Monday, November 12, 2012

TAJUK 10


Kesimpulan
Dalam usaha mengurus kesepaduan sosial di Malaysia, kesepaduan dalam konteks kepelbagaian etnik sebenarnya telah wujud melalui proses perkongsian sejarah bersama yang dilalui oleh masyarakat pelbagai etnik merentasi aspek politik mahupun sosioekonomi. Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia dapat menikmati suasana kehidupan secara aman dan bebas daripada konflik kekerasan.
Dalam usaha mengukuhkan kesepaduan sosial, aspek amalan harian dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik ditandai oleh interaksi dan jalinan hubungan sosial yang saling berkait dan bergantung antara satu sama lain. Oleh hal demikian, jalinan dan interaksi hubungan sosial sebenarnya sudah bersemi ke dalam fabrik-fabrik sosial masyarakat kerana kesemua mereka berada dalam satu acuan besar yang dinamakan sebagai negara bangsa Malaysia.
Dalam meneliti proses transformasi hubungan etnik, sejarah perkembangan hubungan ini adalah melalui rundingan sosial yang berterusan antara aktor sosial dalam masyarakat awam untuk memenuhi kepentingan masing-masing tanpa meleraikan fabrik-fabrik sosial. Proses rundingan sosial yang meliputi aspek akomodasi, akulturasi, amalgamasi dan asimilasi sentiasa berlaku dalam usaha mengekalkan toleransi etnik ke arah bentuk positif berbanding bentuk negatif.
Pemaparan potret hubungan etnik di Malaysia sering diwarnai dengan pola-pola perbezaan berbanding ke arah melihat persamaan mahupun perkongsian dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Hakikatnya, pemahaman terhadap konsep asas hubungan etnik sama ada secara intraetnik atau interetnik perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat agar dapat menghindari gejala etnosentrisme, prejudis, stereotaip ataupun diskriminasi. Rakyat Malaysia perlu menyedari kewujudan potret-potret etnik yang positif dan baik ini agar pemikiran yang sempit
tidak menjadi hambatan kepada usaha menyulam fabrik kesepaduan sosial dalam masyarakat.
Maka, kefahaman yang jelas terhadap kepelbagaian etnik dalam potret masyarakat di Malaysia akan memberi natijah ke arah pemupukan keharmonian dan tolak ansur dalam kehidupan bermasyarakat. Di samping itu, kesedaran akan wujudnya kepelbagaian etnik secara terbuka adalah penting bagi meleraikan tembok prasangka dalam diri individu. Oleh hal demikian, setiap kumpulan etnik yang berbeza perlu sedar bahawa hubungan antara etnik yang wujud pada masa ini lebih bersifat hubungan sosial walaupun mereka adalah daripada kumpulan etnik yang berbeza. Perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat sebenarnya perlu dilihat bukan secara terpisah, tetapi atas dasar mereka ini ingin mencari kekuatan dan kebersamaan yang dapat dikongsi ke arah mengukuhkan landasan kesepaduan sosial. Melalui rundingan perbezaan yang dapat membawa kepada salah faham dan ketegangan dalam masyarakat dapat dijernihkan dengan persetujuan bersama hingga berlaku tolak ansur dan akomodasi antara mereka. Inilah jalan-jalan perundingan sosial yang telah membawa masyarakat pelbagai etnik di Malaysia hingga mampu membina kesepaduan sosial di antara mereka.
Dalam usaha mencapai kemampanan hidup antara pelbagai etnik, limpahan kemakmuran dan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama merentasi batas etnik. Tujuannya adalah untuk memastikan setiap kumpulan etnik tidak berasa terpinggir daripada menikmati faedah daripada pembangunan dan urus tadbir negara. Dasar-dasar kerajaan yang dirangka bukan untuk memenuhi keperluan dan tuntuan sesuatu etnik semata-mata, tetapi adalah bersifat limpahan merentasi etnik. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun
1971 bertindak sebagai serampang dua mata -- kemiskinan dibasmikan dan masyarakat distrukturkan semula. Pelaksanaan DEB telah memperlihatkan kerajaan seolah-olah memberi banyak kelebihan untuk golongan bumiputera, tetapi hakikatnya masyarakat bukan bumiputera juga memperoleh nikmat limpahan daripada dasar tersebut. Pendekatan ini memberi konotasi bahawa keharmonian sosial dan kestabilan politik yang terbentuk disokong melalui dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Hal ini bermakna bahawa dasar awam di Malaysia adalah penting untuk merekayasakan masyarakat pelbagai etnik untuk hidup harmoni dalam kesepaduan sosial.
