Monday, November 12, 2012

TAJUK 09


Pengalaman harian: Menjalin Kesepaduan dan Melahirkan Keharmonian
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memahami kepelbagaian pengalaman harian yang dapat menyatukan pelbagai etnik.
2. Memelihara nilai kepelbagaian sebagai teras kesepaduan sosial.
3. Memperkukuh jati diri melalui kepelbagaian pengalaman harian etnik.
Pengenalan
Malaysia memiliki keistimewaan yang berkait rapat dengan ciri-ciri latar belakang masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai etnik. Mereka saling berhubungan dengan menggunakan bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian sehingga membolehkan mereka bertutur dengan fasih. Keadaan ini menunjukkan masyarakat Malaysia dapat hidup bersatu walaupun mempunyai bahasa, agama dan kepercayaan yang berbeza. Keadaan yang saling berhubungan antara individu dengan individu dan antara kelompok dengan kelompok lain dalam kehidupan harian mereka memang tidak dapat dielakkan. Hal ini didorong oleh keadaan saling bergantungan untuk kelangsungan hidup kerana tidak ada individu mahupun kelompok yang sempurna kebolehan, keupayaan dan kehendak naluri mereka dalam usaha untuk memenuhi keperluan hidup harian masing-masing. Tanpa disedari perlakuan saling kebergantungan ini terus diulang dan dalam tempoh yang lama menzahirkan hubungan berbentuk kesepaduan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam masyarakat pelbagai etnik.
Hubungan baik yang terjalin antara individu atau kelompok yang berbeza latar belakang budaya, agama dan bahasa biasanya berlaku tanpa paksaan. Pengalaman harian yang terhasil daripada hubungan tersebut pula berlaku dalam pelbagai suasana dan ruang lingkup yang luas seperti menerusi perkongsian dalam aspek makanan, kesenian dan media. Secara kebetulan ketiga-tiga aspek tersebut memainkan peranan penting dan memberikan impak yang besar sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam proses membina kesepaduan antara etnik.
Kepelbagaian Makanan etnik
Pemangkin Perpaduan
Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 sebagai sebuah negara berdaulat dengan identiti nasional tersendiri, penubuhan ini diikuti dengan pembentukan satu bangsa Malaysia yang saling hormat-menghormati dan memahami dalam kalangan rakyatnya yang berbeza latar belakang budaya, bahasa, agama dan keturunan. Kesemua kumpulan etnik yang sedia ada diberi kebebasan mengamalkan cara hidup masing-masing termasuk perkara yang berkaitan dengan warisan budaya mereka seperti dalam aspek makanan. Kepelbagaian makanan yang merupakan warisan pelbagai etnik di Malaysia pada hari ini sebenarnya telah turut sama menyumbang kepada keunikan masyarakatnya.
Aspek kepelbagaian makanan memberikan ruang kepada pembentukan kesepaduan sosial yang mencerminkan latar belakang kehidupan masyarakat Malaysia yang bersifat pelbagai. Setiap kumpulan etnik memiliki warisan jenis makanan yang beraneka warna dan rasa serta memaparkan sejarah masakan yang menarik untuk diketahui, dipelajari dan seterusnya dimiliki bersama. Keadaan ini telah menjadikan Malaysia memiliki aset yang amat bernilai dari segi kepelbagaian makanan yang bukan hanya menyumbang dalam proses mengeratkan ikatan perpaduan tetapi juga sebagai satu daripada produk yang menarik dalam industri pelancongan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Dalam sektor pelancongan, promosi Malaysia sebagai destinasi
‘syurga makanan’ dengan tema Malaysian Cuisines merupakan salah satu asas kepada penonjolan pelbagai jenis makanan merentas etnik yang turut membentuk identiti masyarakat Malaysia. Dalam promosi tersebut nasi lemak sebagai contoh merupakan sajian yang popular di
Malaysia kerana keenakannya dan nasi ini pula mudah disediakan. Nasi lemak yang pada asalnya sebagai hidangan untuk sarapan pagi dalam kalangan etnik Melayu tetapi kini telah menjadi pilihan semua etnik di Malaysia. Bertitik tolak daripada menjadi hidangan sarapan pagi, namun kerana penerimaan meluas dalam kalangan masyarakat setempat dan antarabangsa, kini nasi lemak bukan sahaja untuk hidangan sarapan pagi tetapi boleh didapati sepanjang masa dan setiap hari.
Nasi lemak yang pada satu ketika dahulu hanya dinikmati di rumah tetapi kini nasi lemak dapat diperoleh di tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti di gerai makanan, restoran malah di tempat makan yang eksklusif. Dalam konteks kesepaduan sosial sama ada disedari ataupun tidak nasi lemak berperanan memupuk kekuatan ikatan kesepaduan tersebut. Hal ini berlaku kerana pengalaman pelbagai etnik yang makan nasi lemak telah mengetepikan stereotaip bahawa nasi lemak adalah milik etnik Melayu, sebaliknya beranggapan nasi lemak sudah menjadi milik bersama.
Pengalaman harian dalam aspek makanan yang memupuk kesepaduan sosial juga berlaku menerusi pengambilan jenis makanan popular etnik lain. Makanan daripada pelbagai jenis mi, sup, dim sum dan kuih pau misalnya, adalah antara makanan kegemaran etnik Cina tetapi makanan tersebut juga digemari oleh etnik lain di Malaysia. Begitu juga dengan makanan rojak, capati, tose dan pelbagai masakan berkari yang popular dalam kalangan etnik India dan beberapa jenis makanan daripada kalangan etnik di Sabah dan Sarawak seperti umai, ambuyat atau linut dan ayam pansuh menjadi kegemaran masyarakat pelbagai etnik yang secara tidak langsung menyumbang kepada kesepaduan sosial.
Makanan dan ruang Sosial dalam Konteks hubungan etnik
Makanan merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia untuk memenuhi keperluan biologi dan sosiologi. Makanan berperanan menyatupadukan pelbagai etnik dalam sesebuah masyarakat dan sebaliknya makanan juga dapat membahagikan individu kepada kumpulan sosial tertentu dalam masyarakat. Penyatupaduan dan pembahagian tersebut bergantung kepada bentuk ruang sosial sesuatu makanan mengikut fungsinya dalam masyarakat khususnya masyarakat pelbagai etnik.
Cara makan dan jenis makanan yang tidak boleh dimakan oleh individu atau kelompok masyarakat membentuk ruang sosial makanan kepada dua, iaitu ruang awam dan ruang bukan awam. Pembentukan kedua-dua ruang tersebut boleh memberi kesan tidak sihat ke atas hubungan antara etnik yang berbeza latar belakang budaya dan agama. Oleh itu penyesuaian dilakukan supaya membolehkan pelbagai etnik turut serta menikmati juadah yang disajikan dalam kedua-dua ruang sosial makanan tersebut. Rajah 9.1 menjelaskan fungsi kedua-dua ruang sosial makanan yang boleh dilakukan penyesuaian tanpa menjejaskan fungsi asal.
RAJAH 9.1: Ruang Sosial Makanan
Model Sosial Makanan Masyarakat Pelbagai Etnik di Malaysia
Ruang Awam
Tidak berkaitan dengan acara keagamaan atau kepercayaaan tetapi ada kalanya boleh berkaitan dengan acara keraian keagamaan.
Contoh: Perayaan yang boleh dikongsi bersama.
Ruang Bukan Awam
Berkaitan dengan acara keagamaan atau kepercayaan.
Contoh: Makanan larangan berkaitan dengan acara tertentu dalam meraikan keagamaan.
Peranan Makanan dalam Kesepaduan Sosial
Melangkaui makanan yang berhubung kait dengan larangan agama terutama melalui tahap kefahaman dan hormat antara satu sama lain.
Dalam konteks ruang awam, sebagai contoh majlis perkahwinan etnik Melayu dan jamuan hari raya turut dihadiri oleh masyarakat pelbagai etnik. Beraneka juadah disediakan supaya ada pilihan kepada tetamu yang tidak boleh makan juadah yang dilarang mengikut kepercayaan agama mereka. Dalam majlis berkenaan juadah seperti rendang daging lembu ialah makanan larangan kepada etnik India dan sebagai pilihan disediakan juadah daripada ayam dan kambing. Begitu juga sebaliknya jika etnik Melayu yang menjadi tetamu dalam majlis yang diadakan oleh etnik India, sajian ayam ataupun kambing yang dihidangkan mestilah halal, iaitu yang telah disembelih mengikut cara Islam. Tindakan
kolektif seperti ini menunjukkan tahap kefahaman dan sikap hormat- menghormati terhadap budaya dan agama etnik yang berbeza dan berlaku secara semula jadi yang seterusnya dapat mengeratkan ikatan kesepaduan sosial.
Dalam bentuk ruang awam yang lain, makanan terus menjadi simbol persahabatan dan keakraban yang begitu unik dikongsi bersama oleh pelbagai etnik di Malaysia. Semasa bulan Ramadan contohnya, bazaar Ramadan dan bufet Ramadan yang ditawarkan di hotel dan di restoran menyajikan makanan yang pelbagai gabungan antara masakan tradisi Melayu dan makanan antarabangsa. Pilihan sajian ini menarik minat masyarakat bukan Melayu untuk datang dan membeli makanan yang disediakan.
Bagi rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, suasana berkenaan merupakan peluang untuk mereka merasai masakan tradisi Melayu yang digemari. Bulan Ramadan juga menyaksikan ramai rakan yang bukan beragama Islam menghadiri majlis berbuka puasa rakan Islam mereka, dan mereka turut memberi penghormatan menunggu sehingga waktu berbuka untuk makan bersama. Kesepaduan sosial yang terjalin, terus dapat dilihat dalam majlis rumah terbuka sempena sambutan hari raya dan perayaan etnik yang lain. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik akan berduyun-duyun datang menghadiri majlis tersebut sama ada yang dianjurkan oleh rakan atau jiran, jawatankuasa kawasan tempat tinggal mereka ataupun rumah terbuka yang dianjurkan oleh pemimpin ataupun jamuan rumah terbuka hari raya yang diadakan pada peringkat kebangsaan. Majlis rumah terbuka yang melibatkan pelbagai etnik ini sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk bertegur sapa, beramah mesra, bertanya khabar dan berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara. Suasana ini dapat memupuk sikap bertoleransi antara satu sama lain kerana dengan mengadakan sesuatu majlis, mereka akan mengajak jiran dan kenalan tanpa mengira taraf, status atau keturunan masing-masing.
Makanan yang termasuk dalam ruang bukan awam pula ialah makanan yang dikaitkan dengan acara keagamaan atau kepercayaan. Contohnya, dalam majlis aqiqah bagi orang Islam, daging yang dimasak bagi majlis tersebut tidak boleh dihidangkan kepada orang bukan Islam. Rakan-rakan dan keluarga yang bukan Islam tetap boleh hadir dalam majlis tersebut tetapi mereka dihidangkan dengan masakan yang berbeza dan keadaan ini tidak dianggap sebagai beban kepada tuan rumah.
Kemeriahan majlis yang disambut oleh pelbagai etnik adalah lebih bermakna kerana kesepaduan sosial dapat dibentuk daripada interaksi sedemikian.
Hidangan pelbagai jenis makanan tradisi mahupun moden yang disajikan dalam majlis atau upacara tertentu sesuatu etnik yang dihadiri oleh etnik lain di negara ini memberikan impak dalam hubungan antara mereka. Kesepaduan sosial boleh dilihat dengan jelas semasa rakyat Malaysia meraikan perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Kaamatan dan Hari Gawai. Dalam setiap perayaan tersebut, makanan menyatukan semua melalui hidangan jamuan yang disediakan. Manakala dalam kehidupan harian kesepaduan sosial menerusi makanan ini dapat disaksikan di tempat-tempat makan umum seperti di restoran milik etnik Melayu, restoran Mamak yang biasanya beroperasi dua puluh empat jam, restoran Kopitiam milik etnik Cina atau Melayu, atau di tempat makan yang eksklusif. Pelbagai etnik bertumpu di tempat berkenaan, menikmati makanan yang juga bersifat pelbagai dan secara tidak langsung interaksi antara etnik berlaku lalu membentuk kesepaduan sosial yang lestari.
Sesungguhnya Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi ditambah dengan keunikan latar belakang masyarakatnya. Gabungan daripada kedua-dua elemen tersebut menawarkan kepelbagaian hidangan makanan warisan pelbagai etnik dan berperanan pula mewujudkan kesepaduan sosial melalui amalan pemakanan harian masyarakat tanpa memikirkan perbezaan latar belakang budaya antara mereka.
Kesenian Pelbagai etnik dan Kesepaduan Sosial
Keperluan lain dalam kehidupan manusia selain daripada makanan untuk memenuhi tuntutan jasmani ialah keperluan terhadap tuntutan rohani. Walaupun memenuhi keperluan rohani hanya bersifat relatif dan tidak bersifat mutlak tetapi keperluan ini tetap merupakan sumber penting kepada manusia untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Keperluan rohani dapat dipenuhi menerusi beberapa sumber seperti daripada himpunan seni dalam bentuk alunan muzik, nyanyian, tarian, sukan, seni lukis dan bentuk-bentuk kreativiti lain yang dapat memberikan ketenangan, hiburan dan melegakan tekanan dalam kehidupan manusia.
Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik kaya dengan pelbagai corak seni warisan yang menggambarkan identiti etnik masing- masing. Malah penerimaan, penghormatan dan pengiktirafan masyarakat kepada kepelbagaian corak seni tersebut menjadi salah satu unsur penting dalam usaha memupuk kesepaduan sosial. Penerimaan, penghormatan dan pengiktirafan masyarakat terserlah khususnya terhadap karya seni nukilan karyawan tempatan, di samping dapat membentuk hubungan sosial dalam proses penghasilan dan penghayatan setiap karya.
Kesepaduan sosial dalam hubungan antara etnik yang terhasil daripada aktiviti seni boleh dilihat dalam dua keadaan. Pertama, kesepaduan sosial yang wujud sewaktu proses penghasilan sesuatu bentuk seni itu dijalankan. Umpamanya, dalam kerja menghasilkan karya muzik memerlukan komposer muzik, penyanyi, jurutera bunyi, alatan muzik, penulis lirik, penggubah lagu dan lain-lain aspek yang berkaitan. Proses penghasilan karya muzik juga melibatkan pelbagai kemahiran dan dalam konteks masyarakat Malaysia, kemahiran tersebut biasanya diperoleh daripada himpunan kemahiran pelbagai etnik. Pembahagian kerja yang begitu rencam membentuk suatu jalinan hubungan yang saling bergantungan untuk memastikan sesuatu karya seni bermutu dapat dihasilkan yang akan dinikmati oleh masyarakat sebagai pengisian kepada keperluan rohani mereka.
Kedua, adalah kesepaduan sosial yang boleh dilihat dalam produk seni berkenaan. Mengambil satu contoh daripada penghasilan sebuah karya muzik, komposer muzik adalah daripada etnik Cina yang mendapat pendidikan muzik dari Barat dan pada masa yang sama ingin mengetengahkan bunyi daripada alat muzik tradisional Cina. Penulis lirik pula dari Sarawak yang ingin menghasilkan lirik yang sesuai dengan selera pendengar dalam kalangan etnik Melayu. Setelah selesai proses mencipta muzik dan lagu, pemilihan penyanyi pula tidak semestinya daripada etnik Melayu sahaja tetapi gabungan penyanyi daripada pelbagai etnik. Kerjasama daripada pelbagai etnik tersebut telah menghasilkan suatu bentuk karya muzik yang sempurna mengandungi unsur muzik campuran pelbagai etnik dan didengar serta dinikmati juga oleh masyarakat pelbagai etnik.
Banyak contoh lain yang boleh diambil daripada karya seni muzik dan filem tempatan yang menggambarkan berlakunya kesepaduan sosial dalam kehidupan masyarakat Malaysia seawal zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dahulu. P. Ramlee melalui karya muziknya telah
menggubah lagu-lagu yang memuatkan unsur pelbagai etnik seperti dalam lagu “Aci-Aci Buka Pintu” dan lagu “Haiya Cik Siti”. Begitu juga dalam filem-filem yang beliau hasilkan yang memuatkan watak bukan Melayu yang mencerminkan kewujudan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Karyawan selepas beliau hingga hari ini sama ada daripada etnik Melayu ataupun bukan Melayu tidak putus-putus menghasilkan karya yang menggambarkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia.
lagu “Pergi” nyanyian Aizat yang memenangi Anugerah Juara lagu Ke-24 pada 2009 sebagai satu contoh unik dan amat baik untuk memahami bagaimana karya seni itu terhasil daripada gabungan kerjasama pelbagai etnik. Lagu tersebut dicipta oleh Pete Teo yang berasal dari Sabah manakala liriknya pula digubah oleh Amran Omar dan dinyanyikan oleh Aizat dengan iringan alat muzik tradisional Cina yang dipanggil erhu. Lebih menarik lagi pada malam pertandingan Anugerah Juara lagu tersebut ialah alunan muzik daripada erhu hasil gesekan oleh seorang gadis Melayu yang bertudung. Manakala muzik pembukaan lagu “Pergi” dimulakan dengan petikan bunyi sitar sebuah alat muzik tradisional India diikuti dengan alunan suara merdu seorang penyanyi wanita India yang mengalunkan irama lagu “Pergi” dalam lenggok lagu tradisional India iaitu sebelum nyanyian diteruskan oleh Aizat.
Filem “Sini Ada Hantu” juga terhasil daripada gabungan dan kerjasama penggiat seni yang terdiri daripada pelbagai etnik. Filem ini diterbitkan oleh Gayatri Su-lin Pillai dan jalan ceritanya ditulis dan seterusnya diarahkan oleh James lee. Penataan sinematografinya diterajui oleh Lai Chee Kheong dan suntingannya dilakukan oleh Chiang Yan Shieh. Filem ini membariskan pelakon daripada pelbagai etnik, iaitu Baki Zainal dan Alvin Wong yang memegang watak utama dibantu oleh Fasha Sandha, Patrick Teoh, Mano Maniam, Kuswadinata, Mandy Chen, Amerul Affendi, Pete Teo, Eira Syazira dan ramai lagi.
Gabungan dan kerjasama pelbagai etnik bukan sahaja dilihat dalam proses menghasilkan “Sini Ada Hantu” sebagai suatu karya seni dalam bentuk filem, tetapi juga dipaparkan melalui kepelbagaian dalam jalan cerita filem tersebut. Terdapat tiga cerita hantu dalam filem ini iaitu hantu pokok pisang (hantu dalam etnik Melayu), hantu nombor ekor (hantu dalam etnik Cina) dan hantu Jepun (hantu asing yang wujud dalam cerita hantu pelbagai etnik di Malaysia).
Seterusnya pengalaman harian dalam kalangan kanak-kanak pelbagai etnik juga dapat menyemai benih kesepaduan sosial dan menghasilkan kehidupan harmoni. Suasana ini dipaparkan menerusi sebuah program kartun di televisyen yang popular dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia pada hari ini iaitu “Upin dan Ipin”. Program berbentuk kartun ini diterbitkan oleh Syarikat Les Copaque Sdn. Bhd. hasil kerja berpasukan yang terdiri daripada Tan Shiek Wei, Usamah Zaid, Shafiq, Tan Ying Sowk, Mohd Faiz dan Fuad Md. Din. Muzik yang melatari “Upin dan Ipin” pula digubah oleh Yuri Wong dari The Factory Muzic Studio. Gabungan pelbagai etnik dalam kerja penghasilan program tersebut membentuk ikatan sosial yang saling berkait dan saling bergantungan antara satu sama lain.
Jika diteliti setiap episod “Upin dan Ipin” karektor kanak-kanak daripada pelbagai etnik yang terdapat di Malaysia diketengahkan dan menghidupkan jalan cerita siri kartun ini. “Upin dan Ipin” sarat dengan nilai murni yang boleh bertindak sebagai alat dalam usaha mendidik kanak-kanak bermula daripada peringkat awal usia mereka untuk mengenal, memahami dan menghormati kepelbagaian budaya yang terdapat dalam kehidupan harian mereka.
Hubungan sosial dalam ruang kesenian di Malaysia saling terkait dan saling bergantungan merentas etnik dan menyumbang kepada pemupukan kesepaduan sosial. Keadaan ini juga terserlah dalam karya seni yang lain seperti seni lukis yang dihasilkan oleh pelukis tempatan Chuah Thean Teng dan Sam Karuna dalam lukisan batik moden.
Chuah Thean Teng
Chuah Thean Teng seorang pelukis keturunan etnik Cina dan beliau menggunakan corak batik dalam karya lukisan beliau manakala subjek utama dalam lukisannya ialah kehidupan di perkampungan Melayu. Karya yang dihasilkan sarat dengan unsur akulturasi apabila beliau mengubah teknik lukisannya yang berlatarbelakangkan negara China, tempat beliau mendalami ilmu seni lukis kepada teknik tempatan iaitu corak batik dalam bentuk lukisan moden yang paling halus. Dalam hal ini, Chuah bukan sahaja memartabatkan perkampungan Melayu dalam lukisan beliau tetapi telah menjadikan corak batik sebagai medium dan beliau telah mendapat julukan sebagai ‘Bapa Lukisan Batik Moden Malaysia’.
Sam Karuna
Sam Karuna ialah seorang lagi pelukis bukan Melayu yang menggunakan batik sebagai medium dalam lukisan beliau. Beliau giat menghasilkan karya lukisan batik sejak tahun 1970-an lagi dan telah membuka Pusat Lukisan Seni Halus Batik Sam Karuna untuk mempopularkan lagi lukisan batik bukan sahaja kepada rakyat tempatan, tetapi juga kepada penggemar lukisan tersebut daripada luar negara. Sam juga telah memperbaharui teknik lukisannya melalui medium batik dengan memperkenalkan teknik
‘dyetic’ sebagai suatu teknik yang terhasil daripada proses penyatuan antara teknik tradisonal dengan teknik baharu yang beliau cipta sendiri.
Sam Karuna berketurunan daripada etnik India menghasilkan lukisan menggunakan corak batik yang popular dalam kalangan etnik Melayu seterusnya mengajar teknik lukisan batik kepada pelajar beliau yang terdiri daripada pelbagai etnik – Melayu, Cina, India, Jepun dan Eropah. Interaksi yang akrab merentas etnik ini menyumbang kepada kesepaduan sosial walaupun dibatasi oleh latar belakang budaya, bahasa dan agama yang berbeza antara satu sama lain.
Usaha oleh pelbagai pihak yang menerapkan elemen kepelbagaian etnik dalam kreativiti seni mereka mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan. Pusat latihan, dewan kesenian, Balai Seni Lukis Negara, sekolah serta institusi pengajian kesenian seperti Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) disediakan oleh kerajaan sebagai wadah untuk mendalami aspek seni yang pelbagai sesuai dengan aspirasi negara. Galakan dalam bentuk pemberian dana untuk penghasilan sesuatu karya seni juga diberikan oleh kerajaan untuk memartabatkan lagi kreativiti unik gabungan seni pelbagai etnik.
Media dan Kesepaduan Sosial
Pada Malam Wartawan 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi ucapan berkaitan dengan dasar, politik dan media. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa media perlu bekerja dangan dasar yang betul. Antara yang disenaraikan ialah ketelusan dan akauntabiliti, keadilan dan laporan yang bertanggungjawab. Menurutnya lagi, media amat penting dalam membina kredibiliti negara. Dengan adanya media terutama media cetak dan penyiaran, masyarakat lebih terpengaruh dan memberi tindak balas dengan cepat ke atas apa yang diterima.
Hakikatnya, media bukan sahaja merupakan cermin kepada masyarakat, malahan media juga merupakan alat perubahan kepada sesuatu masyarakat. Media yang dimaksudkan merujuk kepada alat untuk mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam konteks moden. Media berfungsi untuk menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan. Dalam sistem demokrasi seperti di Malaysia, media merupakan sumber primer dalam komunikasi massa. Tambahan pula, kini media bersifat universal tanpa sempadan. Jenis dan fungsi media juga semakin canggih selari dengan perkembangan arus modenisasi pada masa kini.
Media massa dapat diklasifikasikan kepada dua kategori, iaitu media cetak dan media elektronik. Media cetak terdiri daripada sumber bertulis seperti surat khabar, majalah, buku, novel, dan bahan bertaip yang lain. Manakala media elektronik pula terdiri daripada televisyen, radio, internet, blog, telefon bimbit, dan sebagainya. Perkembangan teknologi telah meningkatkan saiz, kepantasan dan kecekapan media tradisional serta melahirkan bentuk-bentuk media baharu khususnya yang bersifat digital dan elektronik dan semakin mampu dimiliki ahli masyarakat.
Kini televisyen merupakan medium komunikasi yang paling berpengaruh. Oleh yang demikian, medium ini adalah cara yang paling sesuai untuk media memainkan peranannya. Hampir seluruh masyarakat dunia mampu mengadakan dan menonton televisyen. Televisyen yang bersifat memiliki aspek audio dan visual ternyata lebih berkesan berbanding dengan media cetak. Hal ini kerana sambil seseorang itu mendengar, individu tersebut juga boleh melihat. Kesannya lebih ketara khususnya kepada bidang pemasaran iaitu komunikasi pengiklanan. Bagi mempromosikan perpaduan etnik terutamanya menerusi konsep “1Malaysia”, sebuah syarikat telekomunikasi, iaitu TM telah membuat satu iklan khidmat masyarakat yang ditayangkan di stesen-stesen televisyen negara.
Iklan yang dihasilkan oleh TM diberi tajuk “1Malaysia - As One We Care”. Panjang iklan ini ialah 2.02 minit. Iklan ini adalah berteraskan ideologi 1Malaysia yang diterapkan dalam masyarakat melalui media. Syarikat Telekomunikasi TM telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan “1Malaysia-As One We Care” yang menggambarkan situasi masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan saling membantu antara satu sama lain.
Iklan “1Malaysia-As One We Care” telah mengajar bagaimana semangat setia kawan terjalin menerusi jemputan daripada pelbagai etnik yang sama-sama meraikan sambutan hari lahir kanak-kanak India (Citra) dan kelihatan mereka begitu gembira bergaul antara satu sama lain. Mereka tidak kekok dalam menjalinkan hubungan persahabatan. Sikap seperti ini sememangnya perlu dididik dan diasuh sejak kecil lagi. Bak kata pepatah Melayu, ‘kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.
Iklan “1Malaysia-As One We Care” telah menayangkan interaksi pelbagai etnik dalam suasana yang harmoni tanpa mengira usia. Iklan ini juga memberi kesedaran pada penghujungnya bahawa setiap manusia walaupun berlainan bangsa dan agama tetap mempunyai jenis darah yang sama. Penggunaan mesej ini memberi satu nilai komunikasi yang berkesan. Melalui iklan “1Malaysia-As One We Care”, pada akhir penerapan konsep itu melihatkan keberkesanan peranan yang telah dimainkan oleh media. Jika kesannya berakhir dengan sesuatu yang positif dan dapat mempengaruhi masyarakat Malaysia khususnya, pastinya ganjaran yang tidak ternilai akan diperoleh dalam kehidupan harian, iaitu suasana aman damai dan bersatu padu antara etnik.
Penekanan aspek perpaduan dan penghayatan terhadap konsep “1Malaysia” dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan meletakkan media sebagai perantara yang penting dan mampu membuka mata masyarakat Malaysia untuk memahami usaha tersebut. Media memberikan sumbangan yang besar dalam pembentukan perpaduan. Pelbagai peranan dan fungsi telah digerakkan oleh media sama ada media cetak ataupun media elektronik. Dalam contoh tersebut penekanan dibuat kepada media elektronik, iaitu melalui iklan khidmat sosial yang dilaksanakan oleh Syarikat TM. Banyak lagi iklan sedemikian oleh syarikat lain sama ada dalam bentuk media cetak ataupun media elektronik yang memaparkan keterlibatan pelbagai etnik dalam amalan harian dan inisiatif ini adalah sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Begitu juga dengan organisasi dan jabatan kerajaan yang tidak putus-putus menerbitkan pelbagai jenis iklan pesanan khidmat sosial yang menjurus kepada perpaduan.
Media sangat berkesan dijadikan alat penyampai kepada sebarang bentuk tujuan khususnya jika bermaksud untuk menerapkan nilai- nilai yang mendorong kepada perpaduan etnik. Media membantu menerapkan nilai-nilai luhur sambil membentuk rakyat yang berfikir.
Apabila Perdana Menteri mencetuskan gagasan 1Malaysia, beliau telah menjadikan konsep tersebut sebagai satu agenda yang ditetapkan oleh kepemimpinan beliau. Oleh itu, seluruh media telah menyalurkan konsep 1Malaysia sebagai satu bahan berita yang penting sehingga seluruh warga merasakan konsep ini perlu diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka. Ulasan tentang konsep1Malaysia dan perpaduan telah diuar-uarkan hari demi hari untuk diperkatakan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, iklan yang berunsurkan perpaduan ini biasanya banyak dan kerap ditayangkan pada waktu tertentu sahaja seperti dalam bulan kemerdekaan dan sempena hari perayaan sesuatu kumpulan etnik. Sambutan hari kemerdekaan pada bulan Ogos setiap tahun misalnya, banyak iklan berunsurkan perpaduan akan ditayangkan. Media wajar dan perlu sentiasa menayangkan iklan sebegini sepanjang masa supaya warga Malaysia lebih peka dan menghayati erti perpaduan yang dipaparkan.
Selesai sahaja bulan Kemerdekaan, tiba pula hari perayaan bagi masyarakat Melayu, iaitu Hari Raya Puasa. Sudah menjadi tradisi bagi negara Malaysia setiap perayaan dikongsi bersama oleh masyarakat lain yang berbilang etnik dan agama. Amalan rumah terbuka sememangnya suatu kebiasaan pada setiap perayaan. Amalan ini menggalakkan rakyat yang berbilang etnik untuk saling berkunjung sambil mengetahui secara lebih dekat tentang budaya dan adat resam rakan dan taulan daripada etnik lain. Dalam hal ini media juga tidak ketinggalan untuk memberikan liputan dan menonjolkan nilai-nilai murni yang memberi impak secara langsung dalam kehidupan harian antara etnik.
Tidak lama selepas perayaan tersebut menyusul pula sambutan Deepavali pada tahun yang sama juga telah dirayakan bersama oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya. Pelbagai jenis iklan yang menonjolkan masyarakat Malaysia berbilang etnik hidup bersatu padu dan harmoni telah memenuhi ruang kaca televisyen setiap rumah di negara ini. Keadaan ini menunjukkan berlaku perubahan positif pada akhir-akhir ini berbanding dengan keadaan sebelumnya kerana iklan yang berunsurkan perpaduan kurang mendapat tempat sama ada di kaca televisyen ataupun dalam media cetak.
Lanjutan daripada keadaan itu, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah menerbitkan beberapa iklan pesanan khidmat sosial yang berkaitan dengan perpaduan. Begitu juga dengan Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang turut menerbitkan beberapa iklan berbentuk perpaduan etnik. Antaranya, iklan yang menceritakan tentang perkahwinan campur yang dilakonkan oleh kanak- kanak Melayu, Cina dan India. Perkahwinan campur juga adalah salah satu cara berkesan yang telah diterima dengan baik untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan etnik.
Oleh yang demikian, iklan perkahwinan campur yang dihasilkan telah memberikan mesej yang mudah difahami oleh penerima, iaitu masyarakat Malaysia kerana cinta tidak mengenal bangsa dan keturunan. Tambahan pula, iklan seperti itu merupakan salah satu pengisian oleh media untuk memberi informasi dan bagi tujuan mendidik di samping dapat menghiburkan kumpulan sasarannya. Secara umumnya iklan dan pesanan khidmat sosial seperti itu boleh berunsur berat mahupun ringan. Namun yang lebih penting ialah keberkesanannya dan jika selalu ditayangkan oleh semua saluran televisyen sama ada saluran kerajaan ataupun swasta, akan menjadi satu panduan kepada masyarakat.
Begitu juga dengan media dalam bentuk lain seperti perfileman dan dokumentari. Pengisiannya juga tidak ketinggalan daripada menyemai nilai-nilai perpaduan yang unik kepada pengukuhan masyarakat Malaysia. Sebagai salah satu cara untuk menceritakan kehidupan warga Malaysia, para pembikin filem dan ramai pengarah muda telah menghasilkan 15 buah filem pendek pada tahun 2009. Filem-filem pendek ini hanya mengambil masa antara 3 hingga 7 minit, tetapi berjaya memberikan impak positif kepada penonton. Mereka yang terlibat dalam pembikinan filem pendek ini ialah Yasmin Ahmad, Ho Yuhang, James lee, Tan Chui Mui, Amir Muhammad, Datuk Seri liow Tiong lai, Amber Chia, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Sharifah Amani, Jason lo, Khairy Jamaluddin, Harith Iskandar, Datuk Zaid Ibrahim, Daphne Iking, Tian Chua, Sarah Lian, Serena C, Patrick Teoh, Baki Zainal dan Ida Nerina.
Ahli politik dan para pemimpin juga turut memberikan kerjasama dalam menghasilkan filem pendek yang menceritakan kehidupan seharian sebagai seorang warga Malaysia. Filem pendek yang terhasil adalah seperti Halal, Potong Saga, Chocolate, The Tree, House, The Son, Lumpur, Lollipop, One Future, Gerhana, Meter, Duit Kecil, Rojak, Slovak Sling dan Healthy Paranoia.
Filem-filem pendek ini merupakan kisah yang berlaku dalam
kehidupan seharian rakyat Malaysia. Sekiranya rakyat mengamalkan cara
hidup yang sihat dan menerima serta memahami adat dan kepercayaan setiap etnik, maka tidak ada isu yang akan ditimbulkan. Semua perkara yang terlibat dalam amalan hidup harian seperti dalam pentadbiran, pendidikan, makanan dan pergaulan dapat diterima dengan baik. Perasaan hormat-menghormati dan toleransi juga menjadi tonggak yang kukuh menyuburkan kehidupan setiap individu sebagai bangsa Malaysia yang penuh berwarna-warni.
Sehubungan dengan itu, pada 18 Oktober 2009, sambutan dan perasmian 1Malaysia di Perak telah dijalankan. Seramai enam orang rakyat negeri Perak telah diberi anugerah Ikon 1Malaysia. Antara penerimanya ialah Allahyarham Yasmin Ahmad dan kartunis Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohamad Nor Khalid. Mereka berdua telah berjaya membawa kehidupan rakyat Malaysia yang sebenar melalui layar perak dan pemaparan di dada akhbar. Dalam hal ini, peranan media sebagai perantara untuk menyampaikan mesej kesepaduan sosial terbukti berkesan, di samping dapat menyuntik semangat perpaduan etnik yang berterusan di Malaysia.
Selain daripada itu beberapa syarikat telah turut menyiarkan iklan, termasuk yang berbentuk jenaka dan yang memilukan. Contohnya iklan Petronas sering memaparkan semangat perpaduan dan semestinya perlu diberikan kredit. Iklan yang ditaja oleh syarikat Giant pula amat bermakna kepada masyarakat apabila jiran daripada etnik Cina dan etnik India datang untuk membantu menghias rumah jiran Melayu sempena Hari Raya yang jelas memaparkan semangat perpaduan dan semangat kejiranan.
Program TV yang memaparkan kesepaduan sosial menerusi program ulasan sukan seperti Bola@Mamak yang disiarkan menerusi saluran sukan ASTRO SuperSport juga menarik untuk ditonton terutama oleh penggemar sukan bola sepak. Lebih menarik lagi kerana restoran mamak yang dijadikan premis penggambaran begitu popular dengan aneka jenis makanan yang serasi dengan selera pelanggan daripada pelbagai etnik. Pengacara program tersebut pula adalah daripada etnik India yang turut disertai oleh pengulas sukan daripada etnik Melayu, Cina, Serani dan pengulas jemputan dari luar negara.
Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) juga tidak ketinggalan menganjurkan pertandingan “Malaysia You Love Contest” yang bertujuan mencari idea kreatif orang ramai dalam menzahirkan keunikan Malaysia yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan. Bagi menyertai
pertandingan tersebut para peserta dikehendaki memuat naik imej yang mereka rasa dapat melambangkan Malaysia berserta keterangan gambar tersebut di Malaysia Airlines Facebook Fan. Pertandingan seumpama ini merupakan satu lagi contoh bagaimana media elektronik dapat menyemai semangat kekitaan dan menzahirkan kesedaran terhadap elemen yang mengukuhkan perpaduan etnik dengan cara yang mudah tetapi berkesan.
Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) pada masa kini juga amat berperanan dalam konteks hubungan etnik yang menyumbang kepada kewujudan kesepaduan sosial. Perkembangan ICT membawa kepada penggunaan internet secara meluas yang mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak kerajaan pada awal tahun 1990- an, iaitu sewaktu negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sejajar dengan perkembangan ICT, alat komunikasi di dunia pada hari ini seperti satelit, mesin faks, telefon, televisyen dan komputer disambungkan kepada sistem internet yang membolehkan maklumat dalam semua bidang disebarkan ke seluruh dunia dengan pantas merentas sempadan geografi.
Penyediaan pelbagai ‘menu’ internet seperti email, chatting, blog, facebook, twitter dan skype telah memberikan wadah baharu dalam membina hubungan sesama manusia merentasi sempadan etnik, agama, budaya dan negara. Penggunaan telefon bimbit daripada pelbagai jenama terkini memudahkan lagi manusia mendapatkan maklumat melalui internet dengan hanya menekan hujung jari. Kemudahan Wi- fi pula banyak disediakan di tempat awam, memberikan ruang dan peluang kepada pengguna untuk berinteraksi dengan ahli masyarakat dan kerajaan, menyuarakan pendapat tentang kemajuan ekonomi, peluang pekerjaan, keselamatan dan sebagainya. Pelbagai kemudahan ini memberikan impak baharu dalam membina hubungan etnik melampaui batas masa, jarak dan lokasi.
Dalam konteks kesepaduan sosial, peluang untuk meneroka, mencari, mengenali dan memahami maklumat tentang pelbagai etnik, agama dan budaya boleh diperoleh dengan cepat dan mudah. Keadaan ini membolehkan pengguna ICT memahami latar belakang sesuatu etnik dengan lebih dekat termasuk tentang kepercayaan, upacara keagamaan, dan perayaan yang diamalkan oleh sesuatu kelompok etnik. ICT telah menjadi sebahagian daripada alat yang telah mentransformasi kehidupan manusia dan membawa perubahan sosial kepada masyarakat dunia. Di Malaysia, perkembangan budaya internet yang meluas secara tidak langsung
telah menjalin hubungan antara manusia daripada pelbagai etnik, agama dan budaya sehingga berjaya mengikat kesepaduan sosial dalam kalangan mereka.
Tegasnya, pembinaan bangsa dan negara bagi sesebuah negara berbilang etnik seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan daripada pelbagai negara. Justeru, kesedaran yang membawa kepada perpaduan akan dapat diterapkan dengan lebih mudah lagi dalam usaha untuk mencapai objektif membentuk negara Malaysia yang unggul apabila media elektronik dan media cetak memainkan peranan masing-masing dengan jujur dan berkesan. Peranan media massa yang diharapkan adalah untuk menguar-uarkan semangat perpaduan antara etnik dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulan
Jelas bahawa perpaduan etnik amat penting bagi mewujudkan suasana yang aman dan harmoni. Semua rakyat mengimpikan sebuah negara yang aman dan bahagia. Rakyat wajar bersyukur kerana hidup di tanah tumpah darah di Malaysia yang aman dan bebas daripada ancaman komunis. Negara Malaysia tidak sebagaimana negara lain di Asia Barat yang sering bergolak menyebabkan rakyatnya hidup dalam ketakutan, jauh sekali untuk mewujudkan semangat kejiranan yang harmoni.
Oleh sebab itu, perpaduan amat memberikan manfaat dalam kehidupan harian kerana kepelbagaian etnik merupakan pelengkap kepada keharmonian dan kebahagiaan yang dinikmati bersama sesuai dengan penonjolan imej Malaysia – Truly Asia serta kesepaduan sosial yang terhasil daripada kreativiti seni dan media pula berperanan sebagai penyampai mesej perpaduan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Soalan Perbincangan
1. Bincangkan tiga jenis makanan daripada pelbagai etnik yang menjadi kegemaran ramai di Malaysia.
2. Huraikan kreativiti dalam bentuk pakaian dan hiasan terhasil daripada seni reka batik.
3. Bagaimanakah media cetak dan media elektronik dapat dimanfaatkan dalam usaha memupuk semangat perpaduan di Malaysia?

No comments:

Post a Comment