Monday, November 12, 2012

TAJUK 03


limpahan Kemakmuran Merentasi etnik
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Menerangkan hubung kait antara pembangunan ekonomi dengan
hubungan etnik di Malaysia.
2. Menghuraikan dasar-dasar pembangunan ekonomi yang berkaitan
dengan persoalan pertumbuhan ekonomi dan agihan di Malaysia.
3. Menganalisis interaksi antara globalisasi dengan dasar berkaitan pertumbuhan dan agihan di Malaysia.
Pengenalan
Dalam sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama seperti di Malaysia, persoalan perpaduan dalam masyarakat merupakan persoalan yang penting. Perpaduan dalam masyarakat dianggap penting kerana keharmonian hidup antara pelbagai etnik akan menyumbang kepada kestabilan sosiopolitik dalam negara. Negara yang tidak stabil sosiopolitiknya mempunyai kesan negatif terhadap tingkat pelaburan dalam negara tersebut. Kemerosotan pelaburan akan memberi implikasi negatif ke atas pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. Oleh itu, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi amat berkait rapat dengan kestabilan sosiopolitik dalam sesebuah negara. Bagaimanapun, dalam usaha mencapai keharmonian hidup antara pelbagai etnik dan kestabilan politik, kekayaan negara perlu diagihkan secara adil dan saksama. Tujuannya adalah untuk mengelakkan mana-mana kumpulan etnik berasa terpinggir daripada menikmati faedah pembangunan yang dapat menimbulkan masalah ketegangan dan konflik dalam masyarakat.
Di Malaysia, falsafah yang menjadi panduan kerajaan dalam mencapai perpaduan masyarakat ialah “pertumbuhan dengan agihan”. Falsafah ini dijadikan panduan dalam Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) dan matlamat teras serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan dan menstruktur masyarakat diteruskan dan dikekalkan dalam dasar- dasar pembangunan negara yang terkemudian iaitu Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Dasar Wawasan Nasional (2001-2010). Namun, agihan yang dimaksudkan dalam falsafah “pertumbuhan dengan agihan” adalah berpusat kepada dimensi agihan antara etnik. Falsafah ini mengandaikan bahawa sekiranya perbezaan dan ketidakseimbangan ekonomi antara etnik dapat dihapuskan, maka perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, budaya dan agama akan dapat dicapai.
Dalam usaha merangka erti dan falsafah “pertumbuhan dengan agihan”, perkara ini kadangkala membawa dilema kepada pihak kerajaan. Agenda agihan kekayaan negara dengan agenda pertumbuhan ekonomi sering kali mempunyai kesan yang bertentangan atau mempunyai hubungan songsang antara satu dengan yang lain. Pertumbuhan ekonomi yang pesat dianggap penting kerana melalui ekonomi yang berkembang, agihan akan dilakukan tanpa menjejaskan mana-mana kumpulan etnik dalam masyarakat.
Sebaliknya, pelaksanaan agenda agihan pula dalam keadaan tertentu dapat memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Malah, dalam keadaan ekonomi Malaysia yang semakin terbuka, kuasa-kuasa pasaran telah melemahkan keupayaan kerajaan untuk melaksanakan agenda agihan dengan tegas. Keadaan ini menuntut kerajaan membuat keputusan yang sukar iaitu untuk mencari dan memilih titik keseimbangan antara agenda pertumbuhan dengan agenda agihan kekayaan agar pembangunan ekonomi dalam negara dapat dimaksimumkan.
isu Sosioekonomi pada awal Kemerdekaan
Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan Perikatan pada ketika itu meneruskan dasar ekonomi bebas penjajah Inggeris. Penerusan pendekatan ekonomi penjajah ini telah menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi. Kadar pertumbuhan KDNK
benar ialah 4.1 peratus bagi tempoh 1956-1960, 5.0 peratus bagi tempoh
1961-1965 dan seterusnya 5.4 peratus bagi tempoh 1966-1970 (Bank Negara Malaysia 1994). Bagaimanapun, faedah daripada pertumbuhan ekonomi tersebut didapati tidak “menitis” kepada rakyat. Pada akhir tahun 1960-an, hampir separuh daripada rakyat Malaysia tinggal dalam kemiskinan iaitu sebanyak 49.3 peratus.
Isu kemiskinan menjadi semakin rencam apabila terdapat hubung kait antara kemiskinan dengan kumpulan etnik tertentu. Sebahagian besar daripada isi rumah miskin adalah dalam kalangan etnik Melayu. Pada tahun 1970, sebanyak 65.9 peratus daripada etnik Melayu adalah miskin, berbanding dengan hanya 27.5 peratus dalam kalangan etnik Cina dan 40.2 peratus bagi etnik India. Selain itu, isi rumah luar bandar mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi berbanding dengan isi rumah bandar. Oleh sebab majoriti penduduk luar bandar adalah juga etnik Melayu, maka masalah kemiskinan dilihat sebagai masalah etnik Melayu. Walaupun terdapat etnik Cina dan India yang miskin, dan juga orang bandar dan luar bandar yang miskin, kemiskinan dalam kalangan etnik Melayu menjadi tumpuan. Etnik Melayu menjadi sinonim dengan kemiskinan - orang miskin ialah Melayu dan etnik Melayu adalah miskin.
Masalah ini dirumitkan lagi dengan ketakseimbangan yang ketara dari segi hak milik kekayaan antara etnik. Pada tahun 1970, etnik Melayu hanya memiliki 2.4 peratus daripada pemilikan modal saham dalam syarikat berhad, berbanding dengan 27.2 peratus bagi etnik Cina sebagaimana ditunjukkan dalam Jadual 3.1.
JADUAl 3.1: Pemilikan Modal Saham oleh Syarikat Berhad di Semenanjung Malaysia
PEMIlIKAN MODAl SAHAM 1969 1970 1975 1980 1985 1990
Bumiputera dan Agensi Amanah 1.5 2.4 9.2 12.5 19.1 19.2
Cina 22.8 27.2 n.a n.a 33.4 45.5
India 0.9 1.1 n.a n.a 1.2 1 lain-lain - - - - - - Syarikat Nomini 2.1 6 n.a n.a 1.3 8.5
Firma Kawalan Tempatan 10.1 - - - 7.2 0.3
Firma Milikan Asing 62.1 63.4 53.3 42.9 26 25.4
n.a : Tiada
Sumber: Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000
Selain itu, terdapat juga ketakseimbangan yang ketara dari segi guna tenaga dan pekerjaan antara etnik tersebut. Pada tahun 1970, hampir dua pertiga guna tenaga dalam sektor pertama, iaitu pertanian dan perikanan adalah etnik Melayu. Etnik Cina dan India kebanyakannya bergiat dalam sektor kedua, iaitu perlombongan, pembuatan, pembinaan, utiliti dan pengangkutan dan ketiga, iaitu perdagangan borong dan runcit, kewangan, perkhidmatan awam dan lain-lain. Pekerjaan dalam kategori profesional, teknikal, pengurusan dan jualan didominasi oleh etnik Cina, manakala etnik Melayu kebanyakannya bekerja sebagai petani dan pekebun kecil sebagaimana ditunjukkan dalam Jadual 3.2. Oleh hal demikian, etnik Melayu bukan sahaja kebanyakannya miskin, tetapi mereka juga terlibat dalam sektor pertanian sara diri dan rendah produktiviti. Sebaliknya, etnik bukan Melayu kebanyakannya terlibat dalam sektor perlombongan, pembuatan dan pembinaan yang tinggi produktiviti.
JADUAl 3.2: Malaysia-Peratus Guna Tenaga Mengikut Sektor dan Kumpulan Etnik
SEKTOR
Pertanian, perhutanan,
BUMIPUTERA CINA INDIA ETNIK LAIN
1970 1985 1970 1985 1970 1985 1970 1985
ternakan dan perikanan 67.6 75 21.4 15.5 10.1 8.8 0.9 0.7
Perlombongan dan kuari 24.8 50.5 66.0 37.8 8.40 9.5 0.8 2.3
Pembuatan 28.9 45.8 65.4 42.8 5.30 10.9 0.4 0.5
Pembinaan 21.6 42.2 72.0 51 6.10 5.8 0.3 1.0
Elektrik, gas dan air 48.2 72.6 18.1 10.3 32.5 15.6 1.2 1.4
Pengangkutan,
penyimpanan dan
perhubungan
Perdagangan borong dan
42.6 52.4 39.6 33.9 17.1 13 0.7 0.7
runcit, hotel dan restoran 23.5 36.4 65.3 55.2 10.7 7.8 0.5 0.9
Kewangan, insurans,
harta-harta dan
perkhidmatan perniagaan
Perkhidmatan kerajaan 48.5 66.7 35.7 24.3 14.0 8.5 1.8 0.5
Perkhidmatan-
perkhidmatan lain 48.5 66.8 35.7 24.2 14.0 8.5 1.8 0.5
Sumber: Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelima 1986-1990.
Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara. Hal: 66
Oleh yang demikian, pada awal kemerdekaan negara, isu kemiskinan dan agihan kekayaan negara merupakan isu yang penting. Namun, isu ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan etnik seseorang. Seseorang itu miskin bukanlah disebabkan etniknya, tetapi disebabkan faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada keadaan tersebut. Sebagai contoh, seseorang itu boleh jadi akan hidup dalam kemiskinan apabila dia tidak mempunyai pendidikan dan kemahiran, tidak memiliki modal atau tanah, ataupun dia merupakan orang kurang upaya. Sesiapa sahaja, tanpa mengira etnik, jika memiliki ciri-ciri tersebut berkemungkinan akan hidup dalam kemiskinan.
ekonomi Menjadi isu etnik
Isu kemiskinan menjadi persoalan utama pada tahun 1970-an terutamanya dalam kalangan etnik Melayu dan wujud ketakseimbangan ekonomi antara kumpulan etnik, khususnya antara orang Melayu dengan etnik Cina. Namun perspektif etnik kepada masalah tersebut merupakan perspektif yang simplistik dan sempit. Persoalan kemiskinan dan ketaksamarataan merupakan masalah yang rencam yang tidak dapat dijelaskan sepenuhnya daripada perspektif etnik semata-mata. Hal ini boleh dilihat dengan jelas apabila persoalan ketaksamarataan pendapatan diteliti. Antara tahun 1957 dengan tahun 1970, purata pendapatan benar isi rumah didapati telah meningkat daripada RM207 kepada RM261.
Namun, ketaksamarataan pendapatan dalam masyarakat didapati semakin melebar. Perkara ini ditunjukkan oleh peningkatan koefisyen Gini daripada 0.412 kepada 0.513. Maknanya, jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin bertambah luas. Dapat diperhatikan, dalam tempoh 1957-1970, bahagian golongan 20 peratus terkaya dalam pendapatan negara telah meningkat daripada 48.6 peratus kepada 55.9 peratus, manakala bahagian golongan 40 peratus termiskin telah merosot daripada 15.9 peratus kepada 11.6 peratus.
Di samping itu, jurang pendapatan antara penduduk bandar dengan penduduk luar bandar juga semakin melebar. Nisbah dispariti pendapatan penduduk bandar dengan luar bandar meningkat daripada
1.84 pada tahun 1957 kepada 2.14 pada tahun 1970. Namun, bukan sahaja ketaksamarataan pendapatan semakin melebar antara penduduk bandar dengan luar bandar, tetapi jurang pendapatan juga didapati
70 Hubungan Etnik
semakin melebar dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar itu sendiri. Malah, dapat diperhatikan bahawa antara tahun 1957 dengan tahun 1970, ketaksamarataan pendapatan dalam kalangan penduduk luar bandar melebar dengan drastik. Maknanya, ketaksamarataan pendapatan dalam kalangan penduduk luar bandar meningkat lebih cepat daripada ketaksamarataan pendapatan dalam kalangan isi rumah bandar.
Hal ini bermakna, agihan pendapatan dalam kalangan kumpulan etnik, sama ada di bandar atau di luar bandar, semakin melebar, dan didapati lebih menonjol dalam kalangan etnik Melayu sama ada mereka di bandar atau di luar bandar. Apabila indeks yang mengukur agihan pendapatan dipisahkan kepada sumbangan ketaksamarataan antara kumpulan dengan sumbangan ketaksamarataan dalam kumpulan, didapati ketaksamarataan antara kumpulan etnik, menyumbang peratus yang kecil kepada keseluruhan ketaksamarataan pendapatan. Perkara ini bermakna sebahagian besar daripada ketaksamarataan pendapatan dalam penduduk Malaysia adalah berpunca daripada ketaksamarataan dalam kalangan etnik itu sendiri. Oleh itu, ketaksamarataan pendapatan di Malaysia pada awal kemerdekaan negara adalah rencam dan tidak mampu dijelaskan sepenuhnya daripada perspektif etnik semata-mata.
dasar ekonomi Baru
Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan bagi memajukan ekonomi serta berusaha menghapuskan pengenalan ekonomi berasaskan kaum yang menjadi asas kepada penyusunan semula sosioekonomi negara. Tindakan kerajaan dalam memperbaiki kedudukan ekonomi selepas tragedi 13 Mei 1969 adalah berdasarkan strategi ke arah pembentukan perpaduan nasional.
Memperbanyakkan pembasmian kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Sasaran ini dapat dicapai melalui program-program yang dirangka daripada seluruh peringkat produktiviti. Perkembangan peluang-peluang antara sektor dan aktiviti yang mempunyai produktiviti yang rendah ke peringkat yang lebih tinggi. Peruntukan yang lebih meluas terutamanya dalam perkhidmatan sosial dirangka untuk meningkatkan taraf hidup kumpulan-kumpulan yang berpendapatan rendah.
Penggandaan proses penyusunan semula masyarakat Melayu untuk membetulkan ketakseimbangan ekonomi dengan harapan mengurang dan mengetepikan pengenalan etnik melalui fungsi ekonomi. Program- program termasuklah pemodenan kehidupan luar bandar, pembangunan aktiviti bandar yang pesat dan seimbang, penubuhan pusat pertumbuhan yang baru dan perwujudan masyarakat industri dan komersial Melayu di semua kategori dan bumiputera lain menjadi rakan kongsi sepenuhnya dalam semua aspek ekonomi negara (Ahmad 1988).
Relevannya, DEB yang mempunyai agenda “serampang dua mata” bukan setakat bertujuan untuk menyatupadukan pelbagai etnik di negara ini tetapi yang penting menandakan satu titik permulaan baru kepada etnik Melayu untuk mula bergiat dalam bidang perdagangan, perindustrian mahupun perniagaan.
Fokus utama DEB adalah kepada aspek pengagihan yang lebih saksama dalam pemilikan ekuiti korporat antara bumiputera dan Melayu dengan etnik Cina. Pelaksanaan DEB secara tidak langsung memberi konotasi yang terbatas kepada pola pasaran bebas dalam pengurusan ekonomi akibat campur tangan kerajaan dalam mewujudkan kelas menengah dan golongan kapitalis Melayu (Gomez 2004).
DEB juga menyasarkan strategi ke arah mengurangkan paras kemiskinan daripada 50 peratus pada tahun 1970 kepada 16.7 peratus menjelang tahun 1990. Manakala kerajaan turut menyasarkan penguasaan ekuiti dalam sektor korporat oleh bumiputera daripada 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada 30 peratus menjelang tahun 1990. Sementara itu, penguasaan ekuiti masyarakat lain terutamanya golongan etnik Cina dibenarkan berkembang daripada 35 peratus kepada 40 peratus manakala pegangan ekuiti oleh bangsa asing dikurangkan daripada 63 peratus pada
1970 kepada 30 peratus menjelang tahun 1990 (Drabble 2000).
Kejuruteraan sosial dalam DEB adalah juga bertujuan mewujudkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Penekanan tersebut diberikan bagi membentuk kelas Melayu komersial yang akhirnya membolehkan penyertaan Melayu dalam sektor korporat selaras untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera daripada 1.9 peratus pada tahun 1970 kepada 30 peratus pada akhir rancangan DEB pada tahun 1990.
Strategi penyusunan semula masyarakat sebenarnya bertujuan mewujudkan penyertaan seimbang semua etnik dalam setiap kegiatan ekonomi. Antara matlamat utamanya adalah pertama, mengurangkan
keadaan tidak seimbang struktur guna tenaga. Kedua, menambahkan hak milik rakyat Malaysia dalam pemilikan modal produktif negara termasuk pemilikan saham sektor syarikat. Tegasnya, matlamat ini bertujuan untuk memastikan bumiputera memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus saham sektor syarikat, sementara 40 peratus oleh kaum bukan bumiputera dan 30 peratus rakyat asing. Ketiga, mewujudkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian dalam kalangan bumiputera untuk semua lapangan dan peringkat kegiatan ekonomi moden (Nik Hashim 1989).
Matlamat dalam DEB dirangka oleh kerajaan memandangkan ketakseimbangan ekonomi antara etnik amat ketara, terutamanya jika perbandingan dilakukan terhadap bumiputera dengan bukan bumiputera. Ketakseimbangan ekonomi yang wujud termasuk aspek corak dan struktur guna tenaga, agihan pendapatan serta pemilikan modal produktif. Kesemua punca ketakseimbangan yang wujud dan bersifat berterusan pasti tidak akan dapat menghasilkan kemantapan mahupun kestabilan ekonomi, sosial serta politik yang diperlukan bagi menjamin kadar pertumbuhan ekonomi yang seimbang untuk meningkatkan taraf hidup penduduk negara ini.
Peningkatan ekonomi yang tidak seimbang antara kumpulan etnik jelas digambarkan dalam bidang pemilikan sebagaimana yang ditunjukkan dalam Jadual 3.3. Petunjuk dalam jadual tersebut memaparkan hanya 1.5 peratus modal daripada syarikat yang terdapat di Semenanjung Malaysia adalah dimiliki oleh etnik Melayu pada akhir tahun 1969, sedangkan 22.8 peratus dimiliki oleh etnik Cina dan 62.1 peratus oleh syarikat asing yang dikendalikan menerusi cawangan syarikat yang ditubuhkan di luar negara.
JADUAl 3.3: Pemilikan Modal Saham oleh Syarikat Berhad
di Semenanjung Malaysia (1969)
SYARIKAT BERGABUNG DI SEMENANJUNG MAlAYSIA RM (‘000) PERATUS
Melayu dan kepentingan Melayu 70633 1.5
Cina 1064795 22.8
India 40983 0.9
Persekutuan dan Kerajaan 21430 0.5
Pencalonan syarikat 98885 2.1
Individu lain dan mengendalikan syarikat tempatan 470969 10.1
Jumlah pemilikan asing 2909845 62.1
Jumlah 4677540 100
Sumber: Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975
Berdasarkan fakta dalam Jadual 3.3, jelas menunjukkan bahawa kekuatan dominasi dan kawalan utama ekonomi Malaysia adalah di tangan etnik bukan Melayu, iaitu pemilikan asing dan bukannya pada komuniti Cina. Oleh hal demikian, kerajaan memperkenalkan DEB dengan matlamat mengurangkan kedudukan pemilikan asing dalam negara.
Akhirnya, penjelasan yang diterima pakai kepada punca berlakunya rusuhan etnik pada 13 Mei 1969 ialah ketakseimbangan ekonomi antara kumpulan etnik. Justeru, pertimbangan faktor etnik menjadi dasar yang dibentuk bagi menyelesaikan masalah agihan ekonomi dalam memastikan golongan bumiputera Melayu tidak keciciran dalam meningkatkan penguasaan ekonomi seiring dengan etnik lain di negara ini.
Dalam pelaksanaan DEB, dasar campur tangan kerajaan adalah bertujuan untuk menaikkan pendapatan masyarakat bumiputera Melayu dengan tujuan untuk mengurangkan kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar. Di samping itu, kerajaan menyasarkan pegangan ekuiti dalam sektor korporat ditingkatkan daripada 2.4 peratus kepada
30 peratus menjelang tahun 1990. Sementara itu, pegangan ekuiti oleh etnik Cina dibenarkan sehingga 40 peratus, tetapi pegangan ekuiti oleh golongan asing akan dikurangkan kepada 30 peratus. DEB diperkenalkan untuk membanteras aspek kemiskinan rakyat Malaysia dan menstrukturkan semula masyarakat sehingga dapat menangani pengenalan etnik melalui fungsi ekonomi (Rancangan Malaysia Kedua
1971-1975).
Rancangan Malaysia Kedua (RM Ke-2) turut memberi panduan yang jelas terhadap agenda memartabatkan peningkatan penyertaan etnik Melayu dalam arena perniagaan dan perdagangan. RM Ke-2 menggalurkan hasrat kerajaan mewujudkan satu MPPB dalam satu tempoh melalui pelbagai langkah yang meliputi bantuan kewangan dan latihan, mewujudkan tempat perniagaan yang sesuai di bandar-bandar, mengadakan usaha sama dengan bukan Melayu bagi memperoleh pengetahuan, pengalaman dan pasaran, menggalakkan penubuhan perusahaan-perusahaan kecil dan berusaha menukar sikap etnik Melayu agar cenderung ke arah membentuk budaya perniagaan dan perusahaan. Latar belakang pengwujudan MPPB adalah imbasan daripada pelaksanaan DEB yang dimulakan pada RM Ke-2 yang menekankan dua strategi utama. Antara yang terpenting adalah memperbetulkan
ketakseimbangan ekonomi dan seterusnya menghapuskan pengenalan etnik mengikut fungsi ekonomi. Sungguhpun sistem nilai dan sikap bumiputera telah mengalami perubahan positif dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini, namun golongan usahawan bumiputera masih ketinggalan dari segi daya cipta, budaya niaga baik serta semangat bekerja yang gigih.
Sepanjang pelaksanaan DEB menunjukkan galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam usaha menaikkan status ekonomi dalam kalangan etnik Melayu. Pelbagai insentif diadakan demi membantu pencapaian ekonomi terutama dalam kalangan pengusaha Melayu. Tambahan pula, banyak agensi diwujudkan oleh kerajaan untuk memberi peluang kepada bumiputera mendapat pengalaman yang luas serta menjalankan perniagaan sendiri sebagai pengusaha apabila mengumpulkan modal yang secukupnya. Bagaimanapun, kemajuan yang ditunjukkan oleh etnik Melayu dalam menguasai bidang perniagaan dan perdagangan masih belum dapat menjadi ukuran kepada pencapaian matlamat kerajaan yang sebenarnya.
Dalam aspek ekonomi politik, sememangnya kerajaan mengamalkan dasar campur tangan dengan melaksanakan DEB dengan harapan dapat memenuhi pencapaian ekonomi mampan antara bumiputera dengan bukan bumiputera seterusnya merapatkan jurang dan memenuhi hasrat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Justeru, terdapat pelbagai langkah untuk melahirkan MPPB dengan harapan dapat menambah penyertaan etnik Melayu dalam bidang perniagaan dan perindustrian.
Di samping itu, matlamat DEB adalah ke arah mencapai perpaduan nasional melalui penglibatan aktif kerajaan dalam ekonomi untuk mengurangkan ketakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara etnik. Pendekatan yang digunakan adalah dengan memberi keutamaan kepada etnik Melayu dan juga bumiputera lain yang ketinggalan dalam arus perdana pembangunan ekonomi. Oleh itu, DEB dianggap sinonim dengan perpaduan nasional dalam membetulkan ketakseimbangan ekonomi antara etnik (Mauzy 1997). Melalui DEB kerajaan mengandaikan sekiranya jurang ketidakseimbangan ekonomi antara etnik dapat dikurangkan, maka ketegangan dan konflik antara etnik akan dapat dielakkan, dan seterusnya pendekatan ini akan membantu mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Terdapat dua objektif khusus DEB. Pertama, untuk mengurangkan kemiskinan melalui peningkatan pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tanpa mengira etnik. Kedua, untuk menyusun semula masyarakat supaya pengenalan kumpulan etnik dengan fungsi ekonomi dapat dihapuskan (Malaysia 1991). langkah mengurangkan kemiskinan terkandung dalam tiga strategi utama (Shireen 1988). Pertama, meningkatkan kualiti hidup golongan miskin dengan menyediakan perkhidmatan sosial kepada mereka seperti perumahan, kesihatan, pendidikan dan utiliti. Kedua, meningkatkan pendapatan dan produktiviti golongan miskin dengan pemberian bantuan modal, teknologi, pemasaran dan latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka. Ketiga, membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi membolehkan mobiliti golongan miskin untuk keluar daripada sektor produktiviti rendah kepada sektor produktiviti tinggi. Untuk tujuan ini, pendidikan, latihan dan kemahiran akan disediakan untuk membantu penyertaan golongan miskin dalam sektor ekonomi moden.
Berkaitan dengan objektif kedua, iaitu menyusun semula masyarakat, matlamat ini akan dicapai melalui penyusunan semula corak guna tenaga, pemilikan modal saham dalam sektor korporat dan pembentukan MPPB. Pembentukan MPPB dianggap penting kerana kewujudan MPPB akan memastikan penyertaan bumiputera yang berkesan dalam sektor ekonomi moden. DEB menyasarkan penyusunan semula masyarakat kepada tiga peringkat. Pertama, meningkatkan bahagian bumiputera dalam guna tenaga di sektor ekonomi moden. Kedua, meningkatkan bahagian bumiputera dalam pemilikan saham korporat, dan ketiga, meningkatkan bilangan usahawan bumiputera dan penguasaan bumiputera dalam pengurusan korporat. Jadual 3.4 menunjukkan objektif dan sasaran DEB.
JADUAl 3.4: Objektif dan Sasaran Dasar Ekonomi Baru
1 Kadar kemiskinan1
1970 SASARAN (1990)
Keseluruhan 49.3 16.7
Luar bandar 58.7 23.0
Bandar 21.3 9.1
2 Pemilikan ekuiti korporat
Bumiputera 2.4 30.0
Bukan Bumiputera 34.3 40.0
Orang asing 63.3 30.0
3 Bumiputera dalam guna tenaga mengikut sektor ekonomi (peratus daripada jumlah guna tenaga)
Primer 67.6 61.4
Kedua 30.8 51.9
Tertiari 37.9 48.4
4 Bumiputera dalam jenis pekerjaan mengikut
kategori (peratus daripada jumlah pekerjaan)
Profesional dan teknikal 47.2 50.0
Pengurusan dan pentadbiran 22.4 49.3
Perkeranian 33.4 47.9
Jualan 23.9 36.9
Pertanian 68.7 62.3
Pengeluaran 31.3 52.0
Perkhidmatan 42.9 52.3
Nota: 1Semenanjung Malaysia sahaja
Sumber: Malaysia (1991)
Bagi mencapai objektif dan sasaran tersebut, pelbagai institusi ekonomi dan sosial telah ditubuhkan untuk membantu golongan bumiputera (Kok 1994; Rajakrishnan 1993; Stafford 1997). Agensi- agensi kerajaan yang telah sedia ada seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FElDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) disokong dengan dana yang besar untuk melaksanakan dan mempercepatkan projek
pembangunan di luar bandar. Agensi yang baharu seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), MAJUIKAN (Anak Syarikat lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan MAJUTERNAK juga ditubuhkan untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti golongan bumiputera.
Selain itu, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri ditubuhkan untuk melaksanakan projek industri dan komersial bagi menggalakkan dan membolehkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi moden. Kemudahan kredit, khidmat nasihat dan infrastruktur disediakan melalui agensi seperti MARA, Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) dan Bank Bumiputera. Bagi meningkatkan penyertaan dan pemilikan bumiputera dalam ekonomi, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) telah ditubuhkan untuk menguasai dan membangunkan syarikat sebagai amanah bagi pihak bumiputera.
Bagi memastikan matlamat penyusunan masyarakat tercapai terutamanya dalam pemilikan ekuiti korporat, kerajaan telah menggubal Industrial Coordination Act (ICA) pada tahun 1975. Tujuan utama kerajaan memperkenalkan ICA adalah untuk mewujudkan penstrukturan ekuiti dan pemilikan berdasarkan formula pembahagian 30:30:40, iaitu 30 peratus peruntukan kepada bumiputera Melayu, 30 peratus oleh bangsa asing manakala 40 peratus dimiliki oleh etnik Cina (Snodgrass 1995).
ICA 1975 menetapkan bahawa sesebuah firma atau syarikat yang memiliki RM100,000 atau lebih dalam bentuk syer serta mempunyai
25 orang pekerja atau lebih perlu memperuntukkan sebanyak 30 peratus peluang pekerjaan kepada golongan Melayu bumiputera dan juga perlu memperuntukkan 30 peratus ekuiti firma atau syarikat kepada bumiputera Melayu (lee 2000). ICA telah dapat meningkatan aktiviti- aktiviti perniagaan dalam kalangan bumiputera. Semua projek dan kilang pembangunan yang mempunyai saiz tertentu harus memastikan bahawa ekuiti bumiputera terdiri daripada 30 peratus.
Di samping itu, ICA yang diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri bertanggungjawab penuh dalam soal kelulusan dan pemberian lesen, pemilikan, penggajian dan pengambilan pekerja, kuota pembahagian produk-produk pengeluaran serta penetapan pada harga dalam sesuatu produk. Pengenalan ICA telah mengundang masalah tidak puas hati dalam kalangan pengusaha firma terutamanya masyarakat niaga Cina. Mereka terpaksa merizabkan 30 peratus ekuiti
syarikat kepada bumiputera Melayu dan mengambil pekerja daripada etnik Melayu. Di samping itu, corak guna tenaga dalam sesebuah syarikat juga dikehendaki mencerminkan komposisi rakyat di negara ini.
Melalui pelaksanaan ICA, syarikat yang ingin melabur dalam sektor pembuatan perlu mendapatkan lesen daripada kerajaan. Lesen hanya akan diberikan kepada pelabur atau syarikat yang mematuhi syarat- syarat tertentu dan juga menjalankan aktiviti yang selari dengan objektif ekonomi dan sosial negara. Hal ini bermakna, pelaburan yang dijalankan harus selari dengan DEB yang menghendaki penyertaan bumiputera dalam hak milik modal dan pekerjaan. Oleh itu, ICA merupakan kerangka institusi yang melaksanakan dan memastikan matlamat penyusunan semula masyarakat dapat dicapai.
Objektif DEB untuk menyusun semula masyarakat merupakan objektif yang paling banyak mendapat kritikan dan menimbulkan perdebatan, khususnya dalam kalangan bukan bumiputera. Objektif DEB untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat kepada 30 peratus pada tahun 1990 itu dianggap sebagai satu diskriminasi etnik. Tidak kurang juga yang mempunyai pendapat bahawa DEB menjadi faktor penghalang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara. Hakikatnya, DEB secara jelas menyatakan bahawa dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan dan pemilikan bumiputera dalam ekonomi, ia tidak akan meminggirkan dan merugikan kumpulan etnik lain.
Bagi tujuan tersebut, objektif penyusunan semula masyarakat dilaksanakan dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pembahagian kekayaan bagi menyusun semula masyarakat hanya dilakukan ke atas kekayaan baharu yang dihasilkan melalui pertumbuhan pesat ekonomi negara. Dengan yang demikian, pertumbuhan ekonomi yang pesat menjadi sesuatu yang penting dalam usaha mencapai matlamat DEB. Dianggarkan pelaksanaan DEB memerlukan ekonomi negara tumbuh pada kadar 8.0 peratus setahun sepanjang tempoh perlaksanaan DEB (1971-1990) (Malaysia 1991).
Pelaksanaan DEB adalah berpandukan falsafah pembangunan “pertumbuhan dengan agihan”. Berasaskan falsafah ini, pertumbuhan dilihat bukan sebagai matlamat, tetapi lebih sebagai alat untuk mencapai matlamat akhir dasar pembangunan negara, iaitu perpaduan nasional. Perpaduan nasional bagaimanapun diandaikan akan tercapai apabila ketakseimbangan ekonomi antara etnik dapat diatasi. Tegasnya, falsafah “pertumbuhan dengan agihan” memberi tumpuan kepada agihan kekayaan negara antara kumpulan etnik.
Apabila berakhirnya era DEB pada tahun 1990, kedudukan pemilikan modal saham bumiputera telah meningkat agak ketara walaupun tidak berjaya mencapai sasaran 30 peratus ekuiti korporat sebagaimana yang ditetapkan dalam DEB. Perkara yang penting dalam falsafah pertumbuhan dan agihan secara umumnya memperlihatkan DEB telah berjaya meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pekerjaan di bandar, melahirkan golongan profesional dan kelas menengah bumiputera serta melahirkan golongan pemodal bumiputera. Sungguhpun matlamat penyusunan semula masyarakat mendapat kritikan hebat, khususnya dalam kalangan etnik Cina, namun dapat diperhatikan bahawa bahagian pemilikan etnik Cina adalah meningkat, iaitu jumlahnya menghampiri separuh daripada nilai keseluruhan pemilikan ekuiti nasional iaitu 45 peratus pada tahun 1990 berbanding 27 peratus pada tahun 1970.
Falsafah “pertumbuhan dengan agihan” dalam DEB sebenarnya membawa kepada limpahan kemakmuran merentasi etnik. Dalam meneliti falsafah di sebalik DEB, sebenarnya ia merupakan situasi menang-menang yang memperlihatkan masyarakat bukan bumiputera khususnya etnik Cina juga menerima “limpahan kemakmuran” daripada dasar kerajaan. Kebanyakan projek yang dilaksanakan pada masa itu diketuai oleh kontraktor-kontraktor etnik Cina, umpamanya pembersihan hutan, pembinaan jalan, tali air dan bahan-bahan binaan untuk kawasan petempatan. Keadaan ini sebenarnya bukan sekadar memberi peluang kepada etnik Cina menikmati pendapatan yang memuaskan tetapi turut melonjakkan penguasaan dan pemilikan saham selepas pelaksanaan DEB.
Kejayaan ekonomi Malaysia
Secara umumnya, ekonomi Malaysia telah menempa kejayaan yang boleh dibanggakan. Malah, terdapat beberapa pengkaji dan pemerhati pembangunan ekonomi Malaysia mengungkapkan pandangan yang begitu positif atas kejayaan ekonomi Malaysia ini. Sebagai contoh, Bank Dunia mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai salah satu negara yang tergolong dalam “keajaiban ekonomi Asia Timur” (World Bank 1993). Snodgrass (1995) mengatakan ekonomi Malaysia merupakan kejayaan pembangunan ekonomi dalam masyarakat multietnik. Chowdhury dan Islam (1996) dan Ahluja (1997) pula mengatakan bahawa Malaysia
merupakan negara yang berjaya mencapai pertumbuhan dengan agihan, manakala Athukorala dan Menon (1999) mengungkapkan bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang mempamerkan kisah kejayaan pembangunan. Persepsi sedemikian umumnya membuatkan Malaysia dipertimbangkan sebagai model untuk diikuti negara sedang membangun yang lain.
Pertumbuhan dan Perubahan Struktur
Ekonomi yang Pesat
Semenjak merdeka pada tahun 1957, pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh dibanggakan. Jadual 3.5 menunjukkan kadar pertumbuhan KDNK Malaysia daripada tahun 1960-an sehingga tahun 2007. Dalam jangka masa tersebut, Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan antara lima peratus hingga 8.5 peratus yang menggambarkan Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan yang agak tinggi. Malah, walaupun berhadapan dengan pelbagai kitaran perniagaan dan turun naik ekonomi, khususnya kemelesetan ekonomi pada tahun 1980-an dan hujung tahun 1990-an, Malaysia telah memperlihatkan kemampuan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonominya dengan baik.
Walaupun terdapat kemelesetan ekonomi pada 1985/86 dan juga krisis ekonomi Asia pada 1997, Malaysia masih mampu mencatat purata pertumbuhan ekonomi yang positif. Malah, sebelum berlakunya krisis ekonomi Asia, Malaysia berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonomi lebih daripada lapan peratus setahun dalam jangka masa lebih kurang sepuluh tahun (1986-1997).
JADUAl 3.5: Kadar Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
TAHUN KADAR PERTUMBUHAN (PERATUS)
Purata 1960-an 5.2
Purata 1970-an 7.5
Purata 1980-an 5.8
Purata 1990-an 7.1
2000 8.5
2002 5.4
2003 5.8
2004 6.8
2005 5.0
2006 5.9
2007 6.0
Sumber: Bank Negara Malaysia (1994, 1999, 2002); Bank Negara Malaysia Annual Report 2007
Pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia juga telah membolehkan pendapatan per kapita meningkat. Pada tahun 1960, kadar per kapita ialah RM721 dan meningkat dengan ketara kepada RM6,099 pada tahun
1990 dan seterusnya kepada RM9,786 pada tahun 1995 (Bank Negara Malaysia 1994; Malaysia 1996). Pada tahun 2006, pendapatan per kapita meningkat lagi kepada RM20,841 dan seterusnya kepada RM22,345 pada tahun 2007 (Unit Perancang Ekonomi, JPM).
Pembangunan Manusia dan Pengurangan
Kadar Kemiskinan
Pencapaian yang lebih membanggakan ialah pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia dalam tempoh empat dekad yang lalu telah berjaya diterjemahkan kepada pengurangan kadar kemiskinan dan kemajuan dari segi pembangunan manusia. Kadar kemiskinan di Malaysia berjaya dikurangkan dengan ketara iaitu daripada 52.4 peratus pada tahun 1970 kepada 17.1 peratus pada tahun 1990 dan seterusnya kepada 5.7 peratus pada tahun 2004. Bilangan isi rumah miskin berjaya dikurangkan daripada 1,000,000 isi rumah pada tahun 1970 kepada 311,300 isi rumah pada tahun 2004.
Kemiskinan tegar juga berjaya dikurangkan daripada 3.9 peratus pada tahun 1990 kepada 1.2 peratus pada tahun 2004. Dalam tempoh yang sama (1990-2004), bilangan isi rumah miskin tegar berjaya dikurangkan lebih kurang separuh, iaitu daripada 137,100 isi rumah pada tahun 1990 kepada 67,300 isi rumah pada tahun 2004.
Kualiti Hidup yang Meningkat
Pertumbuhan dan peningkatan pendapatan yang agak tinggi semenjak empat dekad yang lalu menyebabkan kualiti hidup rakyat Malaysia telah meningkat sebagaimana ditunjukkan dalam Jadual 3.6. Hal ini dapat dilihat dari aspek kesihatan seperti jangka hayat yang semakin meningkat, kadar kematian bayi dan kadar kematian yang semakin rendah. Begitu juga jika dilihat dari aspek pendidikan, pemilikan barang-barang keperluan asas dan penyediaan infrastruktur seperti jalan raya. Peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia ini ditunjukkan oleh peningkatan dalam Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) yang merupakan ukuran kebajikan dan kesejahteraan kehidupan dalam perspektif yang lebih luas. IKHM meliputi
bukan sahaja aspek pendapatan, tetapi juga aspek lain kehidupan seperti kehidupan bekerja, kehidupan berkeluarga, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan dan keselamatan awam. Semenjak tahun 2000, petunjuk kualiti hidup memperlihatkan trend yang semakin meningkat.
JADUAl 3.6: Indeks Kualiti Hidup Terpilih
TAHUN 1970 1990 2000 2002 2004 2005 2006
Jangka hayat hidup (tahun)
Lelaki
Perempuan
Kadar kelahiran
71 71.8
76 76.3
Kadar kematian bayi
Kadar kematian
Nisbah enrolmen sekolah
rendah (peratus) 88.2 99.8 96.8 92.4 92.8 91.7 89.9
Nisbah Guru/Pelajar
Sekolah rendah
Sekolah menengah
28.9 20.4
19 18.1
19 16.5
Nisbah Doktor/Penduduk 1:4302 1:2533 1:1465 1:1395 1:1261 1:1300 1:1214
Set televisyen
Kereta penumpang
Jumlah jalan raya (km) 21182 39113 67590 75157 77199 77637 78256
IKHM - - 108.43 109.82 110.93 - 117.33
Sumber: Malaysia (1991, 2001) (ii) Economic Planning Unit
isu dan Cabaran
Ekonomi Malaysia telah mempamerkan prestasi yang membanggakan dari segi kepesatan pertumbuhan ekonomi, pengurangan kadar kemiskinan dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Selain itu, melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat, penyusunan semula masyarakat telah berjaya dilakukan walaupun kejayaannya barangkali terhad.
DEB yang dilaksanakan telah berjaya melahirkan golongan profesional, meningkatkan kelas menengah bumiputera serta melahirkan golongan usahawan bumiputera. Namun, kejayaan tersebut juga diiringi dengan kelemahan yang menjadi isu dan cabaran dalam menguruskan ekonomi negara.
Ketaksamarataan Pendapatan yang Semakin Melebar
Dalam tempoh pelaksanaan DEB, ketaksamarataan pendapatan dalam masyarakat seperti yang ditunjukkan oleh nilai koefisyen Gini, pada awalnya semakin melebar sehingga tahun 1976. Namun, ketaksamarataan pendapatan kemudiannya semakin baik sehingga tahun 1990. Walau bagaimanapun, semenjak tahun 1990 agihan pendapatan memperlihatkan keadaan yang semakin buruk dengan jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar semula.
Selepas tahun 1990, ketaksamarataan agihan pendapatan juga didapati semakin buruk dalam kalangan kumpulan etnik. Semenjak tahun 1990 ketaksamarataan agihan pendapatan dalam kalangan etnik Melayu, Cina dan India semakin melebar. Pada tahun 2004, nilai koefisyen Gini bagi kumpulan etnik Melayu, Cina dan India ialah masing-masing
0.452, 0.446 dan 0.425. Dapat diperhatikan juga bahawa ketaksamarataan agihan pendapatan dalam setiap kumpulan etnik tersebut adalah lebih buruk pada tahun 2004 jika dibandingkan dengan keadaan pada awal kemerdekaan negara pada tahun 1957. Selain itu, Jadual 3.7 juga menunjukkan bahawa etnik Melayu telah berubah daripada kumpulan etnik yang paling sama rata pada tahun 1957 kepada kumpulan etnik yang paling tidak sama rata pada tahun 2004.
Jadual 3.7: Koefisyen Gini Mengikut Etnik (1957-2004)
TAHUN MELAYU CINA INDIA
1957/58 0.342 0.374 0.347
1967/68 0.400 0.391 0.403
1970 0.466 0.455 0.463
1976 0.494 0.505 0.458
1979 0.488 0.470 0.460
1984 0.469 0.452 0.417
1987 0.447 0.428 0.402
1990 0.428 0.423 0.394
1997 0.450 0.419 0.409
1999 0.433 0.434 0.413
2004 0.452 0.446 0.425
Sumber: Snodgrass (1980); Shari dan Zin (1990); Malaysia (1990, 1996, 2001, 2006); MAPEN II (2001)
Nisbah jurang pendapatan antara bandar dengan luar bandar pula
telah menurun antara tahun 1970 dan tahun 1990 tetapi selepas tahun
1990 jurang tersebut telah meningkat. Jadual 3.8 menunjukkan pada tahun 1970, nisbah jurang pendapatan antara bandar dengan luar bandar ialah 2.14. Nisbah ini telah mengecil kepada 1.70 pada tahun 1990 tetapi kemudiannya meningkat kepada 2.11 pada tahun 2004. Malah, pada tahun 2004, jurang pendapatan antara bandar dengan luar bandar hampir kembali kepada keadaan asal pada tahun 1970. Hal ini menggambarkan selepas tahun 1990, walaupun pendapatan isi rumah di bandar dan di luar bandar telah meningkat, kadar peningkatan pendapatan tersebut adalah lebih tinggi di bandar berbanding dengan di luar bandar. Maksudnya, masalah ketaksamarataan pendapatan antara bandar dan luar bandar masih merupakan antara masalah yang perlu ditangani.
JADUAl 3.8: Nisbah Ketaksamaan Pendapatan Isi Rumah Bandar dengan Isi Rumah luar Bandar, 1957-2004
TAHUN NISBAH KETAKSAMAAN
1957/58 1.80
1970 2.14
1980 1.77
1990 1.70
1993 1.75
1995 1.98
1997 2.04
1999 1.81
2004 2.11
Sumber: Malaysia (1976, 1991, 1996, 2001, 2006)
Pertumbuhan atau Agihan?
Perbincangan tersebut menunjukkan, melalui falsafah “pertumbuhan dengan agihan” Malaysia telah berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi yang cukup pesat. Lebih membanggakan, pertumbuhan ekonomi tersebut telah berjaya diterjemahkan dalam bentuk penurunan kadar kemiskinan yang signifikan dan juga peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia. Namun, rekod kecemerlangan ekonomi Malaysia dari segi pertumbuhan tersebut tidak diiringi oleh agihan pendapatan yang lebih sama rata dalam masyarakat. Malah, ketaksamarataan pendapatan kekal tinggi, kalaupun tidak semakin melebar. Keadaan ini memberi gambaran bahawa pengalaman Malaysia seolah-olah dalam “pertumbuhan tanpa agihan”. Selain itu, dimensi agihan yang dahulunya diabaikan kini muncul dan menjadi cabaran penting dalam menguruskan ekonomi negara.
Ketaksamarataan antara etnik, antara wilayah/negeri dan antara bandar dengan luar bandar menjadi dimensi agihan yang menuntut perhatian. Sementara itu, kemiskinan di luar bandar dan juga bagi Orang Asli dan kelompok minoriti tertentu di Sabah dan Sarawak masih secara relatifnya tinggi. Keadaan ini memberi cabaran baharu dalam menguruskan ekonomi negara. Cabaran ini menjadi lebih rumit dalam keadaan ekonomi Malaysia yang semakin meningkat keterbukaannya kepada ekonomi global. Justeru, telah mendedahkan ekonomi Malaysia
kepada risiko berkaitan perkembangan ekonomi global dan memberikan cabaran besar kepada kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara, khususnya dalam usaha mengekalkan kepesatan pertumbuhan ekonomi dan mengagihkan kekayaan negara agar lebih sama rata.
Umumnya, walaupun falsafah “pertumbuhan dengan agihan” telah dikekalkan dalam semua dasar pembangunan negara, dari era DEB hingga sekarang, namun agak menarik bahawa ketegasan pelaksanaannya telah berubah melalui masa. Boleh dikatakan bahawa ketegasan kerajaan dalam melaksanakan semangat yang terkandung dalam DEB, khususnya berkaitan dengan penyusunan semula masyarakat, hanya diikuti dengan tegas dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975). Dalam tahun-tahun selepas tempoh Rancangan Malaysia Kedua (1971-75), akibat daripada pelbagai faktor, ketegasan kerajaan dalam melaksanakan penyusunan semula masyarakat diperhatikan menjadi semakin lemah.
Pada tahun 1985-1986, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia. Kemeleseten berkenaan menyebabkan kejatuhan mendadak harga komoditi utama seperti kelapa sawit dan getah serta merosotnya permintaan eksport barangan elektronik negara. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah jatuh mendadak daripada 7.8 peratus pada tahun 1984 kepada -1.1 peratus pada tahun 1985 dan 1.2 peratus pada tahun 1986. Bagi menarik pelaburan dan memastikan ekonomi negara terus berkembang pesat, kerajaan telah membuat perubahan dasar yang agak drastik. ICA yang merupakan institusi yang akan memastikan matlamat penyusunan semula masyarakat dicapai telah dilonggarkan. Malah, keperluan lesen telah dikecualikan bagi membolehkan usahawan Cina menguasai industri kecil dalam sektor pembuatan (Yasuda 1991).
Kemelesetan ekonomi yang dialami negara pada tahun 1985-1986 juga mengurangkan pendapatan kerajaan dan keadaan ini memberi kekangan kepada perbelanjaan kerajaan dalam usahanya meningkatkan penyertaan bumiputera dalam ekonomi moden. Bagi mengatasi beban kewangan yang dihadapi kerajaan dan memastikan ekonomi negara terus berkembang, kerajaan telah melaksanakan liberalisasi ekonomi dengan program penswastaan.
Dasar penswastaan yang mula diperkenalkan pada tahun 1983, melibatkan pemindahan perkhidmatan atau perusahaan milik awam kepada sektor swasta. Antara tujuan dasar penswastaan adalah untuk:
1. Mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan;
2. Meningkatkan persaingan, memperbaiki kecekapan dan menambah
produktiviti;
3. Merangsang pelaburan dan keusahawanan persendirian;
4. Mengurangkan bilangan dan saiz sektor awam; dan
5. Membantu pencapaian matlamat DEB.
Selain daripada mengurangkan beban kewangan kerajaan, dasar penswastaan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti, yang merupakan elemen penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Namun, tujuan kelima dasar penswastaan memastikan bahawa melalui proses penswastaan, kerajaan dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta bumiputera atau bilangan pengurus-pengurus bumiputera bagi memenuhi matlamat DEB. Golongan bumiputera juga akan lebih berpeluang untuk terlibat dalam sektor perindustrian. Hal ini bermakna, walaupun program penswastaan dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui pengembangan peranan pasaran dalam ekonomi negara, namun matlamat penyusunan semula masyarakat kelihatan tidak diabaikan.
Liberalisasi ekonomi dan penekanan kerajaan terhadap agenda pertumbuhan berbanding dengan agenda agihan kelihatan semakin jelas di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagi melonjakkan ekonomi Malaysia mencapai status negara maju seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020, Model Ekonomi Baru (MEB) telah dilancarkan. Antara tonggak penting dalam MEB ialah Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015). Dalam kedua-dua tonggak ini, penekanan diberikan kepada sektor swasta bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Selain itu, subsidi juga akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat bagi meningkatkan kecekapan ekonomi. Barangkali penekanan yang berlebihan kepada agenda pertumbuhan dalam MEB, melalui PTE dan RM Ke-10, telah menimbulkan persepsi bahawa semangat DEB semakin terabai sehingga menimbulkan keresahan sebahagian etnik Melayu/ bumiputera.
Kesimpulan
Kegiatan ekonomi secara umumnya telah meningkatkan interaksi antara pelbagai etnik di Malaysia dan menyumbang kepada perpaduan dalam masyarakat. Namun sekiranya output (pendapatan dan kekayaan) negara tidak diagihkan secara adil antara etnik dan kelas, keadaan ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dalam masyarakat. Keadaan ini akan mengundang kepada ketegangan dan konflik dalam masyarakat dan seterusnya mungkin membantutkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Oleh yang demikian, ekonomi Malaysia perlu diuruskan dengan baik dan berkesan. Hal ini memerlukan bukan sahaja kepada agenda memacu ekonomi negara agar tumbuh pesat, tetapi juga memerlukan agenda agihan kekayaan agar hasil daripada pertumbuhan ekonomi tersebut dapat dinikmati secara adil oleh masyarakat. Mencari titik keseimbangan antara agenda pertumbuhan dengan agenda agihan yang adil merupakan satu peranan berat yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.
Pada tahun 1971, DEB telah dibentuk dengan matlamat untuk mewujudkan perpaduan nasional dan ketakseimbangan ekonomi antara etnik dapat diatasi. DEB mengambil perspektif etnik dalam mengemukakan penyelesaian terhadap persoalan agihan kekayaan negara. Walaupun umumnya kerajaan berhasrat untuk memastikan penyusunan semula masyarakat dicapai, namun didapati kerajaan agak fleksibel dan pragmatik dalam hal ini. Penyusunan semula masyarakat dilakukan dengan pendekatan membesarkan kek ekonomi yang kemudiannya baru diagih-agihkan. Apabila ekonomi negara berhadapan dengan kemelesetan ekonomi, kerajaan didapati lebih mengutamakan agenda pertumbuhan ekonomi daripada agenda agihan. Dalam keadaan tertentu, kerajaan bergerak seiring dengan kuasa pasaran bagi memastikan kepesatan pertumbuhan ekonomi negara.
Sepanjang tempoh empat dekad yang lalu, ekonomi Malaysia telah mencatatkan prestasi yang membanggakan. Pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia telah berjaya diterjemahkan dalam bentuk pengurangan kadar kemiskinan dengan begitu signifikan. Begitu juga berlaku peningkatan dalam aspek pembangunan manusia dan kualiti hidup secara keseluruhannya. Kedudukan ekonomi etnik Melayu juga telah dapat dipertingkatkan. Kejayaan ini sebahagiannya boleh dikatakan disumbangkan oleh keharmonian sosial dan kestabilan politik
yang wujud dalam negara sepanjang tempoh tersebut. Perlu ditegaskan bahawa keharmonian sosial dan kestabilan politik negara ini bukan dicapai secara tidak sengaja bersandarkan kepada nasib semata-mata tetapi disokong oleh dasar kerajaan yang dibentuk secara berwawasan.
Walau bagaimanapun, di sebalik kepesatan pertumbuhan ekonomi negara dan kejayaan mengurangkan kemiskinan, terdapat perkembangan yang membimbangkan. Ketaksamarataan pendapatan dalam negara semakin melebar antara yang kaya dengan yang miskin dalam kalangan setiap etnik. Dasar kerajaan yang dilaksanakan selama ini untuk mencapai perpaduan nasional mungkin akan berhadapan dengan masalah ketegangan dan perpecahan dalam etnik itu sendiri sekiranya isu ketaksamaan ini gagal ditangani dengan berkesan.
Soalan Perbincangan
1. Sejauh manakah Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya merapatkan
jurang ekonomi antara masyarakat berbilang etnik di Malaysia?
2. Dasar Ekonomi Baru (DEB) membawa kepada limpahan
kemakmuran. Bahaskan.
3. Model Ekonomi Baru (MEB) bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Bincangkan langkah-langkah ke arah menjayakan objektif model tersebut.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment