yang memanipulasi isu perkauman untuk meraih undi kerana strategi sedemikian mudah memancing emosi pengundi etnik terbabit, apatah lagi jika yang disentuh itu membabitkan hak dan kepentingan etnik berkenaan seperti agama, bahasa, ekonomi dan pendidikan. Strategi memanipulasikan isu perkauman begitu berkesan yang menjadi formula kemenangan untuk sekian lama. Sebaliknya, dalam pilihan raya umum ke-12, gaya politik baharu mengambil tempat. Untuk pertama kali dalam kebanyakan
kawasan, pola pengundian tidak lagi berdasarkan etnik dan agama, sebaliknya pengundi lebih mengutamakan parti yang diwakili calon, tidak kira sama ada dari parti BN atau pembangkang. Pengundi memilih sesuatu parti atau calon merentasi garis perjuangan perkauman.
Pengundi lebih berminat dengan isu yang lebih besar dan utama membabitkan tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti, kebebasan bersuara, keadilan dan seumpamanya. Justeru, strategi dan pendekatan kempen dan perjuangan parti politik juga disesuaikan dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Untuk mendapat perhatian dan undi, mereka perlu bergerak seiring dengan perubahan nilai dan sikap masyarakat. Justeru, mereka bergerak daripada perjuangan yang berteraskan perkauman kepada perjuangan yang mengutamakan kepentingan dan nilai universal. Masyarakat dan pengundi yang sebelumnya terperangkap dalam kepompong politik perkauman mulai melihat perkembangan politik dan demokrasi dalam konteks yang lebih kritis dan menyeluruh. Perubahan tersebut sedikit sebanyak menggambarkan perubahan dari segi kematangan demokrasi dan berpolitik dalam kalangan rakyat.
Masyarakat Pelbagai etnik Beralih angin
Dalam pilihan raya 2008, di luar daripada jangkaan ramai, rakyat lebih memihak kepada pembangkang dan menolak BN yang disifatkan sebagai tsunami politik. Untuk pertama kali BN kehilangan sokongan masyarakat pelbagai etnik. Terdapat peralihan ketara dari segi sokongan pengundi Melayu, Cina dan India terhadap pembangkang, terutama di kawasan pekan, bandar dan bandar raya. Mereka bukan sahaja memberi undi kepada DAP, tetapi juga PKR dan PAS. Kekalahan teruk MCA dan Gerakan yang mewakili masyarakat Cina memberi kesan besar terhadap peluang BN memenangi majoriti dua pertiga. MCA umpamanya, hanya meraih 15 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN, berbanding 31 daripada
40 kerusi Parlimen dan 76 daripada 90 kerusi DUN pada tahun 2004. Parti Gerakan yang menguasai Pulau Pinang untuk sekian lama juga menyaksikan negeri berkenaan terlepas ke tangan pembangkang.
Persaingan sengit begitu ketara bagi kawasan bercampur, yang satu- satu etnik bukan majoriti menyaksikan calon BN mengalami kekalahan sedangkan sebelumnya kawasan sedemikian merupakan kubu kuat BN.
Kawasan majoriti Melayu tetap merupakan kubu kuat BN khususnya di negeri Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis, namun tidak bagi wilayah Kuala Lumpur, Selangor, dan Perak. Dari segi corak pengundian etnik Cina pula, di kawasan yang mempunyai 30 peratus majoriti Cina, mereka lebih cenderung menyokong pembangkang. Misalnya, calon Melayu yang bertanding atas tiket PKR di Ampang memenangi kerusi sekitar 34 peratus pengundi Cina, manakala calon PAS di Hulu Langat memenangi kerusi itu di kawasan 37 peratus pengundi Cina.
Bagi kawasan yang didominasi etnik Cina pula, sokongan terhadap BN adalah rendah. Semakin tinggi jumlah etnik Cina, maka semakin kuatlah sokongan terhadap parti pembangkang terutama DAP dan PKR. Sokongan kepada MCA dan Gerakan semakin lemah, sebaliknya sokongan kepada DAP dan PKR di kawasan pengundi Cina adalah 50 peratus ke atas. Misalnya, di Bukit Bendera, Bagan, Batu Kawan, Pulau Pinang calon MCA dan Gerakan tewas di tangan DAP. Satu ciri yang menarik ialah sokongan terhadap pembangkang bukan mengikut garis etnik, sebaliknya lebih berdasarkan parti. Pengundi Cina dan Melayu cenderung menyokong calon pembangkang tanpa mengira etnik calon berkenaan.
Semakin ramai orang Cina dan India di sesuatu kawasan, semakin rendah pula sokongan mereka terhadap BN. Misalnya, calon DAP daripada etnik India di Ipoh Barat, Perak dan Batu Kawan, Pulau Pinang memenangi kerusi berkenaan meskipun majoriti pengundinya ialah etnik Cina. Dalam pilihan raya umum ke-12, masyarakat dan pengundi Cina menolak MCA dan Gerakan; sebaliknya memberi sokongan padu kepada DAP. Prestasi MCA merupakan yang terburuk dalam sejarah penyertaannya dalam pilihan raya, dengan hanya meraih 10.54 peratus.
Sokongan orang Melayu terhadap PKR kian meningkat di kawasan yang mempunyai ramai pengundi Melayu. Sejak ditubuhkan pada tahun 1998, iaitu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, PKR mendapat sokongan tertinggi dalam kalangan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008, dengan meraih sokongan sebanyak 19 peratus. PAS turut mendapat sokongan yang lebih kuat berbanding UMNO di kawasan serupa. Bagaimanapun, sokongan terhadap UMNO dan PAS meningkat dengan pengundi Melayu adalah berada pada tahap 65 peratus bagi UMNO dan sekitar 75 peratus bagi PAS. Maksudnya, pengundi Melayu
masih lagi memberi sokongan kepada UMNO dan PAS kerana didapati di kawasan yang terdapat lebih daripada 50 peratus pengundi Melayu, telah dimenangi oleh UMNO dan PAS . Jika kawasan berkenaan hanya mempunyai sekitar 10-30 peratus pengundi Melayu, peluang untuk kedua-dua parti itu memenangi kerusi berkenaan adalah tipis.
Kegagalan BN mengekalkan majoriti dua pertiga dan kejayaan Sarawak dan Sabah menjadi kubu kuat dengan masing-masing kalah hanya satu kerusi dan menyumbang sebanyak 54 kerusi. Keadaan ini menyebabkan kedua-dua negeri itu dianggap sebagai simpanan tetap BN. Dengan prestasi yang kurang memberangsangkan itu, kepemimpinan BN mengecilkan saiz kabinet Persekutuan. Pemimpin politik dari Sabah dan Sarawak juga diberi peranan yang lebih dominan termasuk sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa yang lebih meluas dan dominan dalam politik nasional. Dengan perubahan dalam landskap politik itu juga, BN telah memikirkan pendekatan yang lebih inklusif bagi memastikan penglibatan yang lebih menyeluruh daripada masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Justeru, BN telah mengambil pendekatan proaktif dan realistik meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung pada November 2010. Individu yang ingin menganggotai BN boleh memohon secara terus sebagai ahli bersekutu, manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik boleh memohon terus untuk menjadi ahli gabungan. Tindakan ini disifatkan mampu membuka pintu keahlian BN kepada individu daripada pelbagai latar belakang etnik, NGO dan parti politik yang mempunyai falsafah, ideologi, idea dan pandangan yang sama dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan dalam arena politik negara.
Kesimpulan
Pengalaman lalu membuktikan bahawa negara kita berjaya mengukir kejayaan dalam pelbagai bidang dan mencapai perpaduan kerana rakyat pelbagai etnik bersedia untuk menjalin kerjasama, berkongsi kuasa dan permuafakatan dari segi politik. Parti politik yang mewakili pelbagai etnik membentuk kesepakatan, baik di pihak parti kerajaan mahupun pembangkang. Prinsip perkongsian kuasa dan permuafakatan serta akomodasi antara etnik dan pelbagai parti politik merupakan tonggak
keutuhan dan survival negara ini.
Kewujudan Perikatan pada tahun 1950-an di Semenanjung Tanah Melayu, hasil gabungan UMNO dengan MCA merupakan titik tolak bersejarah kepada amalan perkongsian kuasa di negara ini. BN yang terdiri daripada parti politik yang mewakili pelbagai etnik sejak awal tahun
1970-an juga merupakan contoh terbaik permuafakatan politik yang berjaya mengurangkan pertelagahan; sebaliknya berjaya mewujudkan konsensus dan permuafakatan sehingga kestabilan sosiopolitik dapat dijamin. Melalui permuafakatan politik wakil pelbagai etnik saling berkompromi dan cuba menyalurkan tuntutan, masalah dan aspirasi etnik yang diwakili. Tidak mungkin bagi mana-mana etnik memonopoli atau mendominasi kuasa dan memerintah di negara ini. Percakaran antara etnik dapat dikurangkan dan konflik kepentingan etnik diredakan melalui demokrasi permuafakatan. Permuafakatan politik akan terus menjadi formula mujarab bagi menjamin kestabilan dan kemajuan masa depan negara ini.
Soalan Perbincangan
1. Sejauh manakah Barisan Nasional yang memerintah negara ini
memenuhi aspirasi anda sebagai generasi muda?
2. Permuafakatan politik membantu mewujudkan kesepaduan sosial
masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Bahaskan.
3. Sabah dan Sarawak merupakan simpanan tetap Barisan Nasional untuk terus mengekalkan kuasanya. Adakah anda bersetuju?

6 comments: