Monday, November 12, 2012

TAJUK 06


Kepelbagaian agama: Mencari
Titik Pertemuan
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memupuk kefahaman tentang kepelbagaian agama di Malaysia.
2. Memahami kepercayaan agama utama di Malaysia.
3. Mengamalkan nilai tolak ansur dalam konteks kebebasan beragama di Malaysia.
Pengenalan
Agama merupakan fenomena penting dalam kehidupan manusia. Agama bukan sahaja membantu manusia untuk mengenal Tuhan, tetapi juga memberi kesejahteraan hidup. Di Malaysia, agama dan etnik telah menjadi identiti kelompok yang saling melengkapi sehinggakan kelompok etnik disamakan dengan kelompok agama. Orang Melayu dianggap sebagai orang Islam, orang India sebagai orang Hindu, orang Cina dan Siam sebagai orang Buddha serta masyarakat Orang Asli dan suku kaum bumiputera di pedalaman Sabah dan Sarawak sebagai penganut animisme. Mereka yang bertukar agama dianggap telah keluar daripada kelompok etnik.
Takrif agama
Secara umum agama bolehlah ditakrifkan sebagai hubungan antara manusia dengan sesuatu kekuasaan luar biasa yang dianggap dapat memberikan perlindungan. Hubungan yang dianggap suci ini membawa
kepada rasa tunduk manusia kepadanya dan manusia mencintainya, mempercayai dan meminta perlindungan daripadanya. Dari perspektif antropologi, agama merupakan set peraturan yang mengatur hubungan manusia dengan kuasa ghaib, khususnya dengan Tuhan. Agama juga merupakan suatu sistem keyakinan yang dianut dan amalan yang diwujudkan oleh suatu kelompok atau masyarakat dalam mentafsirkan dan memberi respons terhadap apa-apa yang dirasakan dan diyakini sebagai yang ghaib dan suci. Daripada beberapa pendapat di atas, definisi agama boleh dilihat dari dua sudut, iaitu substantif dan fungsional. Takrif yang pertama melihat agama dari segi bentuk dan amalannya, sementara yang kedua, dari segi fungsi dan tujuan kewujudan agama tersebut.
Antara agama besar yang terdapat di dunia sekarang ialah Islam, Kristian, Buddhisme, Hinduisme, Sikhisme, Jainisme, Judaisme, Shinto, Bahai dan Zoroastrianisme. Selain itu, ada juga sistem kepercayaan suku kaum primitif yang terasing dan terpisah di kawasan dunia yang berlainan dan berkembang secara bebas tanpa hubungan sejarah antara satu sama lain seperti praanimisme, animisme, fetisyme, shamanisme, dan totemisme.
Mengapakah Manusia Beragama?
Kebanyakan pengkaji sejarah agama sependapat bahawa agama ialah keperluan asasi setiap manusia. Oleh sebab itu, tiada sebuah masyarakat pun di dunia ini yang tidak mempunyai agama. Kepercayaan kepada agama merupakan sifat sejagat bagi seluruh manusia sama ada manusia moden ataupun primitif.
Pemikiran tentang agama sudah wujud dalam diri manusia sejak mereka lahir lagi. Bukti penemuan arkeologi menunjukkan kehidupan manusia terawal sudah dipengaruhi oleh agama. Selain naluri semula jadi, manusia mengamalkan agama kerana warisan kebudayaan, faktor keselamatan, kesejahteraan, mengukuhkan ikatan persaudaraan dan mencari jawapan pada persoalan yang sukar dijawab.
Warisan kebudayaan merupakan faktor utama menentukan agama seseorang manusia. Selalunya individu akan menganut agama yang dianuti oleh keluarga, suku kaum atau etnik yang diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi berikutnya. Misalnya, rata-rata etnik Melayu menganut agama Islam kerana keluarga dan nenek moyang mereka beragama Islam.
Faktor keselamatan juga memainkan peranannya kerana apabila memeluk sesuatu agama seseorang berasa selamat dan percaya bahawa kuasa agung yang dipercayainya akan menjaga keselamatannya. Kuasa agung juga menjadi tempat mengadu hal serta mendapatkan pertolongan dan perlindungan. Faktor kesejahteraan di akhirat juga adalah penting kerana kebanyakan agama menjanjikan kesejahteraan di akhirat kepada penganut yang patuh kepada ajaran agama masing-masing.
Faktor lain adalah kerana agama merupakan jawapan terhadap persoalan kehidupan yang sukar dijawab. Persoalan mengenai manusia dan hakikat diri, alam sekitar dan pengalaman ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal fikirannya, semuanya dijawab oleh agama. Tegasnya, agama akan memberi jawapan kepada pertanyaan yang sukar dijawab oleh akal.
Akhirnya, agama diminati kerana agama merupakan elemen pengukuhan ikatan persaudaraan. Mengikut Durkheim (1915) kepercayaan dan amalan yang sama dalam sesuatu agama akan menyatukan semua anggota yang menganutinya dalam satu komuniti bermoral.
Peranan agama
Kebanyakan ahli falsafah, malah ahli rasionalis Zaman Kecemerlangan seperti Condocet bersetuju bahawa agama, sungguhpun palsu pada suatu ketika dahulu, mempunyai fungsi tertentu dalam kehidupan peribadi mahupun sosial. Dari kaca mata ahli fungsionalis, agama mempunyai fungsi peribadi kepada pemeluknya kerana agama memberi darjat jaminan yang menenteramkan.
Agama menimbulkan keberanian kepada manusia ketika dicengkam ketakutan, memberikan kegigihan dalam kesukaran, kekuatan pada saat- saat manusia dalam keadaan lemah dan meringankan beban jiwa dalam menghadapi kekecewaan. Agama memberi harga diri dalam menelan kekalahan, kerendahan hati apabila sedang berjaya dan juga kepekaan hati nurani. Sementara peranan agama dalam kehidupan sosial adalah sebagai asas moral, kesenian, kebudayaan, kesusasteraan dan kewujudan tamadun bagi sesuatu bangsa dan masyarakat.
Peranan agama dilihat dalam konteks yang lebih luas adalah seperti berikut:
1. Agama sebagai sumber nilai moral
Agama berperanan menjadi kod etika dan aturan moral yang dinamik dan menjadi pedoman bagi penganutnya dalam mengatur kehidupan spiritual supaya lebih bermakna. Mengikut Weber (1930) dengan adanya kod etika, Protestan dapat menyumbangkan kemakmuran ekonomi dan industri moden di England dan Eropah Barat. Keadaan ini terjadi kerana mereka berpegang kepada etika Protestan, iaitu percaya bahawa agama Kristian mengharapkan penganutnya bekerja kuat, menabung, melabur dan menunjukkan inisiatif perniagaan. Etika Protestan juga dikatakan memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan rakyat Amerika Syarikat ke arah mewujudkan peribadi yang tahan lasak, semangat daya usaha, kegiatan perusahaan, dan kejayaan kewangan.
2. Penyatuan
Agama menjadi sangat penting bagi masyarakat kerana agama membangunkan ikatan sosial dan menyatukan individu dengan individu yang lain sehingga munculnya masyarakat, kelompok dan sebagainya. Agama mempunyai fungsi integratif kerana ajaran agama mengandungi nilai-nilai pemersatuan yang ada dalam setiap doktrinnya. Upacara keagamaan berfungsi mengukuhkan integrasi sosial dan memperbaharui solidariti kelompok. Melalui pelbagai upacara yang diraikan, anggota masyarakat kembali berkumpul dan membentuk solidariti organik.
3. Pendorong dan Pengesahan Program Pembangunan
Perubahan sosiobudaya yang cepat tidak bererti menurunkan peranan agama dalam pembangunan. Hal ini terbukti apabila agamawan sering digunakan untuk memberi pengesahan program pembangunan yang tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Kajian menunjukkan bahawa program pembangunan dapat segera diterima oleh masyarakat apabila disahkan oleh ahli agama atau apabila komunikasi dan informasi pembangunan menggunakan bahasa agama.
4. Menumbuhkan Semangat Kebangsaan
Agama merupakan salah satu faktor penting bagi pertumbuhan nasionalisme seperti yang dibuktikan oleh Mehden (1968) dalam kajiannya di Filipina, Indonesia dan Burma. Hal ini kerana agama merupakan identiti yang membezakan antara penjajah dengan anak negeri. Mereka menganggap dirinya sebagai suatu bangsa yang memiliki bahasa, sejarah, adat istiadat dan agama yang sama sejak berabad-abad lamanya. Di Indonesia, sebelum abad ke-20, muncul pelbagai organisasi nasionalis yang bersifat keagamaan untuk menentang dominasi asing. Akibatnya, berlakulah Perang Jawa dan Perang Aceh.
Di Malaysia peranan ulama dalam hubungannya dengan gerakan nasionalis sebelum dan selepas kemerdekaan adalah cukup kuat. Mereka ialah pemimpin gerakan kebangsaan dalam pertempuran melawan Inggeris. Begitu juga di Burma, pengaruh biara Buddha (Pongyikyang) dan organisasi pemuda Buddha (YMBA) adalah sangat besar.
5. Perpaduan Nasional
Bagaimanakah agama memberi sumbangan terhadap perpaduan nasional? Walaupun agama atau ideologi merupakan satu aspek sahaja daripada proses perpaduan, namun agama merupakan faktor yang terpenting, malah sebagai faktor penentu. Menurut Geertz (1973), pembentukan negara yang berdaulat timbul kerana faktor sentimen primordial. Agama dan etnik merupakan dua aspek yang terpenting. Begitu juga ketika Malaysia merdeka, masalah utama yang menentukan kelangsungan sebuah negara baharu ini adalah tentang persoalan agama atau ideologi negara, iaitu Islam. Dalam konteks ini, Islam memiliki pengalaman sejarah dalam mengelola pluraliti seperti Piagam Madinah yang dapat menjelaskan bagaimana perjanjian untuk hidup bersama, membangunkan masyarakat yang adil, aman dan sejahtera berjaya dilakukan.
6. Kewujudan tamadun
Agama berperanan mendorong manusia untuk membina tamadun manusia. Banyak pertumbuhan dan perkembangan tamadun dipengaruhi oleh perkembangan sesuatu agama. Bukti sejarah menunjukkan bahawa jatuh bangunnya sesuatu tamadun atau kerajaan adalah berkait dengan sesuatu agama. Hal ini dapat dilihat dalam tamadun Barat yang dipengaruhi oleh agama Kristian, tamadun Timur Tengah yang kebanyakannya dipengaruhi oleh Islam dan tamadun Asia Timur oleh Hindu-Buddha.
7. Fungsi Pemerintahan
Bagi sesetengah negara, fungsi pemerintahan juga dijalankan melalui peranan agama. Ketua negara juga menjadi ketua agama, seperti Kerajaan Mesir ketika pemerintahan Firaun. Kadang-kadang kuasa sesebuah negara diperkuat oleh institusi agama seperti pada zaman pemerintahan tradisional Melayu dan pada zaman Pertengahan di Eropah. Mereka kuat kerana dikaitkan dengan doktrin hak ketuhanan raja. Justeru, agama amat berguna untuk memberi sokongan kepada pemimpin serta memelihara aturan pemerintahan dan adat resam.
8. Mengembangkan Kesenian
Agama juga berfungsi mengembangkan kesenian disebabkan agama mempunyai hubungan yang rapat dengan aktiviti kesenian yang menjadi sumber penghargaan dan kenikmatan serta ia juga orientasi estetik seperti seni bina, lukisan, ukir kayu dan seni pahat.
Penggolongan agama
Terdapat dua pendapat yang berbeza dalam membuat penggolongan agama oleh ahli akademik. Satu golongan menganggap agama sebagai satu daripada unsur kebudayaan sesuatu masyarakat. Sementara golongan kedua pula berpendapat bahawa agama terbahagi kepada dua, iaitu agama ciptaan manusia dan agama ciptaan Tuhan. Terjadinya percanggahan pandangan dalam kalangan ilmuwan dalam melihat agama terutama agama wahyu adalah kerana persepsi mereka tentang agama yang disamakan dengan institusi lain seperti institusi sosial,
ekonomi dan politik.
agama Samawi
Agama ciptaan Tuhan atau agama samawi ialah agama yang bersumberkan wahyu Tuhan. Agama ini diturunkan oleh Allah SWT untuk memenuhi keinginan dan kecintaan jiwa manusia yang semula jadi kepada Tuhan. Agama ini diturunkan menerusi tokoh manusia pilihan Tuhan yang berjiwa suci dan luhur yang digelar rasul-rasul Allah. Agama dengan pengertian ini tidak boleh dianggap sebagai unsur kebudayaan manusia kerana agama ini bukan hasil pemikiran dan pengalaman manusia. Agama yang berbentuk pengajaran bersifat ketuhanan daripada Allah dalam bentuk perintah dan larangan yang dibawa oleh rasul-rasul Allah dalam bentuk wahyu ini terdiri daripada Islam, Kristian dan Yahudi.
Ketiga-tiga agama ini diturunkan dari langit dan penganut mereka percaya bahawa Tuhan itu pencipta alam, percaya kepada rasul-rasul dan kitab-kitab Allah. Perbezaan antara penganut agama ini adalah dalam perkara yang berkait dengan konsep bentuk Tuhan, rasul terakhir, kitab Allah yang tulen dan tentang persoalan kitab Allah yang paling sempurna.
agama Ciptaan Manusia
Agama ciptaan manusia atau agama duniawi ialah agama yang datang daripada diri manusia. Agama duniawi juga dikenali sebagai agama alam atau agama budaya kerana agama itu lahir dalam kebudayaan, dibentuk oleh falsafah masyarakat dan dirumuskan oleh ahli fikir masyarakat. Agama itu terdiri daripada gagasan dasar dan peraturan umum yang ditetapkan oleh beberapa kumpulan yang berpengaruh supaya mereka dapat mematuhinya. Agama berkenaan tidak bersandarkan wahyu dan ajaran-ajaran rasul, sebaliknya berbentuk pengajaran dan kaedah-kaedah umum. Agama ini lahir daripada usaha-usaha manusia mencari tuhan dengan akal fikiran. Agama yang tumbuh melalui cara ini merupakan hasil pemikiran dan pengalaman mereka dan diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi berikutnya.
Terdapatpelbagaijenisagamaciptaanmanusiayangwujuddiduniasekarang. Antara sifat agama ini ialah kitab sucinya berdasarkan ilham pengasasnya. Terdapat agama dalam kelompok ini yang merupakan gabungan sesetengah
unsur agama ciptaan Tuhan dengan tambahan dan pindaan daripada fikiran ahli agama. Agama ini berubah mengikut perubahan penganutnya.
Sebahagian agama dalam kategori ini percaya kepada penjelmaan tuhan atau tuhan-tuhan dalam tubuh manusia. Terdapat juga yang mempercayai bahawa tuhan menghendaki korban jamuan dan upacara pemujaan, wujud orang suci sebagai wakil tuhan atau selaku perantara yang dapat berhubung dengan tuhan atau tuhan-tuhan. Selain itu, pengamal agama berkenaan juga memuja roh datuk nenek moyang atau roh orang tertentu.
Terdapat juga penyembahan cakerawala seperti matahari dan bulan, adanya simbol seperti berhala, gambaran dan panji-panji. Selain itu, terdapat ajaran atau upacara penyeksaan diri dan pengharaman daripada nikmat hidup tertentu. Tujuannya adalah untuk mencapai kesucian diri dan restu Tuhan. Agama ciptaan manusia ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan masyarakat primitif, mundur dan terpencil.
agama-agama di Malaysia
agama islam
Islam ialah agama yang dianuti oleh sebanyak 60 peratus penduduk Malaysia. Seseorang yang beragama Islam bererti berserah diri dan mengikuti perintah Allah SWT serta mencontohi Nabi Muhammad SAW. Penganut Islam perlu memberi kesaksian bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya. Ketundukan ini perlu dibuktikan dengan melaksanakan tanggungjawab seperti yang diperintah oleh Allah serta menjauhi larangan-Nya. Muslim mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW berfungsi sebagai penyampai ajaran Islam daripada Tuhan dan dalam masa yang sama sebagai ikon yang perlu dicontohi. Menjunjung tinggi akidah dan akhlak Islam adalah misi utama Baginda.
ajaran islam
Sumber ajaran Islam ialah al-Quran. Seluruh teks al-Quran tidak boleh diubah. Sumber kedua ialah al-Sunnah yang merangkumi ucapan, tindakan serta sifat-sifat Rasulullah SAW dalam bentuk manifestasi
ajaran Islam yang juga dikenali sebagai hadis. Islam mewajibkan pengikutnya percaya kepada Allah, semua rasul, kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, malaikat, hari kiamat, qada dan qadar. Dalam hadis juga terkandung Sirah yang mengandungi sejarah hidup Baginda. Melalui hadis seorang Muslim dapat mencontohi bagaimana cara Nabi Muhammad SAW beribadah dan menjalani kehidupan seharian.
Sumber ketiga ialah ijtihad, ijmak, qiyas, syura dan sebagainya yang diinstitusikan juga sebagai respons ulama terhadap perubahan dan kemajuan dalam kehidupan harian. Institusi tersebut mampu memberikan penjelasan berdasarkan prinsip syariah kepada umat yang memerlukannya. Sebagai contoh prinsip yang perlu diguna pakai dalam perdagangan saham yang belum wujud pada zaman awal Islam.
Islam ialah suatu peraturan hidup dan agama praktikal berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat. Bagi Islam, Allah telah menentukan jalan yang perlu dilalui sebagai panduan kepada manusia dalam bentuk Syariah. Syariah adalah prinsip Islam yang tertinggi, mengatur kehidupan harian Muslimin yang meliputi segala aspek kehidupan manusia daripada urusan ibadat sampai kepada urusan ekonomi, pemerintahan dan kemasyarakatan. Nabi Muhammad SAW ialah rasul yang terakhir dalam rangkaian pesuruh Allah. Peristiwa sejarah yang terdapat dalam al-Quran merupakan kisah yang benar berlaku.
islam agama Sejagat
Islam ialah agama sejagat yang berada dalam kelasnya yang tersendiri dari segi kosmologi, epistemologi, metafizik dan weltanschauung. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai bangsa, budaya dan cara hidup yang berbeza-beza seperti yang terkandung dalam al-Quran, “…kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain” (al-Hujuraat: 13). Petikan ini membuktikan pendekatan kehidupan sosial Islam yang harmoni, saling mengenali tanpa mengira bangsa, etnik juga agama. Menurut sejarah, penubuhan kerajaan Islam di Madinah (622M), menandakan pengiktirafan Islam terhadap hak dan tanggungjawab orang bukan Islam dalam negara Islam.
Islam membuka laluan kepada kesatuan seluruh bangsa. Setiap manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan adalah setaraf di sisi Tuhan.
Prinsip-prinsip keadilan harus ditegakkan dan dilaksanakan merentasi perbezaan agama.Tidak ada perbezaan antara mereka kecuali takwa. Tegasnya, tidak ada perbezaan antara mereka kecuali dari segi bakti dan kebersihan hati. Hal ini merupakan suatu landasan yang baik untuk menghasilkan kehidupan yang harmoni dan secara tidak langsung akan menghapuskan perasaan kesukuan dan perkauman.
Ciri-ciri utama islam
Dari segi ekonomi, Islam memberi kebebasan kepada umatnya untuk berusaha mencari kekayaan tetapi dengan cara yang mulia dan bersih. Islam meletakkan tanggungjawab membasmikan kemiskinan dan penderitaan masyarakat di tangan orang yang berharta dan berkuasa. Dalam masa yang sama Islam menentang sistem ekonomi yang mempunyai unsur eksploitasi, penindasan, pemerasan, monopoli dan penipuan. Islam mewajibkan zakat pada golongan yang berada serta menggalakkan umatnya menderma dan berkorban untuk kebajikan orang lain sebagai salah satu cara pembersihan hati serta mekanisme membanteras kemiskinan.
Islam mementingkan hasil kerja dan pendapatan suci dan halal. Sebarang pendapatan yang diperoleh haruslah secara halal adalah suci dan mendatangkan berkat. Islam memandang suci sebarang pekerjaan yang halal walaupun berstatus rendah. Islam mengajar majikan berlaku adil dan mengelakkan daripada melakukan pemerasan ke atas pekerjanya. Begitu juga pekerja diajar agar berlaku amanah kepada majikan.
Dalam bidang politik, Islam menekankan dasar musyawarah, keadilan dan pemilihan pemimpin secara adil tanpa membezakan manusia berdasarkan kelas, keturunan, bangsa, agama atau warna kulit. Tegasnya, Islam menghormati hak asasi setiap manusia. Selain itu, Islam juga menggalakkan rakyatnya supaya berani menegur pemerintah. Hal ini sesuai dengan ajaran Islam yang menghormati kebebasan berfikir selagi tidak memerangi ketuhanan dan merosak kesejahteraan awam. Pencerobohan hak orang lain dan pencabulan perjanjian adalah perbuatan yang tidak diterima dalam Islam.
Dari segi sosial, Islam memperjuangkan dasar kehormatan diri manusia. Tidak ada perhambaan dan pemujaan melainkan perhambaan dan pemujaan pada Allah semata-mata. Islam juga menegakkan dasar kebersihan diri manusia. Seluruh manusia dilahirkan dalam keadaan
bersih dan suci. Mereka bertanggungjawab atas setiap tindak-tanduk yang dilakukan dan tidak menanggung dosa orang lain. Islam menetapkan dasar bahawa setiap anggota masyarakat bertanggungjawab atas segala keburukan yang berlaku dalam masyarakatnya. Dengan ini, bermakna setiap orang tidak boleh bersikap berkecuali dalam menyelesaikan masalah dalam masyarakat.
Dengan dasar ini Islam menggalakkan setiap orang mempertahankan kebersihan jiwanya dan menjauhi dosa serta berusaha untuk mencapai kebaikan bagi diri dan masyarakat. Dasar ini dapat membentuk cara berfikir masyarakat supaya bertindak tegas dalam hal-hal yang bertentangan dengan kepentingan masyarakat dan memberi sumbangan serta kerjasama dalam sebarang aktiviti kebajikan masyarakat. Amalan ini dapat membantu melicinkan pelaksanaan peraturan dan undang- undang negara. Dari segi keluarga, Islam mengajar supaya menghormati kedua-dua ibu bapa, memberi kasih sayang yang sama pada anak-anak, berlaku adil terhadap isteri, menjalin hubungan yang baik dengan kaum keluarga dan jiran tetangga.
Prinsip kebebasan beragama juga diraikan dan diperuntukkan tempat yang wajar dalam Islam. Penganut pelbagai agama bebas mengamalkan agama pegangan masing-masing dengan aman tanpa merasa takut dan terancam. Berasaskan prinsip ini, rumah-rumah ibadat dibenarkan untuk didirikan. Islam menganggap semua agama berhak untuk diamalkan oleh penganut masing-masing.
Dari segi ilmu pengetahuan, Islam menggalakkan perkembangan ilmu dan menganjurkan supaya menjalankan kajian serta penyelidikan terhadap rahsia-rahsia alam. Islam mewajibkan setiap orang sama ada lelaki ataupun perempuan menuntut ilmu. Penekanan diberikan dalam al-Quran yang menyeru agar manusia menyelidik dan berfikir tentang kejadian-kejadian alam. Kemajuan ilmu pengetahuan dalam Islam adalah untuk kebajikan manusia dan masyarakat.
Ciri-ciri yang ada dalam Islam seperti yang dinyatakan adalah sangat berguna untuk menjaga kebajikan manusia sejagat. Namun, untuk melaksanakan peraturan-peraturan yang ditetapkan, Islam menganjurkan supaya ia dibuat dengan niat yang jujur atas dasar bertanggungjawab secara langsung pada Allah. Tegasnya, setiap perbuatan yang dilakukan akan dinilai dari segi kejujuran niat. Kejujuran dan amanah dalam menunaikan tanggungjawab sama ada terhadap individu atau masyarakat
mampu memberi impak dalam kehidupan manusia.
Perayaan agama islam
Terdapat dua perayaan besar di dalam agama Islam yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara Islam lain iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Selain itu, ada juga perayaan agama yang lain seperti Maulidur Rasul, Asyura, Israk Mikraj, Maal Hijrah, dan lain-lain. Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa jatuh pada 1 Syawal menurut kalendar Hijrah dan disambut setelah orang Islam menunaikan fardu puasa bulan Ramadan selama sebulan. Ia disambut dengan mengadakan solat Raya Aidilfitri secara berjamaah di masjid dan surau. Sebelum itu, orang Islam dikehendaki membayar zakat fitrah untuk membantu fakir miskin dan orang yang memerlukan pada bulan puasa.
Sementara Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji pula jatuh pada 10 Zulhijah, iaitu ketika sebahagian penganut Islam sedang menunaikan haji di Mekah. Pada hari itulah mereka disunatkan berkorban, iaitu dengan menyembelihkan unta, lembu, kerbau, kambing atau biri-biri untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin. Pada hari tersebut juga orang Islam menunaikan solat sunat Hari Raya Korban.
agama Buddha
Agama Buddha merupakan agama kedua terbesar di Malaysia. Majoriti penganut Buddha di Malaysia terdiri daripada etnik Cina yang berpegang kepada mazhab Buddha Mahayana. Manakala terdapat juga yang mengamalkan Buddha Theravada terutama bagi komuniti Thai yang kebanyakannya tinggal di utara Semenanjung Malaysia.
asal usul agama Buddha
Kemunculan agama Buddha merupakan suatu reaksi terhadap kekerasan dan penindasan oleh golongan Brahman yang menyebabkan golongan lain bangkit menentang terutama golongan Kshatriya yang terdiri daripada anak-anak raja dan perajurit. Agama ini diasaskan oleh Siddhartha Gautama yang selalu memikirkan punca penderitaan dan kemelaratan. Dalam usia 29 tahun dia meninggalkan istana dan memulakan kehidupan
zuhud serta bercita-cita untuk sampai ke peringkat mengetahui rahsia
alam.
Dia meninggalkan segala kemewahan dan berpuas hati dengan pakaian yang koyak-rabak atau daun pokok untuk menutupi badannya. Dia berbaring di tempat-tempat berduri dan berbatu, tidak menjamah makanan dan minuman. Kadang-kadang dia makan hanya sebiji nasi sehari. Akhirnya, dia berteduh di bawah sepohon pokok di dalam hutan Urvela, iaitu tempat dia mendapat petunjuk. Kemudiannya dia diberi gelaran Buddha, seorang arif yang bercahaya atau Gautama yang bermaksud pendeta.
Kebanyakan sarjana menafikan Buddha sebagai pelopor agama kerana dia tidak mengikrarkan akidah atau mengasaskan apa-apa mazhab falsafah. Dia tidak menyeru pengikutnya menganut agama seperti agama-agama lain. Buddha mengasaskan seruannya kepada cara untuk mendapatkan pengalaman rohani yang tidak dapat diterangkan dengan kata-kata. Seruannya ialah cerita tentang pengalamannya dan tentang jalan yang diikutinya. Baginya, kebenaran itu tidak dapat diketahui dengan pendapat atau teori, tetapi dengan melalui jalan yang menuju kepada kebenaran tersebut.
Buddha mengetepikan perbincangan tentang ketuhanan. Dia mengelakkan perkara yang berhubung dengan perbahasan ketuhanan dan metafizik kerana dia berpendapat bahawa manusia bergantung kepada diri sendiri bukannya Tuhan. Malah, dalam salah sebuah pidatonya, dia mengejek orang yang mengakui kewujudan Tuhan. Lantas itu, golongan Brahman pada zamannya telah mendakwa beliau sebagai seorang ateis.
Oleh sebab Buddha tidak menyentuh tentang keimanan kepada Tuhan sedangkan desakan jiwa pengikutnya ke arah itu adalah kuat sehingga pengikut Buddha selepasnya telah memikirkan tentang Tuhan. Malah, ada yang menganggap Buddha bukanlah manusia semata- mata, tetapi roh Tuhan telah meresap ke dalamnya. Mengikut penganut Buddha, peribadinya ialah ketuhanan dan kemanusiaan kerana peribadi ketuhanan masuk meresap ke dalam peribadi kemanusiaan. Penganutnya berpendapat Buddha tidak bercakap tentang Tuhan kerana dia sendiri adalah Tuhan.
Antara ajaran moral Buddha yang terpenting adalah menghormati kehidupan, sama ada manusia, tumbuhan ataupun haiwan. Pengikut
Buddha tidak boleh membunuh atau menyembelih binatang untuk dimakan kerana binatang dianggap sebagai saudara mereka. Malah, mereka tidak boleh memandang binatang sebagai kejadian yang lebih rendah daripada mereka. Ketenangan rohani dan kasih sayang terhadap semua yang bernyawa itu yang diajarkan oleh Buddha. Antara prinsip yang terpenting diseru oleh Buddha ialah pembasmian kasta. Di Malaysia, bukan semua etnik Cina menganut agama Buddha kerana sebahagian daripada mereka juga berpegang kepada ajaran Taoisme, Konfusianisme, Kristian dan Islam. Malah, terdapat dalam kalangan mereka yang mengamalkan dua atau lebih ajaran Konfusianisme, Buddha dan Taoisme dalam masa yang sama.
upacara Keagamaan
Dalam upacara keagamaan Buddha, objek utama yang sangat signifikan ialah ‘Tiga Permata’ (Tripple Gem), iaitu Buddha, dharma (ajaran Buddha) dan sangha (komuniti Buddha yang berpegang dengan ajarannya). Upacara penyembahan yang dilakukan di tokong, wat atau rumah dimulakan dengan menyembah patung Buddha dan diikuti dengan bacaan mantera bertujuan untuk memohon perlindungan.
Wesak merupakan antara perayaan penting yang disambut oleh penganut agama Buddha. Perayaan ini biasanya jatuh pada bulan Mei setiap tahun. Perayaan Wesak disambut bersempena dengan memperingati kelahiran, kemunculan dan pencapaian Gautama Buddha ke nirvana (syurga). Penganut Buddha akan berhimpun di tokong bagi menjalankan upacara meditasi.
agama hindu
Agama Hindu dianuti oleh sebahagian besar komuniti India di negara ini, malah ia merupakan salah satu identifikasi bagi etnik India, walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang menganut agama selain Hindu. Agama ini merupakan sekumpulan adat istiadat, budi pekerti dan gambaran kehidupan orang Hindu. Agama yang wujud sejak awal abad ke-8 S.M ini juga dikenali dengan nama agama Brahma. Daripada Brahma inilah diambil perkataan Brahman, iaitu gelaran terhadap
pendeta Hindu yang dipercayai mempunyai unsur ketuhanan. Sehingga sekarang tidak diketahui siapakah pengasas agama ini.
Agama ini merupakan agama yang berevolusi daripada ajaran Veda yang muncul sebelum penaklukan bangsa Arya ke atas India. Sejarah menerangkan isi kandungan agama ini meliputi pelbagai kepercayaan yang membawanya turun hingga kepada penyembahan batu dan pokok- pokok dan membawanya naik kepada perkara-perkara falsafah yang abstrak dan halus. Terdapat beratus-ratus malah beribu-ribu buah kitab suci Hindu. Walau bagaimanapun, pada umumnya kitab suci mereka yang terbesar adalah terdiri daripada Veda, Undang-Undang Manu, Mahabharata, Gita, Yoga Vasishtha dan Ramayana.
Kitab Veda
Kitab Veda adalah yang terbesar malah dianggap sebagai ensiklopedia agama Hindu. Veda mengandungi cerita tentang pelbagai aspek kehidupan bangsa Arya di India pada masa lampau. Bermula daripada permukiman, pengembaraan, agama, politik, peradaban, kebudayaan, kehidupan, pergaulan, tempat tinggal, makanan, minuman, pekerjaan, mata pencarian hinggalah pada doa-doa ketuhanan. Kitab Veda terdiri daripada empat jenis, iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Sams Veda dan Athar Veda. Setiap Veda yang empat ini mengandungi empat bahagian pula iaitu Samhita, Brahman, Aranyaka dan Upanishads.
Penganut Hindu mempercayai banyak tuhan. Bagi mereka setiap kekuatan alam semula jadi sama ada mendatangkan faedah atau membahayakan adalah tuhan yang diharapkan pertolongan oleh mereka. Pada masa ditimpa kesusahan, penganut Hindu menyeru tuhan-tuhan ini supaya memberkati keturunan, harta benda serta menolong mereka untuk menentang musuh. Sebenarnya, penyembahan kepada kekuatan tabii ini tidak dijalankan secara sekali gus tetapi berperingkat-peringkat. Pada mulanya, bentuk-bentuk alam yang indah dan menarik perhatian menimbulkan kesedaran beragama pada mereka. Mereka kagum pada bentuk-bentuk ini dan terus menikmatinya. Selepas mereka bersyukur dan senang dengannya, mereka memuji-muji, kemudian menyangka bahawa bentuk-bentuk ini mempunyai roh.
Roh-roh ini dianggap mempunyai kekuatan yang tersembunyi di sebalik bentuk yang kelihatan lalu mendekatinya melalui perbuatan ibadat. Mereka menghadiahkan korban-korban dan menganggapnya sebagai tuhan-tuhan yang diseru ketika ada hajat. Oleh sebab itulah bilangan tuhan bertambah banyak dalam kalangan mereka. Apabila mereka menyembah salah satu daripada tuhan mereka, upacara korban akan dilakukan.
Memerintah dan diperintah
Dalam kalangan tuhan penganut Hindu ada yang memerintah dan diperintah, ada ketua dan sebahagiannya diketuai. Ketua dan yang memerintah menjadi tuhan segala tuhan dan dewa segala dewa. Semua makhluk dan tuhan lain berada di bawah perintahnya. Mereka menamakan tuhan ini sebagai Brahma, Vishnu dan Siva atau juga dipanggil tiga dalam satu dan satu dalam tiga.
Dalam agama Hindu, terdapat sistem kasta yang terbahagi kepada empat golongan, iaitu Brahman, Kshatriya, Vaishya dan Shudra. Golongan ini memuja lembu dan tunduk kepada peraturan kasta. Dalam Peraturan Manu, diterangkan tugas tiap-tiap golongan ini iaitu Brahman menjadi ketua agama, Kshatriya menjadi perajurit, Vaishya pula bertani dan berniaga dan Shudra memberi khidmat pada ketiga-tiga golongan yang dianggap mulia. Seseorang Brahmin menerima penghormatan daripada semua tuhan disebabkan keturunannya. Dia berhak memiliki harta benda Shudra. Seorang Brahmin tidak dikotori dosa sekalipun dia membunuh ketiga-tiga golongan itu. Raja pula diangkat daripada golongan Kshatriya. Raja mesti dihormati walaupun masih kanak-kanak kerana dipercayai bahawa sifat ketuhanan itu meresap dalam bentuk Raja yang berupa manusia. Shudra pula tidak boleh mengumpulkan harta melebihi golongan Brahmin. Perbuatan ini dipercayai dapat menyakiti golongan Brahman akibat kekotorannya.
Kesan kehadiran awal agama Hindu di Malaysia dapat dibuktikan dengan penemuan kesan binaan Hindu lama di Lembah Bujang, Kedah. Kesan ini merujuk kepada pengaruh agama Hindu sejak kurun ke-7
Masihi. Agama Hindu telah meninggalkan kesan kepada masyarakat Melayu di Malaysia. Senkritisme agama dapat dilihat dengan jelas dalam adat resam masyarakat Melayu seperti dalam upacara perkahwinan, membabitkan persandingan, pemakaian inai dan upacara menepung tawar.
Institusi agama dan pusat ibadat agama Hindu yang terkenal di Malaysia ialah Kuil Murugan di Batu Caves. Kuil itu merupakan pusat ibadat yang paling besar dan terkenal bagi penganut Hindu di Malaysia. Di hadapan pintu masuk kuil itu terdapat patung Tuhan Murugan yang besar. Ritual keagamaan di kuil diketuai oleh ketua agama yang dikenali sebagai Sami.
Tanda warna yang dipakai pada dahi penganut Hindu ialah pottu yang terdiri daripada pelbagai warna. Pottu dipakai secara berbeza oleh lelaki dan wanita yang belum berkahwin dan wanita yang sudah berkahwin. Sementara susu dan bunga juga merupakan simbol suci yang banyak digunakan dalam upacara penyembahan dewa bagi agama Hindu. Oleh itu, kebanyakan kawasan di sekitar kuil terdapat penjual bunga yang menyediakan kemudahan kepada penganut Hindu untuk bersembahyang. Ganga Snanam ialah upacara mandi minyak apabila sejenis minyak disapukan ke seluruh badan pada awal pagi pada Hari Deepavali. Upacara ini dipercayai dapat menghapuskan dosa penganutnya.
Penganut Hindu meraikan Deepavali yang biasanya disambut pada akhir Oktober atau awal November setiap tahun. Deepavali merupakan perayaan utama penganut Hindu di Malaysia. Perayaan ini bertemakan penghapusan kejahilan daripada seseorang penganutnya sesuai dengan maknanya, iaitu deretan lampu. Satu lagi perayaan Hindu ialah Thaipusam apabila penganutnya menunaikan pelbagai nazar kepada Dewa Murugan.
agama Kristian
Agama Kristian asalnya merupakan mazhab daripada kepercayaan Yahudi yang menerima Jesus daripada Nazaret sebagai messiah atau kristus. Sesetengah penganut Kristian menggelar Jesus sebagai penyelamat orang Yahudi seperti yang dijanjikan dalam Kitab Perjanjian Lama. Penganut Kristian sama ada gereja Roman Katolik, Ortodok Timur ataupun Gereja Protestan menerima Doktrin Triniti atau Tritunggal sebagai ajaran utama agama Kristian. Penganut Kristian percaya bahawa selepas berakhirnya kehidupan Jesus Christ di dunia wujud tuhan kekal di dunia dalam bentuk Roh Suci atau Roh Kudus yang terdiri daripada tiga makhluk, iaitu Bapa, Anak dan Roh Suci. Orang Kristian menganggap Jesus sebagai jelmaan tuhan iaitu tuhan yang mengambil rupa manusia; mempunyai sifat-sifat manusia. Bagi orang Kristian, Jesus meninggal dunia untuk menyelamatkan manusia daripada dosa. Tegasnya, kematian Jesus adalah untuk menyelamatkan manusia daripada dosa.
Agama Kristian mengajar bahawa tuhan menurunkan anaknya, Jesus ke dunia sebagai hamba pilihannya, yang dinamakan al-Masih, untuk menolong manusia melakukan tugas keagamaan mereka. Kitab
suci Kristian iaitu Bible mengandungi Kitab Perjanjian Lama atau Bible Ibrani dan Perjanjian Baru. Kitab tersebut mencatatkan riwayat hidup dan ajaran Jesus, perkembangan gereja pada peringkat awal dan menerangkan pengertian kepercayaan mengikut Jesus. Dua amalan penting dalam Kristian ialah pembaptisan dan Eukaris yang kedua- duanya berlangsung dalam gereja. Pembaptisan ialah upacara untuk meraikan kemasukan seseorang dalam Kristian. Sementara Eukaris atau Perhimpunan Suci atau Makan Malam Terakhir pula ialah majlis makan roti dan wine sebagai tanda perpaduan antara penganut Kristian dan Jesus.
Pemimpin gereja yang paling berkuasa ialah bishop Rom, yang dinamakan Paus di Barat dan Patriach di Constantinople di Timur. Antara perayaan suci dalam Kristian ialah Krismas, Easter dan Good Friday. Penganut Kristian digalakkan berkumpul di gereja untuk beribadat dan menjalani kehidupan yang lurus mengikut peraturan moral tuhan.
agama Sikh
Sikh merupakan kelompok agama minoriti di Malaysia. Agama Sikh dianuti oleh sebahagian besar etnik India berketurunan Punjabi di negara ini. Penganut Sikh lebih mudah dikenali dengan identifikasi pemakaian serban dan berjanggut panjang terutama lelaki. Bagi lelaki, biasanya menggunakan nama akhir Singh bermaksud singa manakala wanita menggunakan Kaur, bermaksud puteri.
Agama Sikh diasaskan oleh Guru Nanak pada tahun 1469M. Ajaran agama ini kemudiannya diteruskan dan dikembangkan oleh sembilan orang Guru lain. Agama Sikh mempercayai satu Tuhan. Kitab suci agama Sikh dikenali sebagai Sri Guru Granth Sahib Ji yang menjadi the living Guru dan sumber rujukan utama dalam kehidupan penganut Sikh. Kitab setebal 1,430 muka surat tersebut ditulis dan disempurnakan oleh Guru Sikh dan terdapat di setiap gurdwara, iaitu pusat ibadat dan kediaman orang Sikh. Kandungannya meliputi ajaran agama Sikh dan juga mazmur (hymn) bagi tujuan upacara keagamaan serta nasihat untuk panduan hidup.
Lima simbol utama dalam agama Sikh yang dikenali umum sebagai
5K, iaitu Kesh (berambut panjang), Kangha (sikat), Kara (gelang besi), Kirpan (pedang kecil) dan Kachera (seluar pendek khas). Kelima-lima simbol ini merupakan pakaian rasmi yang wajib dipakai sepanjang masa
oleh ahli Persaudaraan Khalsa, selepas menjalani upacara amrit sanskar. Upacara tersebut diperkenalkan pada tahun 1699M oleh Guru Gobind Singh, Guru Sikh yang ke-10 dan terakhir.
ritual dan upacara Keagamaan
Dalam agama Sikh, Granthi Sahib, ahli agamanya memainkan peranan penting dalam menjalankan sesuatu upacara keagamaan di gurdwara. Granthi Sahib membaca kitab suci dan menyanyikan kirtan (mazmur) serta menyampaikan katha (syarahan) tentang ajaran agama Sikh dalam bahasa Punjabi. Selalunya upacara keagamaan diakhiri dengan bacaan ardas (doa) iaitu penganut Sikh berdiri sambil merapatkan kedua-dua belah tapak tangan yang bertujuan memanjatkan kesyukuran, meminta maaf, berterima kasih atau meminta sesuatu hasrat daripada Waheguru dengan penuh keikhlasan.
Guru ka langgar, iaitu makanan berupa sayuran dimasak oleh orang Sikh di gurdwara (tempat ibadat) yang disediakan kepada pengunjungnya tanpa mengira agama. Penganut Sikh amat mementingkan seva (kerja amal) kepada umat manusia tanpa mengira agama.
Perayaan
Vaisakhi merupakan perayaan terpenting bagi penganut Sikh. Perayaan ini disambut pada bulan April setiap tahun. Pada hari tersebut, penganut Sikh mengunjungi gurdwara bersama keluarga dan sanak saudara. Mereka menuju ke darbar sahib (dewan sembahyang) tempat letaknya kitab suci. Sanggat perlu menghormati kitab suci sepanjang masa terutama ketika berada di gurdwara. Aktiviti keagamaan yang utama d?alankan semasa sambutan perayaan Vaisakhi ialah amrit sanskar (upacara pembaptisan). Upacara suci ini menandakan kesediaan penganut Sikh memohon amrit (air suci) bagi mendekatkan diri kepada Waheguru. Penganut Sikh tidak kira lelaki atau perempuan boleh menjalani upacara tersebut pada bila- bila masa tanpa sekatan umur. Namun persediaan diri terutama mental dan spiritual amat penting.
Kesh atau berambut panjang simbol terpenting bagi etnik Sikh sebagai simbol keimanan. Penganut Sikh tidak seharusnya memotong atau mencukur rambut dan bulu di mana-mana bahagian badan. Jika berbuat demikian, dia melanggar perintah Tuhan. Kangha atau sikat mempunyai
hubungan yang rapat dengan rambut, supaya rambut sentiasa bersih. Simbol ini dibuat daripada kayu dan sentiasa terletak di dalam serban. Kara atau gelang besi yang dipakai di tangan kanan untuk mengingatkan seseorang agar mengelakkan kejahatan serta melambangkan ikatan dan kepatuhan yang teguh antara pemakai dengan agamanya.
Kirpan atau pedang kecil menunjukkan bahawa seseorang yang memakainya setia dan teguh pegangan agamanya serta mempunyai iltizam yang tinggi terhadap agama. Pedang itu biasanya digunakan untuk melawan ketidakadilan, penganiayaan dan membantu golongan yang lemah, tetapi tidak boleh digunakan sesuka hati untuk menguasai orang lain. Kacha atau seluar khas pendek melambangkan kesediaan setiap waktu serta ketangkasan pergerakan dalam proses melakukan sesuatu.
Namun, tujuan sebenarnya agar penganut Sikh menjaga diri dan tidak melakukan perbuatan yang tidak bermoral seperti berzina. Selepas menjalani upacara amrit sanskar untuk menganggotai Persaudaraan Khalsa, penganut Sikh perlu mematuhi char kurahit (empat larangan) utama seperti yang telah ditetapkan oleh Guru Gobind Singh. Larangan tersebut adalah, pertama mereka tidak dibenarkan untuk memotong atau mencukur sebarang rambut di mana- mana bahagian badannya, kedua, mereka tidak boleh memakan daging kecuali yang dipotong secara jhatka, yakni sekali pancung, ketiga mereka tidak boleh meminum arak, menghisap tembakau atau dadah dan akhir sekali, mereka tidak boleh mengadakan hubungan seks selain dengan pasangan masing- masing.
animisme
Animisme ialah istilah bagi mana-mana kepercayaan yang melibatkan pemujaan roh dan semangat alam semula jadi. Kepercayaan animisme menganggap bahawa segala sesuatu di dalam alam ini termasuk benda alam yang mati mempunyai jiwa dan dapat berfikir dan berkeperibadian seperti manusia. Semangat dan kuasa luar biasa ini disifatkan sebagai tuhan. Penganutnya menyembah dan memuja batu, pokok, sungai, gunung, pokok, patung dan juga benda hasil buatan mereka sendiri seperti keris dan tombak. Ringkasnya, animisme percaya bahawa:
i. semua objek di dalam dunia ini memiliki jiwa dan hidup;
ii. adanya makhluk halus seperti hantu dan jin di gunung, sungai dan tempat keramat; dan
iii. bintang, matahari dan bulan memiliki jiwa.
Roh-roh ini terdiri daripada roh mereka yang sudah meninggal dan membawa kepada pemujaan nenek moyang; atau mungkin ada roh yang umum, yang tidak dihubungkan dengan seseorang, yang mirip dengan mana daripada kepercayaan orang di kepulauan Pasifik atau manito daripada kepercayaan orang Indian Amerika. Roh-roh ini harus dijaga agar tidak boleh dipermainkan. Dukun, orang keramat, dan ahli sihir merupakan orang penting yang menghubungkan manusia dengan makhluk halus atau roh-roh ini.
ajaran Konfucius
Konfucius ialah seorang ahli falsafah China yang terkenal pada Dinasti Chou. Konfucianisme tidak dianggap sebagai satu agama yang berunsurkan ketuhanan tetapi merupakan prinsip-prinsip hidup yang baik. Ajaran Konfucius menekankan perasaan perikemanusiaan terhadap orang lain dan harga diri. Apabila Konfucius disoal pengikutnya tentang makna perikemanusiaan, dia menjawab "kebolehan mengamalkan lima kebaikan di merata dunia adalah kemanusiaan. Kebaikan itu ialah budi bahasa, kemurahan hati, amanah, kerajinan dan sifat baik."
Ajaran Konfucius dikumpulkan oleh pengikutnya dalam bentuk buku berjudul lun-Yu atau Analekta. Ia berkenaan dengan li atau Rukun Bangsa. Antaranya ajaran Konfucius ialah bagaimana keamanan dan kepatuhan boleh dibawa kepada negaranya. Ringkasnya, ajaran Konfusius mementingkan kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan seseorang. Tabiat yang terpuji serta kelakuan yang baik, terutama sekali hormat kepada ibu bapa, orang tua dan negara adalah perkara yang dituntut daripada penganut ajaran Confucius.
ajaran Tao
Taoisme berasaskan ajaran lao Tze yang menyarankan supaya manusia menarik diri daripada duniawi dan mencari jalan bahagia secara mengasingkan diri daripada peraturan duniawi dan upacara yang merugikan. Perkara yang ideal bagi pengikut ajaran Tao ialah manusia seharusnya bebas daripada peraturan ciptaan manusia. lao Tze mengatakan bahawa perasaan tamak dan nafsu seseorang mendorongnya bertindak dengan kurang bijak dan tidak rasional. Buku-buku ajaran Tao merupakan koleksi ajaran yang bertulis dalam bentuk sajak warisan kesusasteraan yang terkenal.
Konflik agama
Secara umumnya agama sentiasa mengajar penganutnya erti kasih sayang, pengampunan dan perdamaian. Walau bagaimanapun, banyak konflik agama dapat dilihat berlaku di beberapa negara. Misalnya pada April 1992, berlaku konflik antara Bosnia-Herzegovina dengan Serbia. Pada Disember 1992 pula berlaku konflik Hindu-Islam di India. Konflik juga berlaku antara Islam-Kristian di Ambon, Maluku dan Almahera di Indonesia. Di samping itu, konflik agama turut tercetus di Tibet, Turkmenistan, Azerbaijan, Kazakhstan, Mesir, Algeria, Afghanistan, Croatia, Filipina dan Ireland Utara.
Agama menganjurkan kedamaian, namun konflik antara agama tetap berlaku. Konflik ini boleh terjadi kerana tafsiran berbeza dalam memahami ajaran agama. Terdapat juga kes agama digunakan untuk mengabsahkan sesuatu tindakan demi kepentingan politik atau ekonomi mengatasi kelompok lawan. Konflik juga boleh berlaku kerana kegagalan seseorang atau sesuatu kelompok agama untuk memahami dan seterusnya menghormati ajaran dan upacara agama orang lain.
Mencari Titik Pertemuan
Kefahaman dan tingkah laku beragama boleh memisah atau membina hubungan sesama penganut dalam sesuatu agama atau dengan penganut- penganut agama lain. Kemampuan agama dalam membina ikatan dan hubungan merentas individu dan kumpulan agama yang berlainan adalah potensi yang perlu diteliti dan perhalusi. Oleh itu, kepekaan kepada ruang sosial sedia ada amat diperlukan bagi memungkinkan peluang membawa penganut pelbagai agama bergerak ke arah persefahaman. Potensi ini harus digarap dengan berhati-hati dan berhemah agar individu dan kelompok agama yang berlainan dapat menemui satu titik pertemuan yang membolehkan hubungan mereka dijalin erat.
Shamsul (2011) melihat agama dari sudut tafsiran autoriti akan memisah dan mengasingkan penganut pelbagai agama terutama sekali apabila agama itu telah diideologi dan dipolitikkan. Dalam suasana agama dijadikan contestation sudah pasti dinding keagamaan yang dibina itu akan membawa ke arah ketegangan dan konflik. Di Malaysia perkara ini berlaku apabila dua insan membina rumah tangga bahagia dengan salah seorang meninggalkan agama asal dan menganut agama
pilihan atas dasar cinta. Namun, apabila berlaku konflik dalam hubungan perkahwinan, perbezaan agama antara keluarga pasangan tersebut menimbulkan ketegangan, bukan hanya kepada keluarga pasangan terbabit, malah juga kepada komuniti yang lebih besar. Perkara ini dapat dielak sekiranya perhubungan tersebut diurus dengan cara yang penuh hikmah.
Namun, di sebalik konflik yang berlaku yang dikaitkan dengan agama, kesemua agama memiliki nilai kesejagatan yang berpotensi untuk membina keharmonian kehidupan bermasyarakat, kestabilan dan kemajuan. Perubahan yang drastik dalam kehidupan moden terutamanya dalam bidang teknologi pengangkutan menyebabkan berlaku penghijrahan dari satu tempat ke tempat lain di setiap penjuru dunia pada hari ini. Ia mengakibatkan hampir tidak wujud lagi masyarakat yang hanya mempunyai satu agama, malah sifat masyarakat rata-ratanya adalah pelbagai agama. Mereka berada dalam persekitaran sosial yang menyebabkan mereka bertemu, berhubungan, bekerja dan tinggal bersama dengan penganut pelbagai agama.
Interaksi antara mereka mampu membina ikatan sosial yang kuat dengan perbezaan agama anutan. Contohnya ketika berlaku malapetaka seperti banjir, ahli-ahli persatuan Buddha menghulurkan bantuan beras kepada orang beragama Islam. Begitu juga seorang yang menganut animisme membantu jiran beragama Sikh untuk membersihkan rumahnya yang telah ditenggelami banjir. Malahan, pemerhatian dalam masyarakat mendapati perayaan agama dan kebudayaan seperti Hari Raya, Hari Tahun Baru Cina, Deepavali, Keamatan, Gawai Dayak dan Hari Krismas masing-masing telah dikongsi dan raikan bersama dan bazaar Ramadan dinanti-nantikan oleh penganut agama lain.
Dalam konteks perbezaan amalan beragama, masih banyak ruang nilai kemanusiaan yang boleh dikongsi bersama dan mampu mengikat individu dan kumpulan yang berbeza agama ini untuk berhubungan sesama mereka. Nilai kesejagatan tersebut yang dikongsi bersama telah membawa rakyat Malaysia untuk memilih tindakan di atas perkiraan sosial yang rasional dan dihajati bersama iaitu keharmonian, kedamaian, kekayaan, kemuliaan dan kebaikan.
Kesimpulan
Perlu diakui bahawa Malaysia mempunyai penganut dari empat agama besar dunia, iaitu Islam, Buddha, Kristian dan Hindu ditambah dengan agama-agama lain yang turut mencorakkan warna kehidupan beragama. Kebebasan beragama yang diperuntukkan oleh perlembagaan memberi ruang yang secukupnya untuk semua agama menikmati pengamalan agama masing-masing dan dalam masa yang sama mencipta suasana sosial yang harmoni dengan menghormati agama orang lain.
Kepelbagaian anutan, fahaman dan amalan agama di Malaysia merupakan suatu model yang sukar dibandingkan dengan negara luar. Jalinan hubungan antara agama yang positif perlu dipupuk agar keharmonian sosial menjadi lebih segar. Persoalan sumbangan agama dalam kehidupan multietnik sukar dinafikan dengan mengambil kira agama sebagai elemen penting kepada identifikasi etnik di negara ini. Potensi mengukuhkan hubungan antara etnik dengan pembinaan hubungan harmoni antara agama amat besar. Masyarakat Malaysia mempunyai ruang yang luas dan terbuka untuk meraikan hubungan etnik dengan pengukuhan hubungan antara penganut pelbagai agama.
Soalan Perbincangan
1. Bincangkan peranan agama dalam memupuk hubungan etnik yang
harmoni di Malaysia.
2. Bezakan antara agama samawi dengan agama ciptaan manusia.
3. Mengapakah konflik agama berlaku?

2 comments: