Monday, November 12, 2012

TAJUK 07


dari Segregasi ke integrasi
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memahami konsep segregasi dan integrasi dalam konteks hubungan
etnik di Malaysia.
2. Menilai peranan kerajaan dalam mengeratkan hubungan etnik di
Malaysia.
3. Menghargai peranan masyarakat dan NGO dalam konteks hubungan
etnik di Malaysia.
Pengenalan
Segregasi dan integrasi merupakan dua konsep yang berbeza. Dalam konteks Malaysia, segregasi perlu dielakkan, sebaliknya kita perlu berusaha untuk memupuk integrasi dalam kalangan rakyat. Segregasi berlaku kesan daripada dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh pihak British berdasarkan kegiatan ekonomi mengikut etnik. Integrasi antara kaum pula memerlukan usaha dan sokongan daripada semua pihak sama ada secara top-down atau bottom-up dalam merealisasikan negara Malaysia yang unggul menjelang tahun 2020. Kepelbagaian rakyat Malaysia perlu dilihat sebagai aset yang tidak sekadar berjaya memupuk kesepaduan sosialnya, malah menuju ke arah integrasi. Integrasi hanya akan dapat terjelma apabila rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik itu bersedia menerapkan unsur-unsur akomodasi, akulturasi hingga ke peringkat asimilasi dalam kalangan mereka. Persoalannya, apakah cabaran yang dihadapi dalam usaha membina integrasi pelbagai etnik di negara ini? Apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan dalam memupuk dan membina integrasi?
dari Pengasingan ke Penyatuan
Segregasi merujuk kepada pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara. Pemisahan itu berlaku dalam beberapa keadaan seperti kawasan tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan penerbitan akhbar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Sebelum merdeka, Malaysia telah pun melalui keadaan ini selari dengan dasar pecah dan perintah British sebagai kuasa penjajah. Dasar berkenaan mewujudkan segregasi dalam kalangan pelbagai etnik yang dapat mengukuhkan kedudukan kuasa politik dan ekonomi British. Seterusnya, British dapat bertapak dan menjajah selama 170 tahun di negara ini.
Pengalaman segregasi yang pernah dilalui rakyat negara ini turut sama dirasai oleh penduduk di Afrika Selatan. Sungguhpun terdapat perbezaan yang nyata antara kedua-dua negara, tetapi terdapat pengajaran penting tentang kesan negatif amalan segregasi tersebut. Di Afrika Selatan, segregasi yang diamalkan dari tahun 1948 hingga tahun 1994 didasarkan oleh undang-undang yang dikenali sebagai dasar aparteid.
Justeru, isu yang berlegar sekitar hubungan etnik adalah penting untuk difahami demi membina kesejahteraan hidup rakyat. Malaysia lebih mengutamakan integrasi dalam usaha memupuk perpaduan rakyat di negara ini. Integrasi ialah satu proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang dapat diterima oleh semua kelompok etnik. Identiti, budaya dan hak hidup sesuatu kumpulan etnik tidak dihapuskan, tetapi disuburkan. Dalam konteks Malaysia, integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan etnik yang terpisah-pisah dari segi budaya, agama, sosial dan kawasan penempatan. Mereka dipupuk menerusi integrasi politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, pendidikan dan di peringkat wilayah (Shamsul 2007).
Proses untuk mencapai sebuah masyarakat berintegrasi bukan sesuatu yang mudah dan dapat dicapai dalam waktu yang singkat. Menurut Ting (1987), integrasi ialah suatu proses yang sangat kompleks. Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi darjah kedekatan bermula dengan hubungan terpisah, iaitu segregasi sehingga hubungan berbentuk sebati iaitu amalgamasi. Hubungan yang lebih rapat antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik dan nilai. Hubungan ini seterusnya mampu mengurangkan konflik dan mengutamakan persefahaman, serta mewujudkan semangat perpaduan antara pelbagai etnik.
Cabaran dalam Memupuk integrasi di Malaysia
Terdapat beberapa faktor yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat antaranya, prasangka, perkauman, diskriminasi, stereotaip, rasisme dan etnosentrisme. Perpecahan juga boleh berlaku apabila wujudnya konflik antara kumpulan masyarakat, kedudukan lokasi kelas, taraf pendidikan, kemahiran kerja, pendapatan dan budaya hidup yang sesetengahnya membatasi peluang mobiliti sosial mereka untuk keluar daripada golongan miskin (Mansor 2006). Konflik juga berlaku disebabkan oleh kerumitan menanggung kos hidup yang terus meningkat, perkhidmatan awam yang kurang memuaskan, pengangguran, kemiskinan, keterpinggiran dan ketidaksamarataan dalam masyarakat, gejala sosial yang berleluasa dan wujudnya banyak kumpulan samseng. Justeru, isu-isu berkenaan secara tidak langsung telah memberi kesan kepada masalah perpaduan dalam kalangan rakyat.
Seterusnya konflik bukan sahaja disebabkan perbezaan budaya dan agama, tetapi turut berpunca daripada faktor kemiskinan dan keterpinggiran. Contohnya, rusuhan kaum di Kampung Medan, Selangor dikaitkan dengan isu kemiskinan dan pembangunan (Mansor 2006). Jelaslah bahawa isu kemiskinan dan pembangunan perlu ditangani secara serius untuk mengelakkan ketegangan etnik. Persoalan asas adalah bagaimana perbezaan etnik itu diatasi, serta bagaimana kepentingan politik dan ekonomi disesuaikan dengan kehendak pelbagai etnik sehingga keharmonian dapat dicapai. Perkara ini akan menjadi penanda aras hubungan etnik di sesebuah negara (Chandra 2008).
Malaysia sering menjadi contoh kepada negara lain dari segi hubungan etnik kerana berjaya mewujudkan keharmonian dalam kalangan etnik yang pelbagai. Sebahagian besar kejayaan ini merupakan hasil usaha kerajaan yang bersifat top-down dan disokong oleh pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sendiri yang bersifat bottom-up. Proses ini bertujuan memupuk perpaduan dan hubungan etnik yang mantap dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dipelopori oleh kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan keadilan sosioekonomi serta keamanan negara sentiasa terpelihara.
Peranan Kerajaan
Memupuk semangat hubungan etnik yang harmoni menjadi agenda utama kerajaan yang dilaksanakan menerusi perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar tertentu. Usaha-usaha ini diteruskan dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan slogan "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan". Konsep ini bertujuan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi. Disamping itu konsep ini juga bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai etnik di negara ini.
Pelbagai agensi kerajaan juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan segala usaha dan perancangan kerajaan dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik di negara ini dilaksanakan dengan berkesan.
Penubuhan Jabatan Perpaduan negara dan integrasi nasional (JPnin)
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional adalah sebuah badan yang ditubuhkan dan bertanggungjawab memupuk dan memelihara perpaduan antara etnik di negara ini. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik mempunyai latar belakang budaya, agama, bahasa dan adat resam yang berbeza. Walaupun etnik yang berlainan ini berganding bahu di bawah satu sistem politik yang sama namun kehidupan mereka adalah berasingan. Interaksi dalam kalangan mereka juga kurang dan hubungan antara mereka hanya terbatas kepada perkara tertentu terutama yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi. Pembahagian buruh dalam sistem ekonomi dibuat berdasarkan pemisahan etnik dalam masyarakat dengan setiap etnik mempunyai fungsi ekonomi yang tersendiri. Bagaimanapun suasana ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan suasana sewaktu Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan. Masyarakat pada waktu itu menepati ciri-ciri masyarakat majmuk seperti yang diutarakan Furnivall (1948), kesan daripada pelaksanaan dasar pecah dan perintah oleh British.
Dalam hal ini isu perpaduan dan hubungan antara etnik merupakan agenda penting negara dalam memastikan kestabilan politik sentiasa terjamin. Generasi kini yang mewarisi konsep masyarakat majmuk sejak merdeka masih menghadapi persoalan dan dilema akibat masalah segregasi antara kaum. Keadaan ini secara tidak langsung menggambarkan konflik antara kaum yang wujud akibat perbezaan persepsi dalam kalangan kaum. Masyarakat kini masih belum sepenuhnya menjiwai nilai dan konsep satu bangsa Malaysia sebagaimana yang terkandung dalam cabaran pertama Wawasan 2020 yang menekankan perpaduan masyarakat. Integrasi nasional penting kerana dapat mengikis sentimen perkauman. Nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum harus dipertahankan agar keharmonian dapat dikekalkan.
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan sebagai usaha
untuk memulihkan hubungan antara kaum kesan daripada peristiwa
13 Mei 1969. Di samping itu, kerajaan telah menjadikan Rukun Negara sebagai tunjang kepercayaan dan kesetiaan rakyat berbilang kaum terhadap kepemimpinan negara. Pada 1 Julai 1969, MAGERAN mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk menangani isu berhubung pembinaan semula perpaduan kaum di negara ini (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional 2006).
Selepas MAGERAN dibubarkan, Majlis Penasihat Perpaduan Negara ditubuhkan pada 23 Februari 1971 bagi memupuk dan memelihara perpaduan kaum. Majlis Penasihat Perpaduan Negara diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perpaduan Negara (JPN). Antara tahun
1990 – 2004, JPN diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan seterusnya diletakkan semula di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri dengan nama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
dasar-dasar Kerajaan
Kerajaan telah merangka dan memberi penekanan kepada beberapa dasar dalam bidang sosioekonomi yang menjurus kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai etnik serta menjalin integrasi nasional. Antara dasar tersebut ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut diperkukuhkan lagi dengan pengenalan Rukun Negara
sebagai ideologi kebangsaan. Kesemua dasar tersebut bertujuan untuk mengurangkan dan mengawal tindak-tanduk politik melampau yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Kerajaan juga telah membentuk beberapa dasar lain seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Sosial Negara. Semua dasar tersebut dimantapkan lagi dengan pengenalan Wawasan
2020 dengan visi dan misi menjadikan Malaysia maju dalam semua
aspek kehidupan.
Pelan tindakan JPNIN melalui Pelan Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional 2005 – 2010 telah merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan lagi perpaduan dan integrasi nasional melalui pelbagai strategi seperti berikut:
Strategi Persefahaman Politik
Dalam aspek ini kerajaan telah berusaha memupuk perpaduan negara berlandaskan peruntukan dalam perlembagaan merangkumi:
i. Sistem kerajaan persekutuan ii. Demokrasi berparlimen
iii. Raja berperlembagaan
iv. Kedudukan Raja-raja Melayu
v. Bahasa kebangsaan
vi. Hak mengamalkan agama masing-masing
vii. Hak asasi rakyat Malaysia
viii. Kedudukan istimewa kaum bumiputera dan peribumi
ix. lambang-lambang negara
x. Pembahagian kuasa dan tanggungjawab antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.
Kesemua perkara tersebut merupakan kerangka kepada usaha kerajaan dalam bidang politik untuk memupuk identiti nasional, perpaduan antara kaum dan integrasi antara wilayah.
Di samping itu, mewujudkan langkah keselamatan dan undang- undang juga adalah penting untuk mengawal dan mencegah pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum atau agama daripada melakukan kegiatan yang dapat menjejaskan keharmonian antara kaum dan menggugat kestabilan negara. Pemantauan perlu dilakukan ke atas
amalan dan etika dalam parti politik supaya pendukung parti bersikap dan bertindak sederhana terhadap sesuatu isu untuk mengelakkan daripada berlaku ketegangan antara kaum.
Strategi Keseimbangan ekonomi
Faktor yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara etnik selalunya dikaitkan dengan sentimen etnosentrisme, prejudis serta tanggapan dan kedudukan sosioekonomi antara etnik yang tidak seimbang. Masalah ini dirumitkan lagi apabila kumpulan etnik dikenali mengikut aktiviti ekonomi mereka. Lantaran itu, usaha kerajaan untuk mencapai perpaduan adalah dengan mengimbangkan kedudukan sosioekonomi antara etnik dan antara wilayah serta mengurangkan pengenalan etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Hal ini ditangani menerusi beberapa kaedah seperti meningkatkan taraf ekonomi antara etnik dan wilayah tanpa merugikan mana-mana pihak. Penjelasan sewajarnya perlu diberikan kepada semua pihak supaya sebarang salah tanggapan dapat diperbetulkan dan perasaan tidak puas hati dapat dibendung. Usaha kerajaan untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan tanpa mengira etnik dan perbezaan wilayah perlu mendapat sokongan daripada sektor swasta supaya pengenalan etnik berdasarkan aktiviti ekonomi dapat dikurangkan.
Strategi Sistem Pendidikan
Sistem pendidikan merupakan salah satu daripada alat terpenting dan berkesan bagi membina jati diri nasional, memupuk semangat kebangsaan, cinta kepada negara dan berperanan mengeratkan perpaduan. Peranan sistem pendidikan meliputi aspek menyediakan persekitaran serta kemudahan yang kondusif bagi keperluan sosialisasi dalam kalangan sebilangan besar rakyat. Semangat perpaduan boleh diterapkan kepada pelajar bermula dalam lingkungan usia muda di samping menanam sikap dan nilai yang dapat melahirkan kesedaran nasional, semangat cinta dan bangga kepada negara dan perpaduan antara kaum. Pelbagai langkah telah diambil untuk menggalakkan wujudnya satu sistem persekolahan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan menyeragamkan kurikulum, kokurikulum, peperiksaan serta pensijilan yang mempunyai pengiktirafan yang sama.
Di samping langkah yang telah disebutkan, kerajaan juga membenarkan pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa ibunda kaum tertentu seperti bahasa Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan Dusun di peringkat sekolah rendah dan menengah. Kurikulum sekolah rendah dan menengah memberikan tumpuan yang sewajarnya dalam mata pelajaran sejarah negara, termasuk persetujuan antara kaum dan negeri tentang peruntukan tertentu dalam perlembagaan, budaya dan adat resam kaum di Malaysia, serta unsur-unsur penting agama dan kepercayaan utama. Pendidikan dan aktiviti kokurikulum juga menerapkan sikap dan nilai-nilai yang mendukung pencapaian perpaduan negara. Sikap dan nilai-nilai ini termasuk juga sikap kesejahteraan, bertolak ansur dan saling menghormati antara kaum dan agama, taat setia dan cinta kepada negara.
Selain itu, pendidikan sepanjang hayat, iaitu program pendidikan yang dijalankan oleh pelbagai agensi dan pihak di luar sistem pendidikan formal, juga memainkan peranan penting dalam usaha memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional. Terdapat pelbagai bentuk pendidikan tidak formal yang disertai oleh pelbagai kaum seperti kursus jangka pendek anjuran badan kerajaan dan NGO. Penyertaan pelbagai kaum dalam program berkenaan secara tidak langsung akan menggalakkan interaksi antara satu sama lain seterusnya dapat menjalin ikatan perpaduan.
Strategi Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Penggunaan satu bahasa yang sama merupakan salah satu alat yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan. Penggunaan satu bahasa juga membolehkan pelbagai kaum dan keturunan berkomunikasi antara satu sama lain dengan selesa. Mereka menggunakan satu bahasa rujukan yang sama untuk menginterpretasikan alam dan realiti dan mewujudkan satu ciri persamaan antara mereka sebagai unsur utama pembentukan kebudayaan kebangsaan. Dalam hal ini, bahasa Melayu amat sesuai digunakan sebagai bahasa penyatu selain diangkat sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Berdasarkan fakta sejarah kemampuan bahasa Melayu juga telah terbukti iaitu menjadi lingua-franca terutama dalam zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Bahasa Melayu juga pernah digunakan dalam hubungan diplomatik antara kerajaan Melayu Melaka dengan negara luar.
Strategi Kepercayaan agama
Perlembagaan dan Rukun Negara menjamin bahawa rakyat Malaysia bebas menganut dan mengamalkan agama dan kepercayaan masing- masing bertujuan untuk memelihara suasana harmoni antara rakyat berbilang kaum. Walaupun agama Islam sebagai agama persekutuan namun agama-agama lain dilindungi oleh perlembagaan. Pengembangan sesuatu agama dalam kalangan penganut agama lain tertakluk kepada peruntukan dalam perlembagaan dan undang-undang. Justeru, sebarang aktiviti keagamaan perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menyentuh sensitiviti penganut agama lain.
Strategi Kebudayaan
Kerajaan juga berusaha mewujudkan kebudayaan nasional yang menjadi milik bersama rakyat negara ini tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah sebagai asas pembentukan bangsa, jati diri nasional dan perpaduan negara. Kebudayaan nasional dibentuk berpandukan tiga prinsip dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu Kebudayaan Kebangsaan Malaysia berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini; unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar, diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan; dan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.
Kerajaan juga menentukan bahawa pembentukan Kebudayaan Kebangsaan tidak bermakna mengabaikan kebudayaan sukuan. Kebudayaan sukuan yang tidak menjadi sebahagian daripada Kebudayaan Kebangsaan seperti ciri-ciri tertentu dalam kebudayaan Melayu, Iban, Kadazan Dusun, Cina, India termasuk kebudayaan Barat bebas diamalkan selagi tidak menjejaskan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan. Bagaimanapun nilai-nilai masyarakat yang bersifat positif merupakan aspek penting dalam Kebudayaan Kebangsaan kerana nilai- nilai tersebut adalah nilai-nilai sejagat dan menjadi kepunyaan bersama pelbagai kaum dan keturunan di Malaysia.
Strategi integrasi Wilayah
Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk mengintegrasikan antara rakyat di Semenanjung dengan di Sabah dan Sarawak sejak
Malaysia ditubuhkan. Bagaimanapun faktor geografi telah menyumbang kepada kewujudan jarak sosial antara wilayah tersebut. Antara langkah kerajaan ialah melakukan penambahbaikan dalam sistem perhubungan kebangsaan dan pengangkutan perluasan sistem radio dan televisyen nasional di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan;penubuhan pelbagai agensi kerajaan persekutuan di negeri berkenaan dan mengadakan program lawatan pemimpin masyarakat untuk melahirkan integrasi yang kukuh antara negeri dan rakyat di wilayah tersebut.
Walaupun pelbagai bentuk langkah seperti yang dinyatakan telah dilaksanakan, tetapi masih terdapat pelbagai permasalahan dan salah tanggapan dalam usaha ke arah mengintegrasikan wilayah dan dalam hubungan Kuala lumpur-Kuching-Kota Kinabalu. Oleh itu tumpuan khusus diberi kepada usaha pemupukan integrasi wilayah dan hubungan antara Kuala lumpur-Kuching-Kota Kinabalu dengan cara memberi penekanan terhadap aspek interaksi dan pergaulan yang lebih luas antara rakyat di wilayah berkenaan. Pelan tindakan adalah dengan memberikan penjelasan lebih mendalam tentang adat resam dan kebudayaan setiap etnik serta mengikis salah tanggapan yang timbul dalam bidang sosioekonomi dan sebagainya. Selain daripada melakukan integrasi antara wilayah, tumpuan juga diberikan kepada pengintegrasian antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar agar kemajuan ekonomi dan prasarana yang diadakan dapat dikongsi secara adil dan saksama.
Strategi Keselamatan
Kerajaan juga mengatur langkah keselamatan untuk memelihara dan mencapai perpaduan yang mantap dan berkekalan. Strategi perpaduan negara dalam bidang keselamatan meliputi aspek pencegahan daripada berlakunya ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam. Penekanan diberi kepada aspek pencegahan supaya nyawa dan harta benda awam dan pembangunan negara dapat dipelihara dan tidak terancam. Aspek pencegahan merangkumi penguatkuasaan sekatan di sisi undang-undang ke atas kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan, tahanan preventif, penguatkuasaan peruntukan Akta Hasutan, dan kawalan terhadap penerbitan melalui undang-undang yang berkaitan. Pemulihan pula ialah usaha untuk menenteramkan keadaan setelah berlakunya sesuatu konflik. Aspek pemulihan termasuk keselamatan dan ketenteraman awam yang melibatkan tindakan,
terutamanya daripada pihak polis dan dibantu oleh pihak lain seperti angkatan tentera, Ikatan Relawan Rakyat (RElA), Rukun Tetangga dan dalam keadaan yang ekstrem, mengisytiharkan darurat.
Strategi Pembangunan Kawasan
Dalam aspek pembangunan kawasan, kerajaan mengarahkan pemaju perumahan serta pihak berkuasa tempatan supaya mengambil kira aspek perpaduan etnik. Sesuatu kawasan yang hendak dimajukan untuk dibuat penempatan baharu, misalnya, seharusnya mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum agar sentimen perkauman dapat dicairkan. Seterusnya setiap penempatan perlu menubuhkan jawatankuasa penduduk seperti Rukun Tetangga dan menganjurkan aktiviti yang melibatkan semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama. Prasarana seperti dewan serba guna dan dewan komuniti perlu disediakan untuk kegunaan penduduk melakukan aktiviti kemasyarakatan. Penyediaan kemudahan tersebut dapat membantu menyemaikan semangat perpaduan dan interaksi antara etnik melalui pelbagai aktiviti sosial yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Kerajaan juga menegaskan supaya sesuatu kawasan perumahan mengandungi pembangunan bercampur seperti fasa perumahan kos rendah, sederhana dan juga mewah agar dapat mengurangkan jurang sosial dalam kalangan masyarakat melalui pergaulan dan interaksi. Kemudahan yang disediakan haruslah dapat dinikmati oleh penduduk dan tidak dibatasi oleh taraf sosioekonomi mereka.
Strategi Penggunaan Tenaga Manusia
Pihak kerajaan meminta kerjasama daripada para majikan sama ada daripada pihak awam ataupun swasta untuk memastikan agar sebarang lantikan mengisi sesuatu jawatan tidak berdasarkan faktor kaum, agama dan budaya. Pemilihan perlu dibuat secara adil berdasarkan kelayakan pemohon kerana hakikatnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Majikan juga perlu memainkan peranan menerapkan unsur perpaduan dalam kalangan pekerja melalui pelaksanaan dasar syarikat dan program serta aktiviti yang dianjurkan.
Di samping itu, mereka juga bertanggungjawab melaksanakan setiap dasar yang digubal oleh kerajaan. Interaksi antara pekerja pelbagai etnik perlu digalakkan supaya perasaan prejudis dan salah tanggapan antara mereka dapat dikurangkan. Pemupukan nilai-nilai murni yang menyumbang kepada perpaduan negara seperti semangat patriotisme dan kekitaan perlu sentiasa diterapkan.
Strategi Media Massa
Media massa juga memainkan peranan berkesan untuk membantu memupuk perpaduan negara melalui penyampaian maklumat, pembentukan sikap dan pandangan rakyat serta penerapan nilai-nilai positif ke arah memajukan semangat perpaduan. Internet sebagai wadah penyebaran maklumat juga perlu digunakan sebaik mungkin. Perkembangan media elektronik mampu menghubungkan rakyat termasuk masyarakat terpencil di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Syarikat swasta yang mengendalikan stesen televisyen turut memainkan peranan penting dalam usaha memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada bangsa dan negara.
Penerbit akhbar dan majalah juga digalakkan memberi sumbangan kepada usaha memantapkan perpaduan negara berdasarkan etika kewartawanan. Pengamal media dituntut supaya bertanggungjawab dan peka apabila menyentuh dan melaporkan perkara yang dapat menjejaskan perpaduan dan perhubungan antara kaum dan agama. Mereka juga perlu memastikan bahawa laporan tidak melanggar Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta tidak menjejaskan atau menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Strategi Kesukanan
Sukan merupakan bidang yang ideal bagi membentuk perpaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat berbilang kaum, khususnya bagi acara sukan yang popular. Sukan mewujudkan peluang dan persekitaran bagi pergaulan dan interaksi sosial dan melahirkan suasana yang sangat sesuai bagi memupuk semangat persaudaraan dan solidariti tanpa mengira etnik dan keturunan. Melalui sukan juga dapat membantu menaikkan semangat patriotisme dan mencairkan perasaan etnosentrisme, prejudis
dan prasangka buruk dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila acara itu diadakan di tanah air khususnya sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang diwakili oleh pasukan kebangsaan atau negara.
Strategi Perpaduan dan Pertubuhan Sukarela
Kerajaan telah memperkenalkan konsep pemasyarakatan perpaduan pada 1998 untuk menerapkan ciri-ciri identiti nasional bagi membangunkan bangsa Malaysia berasaskan semangat persaudaraan dan kewarganegaraan yang tinggi. Proses penerapan nilai-nilai murni menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik menggunakan segala saluran dan prasarana yang sedia ada. Selain itu, diperkenalkan juga jentera kemasyarakatan seperti Rukun Tetangga dan persatuan penduduk dalam usaha menjayakan penerapan nilai-nilai murni, perpaduan dan integrasi nasional melalui aktiviti kemasyarakatan.
Strategi Penyelidikan dan Penerbitan Bahan Bacaan
Usaha kerajaan memperbanyakkan aktiviti penyelidikan tentang perpaduan negara dan integrasi nasional penting untuk mengetahui pola hubungan etnik semasa. Hasil kajian dapat digunakan untuk merangka strategi dan perancangan program yang berkesan di samping mewujudkan instrumen untuk mengukur tahap perpaduan. Ia boleh diperkukuhkan dengan adanya penerbitan bahan bacaan tentang perpaduan dan integrasi serta adat resam masyarakat Malaysia.
Strategi Pemantauan isu-isu Semasa dan Konflik
Mewujudkan mekanisme pemantauan tahap perpaduan dan integrasi nasional secara berterusan dan sistematik merupakan langkah pengesanan awal terhadap isu-isu semasa dan konflik. Pengesanan perhubungan sosial perlu ditingkatkan lagi melalui sistem dalam talian kerana bukan sahaja maklumat dapat dikesan atau diperoleh dengan segera, tetapi dapat membantu pihak jabatan dan agensi lain untuk mengambil tindakan pencegahan awal.
Strategi Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan negara (Panel) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat negeri (JKPPn)
Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEl) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Negeri (JKPPN) bertujuan untuk membincangkan isu perpaduan dan integrasi nasional dan memainkan peranan lebih berkesan. Badan-badan ini bertindak sebagai penyelaras kepada agensi lain dan seterusnya bertanggungjawab menasihat, melapor, dan mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri dan Parlimen tentang sebarang isu yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi sosial.
Strategi Program dan aktiviti Perpaduan
Kerajaan merangka program pemetaan perpaduan untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan kumpulan sasaran termasuk kanak- kanak prasekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Seterusnya kakitangan kerajaan dan swasta serta anggota komuniti seperti belia, wanita dan orang kurang upaya serta orang ramai juga boleh berperanan membawa perubahan dari aspek pengetahuan, sikap dan kemahiran tentang perpaduan antara etnik. Di peringkat sekolah, aktiviti yang dicadangkan adalah berbentuk pendidikan pelbagai budaya yang boleh diintegrasikan dalam bentuk kurikulum dan kokurikulum. Di tempat kerja pula, aktivitinya adalah tentang pengurusan kepelbagaian dalam kalangan pekerja, manakala pada peringkat komuniti, aktivitinya berunsurkan pengembangan yang boleh membawa perubahan serta pembangunan kepada masyarakat setempat. Selain itu, strategi lain yang difikirkan dapat membantu memantapkan proses perpaduan dan integrasi juga turut diwujudkan seperti latihan dalam bidang komunikasi antara budaya, pengauditan dasar kerajaan dan menghasilkan satu etika tentang hak dan tanggungjawab kemanusiaan untuk rakyat Malaysia. Usaha juga perlu dipergiatkan untuk menerbitkan bahan bacaan secara meluas tentang pelbagai etnik di Malaysia.
Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Sistem pendidikan negara pelbagai aliran menyebabkan tidak ada acuan khusus yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang
bersatu padu. Hal ini menyebabkan ibu bapa lebih cenderung memilih aliran mengikut etnik masing-masing. Usaha memupuk perpaduan harus bermula sejak awal lagi, iaitu sewaktu anak-anak berada di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, mengikuti acuan kurikulum yang sama. Dengan itu, sekolah kebangsaan perlu diperkasakan bagi menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai etnik supaya mereka dapat dilatih hidup saling bekerjasama dan mempunyai semangat patriotisme serta berakomodatif yang tinggi.
langkah-langkah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan perlu diletakkan di landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang etnik tanpa mengetepikan sekolah rendah jenis kebangsaan yang telah dipersetujui oleh semua golongan etnik di bawah kontrak sosial. Setiap ibu bapa diberi kebebasan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil tanpa halangan. Sekolah kebangsaan merupakan institusi pendidikan utama bagi anak-anak Malaysia untuk memenuhi aspirasi dan memiliki jati diri nasional. Sekolah Kebangsaan bukan sahaja berkemampuan mendidik pelajar pelbagai etnik, tetapi juga membantu menanam nilai- nilai perpaduan dalam kalangan warganegara Malaysia.
Memupuk semangat perpaduan dan keyakinan terhadap sistem sekolah satu aliran, iaitu sekolah kebangsaan perlu ditadbir sebaik- baiknya supaya bukan sahaja boleh menarik orang Melayu, tetapi juga orang bukan Melayu menghantar anak mereka belajar di sekolah tersebut. Lantaran itu, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kualiti pengajaran di sekolah kebangsaan dipertingkatkan dengan 100 peratus guru di sekolah menengah dan 25 peratus guru di sekolah rendah akan mempunyai kelayakan ijazah pertama menjelang tahun 2012 supaya sekolah kebangsaan menjadi sekolah pilihan. Semangat perpaduan dalam kalangan pelajar perlu dipupuk bukan sahaja di peringkat sekolah, tetapi juga di peringkat Institusi Pengajian Tinggi dengan beberapa pendekatan. Antaranya, tidak mengetepikan penguasaan bahasa ibunda masing-masing seperti bahasa Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan Dusun, memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan interaksi antara golongan etnik, mengadakan lebih banyak aktiviti antara golongan etnik, mengadakan program interaksi antara sekolah dan memasukkan unsur-unsur interaksi etnik dalam kurikulum serta meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan golongan etnik lain.
Memperkasakan Sekolah Wawasan
Kerajaan telah memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan sebagai satu daripada pendekatan alternatif untuk memupuk nilai perpaduan etnik dan integrasi nasional dengan membina dua atau tiga jenis sekolah rendah yang berlainan bahasa pengantar. Namun, pentadbiran terletak dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan dan dewan. Sekolah Wawasan ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang memberikan peluang yang luas kepada para pelajar pelbagai etnik untuk bergaul dan berinteraksi melalui pelbagai aktiviti tanpa menjejaskan status dan perkembangan sekolahnya.
Memperkenalkan Program latihan Khidmat negara (PlKn)
Program latihan Khidmat Negara (PlKN) mula dilaksanakan pada 2004 sebagai kursus wajib selama tiga bulan di kem latihan bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). PlKN yang berteraskan Rukun Negara mempunyai kurikulum berbentuk multidisiplin yang mengandungi beberapa modul. Antaranya:
i. Modul Fizikal yang merangkumi aktiviti kawad, merempuh
halangan, merentas desa dan kembara hutan;
ii. Modul Kenegaraan yang memberi penekanan terhadap aspek pengetahuan tentang pembinaan negara bangsa;
iii. Modul Pembinaan Karektor mencakupi penerokaan diri sendiri dan hubungan interpersonal;
iv. Modul Khidmat Komuniti yang menyentuh antara lain aktiviti gotong-royong seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar.
Antara objektif utama PLKN adalah untuk:
i. Menanam semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda atau remaja Malaysia.
ii. Memupuk perpaduan etnik serta integrasi nasional.
iii. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
Peranan Masyarakat dalam Konteks hubungan etnik
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dimainkan oleh masyarakat untuk memastikan keharmonian etnik sentiasa terjaga. Antara aktiviti itu adalah seperti berikut:
rukun Tetangga
Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlu mengenai Rukun Tetangga
1975. Pada mulanya Rukun Tetangga bertujuan untuk membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing dengan mewajibkan masyarakat setempat berumur 18 hingga 55 tahun menjalankan tugas rondaan pada waktu malam. Mulai 1 Januari 1983, kerajaan telah membuat pindaan terhadap Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 dengan memberi penekanan kepada konsep kejiranan untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Pada tahun 2000, peraturan Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan memberi ruang yang lebih luas untuk pembangunan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan perpaduan nasional.
Visi dan misi Rukun Tetangga adalah untuk membantu memupuk persefahaman dan bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta mempunyai identiti sendiri dengan motonya “Bersatu Terus Maju” dalam konteks pencapaian Wawasan 2020. Objektifnya ialah memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Dengan kata lain, Skim Rukun Tetangga diperkenalkan sebagai langkah untuk membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka dengan penekanan terhadap konsep kejiranan serta falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Peranannya diperluaskan lagi kepada pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan dalam masyarakat akan berterusan dan berkekalan.
Dari aspek sosial, ahli Rukun Tetangga melakukan amalan kunjung-
mengunjung semasa musim perayaan. Dari segi pendidikan, mereka
mengadakan sistem pendidikan tidak formal seperti kolokium jiran wanita, kursus motivasi, kursus kepemimpinan, tuisyen dan ceramah dalam pelbagai bidang. Selain itu, mereka juga mengadakan aktiviti sukan seperti sukaneka, larian amal, permainan bola sepak, bola baling, bola jaring, sukan air, sukan tradisional dan sukan rakyat. Mereka juga mengadakan aktiviti rekreasi seperti tai chi, ekspedisi mendaki bukit, kembara mendaki gunung dan khemah kerja.
Ceramah kesihatan berkaitan anti-dadah, AIDS, kanser, kempen kebersihan, dan menjaga harta awam juga dianjurkan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga. Ceramah dan forum berkaitan dengan keagamaan juga diadakan. Aktiviti melawat ke rumah warga tua, memberikan sumbangan kepada orang miskin, membuat kerja amal, membantu mangsa banjir, ribut dan bencana alam juga dilaksanakan. Jawatankuasa Rukun Tetangga juga mengadakan kelas seni tari, kraf tangan, permainan tradisional, kelas gamelan, kompang, tarian tradisional, tarian singa, pertunjukan pentas dan lain-lain.
Dalam aspek ekonomi pula mereka mengadakan projek tanaman secara hidroponik, ternak ikan air tawar dan membuat air lada manakala dalam aspek keselamatan, mereka mengadakan rondaan sukarela, mengesan dan melaporkan isu hubungan etnik dan menjadi perantara dalam penyelesaian konflik. Aktiviti tersebut bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan di peringkat akar umbi antara pemimpin dengan rakyat dan antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.
rumah Terbuka
Rumah terbuka diadakan sempena sambutan musim perayaan sesuatu kaum di Malaysia. Masyarakat pelbagai etnik saling berkunjung ke rumah jiran tetangga mereka. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik Cina, India, Kadazan Dusun, Iban dan pelbagai lagi akan berkunjung ke rumah etnik Melayu dan begitulah sebaliknya apabila tiba perayaan etnik lain. Etnik Cina, misalnya, akan berusaha menyediakan makanan yang halal kepada etnik Melayu apabila menjemput etnik Melayu datang ke rumah mereka sewaktu perayaan Tahun Baru Cina. Demikian juga semasa perayaan Krismas atau Deepavali.
Hal ini menunjukkan etnik Cina, India, Iban, dan Kadazan Dusun begitu mengambil berat dan memahami budaya etnik Melayu dan etnik Melayu pula tidak akan menyajikan daging lembu kepada etnik India apabila mereka datang ke rumah semasa Hari Raya Aidilfitri. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami keharmonian budaya masing-masing. Amalan ini membuktikan kesepaduan sosial dalam masyarakat berada pada tahap yang tinggi walaupun mereka berlainan agama, etnik dan budaya.
Penerimaan Budaya
Pada masa ini, masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India termasuk juga etnik bumiputera di Sabah dan Sarawak telah menerima budaya etnik Melayu dari segi pakaian dan makanan. Contohnya, orang bukan Melayu seperti Cina, India, dan Kadazan Dusun telah memakai baju kurung dan baju Melayu. Malah, trend berpakaian dan menikmati juadah makanan Melayu sudah menjadi lumrah bagi etnik bukan Melayu. Bagi orang Melayu pula, mereka mula menerima masakan Cina dan India serta pemberian duit raya telah menggunakan sampul atau angpau yang terkenal dalam golongan orang Cina.
Program di institusi Pengajian Tinggi (iPT)
Di IPT bahagian hal ehwal pelajar melalui persatuan dan kelab telah menggalakkan aktiviti dan program yang menjurus kepada perpaduan etnik dalam kalangan mahasiswa. Sebagai contoh, aktiviti Pesta Tanglung bukan sahaja melibatkan mahasiswa Cina dan India, tetapi turut disertai mahasiswa Melayu. Dalam aspek kepemimpinan pelajar, ternyata tidak didominasi oleh sesuatu etnik sahaja, malah dianggotai oleh pelbagai etnik seperti dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Kandungan kursus di semua IPT menitikberatkan aspek pendidikan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai etnik. Nilai rohani dan budaya diberikan keutamaan dalam subjek Kenegaraan, Tamadun Islam dan Asia khususnya menerusi kursus Hubungan Etnik untuk menguatkan peribadi dan sahsiah pelajar.
188 Hubungan Etnik
Kelab Perpaduan atau Kelab Rukun Negara telah diwujudkan di IPT sebagai usaha menyemai kesedaran terhadap kepentingan perpaduan etnik dengan menggalakkan mahasiswa menganggotai kelab berkenaan. Pelajar juga digalakkan mempergiatkan dan mempertingkatkan aktiviti kokurikulum seperti dalam program sukan, kelab, persatuan, pameran dan ceramah. Aktiviti kokurikulum sedemikian merupakan bidang pembelajaran yang menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor, kognitif dan afektif.
Di luar sistem akademik pula, para mahasiswa dilibatkan dalam aktiviti pelbagai etnik seperti menyertai program keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Para pelajar juga perlu ditugaskan dalam projek perkhidmatan masyarakat seperti operasi khidmat masyarakat dan mahasiswa balik kampung. Hal ini akan memberi pengalaman yang sangat berharga dalam memahami kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai sifatnya.
Aktiviti berpersatuan dan khidmat masyarakat mempunyai peranan penting dalam menggalakkan penyertaan dan pengalaman bersama antara etnik. Lantaran itu, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu menyokong sepenuhnya aktiviti berkenaan. Para pensyarah juga perlu diterapkan dan didedahkan dengan sikap perpaduan antara kaum yang positif. Mereka perlu mendapat pendedahan tentang kursus seperti Hubungan Etnik untuk menerapkan nilai-nilai yang penting dalam kalangan pelajar bagi memupuk keharmonian etnik. Para pensyarah dan mahasiswa berperanan sebagai agen penyebar perpaduan dan keharmonian. Mereka merupakan agen integrasi dan perpaduan yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan lebih banyak interaksi melalui tugasan dan projek akademik.
Peranan ngO dalam Konteks hubungan etnik
Terdapat pertubuhan induk di peringkat kebangsaan yang menaungi pertubuhan berasaskan etnik seperti Pertubuhan Belia Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Malaysia. Pertubuhan NGO pula dapat memainkan peranan untuk mempercepatkan proses hubungan etnik di Malaysia. Dari aspek kepemimpinan pula pemimpin persatuan di peringkat negara atau persatuan, barisan kepemimpinannya disertai oleh pemimpin daripada pelbagai etnik. Sebagai contoh, kepemimpinan
Majlis Belia Malaysia disertai oleh semua golongan etnik. Walaupun terdapat pembahagian pertubuhan mengikut etnik seperti Pergerakan Belia 4B, Persatuan Belia Tamil, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan Cina dan Dewan Perniagaan India Malaysia, namun persatuan berkenaan dapat digunakan oleh NGO untuk mengadakan pelbagai dialog dan seminar dalam usaha memahami permasalahan dan jalan penyelesaiannya. Melalui dialog dan seminar tersebut, secara tidak langsung akan dapat memupuk hubungan antara etnik.
Sains dan teknologi juga memainkan peranan untuk meningkatkan hubungan etnik kerana pembangunan ekonomi di Malaysia berasaskan sains dan teknologi termasuk sektor perindustrian dan pembangunan bioteknologi. Dalam konteks ini, kerajaan telah menetapkan bilangan pelajar dalam bidang sains dan teknologi dan sains sosial adalah berdasarkan nisbah 60:40. Hal ini menunjukkan bilangan saintis yang akan dilahirkan adalah terdiri daripada pelbagai etnik. Justeru, pihak kerajaan dan sektor swasta memainkan peranan dalam usaha menyumbang dana bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan inovasi dan seterusnya memacu pertubuhan ekonomi negara.
Dana dan geran daripada pihak swasta dan penubuhan institusi tertentu seperti Koridor Raya Multimedia (MSC), Akademi Sains Negara dan pelbagai lagi merupakan penjana kepada pembangunan ekonomi negara. Justeru, sains dan teknologi memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi negara. Apabila pembangunan ekonomi negara berkembang pesat, kestabilan politik dapat diwujudkan dan kesannya dapat menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Keadaan ini akan memberi banyak peluang pekerjaan tanpa mengira golongan etnik. Hasilnya taraf hidup rakyat akan meningkat, jurang ekonomi antara etnik dapat dirapatkan dan akhirnya akan wujud keharmonian rakyat di Malaysia.
Sejajar dengan hasrat dan matlamat kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat, Multinational Corporation (MNC) turut memainkan peranan ke arah kesejahteraan masyarakat dengan cara menaja aktiviti yang memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Antara syarikat tersebut ialah YTL Corporation, Lion Group, Maxis dan Berjaya Group. Syarikat berkenaan sering menganjurkan aktiviti kemasyarakatan melibatkan pelbagai etnik melalui penajaan dalam bidang pendidikan, penjagaan alam sekitar, kebajikan,
190 Hubungan Etnik
hari keluarga atau dikenali sebagai Corporate Social Responsibility (CSR). Antara matlamat utama syarikat MNC ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan sasar terutamanya masyarakat luar bandar yang rendah tahap kehidupan mereka supaya dapat menikmati bantuan menerusi program CSR ini. Tanggungjawab sosial yang diberikan dapat membantu kerajaan memperbaiki kualiti kehidupan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan tanpa mengira batas etnik di seluruh pelosok negara. Di samping itu, generasi muda terutamanya para pelajar pelbagai etnik ialah golongan penting kepada syarikat MNC kerana program dan aktiviti anjuran CSR melibatkan pemberian dana bantuan berbentuk biasiswa kepada mereka yang cemerlang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Golongan warga emas juga turut didekati oleh pihak MNC dengan menyalurkan sumbangan untuk meringankan sedikit tanggungan oleh pihak tertentu dan sebagai mengingati jasa dan bakti mereka kepada masyarakat dan negara.
Kesimpulan
Setiap golongan etnik di Malaysia mempunyai jati dirinya sendiri dan diamalkan mengikut etnik masing-masing. Kepelbagaian jati diri ini merupakan satu keunikan yang tidak sewajarnya dicerobohi. Usaha ke arah meraikan kepelbagaian yang sedia ada perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat demi mewujudkan keharmonian hubungan antara etnik.
Usaha ke arah mewujudkan integrasi etnik di Malaysia perlu melibatkan pelbagai pihak dan tidak seharusnya diserahkan kepada pihak kerajaan semata-mata. Kerajaan dengan pelaksanaan pelbagai dasarnya perlu disokong oleh badan-badan bukan kerajaan dan juga pihak swasta bagi memastikan hubungan etnik sentiasa berada dalam keadaan harmoni. Penglibatan semua pihak mampu menjayakan usaha ke arah mengeratkan hubungan tersebut.
Soalan Perbincangan
1. Nilaikan keberkesanan peranan kerajaan dalam usaha memupuk hubungan etnik di Malaysia.
2. Sejauh manakah media di Malaysia berjaya mewujudkan integrasi etnik?
3. Huraikan peranan NGO dan badan swasta dalam usaha menjayakan
program mengeratkan hubungan etnik di Malaysia.

No comments:

Post a Comment