Monday, November 12, 2012

TAJUK 04


Perlembagaan Persekutuan: Tiang Seri hubungan etnik
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Menjelaskan sikap akomodatif yang wujud dalam kalangan pelbagai etnik semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan.
2. Membahaskan peranan dan kepentingan unsur-unsur tradisi dan
permuafakatan sosial dalam konteks hubungan etnik di Malaysia.
3. Menganalisis rasional unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan
Malaysia.
Pengenalan
Tiada satu negara memiliki bentuk dan struktur perlembagaan yang sama. Di dunia ini terdapat pelbagai bentuk dan struktur perlembagaan. Perkara ini berlaku kerana perlembagaan sesebuah negara adalah hasil perjalanan sejarah sosial setempat hasil interaksi dengan proses migrasi dan globalisasi. Perlembagaan negara ini dipengaruhi oleh perjuangan nasionalisme Melayu dan bumiputera serta penglibatan etnik-etnik lain yang berunding sesama mereka dan dengan Sultan negeri-negeri dan British. Perlembagaan Malaya dan Malaysia memperuntukkan kedudukan anak watan dalam kalangan Melayu dan bumiputera, Orang Asli dan juga etnik-etnik lain. Perlembagaannya bersifat mengurus etnonasionalisme anak watan dan keperluan masyarakat pelbagai etnik yang sivil. Pengalaman pemerintahan persekutuan di Negeri Sembilan dijadikan asas untuk membina negara moden Malaya dan Malaysia. Kepentingan setiap rakyat, negeri dan kumpulan minoriti diambil kira dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri.
definisi dan Konsep Perlembagaan
Perlembagaan merupakan dokumen yang mengandungi semua undang- undang tertinggi yang mustahak bagi penubuhan dan kewujudan sesebuah negara dan sistem politiknya. Perlembagaan menjadi sumber kepada undang-undang dalam negara berkenaan. Semua undang- undang lain tidak boleh bertentangan dengan undang-undang dan prinsip-prinsip perlembagaan dan jika bertentangan, maka undang- undang perlembagaan yang lebih unggul diterima pakai sebagai undang- undang yang lebih utama. Undang-undang perlembagaan dengan itu dapat membatalkan mana-mana undang-undang lain yang bertentangan dengannya (Mohd Salleh 1984).
Hashim (1983) pula berpendapat perlembagaan lebih daripada apa- apa perkara yang hanya berkenaan dengan urusan kerajaan, rangka-rangka demokrasi dan perlindungan akan hak-hak rakyatnya. Perlembagaan juga ialah sebuah dokumen yang mengandungi peruntukan-peruntukan asas tertentu yang secara tersendiri mencerminkan pertimbangan suasana muhibah, penerimaannya yang murni dan kesefahaman antara rakyatnya. Perlembagaan bukan sekadar satu dokumen undang-undang tetapi ialah dokumen yang tidak terpisah daripada sejarah, perkembangan dan tradisi sesuatu negara khususnya di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik.
Berdasarkan takrifan ini, terbentuk beberapa kesimpulan tentang makna perlembagaan iaitu:
i. Undang-undang dasar yang menjadi teras panduan pemerintahan
negara.
ii. Kerangka asas yang membentuk dan memandu sistem pemerintahan sesebuah negara.
iii. Undang-undang tertinggi dan asas kepada semua undang-undang lain
di dalam negara.
iv. Rujukan tentang aspirasi dan pelan induk pemerintahan negara.
v. Mengawal pemerintah dan yang diperintah dalam mempertahankan kewujudan dan kesinambungan negara.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengamalkan perlembagaan bertulis. Badan perundangan, kehakiman dan eksekutif mendapat kuasa daripada perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan mengandungi 15
Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual. Secara ringkas, Perlembagaan Persekutuan menyentuhbidang kuasa eksekutif, legislatif, kehakiman, kedudukan agama Islam, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain. Perlembagaan adalah penting kerana kesemua perkara dalam perlembagaan adalah sama dengan mana-mana perlembagaan di dunia. Namun, Perlembagaan Persekutuan adalah unik kerana mengekalkan unsur-unsur tradisi seperti agama Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan pemerintahan beraja.
Manakala pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan boleh dilakukan melalui:
i. Perkara 159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah perkara boleh dipinda hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap dewan tanpa mendapat persetujuan sesiapa seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan persaraan ahli-ahli Dewan Negara dan meliputi perkara-perkara yang tidak disebut dalam perkara lain.
ii. Perkara 161 (E) menjelaskan sesetengah perkara boleh dipinda iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi yang melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeri dan kedudukan istimewa bumiputera.
iii. Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat sokongan
2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang melibatkan perkara-perkara seperti kedaulatan raja-raja, kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan juga mengguna pakai konsep ketertinggian perlembagaan. Melalui konsep ini, tidak terdapat institusi yang mengatasi ketertinggian Perlembagaan Persekutuan. Malahan ketiga-tiga badan kerajaan, iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif mahupun Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan (Mohamed Suffian 1987). Sebagai contoh, kuasa perundangan hendaklah dijalankan tertakluk kepada peruntukan yang dikenakan oleh perlembagaan. Malah, undang-undang persekutuan atau negeri mengenai sesuatu perkara boleh diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah jika undang-undang itu bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan setakat mana ia bercanggah. Hal ini kerana perlembagaan memperuntukkan dengan nyata Perkara 4(1) bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari Merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.
Sejarah Penggubalan Perlembagaan Persekutuan
Di Malaysia, sebelum kewujudan Hukum Kanun Melaka yang ditulis pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1456) oleh Hang Sidi Ahmad dan Undang-Undang laut Melaka, perundangan Islam telah diamalkan lebih awal daripada itu melalui Prasasti Terengganu yang bertarikh 14 Rejab 702H bersamaan 22 Februari 1303 (Syed Naquib 1970). Prasasti Terengganu memperuntukkan beberapa peraturan berhubung dengan jenayah, urus niaga dan pentadbiran. Manakala perlembagaan bertulis yang paling awal dihasilkan di Tanah Melayu adalah pada tahun
1895, iaitu Perlembagaan Negeri Johor diikuti dengan Perlembagaan
Terengganu 1911.
Dalam perlembagaan tersebut, diperuntukkan bahawa seorang raja hendaklah berbangsa Melayu, berdarah raja, seorang keturunan raja-raja Johor, lelaki dan menganut agama Islam. Malah menteri-menteri juga mesti Melayu, rakyat sultan dan menganuti agama Islam. Sementara dalam perkara VII pula diperuntukkan bahawa agama negeri bagi negeri Johor ialah agama Islam. Agama Islam hendaklah secara terus-menerus dan selamanya menjadi agama negeri Johor (Muhamad Arifin 1999). Peruntukan ini kekal termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri- Negeri yang beraja sehingga kini.
Undang-undang tersebut tidak boleh disamakan dengan prinsip- prinsip perlembagaan moden disebabkan nilai dan struktur masyarakat pada masa itu berbeza dengan situasi masa kini. Justeru, perlembagaan di Tanah Melayu telah bermula sejak kewujudan Hukum Kanun Melaka lagi. Bahan-bahan sejarah termasuk Hukum Kanun Melaka adalah antara bukti jelas yang menunjukkan negara ini telah mempunyai sistem perlembagaan sebelum kuasa Eropah tiba di Tanah Melayu (Abdul Aziz
2008). Hal ini kerana sifat dan kandungan sesebuah perlembagaan itu bergantung atau dipengaruhi oleh keperluan zamannya.
Malayan union
Menurut Perlembagaan Malayan Union, Malayan Union akan diperintah oleh Gabenor bagi memastikan penyelarasan dasar dan pentadbiran antara Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Sultan- sultan cuma menjadi raja kehormat sahaja. Manakala majlis yang membincangkan hal ehwal agama Islam akan dianggotai oleh sultan- sultan tetapi Gabenor yang menjadi pengerusinya. Perlembagaan Malayan Union juga cuba memberikan hak kerakyatan kepada golongan bukan Melayu menerusi prinsip jus soli yang bermaksud jika seseorang itu dilahirkan di Tanah Melayu selepas Malayan Union, seseorang itu berhak menerima kerakyatan dengan mudah. Dari segi pentadbiran, Gabenor memerintah bersama-sama dengan Majlis Penasihat sehingga dua badan tetap, iaitu Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan dapat ditubuhkan (Zainal Abidin 1979).
Setelah memperoleh bidang kuasa ke atas negeri-negeri Melayu, kerajaan British melalui Perintah Malayan Union dalam Majlis 1946 dan Arahan Diraja pada 27 Mac 1946, telah mengisytiharkan Malayan Union pada 1 April 1946 (Mohamed Suffian 1970). Bagaimanapun, hanya sebahagian daripada perlembagaan Malayan Union yang dikuatkuasakan. Malayan Union tidak dapat bertahan lama dan menjelang Februari 1948 ia dibubarkan kerana mendapat tentangan daripada orang Melayu kerana sebab-sebab berikut:
i. Kuasa Raja-raja Melayu dilenyapkan dalam urusan pentadbiran negeri dan hanya berkuasa dalam soal agama Islam, adat istiadat Melayu dan mengetuai Majlis Penasihat Melayu.
ii. Pemberian hak kerakyatan yang sama pada kaum-kaum lain melalui
prinsip jus soli.
iii. Hak sama rata kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa
iaitu penduduk peribumi tidak memiliki apa-apa keistimewaan.
iv. Cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu yang menggunakan cara paksaan dan ugutan seperti Sultan Kedah telah diberi kata dua, iaitu menandatangani persetujuan Malayan Union atau dilucutkan daripada takhta pemerintahan.
Orang Melayu mula mengadakan beberapa rapat umum dan tunjuk
perasaan menentang Malayan Union. Keberhasilan orang Melayu
membubarkan Malayan Union memperlihatkan kejayaan orang Melayu mengembalikan semula kuasa dan martabat Raja-raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Persekutuan Tanah Melayu 1948
Malayan Union diganti dengan sebuah persekutuan, iaitu Persekutuan Tanah Melayu 1948. Wilayahnya meliputi wilayah yang dicadangkan bagi Malayan Union. Menerusi konsep persekutuan ini, kerajaan pusat berkuasa dalam semua perkara yang penting secara menyeluruh tetapi pada masa yang sama ia mengekalkan autonomi negeri-negeri serta menghormati kebesaran, martabat dan bidang kuasa Raja-raja dalam hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan pada 1 Februari 1948 di bawah Perintah Majlis Persekutuan Tanah Melayu 1948 meliputi sembilan negeri Melayu dan dua daripada tiga Negeri-negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Singapura terpisah sebagai sebuah Tanah Jajahan Mahkota di luar Persekutuan kerana orang Melayu merasakan mereka mungkin dikuasai oleh orang Cina sekiranya Singapura menyertai Persekutuan Tanah Melayu dari segi bilangan penduduk.
Perlembagaan baharu ini telah memenuhi kehendak pihak yang terbabit dalam pertikaian tentang idea penubuhan Malayan Union. Kedaulatan Raja-raja Melayu telah dikembalikan, begitu juga dengan kedudukan istimewa orang Melayu serta prinsip jus soli telah digugurkan. Pembentukan persekutuan merupakan satu kejayaan kepada orang Melayu kerana mengiktiraf kedaulatan dan hak negeri-negeri yang dahulunya telah dihapuskan dalam Malayan Union. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah menjadi asas bagi Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (Mohd Aris 1983).
Kerjasama antara etnik dalam Menuju Kemerdekaan
Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kerjasama antara etnik Melayu dan bukan Melayu mula terjalin. Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Kaum 1949 yang terdiri daripada pelbagai etnik telah berusaha menyelesaikan sesetengah masalah perlembagaan,
politik dan ekonomi yang wujud akibat permintaan yang berlainan daripada pelbagai etnik. Maka, pada Pilihan Raya Umum 1955, Parti Perikatan telah bertanding dalam pilihan raya dengan meletakkan calon bagi semua 52 kerusi iaitu Parti Negara sebanyak 33 kerusi dan PAS sebanyak11 kerusi. Jika dilihat dari segi pembahagian kerusi dan calon, ternyata Perikatan yang diterajui oleh UMNO telah mengamalkan konsep perkongsian kuasa melalui pembahagian kerusi dalam pilihan raya ini. Hal ini kerana walaupun pada Persidangan Perwakilan UMNO, ahli UMNO meminta 40 kerusi diberikan kepada UMNO atas alasan jumlah pengundi Melayu ialah 84.2 peratus, tetapi demi perpaduan dan mengamalkan konsep perkongsian kuasa, UMNO diperuntukkan 35 kerusi sahaja, MCA 15 kerusi dan MIC sebanyak dua kerusi. Berasaskan kekuatan mengundi, UMNO sepatutnya menuntut tidak kurang daripada
90 peratus daripada jumlah kerusi. Gambaran ini dapat dilihat dalam
Jadual 4.1.
JADUAl 4.1: Kedudukan Calon Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Umum 1955
PARTI PERUNTUKAN KERUSI PERATUSAN KERUSI PERATUSAN PENGUNDI UMNO 35 69 84.2 (Melayu) MCA 15 28 11.2 (Cina) MIC 2 3 3.9 (India)
Satu perkara yang menarik semasa Pilihan Raya Umum 1955 ialah penolakan sikap perkauman dalam kalangan orang Melayu. Jika orang Melayu bersikap perkauman, mereka boleh menubuhkan kerajaan Melayu dan menggubal satu perlembagaan bagi Tanah Melayu yang merdeka. Pastinya perlembagaan tersebut akan menjamin kekuasaan orang Melayu dengan cara yang berterusan. Pada Julai 1954, Perikatan dan pihak British telah bersetuju untuk mengadakan sebuah Majlis Perundangan Persekutuan yang mempunyai 98 orang ahli, 52 daripadanya adalah dipilih dan 46 orang lagi dilantik. Daripada 46 ahli yang dilantik ini, lima orang daripadanya dicalonkan oleh parti politik yang mendapat majoriti dalam pilihan raya. Dalam pilihan raya ini, pengundi Melayu adalah majoriti dalam 50 daripada 52 kawasan pilihan raya kerana 84 peratus daripada pengundi adalah daripada pengundi seluruh negara. Selain itu, daripada 46 orang ahli yang dilantik terdiri daripada orang
Melayu iaitu sembilan orang Menteri Besar (Zainal Abidin 1996).
Oleh yang demikian, sekiranya orang Melayu bersikap perkauman, mereka boleh memenangi 50 kerusi yang dipertandingkan dan boleh mencalonkan lima lagi ahli Melayu daripada 46 ahli yang dilantik. Maka, orang Melayu akan mendapat 65 ahli termasuk seorang wakil Orang Asli. Jumlah ini adalah lebih 2/3 daripada jumlah ahli dalam Majlis Perundangan. Hal ini juga bermakna orang Melayu mempunyai cukup majoriti untuk meminda perlembagaan atau menggubal perlembagaan baru yang menguntungkan orang Melayu. Namun demikian, orang Melayu tidak menggunakan peluang ini demi kepentingan perhubungan dan perpaduan antara etnik. Pengorbanan yang telah dibuat oleh orang Melayu pada masa itu adalah sangat besar yang mendorong kepada semangat toleransi antara etnik.
Dalam konteks ini, isu mengenai kemerdekaan melewati batas perkauman dan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Perkara ini membolehkan mereka mengetepikan pandangan sempit perkauman dan bekerja ke arah menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Setelah berunding dengan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald MacGillivray, Tunku membentuk Kabinet yang terdiri daripada komposisi berbilang kaum, iaitu enam orang Melayu, tiga orang Cina, dan seorang India. Pemilihan Kabinet ini menunjukkan satu kerjasama yang baik dengan pelantikan tiga orang Cina dan seorang India untuk memberikan keseimbangan etnik yang lebih diterima dalam Majlis Legislatif.
Suruhanjaya reid
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah digubal oleh Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956. Keahliannya terdiri daripada lord Reid dari Britain (Lord of Appeal in the Ordinary), Sir Ivor Jennings juga dari Britain (Master of Trinity Hall, Cambridge), Sir William Mckell dari Australia (bekas Gabenor Jeneral Australia), B. Malik dari India (bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi Allahabad) dan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan (Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Barat). Menyentuh mengenai keahlian Suruhanjaya ini, Perikatan bersetuju dengan anggota-anggota Suruhanjaya yang akan dipilih oleh British sendiri tanpa melibatkan rakyat Tanah Melayu bagi menentukan dan bertanggungjawab merangka perlembagaan. Hal ini disebabkan perundingan yang dijalankan di London dianggotai oleh pegawai-pegawai British yang ramai, iaitu 35 orang berbanding dengan
wakil Perikatan dan Raja-raja Melayu seramai lapan orang.
Perjanjian London juga telah menetapkan agar perlembagaan yang
hendak digubal perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
i. Pembentukan sebuah persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat.
ii. Pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak Raja-
raja Melayu.
iii. Pengwujudan jawatan ketua negara yang bergelar Yang di-Pertuan
Agong.
iv. Pemeliharaan hak-hak istimewa orang Melayu serta hak-hak yang sah milik kaum-kaum lain.
v. Pembentukan sebuah sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh Persekutuan Tanah Melayu.
Suruhanjaya ini juga mempunyai dua objektif dalam menyediakan rangka perlembagaan yang baharu, iaitu:
i. Mestilah ada peluang sepenuhnya untuk pertumbuhan sebuah negara yang bersatu padu, bebas dan demokratik.
ii. Mestilah ada kemudahan lengkap untuk membangunkan sumber negara dan mengekalkan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Berdasarkan perkara tersebut, Suruhanjaya ini juga meneliti kedudukan perlembagaan unit-unit dalam Persekutuan, melawat negeri- negeri Melayu dan Negeri Selat, berjumpa Raja-raja, Menteri-menteri Besar, Penasihat-penasihat British, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Residen serta pegawai-pegawai negeri dan Negeri Selat. Suruhanjaya ini juga telah membuat pertemuan secara terbuka dan sering mengadakan mesyuarat tidak rasmi. Perlembagaan ini menjadi kukuh dan praktikal serta dihormati kerana Suruhanjaya telah meminta cadangan dan pandangan daripada bukan sahaja parti politik tetapi juga orang ramai, individu dan Raja-raja Melayu.
Hal ini menunjukkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
1957 telah mendapat persetujuan dan pandangan majoriti rakyat Malaysia. Inilah yang dikatakan permuafakatan sosial (kontrak sosial), iaitu orang Melayu dan bukan Melayu bersetuju atas beberapa perkara yang sangat penting kepada kestabilan negara. Dalam hal ini, Ahmad (1992) menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal hasil daripada persetujuan bersama yang telah dicapai antara
penduduk di Tanah Melayu daripada kalangan etnik Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Tanah Melayu bukan sahaja merupakan dokumen perundangan bahkan merupakan kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Melalui permuafakatan sosial ini, orang bukan Melayu diberikan hak kewarganegaraan yang longgar berasaskan prinsip jus soli. Kedudukan orang Melayu dikekalkan dalam perlembagaan dan begitu juga tentang kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu serta kedudukan Raja-raja Melayu.
Jawatankuasa Kerja dan Perisytiharan Perlembagaan
Satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Perikatan, Raja-raja Melayu dan kolonial British untuk mengkaji semula cadangan Suruhanjaya Reid tersebut bagi menyediakan Kertas Putih. Laporan tersebut mengumpulkan hasil semakan dan penelitian yang dibuat berkenaan dengan laporan yang disediakan oleh Suruhanjaya Reid yang diserahkan kepada Baginda Ratu dan Raja-raja Melayu pada Februari 1957. Kertas Putih yang mengandungi pindaan ke atas Penyata Reid dan rangka perlembagaan yang disusun oleh jawatankuasa itu telah diterbitkan pada 3 Julai 1957. Jawatankuasa kerja dipengerusikan oleh MacGillivray dan termasuk empat wakil dari Perikatan dan empat wakil dari Raja-raja Melayu. Wakil Perikatan ialah Tunku Abdul Rahman (UMNO), Datuk Abdul Razak (UMNO), Ong Yoke lin (MCA) dan V.T Sambathan (MIC), manakala wakil Raja-raja Melayu ialah Mustapha Albakri (Penyimpan Mohor Besar Raja-raja), Shamsudin Nain, Tunku Ismail Tunku Yahya dan Neil Lawson. Ahli lain ialah Ketua Setiausaha Kerajaan, Sir David Watherston, Peguam Negara, T.V.A Brodie dan E.O laird yang bertindak sebagai Setiausaha. Draf Perlembagaan Persekutuan diterima dan diisytiharkan sebagai Perlembagaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan Persekutuan sekali lagi diperbaharui apabila Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung dengan Tanah Melayu, lalu membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan
Perkataan tradisi mempunyai pelbagai makna. Namun pada amnya, tradisi bermakna pemindahan dan kesinambungan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Perkara ini menggambarkan
bahawa tradisi mencerminkan sejarah, budaya dan fahaman sesuatu bangsa dan masyarakat (Abdul Aziz 2002). Dalam konteks politik dan perlembagaan, yang dimaksudkan dengan sistem tradisi merujuk kepada sistem yang wujud sebelum kedatangan zaman moden, iaitu sebuah sistem yang keesahannya bergantung kepada agama dan nilai-nilai asal lainnya. Terdapat beberapa negara luar yang masih menekankan kepentingan institusi tradisi sehingga kini. Selain menjadi faktor sejarah dan kesinambungan sesuatu bangsa, institusi tradisi dapat menampung kekurangan yang sukar diatasi oleh sistem demokrasi.
Unsur-unsur tradisi ini perlu kerana telah wujud ratusan tahun sebelum Perlembagaan Persekutuan 1957. Unsur-unsur berkenaan berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957 (Mohd Salleh 1984). Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 dan dianggap sebagai isu-isu sensitif yang dilarang daripada dijadikan isu perbincangan awam. Bagi rakyat Malaysia, khususnya etnik Melayu, unsur-unsur ini penting kerana perkara ini menjadi identiti dan kestabilan negara.
Unsur-unsur tradisi juga merupakan satu prasyarat dan permuafakatan yang diterima oleh etnik Melayu dan bukan Melayu. Maknanya, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan sebagai prasyarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik bukan Melayu dikekal dan diperkukuhkan. Prasyarat ini menunjukkan bahawa pemimpin terdahulu telah menerima satu formula bagi menyelesaikan masalah yang wujud tanpa melibatkan konflik antara etnik di Tanah Melayu pada ketika itu.
Disebabkan kepentingan unsur-unsur tradisi yang mendasari perlembagaan tersebut, maka unsur-unsur ini boleh dianggap sebagai tiang seri hubungan etnik di Malaysia.
Kesultanan atau Pemerintahan Beraja
Pemerintahan beraja telah sedia wujud dalam sistem sosial di negeri- negeri Melayu sejak berabad-abad lamanya. Menurut sistem beraja, raja mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran
negeri dengan dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik khususnya sebelum penjajahan British. Sebelum Perang Dunia Kedua (1939-1945), sultan merupakan pemerintah yang berdaulat dan memiliki kuasa penuh dalam negeri masing-masing walaupun berada dalam penjajahan British. Pada masa yang sama, dalam beberapa perjanjian dengan British, sultan perlu menerima nasihat daripada pegawai British yang dilantik sebagai Residen atau Penasihat British kecuali yang menyentuh tentang agama Islam.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, institusi pemerintahan beraja diteruskan dengan beberapa pindaan supaya disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Menurut konsep Raja Berperlembagaan, mereka dikehendaki menerima nasihat daripada menteri dan bertindak menurut nasihat itu. Sebagai contoh, di peringkat pusat, Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugasnya menurut nasihat Kabinet. Manakala di peringkat negeri pula, raja hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mestilah dilantik, iaitu seorang sultan yang dipilih daripada Raja-raja dari sembilan buah negeri Melayu. Berdasarkan konsep Raja Berperlembagaan, Yang di- Pertuan Agong diberi kuasa memerintah persekutuan dan baginda dikehendaki bertindak atas nasihat Kabinet. Yang di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan dan mempunyai kuasa untuk mengampun dan menangguhkan hukuman orang yang telah disabitkan oleh mahkamah tentera dan bagi kesalahan- kesalahan yang dilakukan di dalam wilayah persekutuan Kuala Lumpur.
Institusi beraja yang wujud di Malaysia hari ini dilindungi oleh perlembagaan melalui Perkara 38(4) iaitu tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing- masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Seterusnya, tiada undang- undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Hal ini menunjukkan bahawa amat sukar memperoleh persetujuan seperti itu dan terlindung menurut perlembagaan.
Selain daripada melaksanakan kuasa yang diperuntukkan oleh
perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong juga menjadi lambang perpaduan
masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik. Etnik Melayu, Cina, India, bumiputra Sabah dan Sarawak dan bangsa-bangsa lain menganggap baginda sebagai pemelihara kepentingan dan harapan setiap etnik di Malaysia. Hal ini kerana di bawah perlembagaan telah memperuntukkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan amanah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain. Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa dalam soal pindaan terhadap peruntukan berkaitan dengan kewarganegaraan.
Amanah dan tanggungjawab ini merupakan satu perkara yang amat sukar kerana isu-isu seperti agama dan kedudukan istimewa orang Melayu/bumiputra serta kewarganegaraan sering kali menjadi polemik dalam masyarakat yang berbilang etnik. Jika isu tersebut tidak ditangani dengan baik, perkara ini dapat menggugat kestabilan negara. Walaupun fungsi baginda sebagai lambang perpaduan dan kesinambungan ini kelihatan pasif dan tiada kontroversial, namun jaminan yang akan membantu menonjolkan sifat berkecuali Yang di-Pertuan Agong perlu ada bagi mengelakkan baginda daripada dipandang sebagai alat pemerintah (Abdul Aziz 1999).
Institusi beraja juga dikaitkan dengan persoalan agama kerana mereka ialah ketua agama di negeri masing-masing. Mereka bertanggungjawab menjaga agama Islam serta sebarang pindaan yang ingin dibuat terhadap agama Islam perlu mendapat perkenan raja-raja terlebih dahulu. Rasional peranan Majlis Raja-Raja dalam soal ini ialah perlembagaan hanya menekankan persoalan pentadbiran negara. Maka, hal persoalan agama dibiarkan untuk dikendalikan oleh institusi beraja. Yang di- Pertuan Agong juga merupakan lambang keadilan dan kesaksamaan kerana baginda yang melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Begitu juga perlu dirundingi mengenai pelantikan juruaudit negara, pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Jawatan-jawatan ini penting dalam menjaga hak rakyat dengan sikap berkecuali iaitu tidak memihak kepada individu mahupun kerajaan sendiri. Baginda juga boleh dianggap sebagai tonggak kehormatan kerana baginda diberi kuasa untuk mengurniakan penghormatan, pingat dan bintang kepada pihak berkenaan yang telah memberikan khidmat cemerlang kepada negara
tanpa mengira batasan etnik.
Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah unsur tradisi yang amat penting di Malaysia. Bagi etnik Melayu, mereka adalah harapan dan sebagai lambang perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik kerana mereka bukan dipilih secara politik dan terkecuali daripada sebarang pengaruh politik. Keadaan ini membolehkan institusi beraja mempunyai potensi untuk memainkan peranan tanpa mengenakan syarat seperti yang ditetapkan oleh parti politik. Setiap keputusan parti politik akan terikat dengan sentimen dan pertimbangan kepartian. Yang di-Pertuan Agong ialah satu-satunya institusi perlembagaan yang bersifat Melayu dan Islam serta amat penting kerana Perdana Menteri, Kabinet dan Parlimen tidak semestinya dikuasai oleh etnik Melayu. Secara simboliknya, Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai pemegang autoriti dan kuasa yang diserahkan oleh negeri-negeri Melayu kepada pihak berkuasa pusat.
agama islam
Islam dalam perlembagaan bukan sahaja hanya terkandung dalam
Perkara 3, tetapi juga harus dibaca bersama-sama dengan Perkara 8, 11,
12, 121, 150 dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam. Walaupun perkara ini menunjukkan bahawa Islam dalam perlembagaan mempunyai keistimewaan namun agama-agama lain tetap diberi perlindungan. Islam dalam perlembagaan ialah satu isu yang penting kerana isu ini berkait rapat dengan kepercayaan dan pegangan majoriti penduduk Malaysia. Isu ini juga merupakan isu yang sensitif kerana etnik Melayu merasakan bahawa agama tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian mereka. Walaupun soal kepercayaan dan keimanan ialah urusan seseorang, namun dalam konteks Malaysia, perkara ini boleh memberi kesan kepada ketenteraman awam khususnya yang melibatkan ketegangan antara kaum seperti dalam kes Natrah pada tahun 1950 dan Nur Aisyah pada tahun 1998.
Hal ini diakui oleh Syed Muhammad Naqiub al-Attas (1972) yang mengatakan Islam mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Keadaan ini menjelaskan kenapa Islam tidak termasuk dalam rangka perjanjian antara Raja-raja Melayu dengan pihak British yang bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang
memberi kuasa kepada British dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu ketika itu. Namun, ini memang tujuan British untuk mengecilkan peranan Islam dalam sistem pentadbiran negara yang menyebabkan kedudukan Islam itu dalam bidang tertentu sahaja iaitu tidak bersifat menyeluruh.
Menurut Hashim (1983), beberapa perkara boleh dirumuskan berkenaan dengan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan seperti mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam, agama Islam berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kebebasan beragama dan undang-undang yang menghalang penyebaran mana-mana kepercayaan dalam kalangan orang Islam. Kewujudan peruntukan Islam dalam perlembagaan telah memberi keistimewaan kepada agama Islam. Berdasarkan perbincangan tersebut, jelas menunjukkan bahawa terdapat beberapa keistimewaan Islam yang menonjol dalam perkara berikut:
1. Perkara 160 memberi definisi Melayu sebagai seorang beragama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Dalam hal ini, Melayu dan Islam ialah unsur yang saling berkaitan dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan.
2. Yang di-Pertuan Agong dilantik daripada kalangan raja di negeri-negeri Melayu dan di dalam setiap perlembagaan negeri mensyaratkan seorang raja mestilah berbangsa Melayu, beragama Islam dan keturunan raja.
3. Dalam sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, baginda mengangkat sumpah dengan didahului oleh lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi yang merupakan lafaz sumpah yang dikehendaki dalam agama Islam. Sumpah ini dikaitkan dengan janji baginda untuk memelihara tentang kesucian dan kemuliaan agama Islam.
4. Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 3 (3) ialah ketua agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai raja.
5. Raja dan sultan di negeri-negeri yang beraja ialah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing. Dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam, mereka mempunyai budi bicara dan tidak terikat
dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO).
6. Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi
hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perkara
153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh sebab Melayu dan Islam ialah dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka tugas menjaga hak- hak istimewa orang Melayu juga termasuk menjaga dan melindungi agama Islam.
7. Walaupun dalam keadaan darurat, kedudukan agama Islam tidak
boleh dipinda dan perkara ini kekal terjamin.
8. Sah bagi kerajaan, sama ada kerajaan pusat atau negeri memperuntukkan sejumlah wang bagi pembangunan Islam di Malaysia.
9. Peruntukan Islam terjamin dalam keadaan mana sekalipun kerana untuk memindanya memerlukan sokongan majoriti lebih 2/3 parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
10. Walaupun tidak dibenarkan perbezaan dalam apa-apa juga keadaan dalam mana-mana undang-undang dan pelantikan pihak berkuasa awam, namun terdapat pengecualian terhadap pelantikan bagi sesuatu institusi agama Islam.
11. Undang-undang negeri boleh menyekat apa-apa penyebaran dalam
kalangan orang Islam mengenai agama selain daripada Islam.
12. Bidang kuasa Mahkamah Syariah terpisah daripada Mahkamah Sivil
yang menunjukkan pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah.
Bahasa Melayu
Bahasa kebangsaan disentuh dalam perlembagaan melalui Perkara 152, iaitu memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Namun, perkara ini juga melindungi bahasa-bahasa lain dan seterusnya memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan atau mengajar atau belajar bahasa lain kecuali bagi maksud rasmi. Bahasa kebangsaan diwujudkan sebagai medium komunikasi atau bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik. Hasil permuafakatan perlembagaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa
kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan Perkara 150(6A) dengan terang menyatakan bahawa hal-hal yang berhubung dengan bahasa Melayu, walaupun dalam keadaan darurat adalah dilindungi oleh perlembagaan. Perkara 150(6A) ini penting kerana secara umumnya perisytiharan darurat mempunyai kesan menggantung sebahagian besar peruntukan perlembagaan. Dengan kata lain, perkara berkenaan menyebut pengecualian terhadap bahasa Melayu kepada kuasa darurat yang luas itu (Abdul Aziz 2005).
Kedudukan bahasa Melayu semakin jelas dalam perlembagaan melalui Perkara 10 (4) yang menjadikan bahasa Melayu adalah antara perkara sensitif yang dilarang daripada dibahaskan di tempat terbuka atas tujuan keselamatan dan ketenteraman awam. Kedudukan ini juga begitu kukuh kerana tidak dapat dipinda oleh Parlimen jika tidak mendapat sokongan
2/3 dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja melalui Perkara 159 (5).
Begitu juga dengan kedudukan sebagai bahasa rasmi bagi tujuan kerajaan baik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri dan termasuk apa-apa tujuan untuk sesuatu kuasa awam, hendaklah menggunakan bahasa Melayu kecuali atas beberapa perkara yang dibenarkan oleh undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen
4, Akta Bahasa Kebangsaan. Antara pengecualian tersebut adalah bagi tujuan hubungan diplomatik dan latihan yang dijalankan oleh pakar- pakar asing.
Seterusnya, perkara ini ditambah lagi dengan peruntukan di bawah Perkara 160(B) yang menjelaskan bahawa jika perlembagaan diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan jika terdapat percanggahan teks terjemahan dengan teks dalam bahasa Inggeris, maka teks kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris.
Persefahaman menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga tidak menjejaskan penggunaan bahasa ibunda etnik lain malah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sejarah mencatatkan, sebelum Perang Dunia Kedua, bahasa Melayu digunakan secara meluas bagi tujuan rasmi seperti mesyuarat, surat-menyurat, perundangan dan kehakiman di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Jabatan Polis dan sebagainya bagi memudahkan urusan pentadbiran kerana kakitangannya terdiri daripada pelbagai kaum (Mohd Salleh 1984). Kedudukannya diperkuatkan lagi oleh hakikat bahawa bahasa Melayu diterima sebagai
bahasa rasmi apabila Johor menerima Penasihat Inggeris pada 1914.
Pegawai Eropah yang memegang lebih 95 peratus jawatan Kumpulan I perlu mempelajari bahasa Melayu, mengambil ujian bahasa Melayu dan dikehendaki lulus, barulah boleh ditempatkan di Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu (Mohamed Suffian 1987). Keadaan ini menunjukkan bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa perantaraan rasmi walaupun pada zaman penjajahan British. Perkara ini telah diiktiraf oleh Tan Siew Sin dalam Majlis Perundangan Persekutuan,
10 Julai 1957 yang mengatakan bahawa pemimpin Melayu pada asasnya adalah adil dan berpandangan luas bagi memastikan bahasa Melayu dijadikan alat perpaduan.
Tujuan utama di sebalik menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk memenuhi keperluan bagi menyatupadukan pelbagai etnik melalui penggunaan satu bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantara negara ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Hal ini disebabkan semasa perlembagaan digubal, para pemimpin terdahulu telah memutuskan bahawa sebuah negeri yang merdeka tidak dapat terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi jika hendak menyatupadukan penduduknya yang bersifat pelbagai etnik.
Kedudukan istimewa Orang Melayu
Peruntukan orang Melayu dalam perlembagaan bukan sahaja setakat
dalam Perkara 153, tetapi juga terangkum dalam Perkara 8(5e), Perkara
89 dan 90 dan Jadual 13 seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika merujuk takrif Melayu, maknanya sangat luas dan jika diambil dalam pengertian sejarah dan sosiobudaya, Melayu itu meliputi mereka yang mendiami kepulauan Melayu. Walaupun terdapat pelbagai suku bangsa, bahasa dan loghat, namun ahli-ahli bahasa dan budaya menganggap mereka sebagai satu kumpulan yang sama, iaitu keturunan Melayu (Syed Husin 2008).
Jika merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap dalam bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu, dan:
a. Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau pada Hari Merdeka itu ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura atau
b. Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
Terdapat beberapa perkara yang boleh dibincangkan dalam peruntukan tersebut:
i. Untuk menjadi seorang Melayu bagi maksud perlembagaan tidaklah semestinya seseorang itu berketurunan Melayu. Umpamanya, seorang India boleh dianggap sebagai Melayu sekiranya ia menganut agama Islam, menjadi kelazimannya bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Sebaliknya, walaupun dia seorang Melayu jati daripada keturunan Melayu sekalipun, bagi maksud perlembagaan ia bukan Melayu jika bukan beragama Islam (Mohamed Suffian 1987).
ii. Untuk menjadi seorang Melayu bagi maksud perlembagaan, seseorang mestilah mempunyai sedikit sebanyak perhubungan dengan Persekutuan Tanah Melayu atau Singapura. Oleh itu, seorang Indonesia yang menganut Islam, kebiasaannya bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu, bukanlah seorang Melayu bagi maksud perlembagaan jika dia dilahirkan sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau dia keturunan seseorang yang tersebut.
Peruntukan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan disentuh dalam perkara berikut:
Pertama, Perkara 153. Perkara ini menjelaskan bahawa adalah
menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjamin
kedudukan istimewa orang Melayu dan juga melindungi hak kaum lain.
Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan boleh memberi peruntukan kepada orang Melayu beberapa bahagian yang difikirkan patut dalam perkara-perkara berikut:
i. Menentukan suatu kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam.
ii. Menentukan kadar perizaban permit dan lesen bagi menjalankan
sebarang perniagaan atau pekerjaan.
iii. Menentukan kadar perizaban dalam biasiswa, bantuan dan keistimewaan pelajaran dan latihan atau kemudahan khas yang diberikan atau diadakan oleh kerajaan.
Kedua, Perkara 89, yang menyentuh tentang tanah rizab Melayu
seperti berikut:
i. Tanah Rizab Melayu terus menjadi tanah rizab Melayu selepas
merdeka.
ii. Mana-mana tanah yang bukan tanah rizab Melayu boleh diisytiharkan sebagai tanah rizab Melayu mengikut undang-undang.
iii. Kerajaan negeri boleh mengambil tanah untuk menempatkan orang
Melayu dan bukan Melayu.
iv. Jika tanah tersebut telah dimiliki oleh orang bukan Melayu, maka tanah rizab Melayu tidak boleh diisytiharkan.
Ketiga, Perkara 90 pula menyentuh mengenai pengecualian undang- undang yang ada berkenaan tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka serta undang-undang yang ada di Terengganu mengenai tanah pegangan orang Melayu.
Keempat, Perkara 8 (5)(f ) pula menjelaskan bahawa kemasukan untuk perkhidmatan Rejimen Askar Melayu di-Raja hanya diperuntukkan kepada orang Melayu. Namun, kemasukan ke rejimen tentera yang lain adalah terbuka kepada semua etnik di Malaysia dan tiada sekatan
dikenakan.
Kelima, Jadual 13 dalam perlembagaan pula menjelaskan bahawa terdapat empat prinsip yang perlu dipatuhi sebelum penentuan atau penyemakan semula sempadan pilihan raya dibuat. Keempat-empat prinsip tersebut ialah:
i. Sebuah kawasan hendaklah jangan melintasi sempadan negeri dan mempertimbangkan kesukaran yang akan timbul jika kawasan dewan undangan negeri meliputi Dewan Rakyat.
ii. Perlunya dipertimbangkan segala kemudahan yang ada dalam kawasan berkenaan bagi pendaftaran pengundi.
iii. Ditetapkan juga bahawa jumlah pengundi bagi tiap-tiap kawasan pilihan raya hendaklah sama. Namun, perlembagaan juga menetapkan bahawa kawasan luar bandar hanya separuh daripada jumlah pengundi bagi sesebuah kawasan pilihan raya di bandar diperlukan.
iv. Perlu juga dipertimbangkan mengenai segala kesukaran apabila suatu kawasan ditukar dan mustahaknya dikekalkan perhubungan seseorang dengan kawasannya.
isu-isu islam dan Orang Melayu dalam Perlembagaan
Permasalahan Kebebasan Beragama
Permasalahan kebebasan beragama di Malaysia banyak disentuh khususnya daripada perspektif hak asasi dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Isu yang selalu dibangkitkan ialah setakat mana kebebasan seorang Islam mengamalkan agamanya, isu murtad dan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam. Selain Perkara 11, kebebasan beragama juga boleh dirujuk dalam Perkara 3(1), Perkara 10, Perkara 8 dan Perkara 12. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kebebasan beragama diberikan kepada penganut agama Islam dan bukan Islam. Bagaimanapun, kebebasan dalam penyebaran beragama adalah tidak mutlak.
Sebagai contoh, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang pengawalan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam. Maksudnya, orang
bukan Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka dalam kalangan orang Islam dan orang Islam dibenarkan berbuat demikian. Perkara ini seperti berlaku ketidakadilan dalam kebebasan beragama. Namun menurut Harding (2002), peruntukan ini dimasukkan demi memelihara kestabilan masyarakat.
Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan ini tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama yang lain daripada Islam dalam kalangan umat Islam. Dengan kata lain, agama lain boleh diamalkan secara aman jika tidak mengganggu ketenteraman awam dan tidak menyakitkan hati penganut agama lain. Selain itu, kebebasan beragama ini tertakluk kepada undang-undang awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Polis 1967. Kebebasan beragama juga tidak boleh diertikan bahawa seseorang itu bebas mendirikan kuil atau tokong di mana-mana sahaja yang ia suka kerana kebebasan sedemikian akan membawa kepada kekacauan dan huru-hara.
Selain menyebut soal kebebasan beragama, dalam konteks penganutan dan pengamalannya oleh seseorang, perlembagaan juga dengan jelas melindungi seseorang itu daripada dipaksa membayar sebarang cukai sekiranya cukai tersebut digunakan untuk maksud- maksud agama yang lain daripada agama anutannya. Perlembagaan juga melindungi kumpulan-kumpulan agama yang dengan jelas menyebut bahawa mereka berhak menubuhkan atau menguruskan yayasan bagi tujuan agama atau kebajikan mereka serta hak memperoleh atau memegang harta. Dengan ini boleh dikatakan bahawa hak kebebasan agama ini mencakupi hak perseorangan dan juga hak kumpulan. Ternyata hak kebebasan beragama bersifat tidak mutlak. Terdapat sekatan dalam perlembagaan dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Justeru, adalah satu tanggapan tidak tepat yang mengatakan bahawa kebebasan beragama yang diperuntukkan dalam perlembagaan bersifat mutlak kerana selagi sekatan tersebut tidak bercanggah dengan perlembagaan, maka ia dianggap sah.
Kesamarataan
Perlembagaan memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan juga berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang. Tidak dibenarkan sebarang bentuk diskriminasi
yang memihak kepada mana-mana orang atas alasan ia merupakan salah seorang rakyat raja mana-mana negeri, kecuali yang dibenarkan oleh perlembagaan.
Diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata- mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir dalam mana- mana undang-undang atau dalam pelantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah pihak berkuasa awam atau dalam mana-mana pentadbiran undang-undang yang berhubung dengan perolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubung dengan penubuhan atau perjalanan apa-apa perdagangan, perniagaan, kerjaya atau pekerjaan. Pihak berkuasa awam tidak boleh mengamalkan diskriminasi terhadap sesiapa pun atas alasan dia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana negeri di persekutuan atau di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu. Hal ini yang dikatakan sebagai konsep sama rata.
Perubahan politik dan ekonomi telah menyedarkan kerajaan bahawa untuk mewujudkan masyarakat yang adil, perisytiharan keadilan dan hak sama rata di sisi undang-undang sahaja tidak mencukupi. Namun jaminan hak asasi semata-mata tanpa memikirkan aspek hidup yang lain tidak juga bermakna. Dalam sesuatu perubahan sosial dan ekonomi, tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara. Persamaan secara mutlak dalam masyarakat pelbagai etnik dengan golongan yang berlainan dengan peringkat pembangunan yang berlainan akan hanya mengakibatkan huru-hara.
Pada tahun 1865, pindaan ke-13 Perlembagaan Amerika Syarikat telah dibuat bagi menghapuskan perhambaan. Implikasinya, keistimewaan yang didapati daripada orang kulit hitam yang sebelum pindaan dibuat ialah hamba abdi, hanyalah kebebasan diri dan seterusnya hak mengundi. Tidak terdapat rancangan perlembagaan yang positif untuk meninggikan taraf hidup orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Melalui sistem laissez faire ia telah mendedahkan orang kulit hitam dalam keadaan yang jauh ketinggalan daripada etnik lain.
Begitu juga satu sistem persamaan dan peluang yang sama yang tidak ada batas akan mengakibatkan penghapusan masyarakat Melayu sedikit demi sedikit. Menurut Hashim (1983), satu masyarakat yang mempunyai sistem feudal agrarian tidak boleh diubah dalam sekelip mata kepada satu sistem moden. Tanpa perlindungan, golongan Melayu ketinggalan dari segi ekonomi berbanding dengan golongan lain yang lebih aktif di negeri ini. Hak sama rata tidak lagi menjadi hak mutlak. Kehadiran doktrin ini
menyebabkan hak asasi ini terpaksa dilonggarkan dan diberikan hak bersyarat. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan di negara yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan kedudukan sosial yang tidak seimbang.
diskriminasi Perlindungan
Bagi sesebuah negara yang bersifat pelbagai etnik adalah sesuatu yang biasa apabila perlembagaan negara tersebut memperuntukkan konsep diskriminasi perlindungan sebagai salah satu peruntukan yang penting dan diiktiraf. Melalui diskriminasi perlindungan ini, undang-undang memberi perlindungan dan keistimewaan kepada golongan atau etnik di dalam sesebuah negara dan pada masa yang sama tidak menafikan peluang terhadap kumpulan atau etnik lain. Peruntukan ini disediakan untuk membantu sesuatu etnik di dalam beberapa aspek kehidupan seperti perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Menerusinya, etnik yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara dapat dibantu dan ditingkatkan taraf hidup mereka agar dapat menyaingi etnik lain yang lebih terkehadapan.
Negara India menjadi contoh yang jelas iaitu diskriminasi perlindungan diamalkan kerana India mempunyai penduduk yang bersifat pelbagai etnik sehingga menimbulkan masalah. Sebilangan besar mereka adalah mundur terutamanya golongan minoriti. Justeru, Perlembagaan India memperuntukkan perlindungan kepada golongan minoriti ini.
Di Malaysia, konsep ini berlaku dalam beberapa perkara di bawah peruntukan perlembagaan seperti dalam peruntukan Perkara 153 yang memberi perlindungan kepada etnik Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Perkara 153 merujuk kepada kedaulatan Raja-raja Melayu tidak pernah dipertikaikan seperti yang dibuktikan dalam beberapa perjanjian antara Raja-raja negeri dengan British sebelum wujudnya perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian-perjanjian itu menunjukkan satu hasrat secara umum agar orang Melayu dibantu. Dalam perdebatan Dewan Perundangan, mesyuarat ke-13 dan ke-14 sesi kedua Dewan Perundangan Kedua Persekutuan Tanah Melayu 1956 telah dijelaskan oleh Menteri Kewangan bahawa orang Melayu perlu dibantu
disebabkan ketinggalan dari sudut ekonomi.
Secara ringkasnya, diskriminasi perlindungan itu dibuat dengan tujuan berikut:
i. Membetulkan semula ketidakseimbangan politik di sesebuah negara yang rakyatnya bersifat pelbagai dan baru mencapai kemerdekaan. Keutamaan memasuki perkhidmatan awam diberikan kepada orang Melayu dengan tujuan mereka boleh menguasai keadaan politik negara kerana pegawai kerajaan memainkan peranan penting dalam melaksanakan polisi dan dasar pemerintah. Begitu juga dengan perkhidmatan tentera dan polis yang dikuasai oleh majoriti orang Melayu untuk tujuan yang sama.
ii. Diskriminasi perlindungan diberi kepada golongan minoriti supaya kepentingan mereka dapat dipertahankan daripada ditenggelami golongan majoriti. Sebagai contoh, dalam Perlembagaan India, hak golongan minoriti seperti bahasa, kebudayaan dan kepercayaan dijamin dan dipertahankan.
iii. Perlembagaan memberi keutamaan kepada kumpulan yang telah merasai dan mengecapi keistimewaan itu sebelumnya. Tujuannya adalah supaya sebarang perubahan secara radikal tidak berlaku apabila perlembagaan diperkenalkan. Sesuatu keistimewaan yang telah dikecapi sekian lama sekiranya ditarik balik sudah tentu menyemarakkan api kemarahan kumpulan itu. Keistimewaan orang Melayu sebenarnya sudah wujud pada zaman penjajah hasil perjanjian antara penjajah British dengan Raja-raja Melayu. Begitu juga di India, kumpulan yang telah mendapat beberapa keistimewaan sebelum merdeka juga dilanjutkan keistimewaan itu apabila Perlembagaan India diperkenalkan.
iv. Perlembagaan memberi kuasa kepada kerajaan untuk memperbaiki taraf kehidupan dari segi ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat mundur. Tanpa diskriminasi perlindungan ini, tidak mungkin masyarakat mundur itu dapat bangun dan bersaing dengan masyarakat maju. Perlembagaan India dan Malaysia mempunyai peruntukan yang nyata dalam hal ini.
v. Diskriminasi perlindungan juga berlaku disebabkan oleh kompromi antara etnik atau kumpulan tertentu semasa perlembagaan digubal. Sesuatu yang diberi kepada kumpulan lain bererti kumpulan memberi itu berhak kepada beberapa keistimewaan yang lain. Misalnya, dalam Perlembagaan Persekutuan, taraf kewarganegaraan yang diberi kepada kaum pendatang harus diganti dengan pemberian beberapa keistimewaan kepada kaum bumiputera atau dikenali sebagai kontrak sosial (Kamal Halili 1990).
Persoalan Perkara 153
Persoalan Perkara 153 difokuskan kepada dua, iaitu dari segi pencapaian pendidikan dan ekonomi. Manakala persoalan tentang pencapaian dalam perkhidmatan awam tidak dibincangkan kerana dengan adanya penggunaan sistem kuota, bilangan etnik Melayu yang menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam adalah semakin ramai berbanding sebelum tahun 1970. Sebagai contoh, statistik perkhidmatan awam di Pulau Pinang mengikut etnik sehingga 30 September 2008 ialah 81.95 peratus Melayu, 12.92 peratus Cina dan 5.05 peratus India. Manakala pada 2005, bilangan yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam mengikut etnik ialah Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India
5.14 peratus (Utusan Malaysia 25 November 2008).
Justeru, persoalan yang sering dibangkitkan ialah adakah peruntukan Perkara 153 merupakan cara paling berkesan dalam mengatasi kemiskinan dan kemunduran etnik Melayu khususnya dari segi pencapaian ekonomi dan pendidikan kerana kedudukan etnik Melayu telah termaktub dalam perlembagaan dari segi perkhidmatan awam, pendidikan dan ekonomi telah dilaksanakan sejak merdeka? Namun, adakah kedudukan etnik Melayu telah berubah dari segi mengeluarkan etnik Melayu daripada cengkaman kemiskinan dan dapat menyeimbangkan kedudukan mereka dengan etnik lain di Malaysia melalui penyusunan semula masyarakat?
Berdasarkan statistik kerajaan, Perkara 153 ini telah membantu ke arah mengeluarkan etnik Melayu daripada kemiskinan dan meningkatkan pencapaian mereka dari sudut ekonomi dan pendidikan (lee 2006). Walau bagaimanapun, penyertaan dalam bidang profesional dan teknikal masih lagi ketinggalan. Manakala dalam bidang lain, statistik menunjukkan bilangan hampir seimbang antara Melayu dan bukan Melayu. Secara keseluruhannya, etnik Melayu hanya meliputi 38.8 peratus sahaja berbanding bukan Melayu iaitu 61.2 peratus pada tahun
2005. Pelaksanaan Perkara 153 wajar diteruskan dalam bidang pendidikan bagi mengatasi ketakseimbangan antara IPTA dengan IPTS serta pelajar di luar negara melalui penggunaan sistem kuota dan biasiswa. Keadaan ini penting untuk menyeimbangkan bilangan pelajar bukan Melayu di IPT adalah lebih ramai berbanding pelajar Melayu.
Walaupun kadar kemiskinan etnik Melayu bertambah baik, tetapi mereka masih ketinggalan daripada etnik bukan Melayu. Nisbah pendapatan antara luar bandar dengan bandar ialah 1:2.11 pada tahun
2004. Jurang pendapatan antara etnik mengikut nisbah juga semakin baik. Nisbah pendapatan bumiputera berbanding etnik Cina ialah 1:1.64 dan bumiputera dan India ialah 1:1.27 pada tahun 2004. Pendapatan isi rumah pada tahun 2004 mengikut etnik ialah Melayu RM2,552, Cina RM4,127 dan India RM3,215. Kadar kemiskinan mengikut kawasan luar bandar dengan bandar juga bertambah baik, iaitu 11.9 peratus dan 2.5 peratus pada tahun 2004. Kadar kemiskinan mengikut etnik pula ialah
8.3 peratus bagi Melayu, 0.6 peratus bagi Cina dan 2.9 peratus bagi India pada tahun 2004 (Rancangan Malaysia Kesembilan 2006). Keadaan ini menunjukkan pendapatan etnik Melayu semakin baik tetapi masih ketinggalan berbanding etnik lain. Jika dibandingkan dengan kemiskinan dalam kalangan etnik Cina, kadar kemiskinan amat rendah dan kemajuan seterusnya akan dapat mengeluarkan mereka daripada kemiskinan. Keadaan yang sama juga untuk etnik India yang kadar kemiskinan mutlaknya tidak jauh berbeza dengan etnik Cina (Faaland, Parkinson dan Rais 2005). Begitu juga dengan kadar kemiskinan mengikut negeri- negeri yang majoriti Melayu masih tinggi berbanding negeri lain, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Statistik tersebut menunjukkan bahawa dalam bidang ekonomi, pencapaian etnik Melayu belum menepati sasaran DEB. Perkara 153 khususnya dalam bidang perniagaan tidak banyak membantu mengatasi masalah kemiskinan etnik Melayu dan mencapai matlamat DEB untuk memastikan penguasaan 30 peratus pengagihan ekuiti negara. Hal ini disebabkan sebanyak 75 peratus etnik Melayu bergantung hidup kepada pertanian dan perikanan, sedangkan sumbangan pendapatan daripada kedua-dua sektor tersebut adalah kecil.
Walaupun etnik Melayu diberi perlindungan dan hak istimewa dalam bidang ekonomi, keadaan etnik Melayu tidak banyak berubah. Meskipun kini sudah ramai lahir usahawan Melayu yang menjalankan pelbagai perniagaan besar malah sudah pun lahir jutawan Melayu, tetapi kejayaan segelintir etnik Melayu dalam perniagaan tidak boleh dianggap sebagai mewakili kejayaan etnik Melayu keseluruhannya dalam bidang ekonomi. Dalam pemilikan modal saham mengikut sektor juga, etnik Melayu masih lagi ketinggalan berbanding bukan Melayu. Perkara ini dijelaskan dalam Jadual 4.2, iaitu tiada satu sektor yang menunjukkan etnik Melayu melebihi etnik bukan Melayu. Cuma dalam sektor pembinaan, matlamat
30 peratus itu telah tercapai.
JADUAl 4.2: Peratusan Hak Milik Modal Saham Mengikut Sektor dan Etnik tahun
ETNIK A B C D E F G H I J JUM
Bumiputera 16.4 12.3 8.1 6.3 35.2 20.4 26.7 12.5 18.7 24.3 18.9
Bukan
Bumiputera
54 39.8 25 9.2 44 53.3 30.6 10.5 40.9 48.6 40.6
Petunjuk: A: Pertanian, B: Perlombongan, C: Pembuatan, D: Utiliti, E: Pembinaan, F: Perdagangan,
borong dan runcit, G: Pengangkutan, H: Kewangan, I: Perkhidmatan, J: lain-lain
Sumber: Rancangan Malaysia Kesembilan, 2006: 357.
Walaupun perkara hak istimewa etnik Melayu dianggap sebagai satu isu sensitif, tidak bermakna perkara ini menghalang perbincangan tentang pelaksanaannya sama ada berjaya atau tidak. Sekiranya matlamatnya sudah dicapai, adakah etnik Melayu masih lagi memerlukan hak istimewa tersebut? Dalam hal ini, etnik Melayu masih memerlukan Perkara 153 ini khususnya dalam bidang ekonomi disebabkan matlamat untuk meningkatkan taraf ekonomi etnik Melayu masih belum tercapai.
Perkara 153 perlu diteruskan ke arah mencapai matlamat yang dikehendaki khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Namun, pada masa yang sama pelbagai kemudahan dan keistimewaan turut diberikan kepada etnik bukan Melayu dalam aspek pendidikan. Sebagai contoh, apabila negara mencapai kemerdekaan, kerajaan tidak terus menghapuskan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sebaliknya mempertahankan kewujudan sekolah tersebut walaupun Penyata Razak 1956 mahu mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan secara beransur-ansur.
Begitu juga dengan kewujudan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Matrikulasi yang dikhususkan kepada etnik Melayu, namun untuk merapatkan lagi hubungan etnik dan perpaduan dalam kalangan pelajar, keistimewaan ini turut diberikan kepada bukan Melayu apabila kerajaan membenarkan mereka memasuki MRSM dan Matrikulasi dengan kuota 10 peratus. Kemasukan pelajar ke IPTA melalui sistem kuota juga telah ditukar kepada sistem meritokrasi iaitu pemilihan pelajar berdasarkan merit akademik tanpa mengira etnik. Walaupun kedudukan istimewa mengenai pendidikan termaktub dalam perlembagaan, namun pelbagai sikap akomodatif antara Melayu dengan bukan Melayu telah diwujudkan dalam usaha ke arah memantapkan hubungan etnik.
Dari segi ekonomi pula, walaupun melalui DEB ditetapkan kadar pemilikan ekuiti negara bagi etnik Melayu sebanyak 30 peratus, tetapi sasaran itu masih lagi belum tercapai. Sebaliknya, pemilikan ekuiti negara bagi etnik Melayu hanyalah sebanyak 19.2 peratus pada tahun 1990 daripada 2.4 peratus pada tahun 1970. Namun, pemilikan ekuiti negara bagi etnik bukan Melayu telah meningkat daripada 28.3 peratus pada tahun 1970 kepada 34.4 peratus pada tahun 1990 (Rancangan Malaysia Ketujuh 1996).
Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18
Perkara bagi Sarawak
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 membawa satu lagi dimensi kepada hubungan etnik di Malaysia. Dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, kedudukan etnik bumiputera di kedua-dua negeri tersebut diberikan status yang sama sebagaimana etnik Melayu, iaitu mereka turut dimasukkan ke dalam Perkara 153. Namun peruntukan tersebut tidak memberi hak untuk menindas etnik lain kerana hak istimewa etnik Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak perlu dilindungi dengan cara tidak menafikan kedudukansah etnik-etnik lain.
Perjanjian Malaysia yang dibuat pada tahun 1963 merupakan satu persetujuan yang telah disepakati antara pemimpin Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak. Antara tuntutannya adalah tentang imigresen, bahasa, kewangan dan hak istimewa bumiputera Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Senarai II dan Senarai III. Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam perlembagaan dilindungi oleh kuasa Yang di-Pertua Negeri berkenaan dan pindaan hanya boleh dibuat sekiranya kedua-duanya memberikan persetujuan. Parlimen tidak boleh meminda kedudukan istimewa bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu menyamai peranan dan kuasa Majlis Raja-Raja berhubung dengan kedudukan etnik Melayu di Semenanjung. Perkara 165 dalam Perlembagaan Malaysia memasukkan Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18
Perkara bagi Sarawak. Antara perkara tersebut adalah:
i. Agama - Sabah menuntut supaya negeri itu tidak memperakukan suatu
agama sebagai agama rasmi negeri.
ii. Bahasa - Sabah bersetuju bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi/kebangsaan, tetapi memohon supaya bahasa Inggeris boleh terus digunakan tanpa had masa.
iii. Perlembagaan - Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menjadi asas Perlembagaan Malaysia, tetapi penggubalannya patut melibatkan semua negeri.
iv. Imigresen - Bersetuju bahawa kuasa imigresen ialah kuasa pusat, tetapi
soalan tentang keluar atau masuk ke Sabah harus dikawal oleh Sabah sendiri.
v. Kewangan - Sabah wajar mengawal kewangannya sendiri.
vi. Bumiputera Sabah - Mendapat hak istimewa seperti orang Melayu (Persekutuan Tanah Melayu), tetapi formula berkenaan harus disesuaikan dengan keadaan (sifat demografi) Sabah.
Kesimpulan
Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengambil kira kepentingan setiap etnik di Malaysia. Walaupun perkara yang termaktub dalam perlembagaan seolah-olah memberi kelebihan kepada sesuatu etnik, namun terdapat perimbangan bagi setiap perkara tersebut. Permuafakatan sosial yang dipersetujui sewaktu menggubal perlembagaan adalah persetujuan yang telah diterima oleh semua etnik pada ketika itu. Pengingkaran kepada permuafakatan sosial akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan etnik. Perkara ini sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215, iaitu Islam dan orang Melayu merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Justeru, setiap lapisan masyarakat khususnya generasi muda hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan toleran dalam sesuatu isu khususnya yang melibatkan Islam dan etnik Melayu dalam perlembagaan.
Soalan Perbincangan
1. Kedudukan istimewa etnik Melayu adalah satu bentuk diskriminasi. Bahaskan.
2. Kebebasan beragama di Malaysia terjamin dalam perlembagaan. Bincangkan.
3. Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak
perlu dinilai semula untuk meningkatkan integrasi nasional. Bincangkan.

4 comments:

  1. Soalan Perbincangan
    1. Kedudukan istimewa etnik Melayu adalah satu bentuk diskriminasi. Bahaskan.
    adakah jawapan yang lebih lengkap?

    ReplyDelete
    Replies
    1. jawabla sdiri..cubala buat research sikit...ni tak, harapkan jawapan orang je...pemalas betul

      Delete
  2. Easy "water hack" burns 2 lbs OVERNIGHT

    At least 160 000 women and men are using a easy and SECRET "liquid hack" to lose 1-2 lbs each night in their sleep.

    It is very easy and it works all the time.

    This is how to do it yourself:

    1) Get a glass and fill it with water half the way

    2) Proceed to do this proven hack

    you'll be 1-2 lbs thinner when you wake up!

    ReplyDelete