Kesimpulan 237
Permuafakatan politik dalam konteks hubungan etnik menandakan erti bahawa pakatan dan perkongsian kuasa yang diamalkan adalah masih relevan. Kerjasama dan pakatan berkenaan telah mewujudkan kesedaran untuk mengekalkan kestabilan politik memandangkan sejarah permuafakatan politik dibina melalui wakil-wakil pelbagai etnik. Permuafakatan ini menandakan bahawa sesuatu parti politik atau kumpulan etnik tidak akan dapat memerintah sendiri, tanpa pembabitan etnik lain. Formula perkongsian kuasa membolehkan pemimpin yang mewakili pelbagai etnik dapat bekerjasama dalam usaha menentukan dasar mahupun hala tuju negara.
Dalam usaha mengukuhkan aspek kesepaduan sosial dalam masyarakat pelbagai etnik, perlembagaan negara menjadi tiang seri dalam konteks membentuk perpaduan etnik. Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah mengambil kira kepentingan setiap etnik di Malaysia. Walaupun perkara yang termaktub dalam perlembagaan seolah-olah memberi kelebihan kepada sesuatu etnik terutamanya etnik Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi kedudukan dan kebebasan masyarakat bukan bumiputera tetap terpelihara. Permuafakatan sosial yang dipersetujui sewaktu menggubal perlembagaan adalah persetujuan yang telah diterima oleh semua etnik pada ketika itu. Justeru, setiap lapisan masyarakat, khususnya generasi muda, harus mendukung keluhuran perlembagaan tanpa melangkaui lunas-lunas sebagaimana yang termaktub dalam kandungan perlembagaan. Keadaan ini penting ke arah membentuk masyarakat yang menghormati hak-hak dan kepentingan masyarakat pelbagai etnik agar sentiasa bersikap terbuka dan toleran dalam sesuatu isu.
Walaupun agama rasmi negara ialah agama Islam, agama-agama lain tetap dibenarkan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan syarat ia tidak menggugat kedudukan agama Islam. Dalam konteks masyarakat pelbagai etnik, kebebasan beragama juga didapati mampu membina ikatan dan hubungan merentas individu ataupun kumpulan agama. Semua agama menyeru pengikut dan umatnya berbuat baik sesama manusia dan menghindarkan diri daripada melakukan kerosakan di muka bumi. Oleh hal demikian, dalam aspek kebebasan beragama kita perlu mencari satu titik pertemuan, iaitu pemupukan nilai-nilai positif dan baik seperti aspek hormat- menghormati, tolak ansur dan rasa tanggjungjawab terhadap ahli
masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama dapat terus disuburkan. Oleh itu, ia akan memungkinkan penganut pelbagai agama bergerak ke arah persefahaman. Keadaan ini secara langsung dapat menghindarkan ketegangan ataupun konflik dalam masyarakat apabila semangat kekitaan merentasi batas-batas etnik.
Bagi merealisasikan kesepaduan sosial dalam masyarakat, peranan masyarakat juga dilihat penting kerana sandaran kepada authority defined adalah tidak memadai. Aspek integrasi dalam konteks everday defined dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik perlu digemblengkan secara progresif agar segregasi masyarakat dapat dikurangkan. Segregasi merujuk kepada pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain. Pemisahan yang berlaku merupakan kesan daripada dasar pecah dan perintah British, meliputi aspek demografi dan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Justeru, aspek integrasi penting dalam melahirkan masyarakat yang lebih bersatu padu dengan memecahkan tembok pemisahan yang dibina oleh pihak penjajah dahulu. Integrasi dapat dicapai melalui keupayaan menerapkan unsur-unsur akomodasi, akulturasi atau asimilasi ke dalam kehidupan kita bersama di negara ini.
Pengalaman harian dalam menjalin kesepaduan dalam masyarakat pelbagai etnik merupakan satu manifestasi penting dalam melihat kejayaan mengurus kesepaduan sosial. Di kaca mata dunia, Malaysia dikenali kerana keupayaannya mengekalkan keharmonian dalam masyarakat pelbagai etnik. Kekuatan negara bukan sahaja diukur menerusi pelaksanaan dasar-dasar yang adil dan saksama, tetapi amalan seharian masyarakat. Setiap individu dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang etnik, agama mahupun budaya saling bergantung. Amalan seharian dalam kehidupan memperlihatkan setiap etnik saling bergantung dan berkait hingga merentasi batas kumpulan etnik mereka. Keadaan ini menunjukkan bahawa tiada satu etnik di Malaysia yang dapat hidup secara sendirian kerana resepi yang terkandung dalam masakan seharian merupakan menu cita rasa makanan pelbagai etnik di negara ini. Peranan makanan dalam kehidupan seharian memberi impak terhadap hubungan etnik. Integrasi sosial melalui makanan boleh dilihat dengan jelas ketika rakyat Malaysia meraikan perayaan besar seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Kaamaatan dan Hari Gawai. Dalam setiap perayaan tersebut, makananlah yang menyatukan semua melalui hidangan jamuan yang disediakan.
Kesimpulan 239
Pakaian yang diperagakan oleh setiap individu ialah hasil sentuhan dan kreativiti kehidupan di sini dan alunan muzik yang menembusi halwa pendengaran saban hari ialah nukilan komposer berjiwa bangsa Malaysia. Natijahnya; kesepaduan sosial yang wujud kini adalah terbina dalam kerangka landskap masyarakat pelbagai etnik. Landasan yang kukuh dalam proses perjalanan kesepanduan sosial akhirnya membawa seluruh rakyat Malaysia menuju ke terminal perpaduan nasional menjelang 2020.
Trajektori perkembangan Malaysia bergantung kepada hubungan antara negara, kerajaan dan masyarakat pelbagai etnik. Cabaran asas adalah untuk mencari titik keseimbangan dalam kesatuan ketiga-tiga hubungan ini supaya wujud kestabilan dan keabsahan. Jika hubungan ini diabaikan, lama-kelamaan percanggahan dan perbezaan yang wujud tidak akan dapat diurus dan diselesaikan dengan baik. Di sini, gerakan media baharu membolehkan kita memerhati, memahami dan menjelaskan hubungan ini. Dua perkara yang jelas timbul di Malaysia ialah wacana proses pencarian bentuk negara bangsa – makna dan idea Malaysia kepada rakyat pelbagai etnik– dan model, peranan serta tujuan ekonomi yang perlu dijadikan amalan hidup bersama. Amat terang dalam kedua-dua wacana ini pemberian makna dan pendefinisian, dan tindakan pelaksanaan seharian tidak hanya dilakukan oleh negara dan kerajaan secara dari atas ke bawah, tetapi juga daripada dan dalam kalangan anggota masyarakat pelbagai etnik secara dari bawah ke atas. Suara dan tindakan ini tidak hanya terbatas kepada garis etnik dan agama, tetapi juga dimensi sosial yang lain hingga melampaui dan meliputi matlamat, cita-cita, nilai, dan antara generasi.
Kesenian ialah sebahagian daripada keperluan spiritual manusia yang cukup penting dalam memberi makna hidup dan identiti kepada sesuatu kumpulan manusia. Tanpa seni kehidupan manusia mungkin menjadi bosan dan tiada keceriaan hidup serta kurang kepuasan kepada jiwanya. Sebagai satu daripada sumber kepuasan jiwa dan fikiran, seni perlu dihasilkan untuk kepuasan pengkaryanya dan juga untuk konsumsi masyarakat. Suasana masyarakat moden turut mempengaruhi perkembangan seni di Malaysia hingga lahir seni dan karya berteraskan etnik masing-masing yang wujud bersama sebahagiannya sebagai hasil daripada pinjaman budaya etnik lain. Justeru, terkandung di dalam pembikinan sesuatu karya atau produk seni itu dari mula karya berkenaan dibikin sehinggalah dikonsumsi oleh masyarakat ialah pengalaman
hubungan sosial antara masyarakat pelbagai etnik yang terlibat, secara langsung mahupun tidak langsung, di dalam satu mata rantai sosial yang saling terkait dan saling bergantung. Karya seni yang dihasil dan dikonsumsikan di dalam negara ini mungkin jelas cita rasa etniknya, tetapi proses pinjam-meminjam antara satu sama lain sudah melahirkan kelainan jika dibandingkan dengan kelompok etnik asal mereka.
Sebagai kesimpulan, buku ini menghujahkan bahawa keetnikan wujud di Malaysia, tetapi pengalaman hidup bersama telah melahirkan kumpulan-kumpulan etnik yang telah melangkaui batas etnik mereka. Kumpulan etnik di Malaysia telah menjadi semakin rencam dan socially differentiated hingga kesepaduan sosial terbina antara mereka. Namun begitu, perspektif kedamaian yang diambil dalam buku ini untuk menganalisis hubungan etnik di Malaysia tidak sama sekali menafikan salah faham dan ketegangan yang dapat membawa kepada konflik. Tetapi hayat kedamaian sosial didapati lebih panjang terbina dalam sejarah negara ini daripada lekok konflik. Hal ini bermakna kita jangan leka dengan kemungkinan bahawa konflik dapat berlaku di negara ini. Kedamaian sosial ini tidak datang bergolek. Kedamaian dalam masyarakat pelbagi etnik di negara ini ialah hasil perancangan, rekayasa dasar dasar awam dan keterlibatan kesemua lapisan masyarakat hingga kesepaduan sosial terbina dalam kita meneruskan the work in progress untuk mencapai matlamat akhir perpaduan negara dan integrasi national pada suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment