Monday, November 12, 2012

TAJUK 08


Pemerkasaan Pendidikan ke arah Kesepaduan Sosial
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memahami perkembangan sistem pendidikan vernakular di
Malaysia.
2. Menghayati kepentingan sistem pendidikan sebagai alat untuk
memupuk perpaduan.
3. Menilai pendidikan ke arah kesepaduan sosial.
Pengenalan
Pendidikan merupakan asas penyatuan dalam proses pembinaan negara bangsa. Berdasarkan pengalaman di negara luar seperti Perancis, Amerika Syarikat, Indonesia dan Thailand, matlamat ini dicapai menerusi pelaksanaan dasar pendidikan untuk pelbagai komuniti etnik. Walaupun penerimaannya sehingga kini mencetuskan polemik, namun dasar ini berterusan dipraktikkan.
Walaupun negara ini mempunyai Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, tetapi dari sudut praktiknya, dasar tersebut agak berbeza dengan negara berkenaan. Sistem pendidikan di negara ini berorientasikan komuniti etnik tertentu yang berkongsi kurikulum yang sama. Sistem ini disebut sebagai Sistem Pendidikan Vernakular ataupun jenis Kebangsaan. Pengekalan sistem sedemikian akan menggalakkan pemisahan kanak-kanak daripada komuniti etnik yang berbeza. Jika langkah bersepadu kurang mampu dilaksanakan, tidak mustahil matlamat kerajaan untuk memupuk kesepaduan sosial antara anggota masyarakat menerusi sistem pendidikan kebangsaan, sukar untuk dicapai sepenuhnya.
194 Hubungan Etnik
Neena (1985) meletakkan peranan penting pendidikan formal dalam proses sosialisasi. Bagi pelajar yang mempunyai perbezaan latar belakang sosiopolitik, sekolah boleh mensosialisasikan mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga ke peringkat yang lebih tinggi, di samping dapat mengamalkan semangat bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain.
Sejarah Pendidikan di Malaysia dan hubungan etnik
Bahasa dan pendidikan adalah dua perkara yang saling berkait rapat. Melalui pendidikan, sesuatu bahasa dapat dipertahankan dan bahasa juga menggambarkan jiwa sesebuah bangsa. Dengan warisan nilai budaya dan peradaban yang berbeza, setiap komuniti etnik di Malaysia, berusaha mempertahankan sistem pendidikan masing-masing. Atas alasan ini, usaha kerajaan untuk membentuk satu identiti kebangsaan menerusi sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan agak sukar.
Konflik sebegini telah berlaku di negara luar seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Thailand. Negara berkenaan mengekalkan satu sistem pendidikan yang dikongsi bersama. Manakala bahasa yang diberi keutamaan ialah bahasa penduduk asal ataupun komuniti awal yang mampu membawa perubahan. Dalam proses ke arah pembentukan dasar kebangsaan, negara berkenaan juga berhadapan dengan penolakan daripada komuniti etnik yang berbeza seperti di Amerika, antara komuniti Anglo-Saxon dengan komuniti Hispanik. Negara berkenaan mengekalkan satu bahasa dan satu sistem pendidikan untuk dijadikan dasar kebangsaan. Keutamaan diberikan kepada bahasa penduduk asal ataupun komuniti awal yang mampu membawa perubahan di negara yang didiami (Huntington 2005).
Dalam konteks Tanah Melayu, penjajah berperanan utama dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan. Pengaruhnya banyak ditentukan oleh tempoh penjajahan, bentuk sistem pendidikan yang dilaksanakan dan bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan. Dalam tempoh penjajahan selama 130 tahun, pihak British melaksanakan dasar pecah dan perintah dengan mengasingkan etnik mengikut komuniti masing-masing. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan konflik antara satu sama lain. Dasar pecah dan perintah itu diperkuatkan lagi dengan usaha setiap komuniti mempertahankan warisan budaya dan peradaban masing- masing.
latar Belakang Pendidikan Komuniti etnik di Tanah Melayu
Komuniti Melayu, Cina dan India telah pun mempunyai sistem pendidikan tersendiri yang bersifat tradisi, sebelum pihak British mencampuri bidang berkenaan. Dasar pecah dan perintah mengukuhkan lagi kedudukan sistem pendidikan vernakular. Malah, usaha untuk menyatukan mereka di peringkat ini tidak timbul sehingga berlaku peristiwa Malayan Union
1946 yang merupakan pengukuhan usaha ke arah pembinaan negara
bangsa.
Komuniti Melayu
Komuniti Melayu dibentuk bersesuaian dengan sistem nilai dan adat Melayu. Di peringkat awal, dua bentuk sekolah telah dibina. Pertama, persekolahan secara tidak formal, iaitu; sekolah pondok yang menekankan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Sekolah ini membabitkan sekolah agama, sekolah agama rakyat, sekolah pondok dan madrasah. Sukatan pelajaran pengajaran lebih menekankan pembacaan al-Quran, al-Hadis dan hal ehwal keagamaan yang dibiayai oleh individu tertentu. Sekolah ini bebas daripada pemantauan kerajaan British dan turut menyediakan pengajaran di peringkat rendah dan menengah. Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia, India dan Mesir.
Kedua, di sekolah vernakular Melayu yang didirikan oleh kerajaan British, bahasa Melayu dikekalkan sebagai bahasa pengantar dan tumpuan lebih kepada perkara asas seperti membaca, mengira, menulis, ilmu pertukangan, anyaman dan pertanian bagi memenuhi kehendak kehidupan luar bandar (Chelliah 1940). lepasan sekolah Melayu yang berkelayakan akan menyambung pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Walau bagaimanapun, mereka tidak berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi disebabkan kelayakan yang rendah berbanding dengan mereka yang berkelulusan sekolah Inggeris. Malah, lulusan daripada kedua-dua jenis sekolah berkenaan tidak diterima untuk berkhidmat dalam pentadbiran British (Roff 1975).
196 Hubungan Etnik
Komuniti Cina
Penghijrahan komuniti Cina ke Tanah Melayu telah bermula sejak abad ke-3 Masihi. Populasi kaum Cina semakin bertambah setelah penguasaan British sekitar abad ke-19. Kedatangan mereka bukan semata-mata kerana pencarian harta, tetapi juga kesusahan hidup disebabkan pergolakan politik, bencana alam dan populasi yang padat, terutamanya di bahagian Selatan China (lynn 1990; Purcell 1967).
Berteraskan penerimaan sebahagian ajaran Konfusius yang menekankan kepentingan pendidikan di peringkat rendah dan tinggi, majoriti komuniti Cina mendirikan sekolah di setiap wilayah dan di negara baharu yang diduduki mereka. Kepercayaan yang dipegang ialah hanya menerusi pendidikan dan harta mereka mampu mengubah nasib dan status ke tahap yang lebih baik (Wang 1991).
Sebelum tahun 1900, komuniti Cina telah menubuhkan sistem pendidikan tersendiri yang lebih menjurus kepada pendidikan Cina klasik. Sukatan pelajaran pendidikan lebih kepada pemahaman penulisan Cina klasik (loh 1975). Dasar laissez-faire British membuka peluang kepada penubuhan sekolah vernakular Cina yang menerapkan nilai- nilai kecinaan seperti bahasa Cina dikekalkan sebagai bahasa pengantar, sukatan pelajaran, guru dan buku teks adalah berdasarkan negara China. Tujuan penubuhan sekolah berkenaan adalah untuk mengekalkan identiti komuniti Cina di Tanah Melayu agar tidak terpisah dengan negara asal. Sekolah berkenaan ditubuhkan secara persendirian dan dibiayai Persatuan Peniaga Cina (Chinese Chambers of Commerce) dan dilindungi oleh persatuan Cina (Huatuan) dan seterusnya berkembang pesat sebagai institusi keilmuan, budaya, dan bahasa Cina dan mendapat sokongan penuh daripada komuniti Cina. Sekolah itu juga turut menyediakan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah (Thock 2005).
Sekitar tahun 1920-an, kebangkitan semangat nasionalisme di China seperti fahaman Kuomintang dan Komunis telah meresap masuk ke Tanah Melayu menerusi sekolah vernakular Cina. Kesannya, kedua- dua ideologi berkenaan dan sentimen anti-imperialis dan seterusnya anti-British telah mempengaruhi komuniti Cina secara berleluasa. Sebagai langkah keselamatan, British bertindak tegas dengan menggubal Enakmen Pendaftaran Sekolah bagi membolehkan mereka mengawal pendidikan vernakular Cina dan mengurangkan campur tangan
sepenuhnya dari Persatuan-persatuan Cina. Justeru, bermula tahun
1924, sebahagian besar sekolah berkenaan menerima bantuan kewangan dan dipantau oleh kerajaan (Tan 1987; Chai 1977). Walau bagaimanapun, usaha berkenaan kurang berhasil kerana perkongsian rasa sepunya dengan negara asal telah mencetuskan penentangan daripada sebahagian komuniti Cina. Mereka mendesak agar British tidak campur tangan dalam hal ehwal pendidikan dan kehendak ini berterusan sehingga kini.
Komuniti india
Kedatangan komuniti India ke Tanah Melayu semakin meningkat pada sekitar tahun 1880-1890 bagi memenuhi kehendak pasaran getah British ke Eropah Barat. Kebanyakan mereka datang dari Selatan India dan terdiri daripada subetnik Benggali dan Tamil (Chai 1964).
Komuniti India tidak mempunyai sumber ataupun dana kewangan tertentu untuk menubuhkan sekolah. Walaupun kerajaan British menyediakan sekolah vernakular Melayu, tetapi kebanyakan mereka enggan memasukinya (loh 1975). Justeru, sekolah vernakular Tamil ditubuhkan oleh pihak pengurusan estet, dan penerapan nilai-nilai ketamilan diberikan keutamaan oleh komuniti India. Antaranya, penggunaan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar, sukatan pengajaran dan tenaga pengajar diambil dari India. Namun, dengan persekitaran yang serba kekurangan dan lebih kepada penekanan sekolah rendah, para ibu bapa kurang memberi sambutan (loh 1975). Justeru, mereka tidak berpeluang untuk memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran British di Tanah Melayu.
Sekolah Vernakular inggeris
Pendidikan Inggeris mula berkembang di Tanah Melayu setelah penubuhan Penang Free School pada tahun 1816. Pada peringkat awal, sekolah ini dikuasai oleh para mubaligh Kristian dan bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar utama. Bagi menjamin kualiti sukatan pelajaran, kerajaan British telah mengambil alih sekolah berkenaan dengan tujuan mengeluarkan pegawai tadbir rendah yang mampu memenuhi keperluan kuasa pentadbiran British.
Kebanyakan komuniti Cina dan India yang menetap di bandar berpeluang memasuki sekolah berkenaan. Manakala bagi komuniti
198 Hubungan Etnik
Melayu pula, kelas atasan lebih diberikan keutamaan berbanding dengan Melayu kelas bawahan (Chelliah 1940). Para pelajar lepasan sekolah ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej dan universiti sama ada di dalam ataupun di luar negara. Mereka juga berkebolehan untuk memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran British, selain dipandang tinggi oleh masyarakat.
Rumusannya, setiap komuniti etnik di Tanah Melayu telah mempunyai bentuk sistem pendidikan tersendiri yang diwarisi daripada budaya dan peradaban masing-masing. Ikatan yang erat terhadap sistem nilai warisan asal, mempengaruhi setiap komuniti etnik untuk terus mempertahankannya daripada tergugat. Justeru, proses untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai teras kesepaduan sosial telah berhadapan dengan cabaran terutamanya selepas kemerdekaan dicapai.
Proses perkembangan dasar pendidikan ini boleh dibahagikan seperti berikut:
era Penjajahan di Tanah Melayu (1800-1945)
Sehingga tahun 1920, dua bentuk pendidikan menjadi keutamaan British:
i. Pendidikan Inggeris yang disediakan oleh British (free schools) dan golongan mubaligh Kristian. Majoriti diberikan kepada kelompok Melayu kelas atasan dan komuniti bukan Melayu.
ii. Pendidikan vernakular difokuskan kepada kelompok Melayu kelas bawahan. Pendidikan tersebut ditubuhkan oleh Gabenor Cavenagh setelah berjaya mendapatkan peruntukan kewangan untuk membina Sekolah Vernakular Melayu di Melaka, Pulau Pinang dan Seberang Prai pada tahun 1862. Sekolah berkenaan diasaskan mengikut dasar pendidikan British di Negeri-negeri Selat (Chelliah 1940). Sekolah ini lebih menumpukan kepada perkara asas seperti membaca, mengira, menulis dan pertanian bagi memenuhi kehendak kehidupan luar bandar, tetapi tidak berupaya memenuhi kehendak sosial dan ekonomi pada masa itu.
Pemisahan latar belakang pendidikan dalam komuniti Melayu pada peringkat ini telah dilihat sebagai kesinambungan perkembangan semangat nasionalisme yang tidak sekata dalam proses mencapai
kemerdekaan. Keadaan tersebut juga menandakan kemunduran komuniti Melayu kelas bawahan dalam bidang pendidikan. Manakala bagi komuniti Cina dan komuniti India, walaupun tidak diberikan keistimewaan dalam bidang pendidikan kerana kedatangan mereka adalah sebagai kaum imigran yang bersifat sementara, tetapi mereka berpeluang menyambung pendidikan ke peringkat menengah dan universiti.
Peluang pendidikan bagi komuniti Cina dan komuniti India bukan sahaja terbuka dalam pendidikan Inggeris, tetapi turut berpeluang untuk mengukuhkan bentuk sistem pendidikan dan bahasa yang diwarisi dari negara asal. Dasar pendidikan Inggeris membentuk ruang perbezaan antara etnik Melayu dalam komunitinya dan juga antara komuniti Melayu dan komuniti bukan Melayu. Peluang pendidikan lebih diperoleh kelas Melayu atasan dan bukan Melayu (Abdul Rahim 2002).
Ada yang berpandangan, komuniti Melayu kurang berpeluang memasuki pendidikan kerana tiga faktor. Pertama, perjanjian yang mengesahkan adat resam dan agama Islam tidak boleh digugat, bertujuan untuk mengelakkan perjanjian ajaran Kristian oleh golongan Mubaligh. Kedua, kebanyakan sekolah berkenaan berada di bandar yang lebih membuka peluang kepada komuniti Cina dan komuniti India. Ketiga, yuran yang agak tinggi sedangkan kedudukan ekonomi komuniti Melayu adalah mundur (Chelliah 1940; Chaesman 1946).
Walau bagaimanapun, ada yang menganggap perkara ini sebagai muslihat British untuk memundurkan komuniti Melayu agar mereka tidak bangkit menentang pentadbiran British. Terdapat juga keluarga Melayu di Melaka dan Pulau Pinang yang berusaha untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris meskipun tidak mempunyai unsur-unsur Kristian (Jayasuria 1983).
Selepas tahun 1920-an, dasar pendidikan Inggeris adalah berdasarkan sistem pendidikan vernakular dengan menekankan empat bahasa, iaitu, Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil. Situasi ini telah merancakkan lagi pemisahan komuniti yang berbeza mengikut etnik dan budaya masing-masing. Ada yang berpandangan dasar ini menyemai benih pemisahan antara komuniti etnik yang berbeza, yang seterusnya mempengaruhi bidang ekonomi dan juga politik. Dengan menggalakkan kanak-kanak di peringkat awal menerima pendidikan secara vernakular, sistem pendidikan berkenaan telah menyemai dan mengukuhkan nilai
200 Hubungan Etnik
pemisahan antara generasi muda dari sudut warisan sistem nilai, budaya,
bahasa, ekonomi, politik dan kesenian (Watson 1980; Kua 1987; Tan
1997).
Walau bagaimanapun, dasar British tidak boleh dianggap sepenuhnya sebagai benih pemisahan dalam hubungan etnik terutamanya dalam sistem pendidikan. Hal ini demikian kerana sekiranya British tidak melaksanakan dasar pecah perintah, setiap komuniti etnik tetap akan bergerak dalam komuniti dan membina sistem pendidikan sendiri. Menurut Huntington, ikatan etnisiti menjadi lebih penting apabila wujud unsur yang boleh dikongsi seperti agama, bahasa, keluarga, kebudayaan, tradisi, sejarah dan keturunan yang sama (Huntington 2005). Justeru, dengan warisan sistem nilai dan peradaban yang berbeza, setiap komuniti etnik di Malaysia lebih cenderung untuk mempertahankan sistem pendidikan vernakular.
Dalam tempoh pendudukan Jepun (1942-1945), bahasa Jepun digunakan sebagai bahasa perantaraan dalam bidang pendidikan, manakala sistem pendidikan berdasarkan bahasa Inggeris dan Cina disekat. Pentadbiran Jepun tidak menunjukkan inisiatif untuk mengganggu sistem pendidikan Melayu (Fennell 1968).
dasar Pendidikan dalam Tempoh 1945-1970
Dalam tempoh bermula tahun 1945 sehingga tahun 1970 merupakan peringkat ke arah pemupukan semangat kesepaduan sosial dalam bidang pendidikan. Namun usaha ini kurang berhasil kesan daripada latar belakang budaya dan warisan peradaban yang berbeza. Setiap pihak berusaha mempertahankan sistem pendidikan dan bahasa ibunda masing-masing.
dasar Cheeseman 1946
Kesan daripada peperangan, kerajaan British telah mengubah dasar pendidikan yang menumpukan ke arah penyatuan dan bukan pemisahan antara komuniti etnik yang berbeza. Justeru, dasar Cheeseman telah diketengahkan pada tahun 1946.
Antara inti pati utama dasar Cheeseman ialah:
i. Peruntukan pendidikan peringkat rendah secara percuma dan
dibenarkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing.
ii. Pendidikan Inggeris akan didedahkan pada peringkat rendah.
Mereka yang berkelayakan boleh meneruskan pelajaran ke peringkat menengah.
iii. Peluang pendidikan yang sama kepada golongan wanita.
Dasar ini telah diperdebatkan dari sudut penggunaan bahasa perantaraan dan jangka masa perubahan yang boleh dibuat. Manakala bagi komuniti Cina, isu yang dibangkitkan ialah, setiap pihak perlu diberi peluang secara percuma untuk memasuki sekolah Inggeris sama ada di peringkat rendah ataupun menengah (Fennell 1968: 62).
Dasar ini tidak mampu dilaksanakan kerana kekurangan tenaga pengajar untuk sekolah Inggeris dan ketiadaan kuasa untuk melaksanakannya.
Jawatankuasa Car-Saunders 1947
Jawatankuasa ini dibentuk oleh kerajaan British untuk merangka pendidikan tahap universiti di Tanah Melayu. Matlamat penyatuan menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sukar dicapai kerana komuniti bukan Melayu melihat langkah berkenaan dapat menggugat kedudukan bahasa mereka. Misalnya, komuniti Cina berpendapat penekanan yang kuat terhadap bahasa Melayu akan menggugat kedudukan mereka di peringkat pengajian tinggi. Manakala komuniti India pula lebih menekankan kepentingan bahasa Hindi ataupun bahasa Tamil untuk diketengahkan di Jabatan Pengajian India. Kedua-dua komuniti berkenaan juga mengusulkan agar bahasa dan sistem nilai budaya mereka terus dilindungi (Fennell 1968).
Bagi pihak komuniti Melayu, percanggahan pandangan berlaku antara golongan berpendidikan Melayu tradisi dengan berpendidikan Inggeris. Lulusan dari sekolah Melayu menolak cadangan tersebut kerana tahap pendidikan masih rendah. Oleh itu, pendidikan Inggeris dilihat gagal menjaga hak kebajikan komuniti Melayu. Bagi kelompok berpendidikan Inggeris, cadangan berkenaan dipersetujui bagi menyediakan komuniti Melayu dalam bidang pentadbiran. Walau bagaimanapun, mereka mengusulkan agar peluang dibuka kepada komuniti Melayu untuk memasuki pendidikan Inggeris (Fennell 1968).
202 Hubungan Etnik
Jawatankuasa hubungan antara Kaum 1949
Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum ditubuhkan pada Januari 1949, dengan matlamat untuk memupuk penyatuan dalam masyarakat majmuk bagi membina sebuah negara bangsa baharu yang merdeka. Ahli jawatankuasa diwakili oleh etnik yang berbeza iaitu Dato’ Onn bin Jaafar (Melayu), Tan Cheng lock (Cina) dan Thuraisingham (India). Kaedah untuk mencapai perpaduan yang diusulkan adalah seperti berikut:
i. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris wajib diajar di sekolah rendah.
ii. Sekolah kebangsaan akan ditubuhkan bagi menyatukan komuniti etnik yang berbeza. Manakala bahasa Melayu dan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantaraan.
iii. Bahasa ibunda masing-masing boleh diajar.
Walau bagaimanapun, penyatuan sukar untuk dicapai kerana setiap komuniti etnik masih mempertahankan sistem pendidikan yang diwarisi.
laporan Barnes 1951
Bermula dengan pembentukan Jawatankuasa laporan Barnes, ciri-ciri ke arah kesepaduan sosial telah dibentuk oleh kerajaan yang dipengerusikan oleh l.J. Barnes dari Universiti Oxford. Matlamatnya adalah untuk menyemak dan memperbaiki bentuk pendidikan Melayu. Beliau juga mencadangkan agar satu corak pendidikan dirangka bagi memenuhi bentuk masyarakat di Tanah Melayu. Hasilnya, penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dicadangkan sebagai bahasa perantaraan di sekolah rendah bagi memupuk semangat perpaduan dan integrasi antara etnik.
Laporan tersebut menganjurkan agar sekolah vernakular dimansuhkan dan digantikan dengan sistem pelajaran kebangsaan sekolah rendah dan wajib menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Manakala di peringkat menengah, bahasa Inggeris kekal digunakan sebagai bahasa pengantar (Fennell
1968). laporan ini dilihat kurang berupaya memupuk kesepaduan sosial antara komuniti etnik menerusi pendidikan, kerana wujud penentangan daripada komuniti bukan Melayu, terutamanya etnik Cina. Implikasinya, Jawatankuasa laporan Fenn Wu telah dibentuk.
laporan Fenn-Wu 1951
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh William P. Fenn, seorang ahli lembaga Amanah Sekolah Tinggi Cina dan Wu Teh-Yao, iaitu pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tujuannya adalah untuk menyemak semula sistem pendidikan komuniti Cina. Tiga usul diketengahkan iaitu:
i. Mempertahankan kedudukan sekolah Cina dan mendesak agar pihak kerajaan memberikan bantuan kewangan. Rasionalnya, pendidikan vernakular mampu memberi sumbangan ke arah pembentukan bangsa Tanah Melayu yang bersatu dan menggalakkan kesedaran kebangsaan.
ii. Kedudukan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa terbesar dunia.
Justeru, sekolah vernakular tidak boleh dihapuskan sehinggalah
komuniti Cina merasakan pendidikan tersebut tidak diperlukan.
iii. Gesaan agar sekolah Cina tidak memfokuskan bentuk, kaedah dan sukatan pendidikan dari negara China kerana mereka telah pun mendiami Tanah Melayu (Thock 2005).
Dengan adanya laporan ini, menunjukkan bahawa usaha untuk menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan agak sukar. Keadaan ini berlaku kerana sentimen yang kuat untuk mempertahankan bahasa masing-masing begitu tinggi dan tindakan sedemikian telah menyulitkan usaha ke arah kesepaduan sosial.
Ordinan Pendidikan 1952
Ordinan Pendidikan 1952 digubal menggantikan beberapa laporan sebelumnya dengan menetapkan sama ada bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan di sekolah rendah. Sekiranya jumlah pelajar bukan Melayu melebihi 15 orang, kemudahan disediakan untuk menggunakan bahasa Cina dan Tamil. Manakala bahasa Inggeris digunakan di peringkat menengah.
Tujuan untuk menjadikan sistem pendidikan sebagai teras penyatuan adalah sukar kerana setiap etnik berusaha memartabatkan warisan bahasa masing-masing. Bagi komuniti Melayu, penekanan
terhadap bahasa Inggeris dilihat akan menggugat kedudukan mereka selaku penduduk asal. Oleh itu, mereka mahukan kerajaan mengangkat kedudukan bahasa Melayu. Manakala komuniti Cina dan India menolak usul berkenaan kerana dilihat akan menggugat bahasa dan budaya yang diwarisi (Simandjuntak 1969).
laporan razak 1956
laporan Razak 1956 dijadikan Dasar Pendidikan pertama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Dasar ini lebih berpengaruh dalam memartabatkan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan seterusnya dalam pembinaan negara bangsa. Antara usul utama yang ditekankan adalah seperti berikut:
i. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan di sekolah menengah.
ii. Sekolah Jenis Kebangsaan akan menggunakan bahasa Cina, bahasa
Tamil dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
iii. Penggunaan sukatan pelajaran, sistem peperiksaan, latihan
perguruan dan sistem nazir yang sama.
iv. Bagi memupuk kesatuan dalam proses pembinaan negara bangsa, bahasa Melayu dijadikan sebagai kursus wajib untuk semua pelajar.
v. Pendidikan dengan menggunakan bahasa Melayu dilanjutkan ke peringkat menengah dan universiti.
Dengan laporan ini, sekolah vernakular beransur-ansur berubah kepada sekolah kebangsaan yang akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Walaupun timbul penolakan daripada komuniti bukan Melayu, namun kerajaan bertolak ansur untuk mengekalkan penggunaan bahasa ibunda di sekolah masing-masing (Fennell, 1968).
laporan rahman Talib 1960 dan akta Pendidikan 1961
laporan Rahman Talib berperanan untuk memantau Ordinan Pelajaran
1957 (Md Jadi 1990, Ong 2000). laporan berkenaan telah diluluskan pada bulan Ogos 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan
1961 pada Oktober 1961. Antara usul utama ialah pertama; bahasa
kebangsaan ialah medium perhubungan di Malaysia dan dipraktikkan bukan setakat di peringkat sekolah rendah tetapi juga di peringkat menengah dan universiti. Kedua; menyeragamkan sistem peperiksaan dan persekolahan, walaupun berbeza bahasa di peringkat rendah dan menengah. Ketiga; memberi penekanan terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Tujuannya adalah untuk membuka peluang kepada komuniti Melayu berkecimpung dalam bidang berkenaan. Keempat; memberi penekanan terhadap pendidikan moral dan keagamaan bagi mengukuhkan semangat saling menghormati antara etnik yang berbeza.
Rumusannya, proses penyatuan dalam sistem pendidikan di Malaysia telah bermula semenjak zaman sebelum merdeka, namun agak sukar untuk direalisasikan. Penyatuan dalam bidang ini menerusi penubuhan pendidikan yang bersifat kebangsaan akan tercapai sekiranya setiap komuniti etnik memahami sejarah asal di Tanah Melayu dan perkembangan pendidikan di negara ini.
Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Vernakular
Sekolah rendah yang dibiayai oleh kerajaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Perbezaan antara dua jenis sekolah ini ialah bahasa pengantar yang digunakan. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan. Manakala, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan. Kurikulum di kedua-dua jenis sekolah rendah ini pada keseluruhannya adalah sama. Cuma, sukatan pelajarannya sahaja yang sedikit berbeza. Sukatan mata pelajaran bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan lebih mudah berbanding dengan di Sekolah Kebangsaan. Walaupun terdapat beberapa penyesuaian yang dilaksanakan oleh pihak kementerian dalam kurikulum, namun penyesuaian tersebut tetap memenuhi Falsafah Pendidikan Negara, iaitu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Kerencaman yang terdapat dalam struktur pendidikan di negara ini, iaitu sekolah-sekolah yang terdiri daripada pelbagai aliran tidak membawa kepada segregasi. Kerencaman struktur pendidikan wajar dilihat dengan lebih terbuka kerana ibu bapa berpeluang membuat pilihan untuk menghantar anak-anak mereka sama ada ke sekolah aliran
kebangsaan ataupun sekolah jenis kebangsaan. Kini, umpamanya, terdapat kecenderungan dalam kalangan para ibu bapa etnik Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina berbanding sekolah Tamil walaupun secara majoritinya sekolah jenis kebangsaan adalah didominasi oleh etnik bukan Melayu. Ibu bapa dalam kalangan etnik Cina dan India juga menghantar anak mereka ke aliran kebangsaan. Di sekolah jenis kebangsaan, anak-anak Melayu berpeluang mempelajari bahasa Cina atau Tamil di samping bersaing dalam pencapaian akademik dan kokurikulum.
Perkembangan terkini, sekolah aliran kebangsaan turut memperkenalkan kelas-kelas bahasa Cina atau Tamil kepada para pelajar yang majoritinya Melayu. Transformasi dalam pendidikan negara menunjukkan komitmen kerajaan ke arah memupuk perpaduan kaum dengan lebih berkesan. Peluang mempelajari bahasa asing yang diwujudkan di sekolah rendah kebangsaan memberi kefahaman kepada pelajar bahawa perbezaan bahasa tidak menyebabkan segregasi, tetapi lebih kepada mewujudkan integrasi. Hal ini kerana kanak-kanak yang terdedah kepada persekitaran pelbagai etnik akan menjadikan mereka lebih terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain.
Pengekalan kepelbagaian struktur aliran sekolah yang terdapat di negara ini perlu difahami oleh semua pihak, iaitu lebih kepada untuk menjaga kepentingan identiti sesuatu masyarakat, yang merupakan khazanah yang amat berharga bagi masyarakat berkenaan. Pengekalan yang wujud tidak bermakna struktur pendidikan masih berasaskan sistem vernakular zaman kolonial Inggeris yang mengguna pakai kurikulum mengikut negara asal sesuatu etnik. Pengekalan sistem dan struktur pendidikan jenis kebangsaan ini wujud adalah hasil daripada semangat tolak ansur dalam kalangan pemimpin negara. Keunikan dalam struktur pendidikan yang pelbagai membawa kepada pemerkasaan sistem pendidikan negara ke arah kesepaduan sosial dengan melakukan banyak penambahbaikan demi mencapai wawasan pendidikan negara.
Pengekalan struktur dan sistem pendidikan semasa di negara ini merupakan alat penyatuan dalam kepelbagaian. Berbeza dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, sekolah berasaskan sesuatu aliran mengikut etnik tidak wujud sebagaimana di Malaysia. Kebanyakan sistem pendidikan di negara berkenaan lebih menjurus kepada identiti kebangsaan sahaja. Oleh hal demikian, kewujudan struktur dan sistem pendidikan yang berbeza aliran di
negara ini sebenarnya tidak menggambarkan pemisahan, tetapi lebih memberikan ruang integrasi melalui kurikulum yang dibentuk seperti memperkenalkan mata pelajaran bahasa etnik lain di sekolah kebangsaan. Usaha diteruskan di peringkat sekolah menengah dengan Pelaksanaan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang menggalakkan percampuran antara murid tanpa mengira etnik, agama dan budaya di sekolah yang berkenaan.
Pendidikan Menengah
Setelah menamatkan pendidikan di peringkat sekolah rendah, kebiasaannya pelajar akan ditempatkan atau melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah. lazimya, majoriti pelajar akan memilih untuk melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kerajaan dengan kadar bayaran yang minimum. Manakala bagi para pelajar yang tamat di peringkat sekolah rendah khususnya dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Tamil (SJKT) wajib ditempatkan di kelas peralihan selama setahun sekiranya mereka memilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan. Mengikuti kelas peralihan ini merupakan satu proses penyesuaian ke arah pemahaman kepada asas bahasa dan budaya kebangsaan. Dalam tempoh setahun pembelajaran di peringkat tingkatan peralihan, pelajar dari aliran jenis kebangsaan akan memperoleh kefahaman yang jelas di samping mengukuhkan penguasaan terhadap bahasa Melayu.
Pendidikan Menengah Kebangsaan melibatkan beberapa kategori sekolah, iaitu Sekolah Menengah Harian, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Kluster, Sekolah Teknik dan Vokasional, Sekolah Menengah Agama, Sekolah Seni dan Sukan. Dalam pendidikan peringkat menengah, bahasa pengantar utama yang digunakan ialah bahasa Melayu dan hak untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa ibunda mengikut etnik seperti bahasa Cina dan Tamil adalah dibenarkan sekiranya memenuhi syarat. Dengan demikian pengekalan identiti menerusi bahasa ibunda masing-masing tidak akan terhakis.
Seterusnya kelas moral diwujudkan bagi pelajar bukan Melayu menggantikan kelas agama Islam yang diikuti oleh pelajar Melayu. Kewujudan pilihan dalam mata pelajaran memberi erti bahawa tiada paksaan yang wujud dalam aliran kebangsaan di peringkat sekolah
menengah terhadap para pelajar bukan Melayu. Tolak ansur dan hormat terhadap budaya serta kepercayaan pelbagai etnik di peringkat institusi pengajian yang bermula di peringkat sekolah adalah penting dalam usaha mencapai wawasan pendidikan negara seterusnya memantapkan ikatan kesepaduan sosial.
Pada masa kini, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut membuka ruang kuota kepada pelajar bukan Melayu. Walaupun bilangan kemasukan bukan Melayu ke sekolah berkenaan tidak ramai berdasarkan kuota namun ruang yang diwujudkan oleh kerajaan adalah untuk memberi peluang kepada proses integrasi dalam kalangan pelajar berkenaan. Kehidupan pelajar di asrama memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi, mempelajari budaya dan memahami hak sesuatu etnik dengan lebih baik. Di samping itu, persaingan sihat antara pelajar Melayu dan bukan Melayu di SBP akan lebih berdaya saing dan persaingan tersebut adalah penting dalam mewujudkan budaya kecemerlangan di institusi berkenaan. Berbanding dengan di sekolah menengah harian, pelajar bukan Melayu sekadar berjumpa dan bergaul dengan rakan-rakan Melayu dalam lingkungan masa yang terhad. Justeru itu, potensi kefahaman pelajar bukan Melayu di asrama penuh adalah lebih seperti mereka mula memahami budaya pelajar Melayu yang bersolat lima waktu sehari semalam. Pelajar bukan Melayu juga akan terbiasa dengan setiap laungan azan yang berkumandang di surau asrama tempat mereka tinggal yang menandakan masuknya waktu-waktu solat. Mereka juga hormat akan kedudukan rakan-rakan Melayu yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Pada masa yang sama pelajar Melayu juga dapat memahami serba sedikit tentang tata cara ataupun budaya masyarakat pelajar bukan Melayu. Kefahaman yang tersemai dalam kalangan pelajar sebenarnya mengukuhkan lagi aspek kesepaduan sosial ke arah perpaduan nasional.
Sekolah Wawasan
Kerencaman sistem pendidikan telah mendorong kerajaan memperkenalkan sekolah wawasan. Beberapa sekolah awam berkongsi kemudahan yang sama dalam sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Wawasan. Penubuhan Sekolah Wawasan adalah untuk menggalakkan interaksi yang lebih rapat antara etnik. Akan tetapi, kebanyakan etnik Cina dan etnik India membantah pelaksanaan Sekolah
Wawasan kerana mereka percaya bahawa Sekolah Wawasan akan
mengehadkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing di sekolah.
Sekolah Wawasan ialah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira etnik atau agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung.
Tujuan dan matlamat Sekolah Wawasan adalah untuk:
• Mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang.
• Memupuk semangat integrasi antara murid-murid daripada pelbagai
aliran.
• Melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu.
• Menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan pelbagai aktiviti lain di sekolah.
Pada masa ini terdapat beberapa Kompleks Sekolah Wawasan yang telah beroperasi, iaitu Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah, Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang, Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak. Malangnya, mengikut kajian, Sekolah Wawasan tidak mendapat sambutan etnik bukan Melayu kerana dipercayai bahawa percampuran pelajar akan melunturkan penguasaan bahasa ibunda masing-masing.
Pendidikan Prauniversiti
Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar boleh membuat pilihan sama ada belajar dalam Tingkatan 6, matrikulasi atau meneruskan pengajian di peringkat diploma di pelbagai institut pendidikan seperti di politeknik. Jika mereka memilih melanjutkan
pelajaran ke Tingkatan Enam, mengambil masa selama dua tahun dan mereka juga akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Selain itu, pelajar boleh memohon kebenaran untuk mengikuti program matrikulasi yang mengambil masa selama satu atau dua tahun. Sejak tahun 2006, 30 peratus daripada pelajar matrikulasi diberikan program yang mengambil masa selama dua tahun. Sebanyak 90 peratus daripada tempat matrikulasi diperuntukkan kepada pelajar Melayu dan bumiputera.
Matrikulasi diperkenalkan selepas kuota kemasukan universiti awam yang berdasarkan kaum dimansuhkan. Sebanyak 70 peratus daripada pelajar kursus kritikal seperti perubatan, farmasi, pergigian dan perundangan ialah pelajar matrikulasi.
institusi Pengajian Tinggi
Institusi Pengajian Tinggi terbahagi kepada dua, iaitu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Terdapat 20 Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 32 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Jumlah ini tidak termasuk IPTS lain yang tidak disenaraikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang dikategorikan sebagai IPTS-IPTS lain yang diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (Kementerian Pengajian Tinggi, 2006).
Daripada 20 IPTA, terdapat beberapa IPTA yang didominasi oleh orang Islam dan bumiputera Sabah dan Sarawak seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Penubuhan universiti selaras dengan kehendak Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan hak istimewa orang Melayu, seperti juga kewujudan Sekolah Agama dan MRSM. Walau bagaimanapun kemasukan ke IPTA adalah berasaskan meritokrasi iaitu satu sistem yang membolehkan para pelajar dapat bersaing secara sihat dan tiada etnik yang akan mempertikaikan kemasukan etnik lain ke institusi pengajian tinggi awam.
Pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi, mereka adalah berlatarbelakangkan pelbagai aliran seperti daripada aliran kebangsaan, aliran jenis kebangsaan dan aliran agama sewaktu di peringkat sekolah
rendah dan menengah. Mereka berasal daripada pelbagai pelusuk tanah air. Mereka akan melalui kehidupan di kampus selama tiga hingga ke empat tahun atau lebih. Kehidupan mereka sebagai mahasiswa adalah secara perkongsian sama ada di asrama, di dewan kuliah, perpustakaan, kantin, padang sukan dan sebagainya.
Mereka mula memahami persekitaran perkongsian sejak minggu orientasi diperkenalkan oleh pihak universiti. Ruang untuk mereka bergaul dan berinterasi antara etnik yang berbeza adalah lebih luas melalui budaya kongsi yang perlu diamalkan oleh terutamanya dalam perbincangan menyiapkan tugasan dan aktiviti-aktiviti lain. Jurang segregasi tidak lagi menjadi permasalahan, integrasi dalam kalangan mahasiswa semakin terserlah dengan penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum dan berpersatuan. Oleh hal demikian, kerencaman sistem pendidikan yang dilalui oleh mereka pada peringkat sekolah rendah dan menengah berakhir dalam alam varsiti. Perkongsian dalam pelbagai aktiviti memupuk ke arah kesepaduan sosial yang lebih kukuh dan keadaan ini penting dalam konteks mencapai perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik menjelang tahun 2020.
Cabaran dalam Pendidikan dan Bahasa
Kepelbagaian sistem pendidikan mempunyai kaitan rapat dengan kesepaduan sosial di negara ini, terutama dari segi penggunaan bahasa pengantar dan kurikulum. Setakat ini, kepelbagaian tersebut tidak banyak menimbulkan masalah kepada sistem pendidikan negara. Namun, cabaran terhadap pelaksanaan sistem tersebut memang tidak dapat dielakkan, terutama antara pendidikan kebangsaan dengan pendidikan vernakular.
Isu sekolah vernakular dalam sistem pendidikan di Malaysia tidak pernah selesai dan kerap menjadi kontroversi. Majoriti orang Cina yang diwakili oleh Dong Jiao Zong berkata sekolah vernakular sejak berpuluh tahun lalu tidak pernah mengakibatkan polarisasi kaum, malah telah mempertingkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Kewujudan sekolah vernakular ini juga dikatakan tidak pernah menjejaskan perpaduan kaum negara. Berdasarkan beberapa kajian, pelajar Cina yang mendapat pendidikan Sekolah Kebangsaan
dan pendidikan Inggeris, lebih mudah bergaul dengan orang Melayu
berbanding dengan para pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan.
Dong Jiao Zong meminta kerajaan bersikap terbuka dalam memberi layanan sama rata kepada sekolah pelbagai aliran bagi mengukuhkan perpaduan dan pembangunan negara.
Dalam menelusuri tuntutan dan pendirian ini, tiga rukun politik Cina penting perlu difahami bersama. Rukun pertama adalah mempertahankan pendidikan Cina. Melibatkan 1300 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negara. Sudah tentu jumlah sekolah ini akan bertambah dari tahun ke tahun. Menurut badan penyelidikan MCA (INSAP), perjuangan pendidikan Cina oleh orang Cina sama seperti perjuangan menegakkan Islam oleh orang Melayu.
Rukun kedua, mempertahankan penerbitan akhbar Cina yang melibatkan enam akhbar harian di Semenanjung dan lapan akhbar di Sabah dan Sarawak. Akhbar bahasa Cina ialah akhbar yang paling banyak dalam pasaran berbanding akhbar bahasa lain.
Rukun ketiga mempertahankan persatuan Cina (huatuan) yang melibatkan lebih 8,000 buah persatuan seperti persatuan rumah ibadat, puak dan bahasa, persatuan politik dan pendidikan, persatuan perniagaan dan perdagangan. Persatuan bahasa dan pendidikan, seperti Hua Zong, Dong Zong dan Dong Jiao Zong adalah lebih berpengaruh berbanding dengan parti politik.
Sejak dahulu lagi kerajaan tidak menafikan hak bukan Melayu untuk mendapatkan pendidikan dalam bahasa ibunda mereka. Malah ramai juga kalangan anak Melayu bersekolah di SJKC untuk mempelajari bahasa dan budaya Cina, sekali gus sebagai satu kelebihan kepada pelajar Melayu kerana dapat menguasai bahasa etnik lain.
Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Kuala lumpur menggesa Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina di negeri lain menyokong tindakan mereka dengan mengemukakan “Memorandum Pendidikan Persekutuan Malaya”. Sokongan ini membawa kepada penubuhan Jiao Zong pada 25
Disember 1951. Mereka mahukan supaya bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu diberikan layanan yang sama dan disenaraikan sebagai bahasa rasmi. Pendidikan Cina hendak dijadikan sebagai satu daripada aliran pendidikan negara.
Komitmen Kerajaan
Sebelum tahun 1996, terdapat Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menutup atau memansuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan. Akta ini amat ditakuti oleh persatuan Cina. Mereka mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, Menteri Pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat etnik Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baharu pada 1996 yang mengambil kira kepentingan dan permintaan etnik Cina.
Akta Pendidikan 1996 telah mengemukakan satu undang-undang baharu tentang pendidikan bagi maksud melaksanakan dasar pendidikan negara yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dijangka dapat dicapai melalui suatu Sistem Pendidikan Kebangsaan, yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama. Pendidikan yang disediakan melalui akta ini adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan akan memenuhi keperluan negara, serta berupaya memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik.
Sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Apabila membesar agak sukar untuk mereka memberikan kerjasama antara satu lain. Sekolah vernakular pada asalnya diwujudkan bagi membolehkan orang Cina dan India belajar tentang asal-usul negara mereka, tetapi hari ini mereka telah menjadi rakyat Malaysia dan sepatutnya keadaan sedemikian tidak perlu wujud lagi (Khoo 2008).
Kini terdapat lebih kurang 640,000 orang pelajar yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina). Hampir satu per sepuluh atau 60,000 merupakan pelajar bukan Cina. Dalam kajian Yew (1973, 1982) dan leo (1989) mengenai pendidikan masyarakat Cina, beberapa penemuan mengenai sikap dan tingkah pelajar Cina diperoleh. Terdapat perbezaan sikap atau persepsi antara pelajar Cina yang mendapat pendidikan sekolah Cina dengan pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris. Pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris kurang identiti kecinaannya, lebih mudah bergaul dengan bangsa lain dan memudahkan
proses integrasi nasional. Manakala pelajar yang mendapat pendidikan sekolah Cina adalah sebaliknya. Keadaan menjadi semakin buruk apabila wujudnya parti-parti politik berasaskan kaum yang menjadikan pengaruhnya turut merebak kepada institusi keluarga dan pendidikan. Apabila proses sosialisasi ini berlaku, maka menurut Funston (2001), setiap etnik akan memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing, terutama hal-hal yang berkaitan dengan bahasa, pendidikan dan kebudayaan.
Menurut Haris (1990) bahasa ialah persoalan yang merumitkan dalam masyarakat yang berbilang kaum kerana dapat menjadi penghalang kepada integrasi jika kumpulan ras dan etnik yang berlainan mahukan pengekalan bahasa mereka sebagai alat untuk menyampaikan kebudayaan dan nilai-nilai sosial. Walaupun hujah beliau ini tidak boleh dijadikan asas kukuh dalam mengukur keberkesanan integrasi nasional, namun sedikit sebanyak sistem yang wujud menyebabkan jurang interaksi kaum menjadi longgar. Pendapat hampir serupa diutarakan oleh Ramon Navaratnam yang menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kewujudan sekolah berasaskan bangsa seperti sekolah Cina dan sekolah Tamil kerana sekolah berkenaan membantutkan usaha perpaduan kaum. Bagi beliau, kerajaan sepatutnya mewujudkan satu sekolah sahaja, iaitu sekolah kebangsaan dan penampilannya hendaklah menarik orang Cina dan India. Ramon mengakui, sekolah kebangsaan mempunyai banyak kelebihan, termasuk mempunyai pelbagai kemudahan, bangunan yang selesa, guru yang mencukupi dan dapat meningkatkan taraf pendidikan negara (Siti Mariam 2006).
Hal tersebut di atas dibuktikan lagi oleh kajian sekumpulan pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap pelajar yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Kebanyakan pelajar mempunyai sentimen perkauman yang tinggi. Polarisasi di alam kampus agak membimbangkan. Pelajar lebih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam segala hal. Walaupun berlaku interaksi, tetapi agak terhad (Mansor et.al, 2006: 237-295). Semua ini berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus.
Perlu diingatkan juga walaupun pelajar dipisahkan di peringkat sekolah rendah, mereka disatukan semula di sekolah menengah kerana hampir 80 peratus daripada mereka akan bersama kembali dalam pembelajaran dan pengajaran di peringkat menengah. Hal ini bermakna, walaupun pelajar hanya terpisah buat seketika, namun mereka akan
disatukan kembali ketika berada di sekolah menengah, selama lebih
kurang lima tahun, iaitu dari tingkatan 1 (peralihan) sehingga tingkatan
5 (tingkatan enam). Interaksi dalam kalangan mereka masih berlaku secara tidak formal seperti di kedai, pasar raya, panggung wayang dan pengangkutan awam. Pemisahan rakyat khususnya dalam kalangan pelajar tidak seburuk seperti yang disangka oleh sesetengah pihak.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam menjadikan pendidikan lebih baik di Malaysia terutamanya untuk sekolah Cina, beliau telah membuat langkah berani dengan memansuhkan Seksyen 21 (2) Akta Pendidikan 1961 semasa menjadi Menteri Pelajaran. Pemansuhan itu adalah atas keprihatinan beliau terhadap bantahan kuat masyarakat Cina kerana akta tersebut memberi kuasa kepada menteri untuk menukar status sekolah jenis kebangsaan (SJK) kepada sekolah kebangsaan (SK). Najib menjelaskan bahawa tindakan berani beliau itu telah berjaya menghasilkan satu anjakan kepada pendidikan negara khususnya sekolah Cina. Salah satu hasil positif berkenaan termasuklah kemampuan sekolah aliran itu menarik hampir 56,000 pelajar bumiputera daripada jumlah keseluruhan pelajarnya sebanyak 612,000 orang ketika ini. Nampaknya, pada hari ini, beliau mengatakan bahawa lebih ramai orang Melayu sudah boleh bertutur dalam bahasa Mandarin jika dibandingkan sebelum ini. Transformasi yang berlaku ini sebenarnya amat baik dalam membantu kita meneroka perniagaan dengan China yang merupakan antara kuasa besar ekonomi global (Utusan Malaysia, 26 September 2011).
Perdana Menteri amat berbangga dengan kejayaan berkenaan yang turut dicapai hasil daripada peranan dan sumbangan yang telah dimainkan etnik Cina negara ini. Kerajaan memberi jaminan akan terus mempertahankan sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara. Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang adil dan unik apabila menjadi satu-satunya negara di rantau ini yang masih mengiktiraf kewujudan sekolah sedemikian.
Kerajaan sedar bahawa pendidikan merupakan satu bidang yang amat penting dalam pembangunan modal insan bagi menjamin kelestarian dan kejayaan sesebuah negara. Pembangunan sistem pendidikan negara melalui kewujudan sekolah vernakular mampu melahirkan rakyat yang mempunyai nilai tambah apabila dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Umpamanya, salah satu keunikan SJKC adalah setiap pelajar
akan dapat menguasai tiga bahasa, iaitu bahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris. Penguasaan bahasa lain terutama sekali bahasa Mandarin amat penting kerana bahasa ini memberi nilai tambah kepada mereka yang menguasainya apatah lagi dengan kemunculan China sebagai kuasa besar ekonomi dunia.
Kesimpulan
Ternyata bahawa peranan pendidikan amat dominan dalam proses sosialisasi. Walaupun agen sekolah diletakkan sebagai agen kedua penting dalam sosialisasi politik, tetapi pengaruhnya memang tidak boleh dinafikan kerana perkaitannya yang amat rapat dengan keluarga yang berhak untuk menentukan proses persekolahan anak-anak mereka. Dasar pendidikan dan bahasa di Malaysia pula amat unik jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Ramai yang berhujah bahawa kepelbagaian sebagai satu kekuatan, namun terlalu banyak perbezaan juga tidak membawa kepada kebaikan. Kerajaan perlu mencari titik persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan memahami dan berkongsi matlamat wawasan negara dalam kalangan rakyat dan diterajui oleh barisan kepemimpinan yang sentiasa berpegang kepada slogan ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.
Soalan Perbincangan
1. Sistem pendidikan di Malaysia telah berjaya menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik. Bahaskan.
2. Nilaikan peranan bahasa sebagai alat perpaduan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
3. Bincangkan isu-isu hubungan etnik di Institusi Pengajian Tinggi
anda.

5 comments:

  1. may i knoow where can i get these reference

    ReplyDelete
  2. may i knoow where can i get these reference

    ReplyDelete
  3. kalau boleh, biar lah ada pecahan dalam olahan ini. Dapat menjadi rujukan dengan mudah

    ReplyDelete
  4. Nilaikan peranan bahasa sebagai alat perpaduan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

    ReplyDelete